Air nira kelapa, segar dari ladang....
Air nira yang manis dan sejuk sememangnya menyegarkan badan. Akak pernah beli air nira ini dari adik manis Siti Maznah semasa lawatan akak ke kampung Kayan, Daerah Manjung di Perak.
Akak dapat tahu rakan seekspidisi kelulut di Pos Yum , Sg Siput, en Saiful Adenan turut mengusahakan perusahaan air nira di kawasan Sitiawan, Perak. Untungla orang-orang Manjung boleh dapat bekalan air nira segar dari kebun PNL Farm ni....
Air nira bukan saja sedap, malah ianya juga berkhasiat. Air nira ini sesuai diminum oleh mereka yang ingin sejukkan badan. Ia boleh membantu menurunkan suhu badan terutamanya mereka yang mengalami demam panas.
Air nira ini juga memberi tenaga dan membuatkan kita kekal aktif. Akak juga diberitahu, air nira ini bagus untuk mereka yang mengalami masalah sembelit. Hmmm... tak sangka kan?
BAGAIMANA PROSES YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGUTIP AIR NIRA KELAPA?
Pemilihan mayang kelapa
Akak diberitahu bahawa beberapa langkah perlu dilakukan sebelum mengambil air nira kelapa ini. Yang paling penting ialah pemilihan mayang kelapa!
Seperti yang telah kita ketahui, pokok kelapa akan mengeluarkan mayang sebanyak 12 hingga 14 mayang setahun. Pemilihan mayang yang sesuai bagi penghasilan air nira adalah penting untuk mendapatkan hasil gula yang tinggi. Mayang yang telah matang, panjang dan sederhana besar biasanya sesuai disadap dan mampu mengeluarkan nira yang banyak.
Mayang kelapa yang sesuai untuk pengambilan nira biasanya masih berwarna putih. Mayang berwarna hijau adalah mayang yang sudah tua dan sudah tidak sesuai untuk penghasilan nira.
Bagi mengenalpasti mayang yang sesuai untuk pengeluaran madu, mayang tersebut masih belum keluar penuh (masih kosong dihujung mayang) dan masih belum tidak terbuka.
Hujung seludang / mayang belum penuh hingga ke hujung.
Seludang yang baru keluar menunjukkan seludang yang sudah keluar sebelum ini telah matang dan sesuai untuk mengeluarkan nira.
Melentur mayang
Mayang atau seludang yang telah dipilih perlu dilentur perlahan-lahan supaya kedudukannya sesuai untuk pengutipan nira. Mayang ini juga akan dibalut menggunakan tali dengan jarak dua inci setiap satu ikatan. Namun, ada juga pengusaha yang menggunakan kaedah ikatan yang lain.
Mayang yang dibalut dengan tali
Untuk memudahkan kerja-kerja melentur dan mengelak supaya mayang tidak patah ketika dilentur, seludang di bahagian pangkal mayang perlu dipecahkan atau dipotong.
Pangkal mayang yang dilentur
Akak pernah angkat mayang ni. Keras dan berat kot! Macam susah je nak dilenturkan, kan? Tapi sebenarnya boleh dilentur rupanya. Cuma kena lentur sikit-sikit la. Mayang perlu ditarik perlahan-lahan untuk dilenturkan serta untuk mengelak mayang ini patah. Mayang yang patah akan menyebabkan tiada penghasilan air nira.
Pangkal mayang yang telah patah, yang tidak akan mengeluarkan air nira
Untuk memudahkan kerja melentur mayang ni, pengusaha perlu menarik mayang dengan menahan lutut dipangkal mayang tersebut! Gluurrrpp! Tinggi tu kena panjat.. ! Dan sekiranya mayang tersebut tersorok disebelah pelepah daun kelapa, pelepah itu perlu ditarah untuk mengeluarkan mayang.
