Showing posts with label Cendawan. Show all posts
Showing posts with label Cendawan. Show all posts

Sunday, September 24, 2023

CENDAWAN BUNGA KOBIS MAMPU TINGKATKAN KESIHATAN OTAK


Cendawan kobis bunga (lion mane) atau nama saintifiknya Hericium erinaceus ini belum begitu popular di Malaysia. Ini adalah kerana ia belum dipromosikan secara besar-besaran dan penanaman cendawan jenis ini belum mendapat tempat dihati penanam cendawan. Cendawan yang comel ini mempunyai morfologi yang sangat comel dengan untaian seakan gebu menyerupai rerambut atau janggut. Cendawan ini pernah diberi nama Cendawan kepala kera termasuk janggut singa, janggut lelaki tua,  dan landak.

      "Janggut-janggut" putih menghiasi  
       permukaan cendawan bunga kobis.

.
Cendawan adalah salah satu tanaman yang perlu ditanam secara organik dan setiap spesis cendawan mempunyai nilai nutrisi tersendiri dalam meningkatkan kesihatan tubuh manusia. Bahan aktif yang terdapat daripada cendawan bunga kobis ini mampu meningkatkan pertumbuhan saraf dan merangsang daya ingatan.
.
Menurut Dr. Hjh Maiminah; Universiti Putra Malaysia, cendawan bunga kobis dikatakan dapat membantu merangsang pertumbuhan saraf serta berpotensi untuk merawat penyakit saraf seperti trauma saraf akibat strok dan juga penyakit Alzheimer, membantu menguatkan otot, gerak balas motor dan fungsi kognitif, membantu merawat ulser perut serta membantu meningkatkan sistem imuniti.
.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Neurochemistry, bahan isoindolin yang digelar "N-de phenylethyl isohericerin" dan derivatif hidrofobiknya "hericene A" sangat mujarab dalam menggalakkan pertumbuhan akson yang meluas dan neurit dalam neuron hippocampus yang dikultur. (Sebagai tambahan, hippocampus adalah bahagian otak yang menyimpan memori).
.

Selain kebaikan untuk kesihatan otak, cendawan ini turut mengandungi bahan yang turut memberi kebaikan kepada kesihatan jantung dan usus.  Diantaranya, ia mampu untuk mengurangkan kandungan kolestrol dalam salur darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, membantu mengurangkan kencing manis, mengurangkan keradangan dan meningkatkan sistem imun tubuh.

RESEPI BERASASKAN CENDAWAN KOBIS BUNGA
.
Ramai yang tanya bagaimana untuk menikmati cendawan ini. Cendawan ini boleh dicuba dalam pelbagai cara, rebus, goreng dan sebagainya. Apa rasa cendawan ini? Ada yang mengkategorikan rasanya seperti ayam, ada yang kata rasa udang.... Dan kadang-kadang akan ada sedikit pahit dihujung. 
.
Disini saya kongsikan resepi istimewa cendawan bunga kobis dari Chef Dave 
------------------------------------------------------------

Masa penyediaan : 10 minit
Masa memasak :  15 minit
Hidangan :  4 pax

Resipi
Bahan-bahan:
400gram cendawan kobis bunga
3 ulas bawang putih(tumbuk)
½ inchi halia (tumbuk)
½ sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil garam
2 sudu besar minyak
1 bawang merah (potong kecil)
5 cili kering
1 daun kari
1 bunga lawang
1.5 inchi kulit kayu manis
¼ sudu kecil jintan manis
1 sudu besar serbuk kari
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil gula merah
50ml air
Sedikit perahan jus limau 
Garam 

Hiasan :
Cili hijau
Daun kari

Cara memasak :
1. Rendam dahulu cendawan Kobis bunga dan perah. Buat seperti ini beberapa kali sehingga air rendaman nampak sedikit jernih.
2. Kemudian, carik dan ketepikan.
3. Tumbuk bawang merah dan halia. Kemudian masuk ke dalam cendawan kobis bunga.
4. Masukkan serbuk kunyit dan garam. Gaul sebati dan goreng sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
5. Sediakan kuali lain, tumis jintan manis, bunga lawang, kulit jayu manis, daun kari dan cili kering. Tumis sehingga naik bau.
6. Kemudian, masukkan bawang merah, serbuk kari, serbuk cili dan kacau sebati.
7. Kemudian masukkan air dan kacau, biar seketika sehingga pecah minyak.
8. Masukkan cendawan kobis bunga. Kacau sebati.
9. Masukkan gula merah,  garam, cili hijau, daun kari dan sedikit perahan limau. 
10. Kacau sebati dan sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba ✌️🥰