Usaha melentur mayang akan mengambil masa beberapa hari sehingga mayang itu sesuai diambil niranya. Mayang tersebut perlu dilenturkan bagi memastikan kedudukan hujung mayang sentiasa menghadap ke bawah lebih kurang 45 darjah. Ini adalah untuk memastikan air nira yang terhasil akan mengalir atau menitis dengan lebih mudah dan mudah ditakungkan didalam botol.
Mayang yang telah dilentur itu ditarik dengan tali yang akan diikat pada pelepah yang berada disebelah bawah bagi memastikan mayang itu sentiasa terlentur tunduk dan sesuai untuk mengeluarkan nira dengan banyak.
Tali yang diikat pada mayang berkenaan perlu ditarik dari masa ke semasa sehingga mayang tersebut tidak lagi mengeluarkan nira.
Menyadap mayang dan pengutipan air nira
Bagi mendapatkan air nira, mayang akan disadap atau dipotong sedikit. Hujung mayang yang telah disadap akan dimasukkan dalam botol yang bersih. Botol yang akan digunakan untuk mengutip air nira terlebih dahulu akan diisi dengan racikan kayu cengal atau resak. Ada juga pengusaha yang menggunakan daun manggis. Namun penggunaan kayu cengal adalah yang terbaik.
Kayu cengal ini akan dibasuh dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum diisi ke dalam botol. Kayu ini akan diulang basuh dan dikeringkan setiap kali selepas digunakan.
Racikan kayu cengal ini digunakan untuk mengelak air nira dari mudah menjadi masam atau basi. Ia juga mampu menambah rasa sedap pada air nira yang dituai. Sekiranya racikan kayu ini tidak digunakan, air nira perlu dikutip setiap 4 jam.
Racikan kayu cengal yang telah diletak didalam botol tuaian.
Mayang perlu disadap (dipotong) lebih kurang 2 inci setiap kali selepas mengutip air nira. Parang yang tajam digunakan untuk menyadap mayang kelapa. Air nira akan keluar 4 hari selepas disadap dan air nira akan mula banyak keluar pada hari ke 7 selepas di sadap. Air nira banyak keluar terutama diwaktu pagi dan agak sedikit diwaktu petang.
Pisau penyadap yang digunakan
Bagi en Saiful Adenan, beliau akan mula menyadap seawal 7 pagi dan selewat-lewatnya jam 11.00 pagi. Jika beliau menyadap pada jam 7 pagi, beliau akan mengutip air nira yang dihasilkan pada mayang berkenaan pada jam 7 petang. Dan jika beliau menyadap pada jam 7 petang, hasil akan dikumpulkan pada jam 7 pagi keesokkan harinya.
En Saiful sedang memeriksa mayang
Aktiviti menyadap dan pengambilan air nira ini dilakukan sehingga batang mayang habis disadap dan mayang tersebut sudah tidak dapat mengeluarkan hasil lagi. Bergantung kepada saiz mayang dan kesuburan pokok kelapa, pengambilan air nira bagi setiap mayang akan berlangsung antara 15hari hingga sebulan.
Rekod oleh pengusaha menunjukkan bahawa mayang kelapa MATAG menghasilkan air nira yang lebih banyak berbanding air nira dari mayang kelapa pandan. Air nira kelapa pandan juga mempunyai bau haruman daun pandan.
Air nira yang telah memenuhi botol
Botol lutsinar digunakan bagi memudahkan pemantauan
Air nira yang telah dikutip akan ditapis dan disimpan didalam peti sejuk beku bagi mengekalkan kualiti dan keenakannya. Jika disimpan di tempat sejuk biasa, air nira akan menjadi masam selepas seminggu disimpan.
Air nira yang telah dikutip
Ingin rasai kenikmatan, kesegaran dan keenakan air nira?
Bagi yang berdekatan dengan Daerah Manjung, boleh hubungi en Saiful Adenan seperti dibawah:
Air nira ini bukan sahaja digemari oleh manusia. Serangga seperti lebah dan semut turut menghurungi mayang bagi mendapatkan manisan ini... Subhanallah
Aduhai..... sedapnya air nira. 😍😍😍
#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
No comments:
Post a Comment