24 September 2023
Jam 22:59

#InstitutPertanianTitiGantung
#JabatanPertanianPerak
#JabatanPertanianMalaysia


Tuesday, April 5, 2022

MINUMAN PEMANIS MULUT CENDAWAN BLACK JELLY (Auricularia spp.)


Malam ni akak telah siapkan minuman pemanis mulut yang akak buat dari cendawan jeli hitam ni. 
.
Seringkali kita jumpa cendawan ini dimasak bersama campuran sayuran yang lain sama ada ia digoreng atau masak lemak.
.
Cendawan ini juga sebenarnya enak dibuat minuman. Ada yang minta akak buat agar-agar cendawan ini. Mungkin lain masa, akak boleh cuba buat. (Eheeeemmmm... Kalau akak rajin la ..😂😂😂).
.
Cara buat minuman ni, senang je...
Mula-mula rebus air yang dicampur gula merah. Daun pandan ditambah jika suka.  
Cendawan jeli hitam digunting halus.
Apabila air gula sudah menggelegak, masukkan cendawan tadi. Kacau seketika.
Biarkan air menggelegak untuk masakkan cendawan tadi. Kemudian angkat. 
Minuman ini boleh diminum panas atau sejuk.
.
Cendawan jeli hitam ini bagus untuk mencairkan darah (kurangkan kolestrol). Ini bermakna ia bagus diamalkan oleh mereka yang ada kolestrol yang tinggi atau darah tinggi.
.
Jom cuba....

Thursday, July 15, 2021

MINUMAN PEMANIS MULUT CENDAWAN BLACK JELLY (Auricularia spp.)


Malam ni akak telah siapkan minuman pemanis mulut yang akak buat dari cendawan jeli hitam ni. 
.
Seringkali kita jumpa cendawan ini dimasak bersama campuran sayuran yang lain sama ada ia digoreng atau masak lemak.
.
Cendawan ini juga sebenarnya enak dibuat minuman. Ada yang minta akak buat agar-agar cendawan ini. Mungkin lain masa, akak boleh cuba buat. (Eheeeemmmm... Kalau akak rajin la ..😂😂😂).
.
Cara buat minuman ni, senang je...
Mula-mula rebus air yang dicampur gula merah. Daun pandan ditambah jika suka.  
Cendawan jeli hitam digunting halus.
Apabila air gula sudah menggelegak, masukkan cendawan tadi. Kacau seketika.
Biarkan air menggelegak untuk masakkan cendawan tadi. Kemudian angkat. 
Minuman ini boleh diminum panas atau sejuk.
.
Cendawan jeli hitam ini bagus untuk mencairkan darah (kurangkan kolestrol). Ini bermakna ia bagus diamalkan oleh mereka yang ada kolestrol yang tinggi atau darah tinggi.
.
Jom cuba....

Monday, April 27, 2020

CENDAWAN MEMBEKALKAN VITAMIN D BAGI MEMBANTU PENGAMBILAN KALSIUM UNTUK TUBUH

Setiap orang memerlukan vitamin D yang berbeza mengikut umur. Kadar pengambilan Vitamin D sehari yang disyorkan ialah 400 IU (international units) untuk kanak-kanak yang berumur 12 bulan ke bawah. Bagi yang berumur 1 hingga 70 tahun, keperluan vitamin D sehari adalah 600 IU dan bagi yang melebihi umur 70 tahun adalah diantara 800 IU.


Gambar sumber google

Vitamin D mempercepatkan penyerapan kalsium dalam perut dan mengekalkan serum kalsium, magnesium dan fosfat didalam kepekatan yang mencukupi untuk kegunaan tubuh.

Pengambilan vitamin D yang mencukupi akan menjaga kesihatan tulang. Diantara kesan pengurangan vitamin D dalam tubuh terutama kepada golongan wanita ialah pengambilan kalsium akan berkurangan dan akan menyebabkan pereputan tulang; dimana tulang menjadi terlalu rapuh dan mudah patah; atau lebih dikenali sebagai osteoporosis.

Lazimnya, vitamin D boleh diambil oleh tubuh melalui tiga cara;

        1. Melalui pendedahan tubuh kepada
            sinaran matahari.
            Kulit yang terdedah kepada cahaya
            matahari akan menghasilkan vitamin D
            untuk kegunaan tubuh.

            Jangkamasa 10 hingga 30 minit     
            diperlukan oleh manusia yang berkulit
            putih bagi menjemurkan diri dibawah
            cahaya matahari. Manakala bagi yang
            berkulit gelap, memerlukan tempoh
            masa yang lebih dari 30 minit bagi
            penghasilan vitamin D oleh kulit.
            (Akak kena jemur lebih sikit dibawah
            pacaran matahari....sigh!). 😅

            Namun perlu diingat, pendedahan secara
            berlebihan dibawah sinaran ultraviolet
            matahari juga akan memberikan kesan
            yang akan merosakkan kulit.

         2. Pengambilan vitamin D dalam makanan
             seperti ikan yang berminyak (salmon,
             sardin, ikan kembung), telur, susu,
             cendawan, hati lembu, minyak ikan kod,
             tuna, yogurt, dan lain-lain.

          3. Vitamin D juga boleh diambil melalui pil
              suplemen.


Gambar sumber google

Haaaaaa..... disini akak nak cuba fokus kepada kaedah pengambilan vitamin D melalui makanan!

Adakah kita tahu bahawa cendawan adalah salah satunya sayuran yang membekalkan kita dengan vitamin D?


Gambar sumber google

Cendawan mempunyai sterol tumbuhan yang dipanggil ergosterol. Apabila cendawan didedahkan kepada radiasi cahaya ultraviolet (UV) dari matahari, ergosterol ini akan ditukarkan kepada vitamin D. Fungsi ini seakan sama seperti kolestrol pada kulit manusia yang akan menghasilkan vitamin D apabila terdedah pada matahari.

Akak ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sifu cendawan; En Nabil Sanusi yang sudi berkongsi maklumat melalui pembacaan beliau mengenai kandungan vitamin D dalam cendawan.


Gambar sumber google

Menurut kajian, kandungan vitamin D dalam cendawan akan meningkat apabila dijemur atau didedahkan kepada sinar matahari atau pada lampu UVB selama 60 ke 90 minit! Subhanallah!

Kebiasaannya cendawan tiram seberat 100 gram, mengandungi lebih kurang 60 microgram atau 2400 IU vitamin D. Setelah cendawan ini dijemur, kandungan vitamin D didalamnya akan melonjak kepada 368 microgram atau 14720 IU.




Untuk itu, disyorkan agar kita menjadikan cendawan menu dalam hidangan sekurang-kurangnya 200 gram cendawan tiram (dijemur) setiap minggu, bagi meningkat meningkatkan serum vitamin D dalam darah ke paras optimal terutama apabila kita diminta untuk "stay at home" dan terutama bagi mereka yang berada di negara yang mempunyai musim salji serta siang yang

Wallahualam.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

27 April 2020




Monday, March 2, 2020

PEMBIAKAN ASEKSUAL DALAM KITARAN HIDUP CENDAWAN ABALONE

Cendawan abalone (Pleurotus cystidiosus) dan (Pleurotus abalonus) adalah diantara cendawan dalam keluarga Pleurotus spp. (cendawan tiram) yang akak sangat gemar. Cendawan abalone ini mempunyai isi yang lebih tebal dan kenyal berbanding cendawan tiram kelabu atau cendawan tiram yang lain.

Kekenyalan dan rasa manis yang ada pada cendawan abalone ini seakan rasa daging. Akak pernah mengambil kepingan-kepingan cendawan abalone ini, akak gril bersama lada hitam dan akak jadikan ia seakan daging. Akak letakkan cendawan abalone yang sudah masak bersama roti yang telah diletak salad, timun dan bawang. Kemudian akak tuang sos cili dan akak nikmati sandwich cendawan abalone! Sedaaaaappp😍. Kalau tidak percaya cakap akak, cubalah sendiri...

Cendawan abalone adalah diantara cendawan yang dapat membantu dalam merendahkan tekanan darah, kandungan glukosa dan lipid pada badan kita. Ianya juga mampu untuk merencat pertumbuhan tumor! Selain itu juga kandungan antioksida yang ada pada cendawan ini mampu untuk mengurangkan proses penuaan. Subhanallah...

Pernahkah kita tahu bahawa cendawan abalone ini mempunyai keunikannya tersendiri? Allahuakbar...

Cendawan abalone dikategorikan sebagai cendawan dalam group dimorphic iaitu mempunyai kaedah pembiakan secara seksual atau aseksual.

Semasa peringkat vegetatif, iaitu diperingkat pertumbuhan maisilium, kita akan dapat melihat terdapat titisan hitam yang akan muncul pada maisilium cendawan abalone yang putih. Titisan hitam ini dipanggil coremia.

Coremia pada maisilium cendawan abalone yang tumbuh dalam pinggan petri yang disediakan oleh Dr Chan Pick Kuen.


Lagi gambar dari pinggan petri oleh Dr Chan Pick Kuen

Pada peringkat awal pertumbuhan maisilium, maisilium cendawan abalone adalah sama seperti maisilium cendawan yang lain iaitu berwarna putih gebu.  Namun sebalik sahaja maisilium matang dan membesar, titisan hitam kumpulan spora yang kelihatan pada bahagian yang berbentuk seperti batang yang dipanggil coremia. 


Kesan titisan hitam turut dapat dilihat pada bongkah cendawan abalone milik en Paul Lai.


Maiselium cendawan abalone dalam botol.


Coremia ini adalah sel yang terbentuk seakan batang yang terdapat titisan cairan yang mempunyai kumpulan spora yang berwarna hitam. Coremia terbentuk secara aseksual dari pertumbuhan maisilium bagi melengkap kitaran hidup cendawan.

Spora yang dihasilkan melalui proses aseksual ini akan dibebaskan apabila matang tanpa melalui pembentukan janabuah. Spora ini dibebaskan apabila ia mulai kering dan mengeras.

Ilmu Allah sangat luas. Semakin kita mencari, semakin kita akan rasa tersangat kerdil. Siapalah kita untuk ada rasa sombong dengan ilmu yang lebih kecil dari saiz badan bakteria ini. Allahuakbar...

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

2/3/2020

Monday, February 17, 2020

KESAN KEPEKATAN KARBON DIOKSIDA PADA PERTUMBUHAN CENDAWAN

Kali ini akak nak kongsi sedikit lagi pasal tanaman cendawan. Kalau diperhatikan dalam penanaman cendawan, kita perlu memahami keperluan asas untuk pertumbuhan cendawan. Menanam cendawan tidak sama macam kita tanam sayur-sayuran. Tanaman cendawan ini memerlukan kelembapan persekitaran, pengaliran udara yang baik, cahaya yang tertentu serta suhu yang rendah.

Kali ini kita cuba fahami "Apakah pengaruh karbon dioksida dan oksigen terhadap tumbesaran cendawan.

Cendawan memerlukan kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang berbeza pada peringkat pertumbuhan yang berbeza. Kepekatan karbon dioksida selain suhu dan kelembapan adalah diantara diantara faktor kritikal dalam memaksimakan pengeluaran hasil cendawan.

Semasa pertumbuhan maisilium dalam bongkah media (fasa vegetatif), proses respirasi (pernafasan) oleh maisilium menyebabkan kepekatan karbon dioksida meningkat. Kepekatan karbon dioksida yang lebih tinggi berbanding kepekatan oksigen, menggalakkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman.

Namun, pada peringkat reproduktif, kepekatan karbon dioksida yang tinggi akan memberikan impak yang negatif kepada pertumbuhan cendawan terutama semasa pengeluaran primodia (pinhead).

Peringkat pertumbuhan primodia adalah peringkat yang paling sensitif dalam carta aliran pertumbuhan cendawan. Bekalan oksigen dan kelembapan yang tinggi, suhu yang rendah serta sedikit kehadiran cahaya amat diperlukan bagi memastikan pembentukan janabuah (cendawan).

Kepekatan karbon dioksida yang tinggi pada peringkat primodia akan memberi kesan kepada pembentukan janabuah. Batang cendawan akan tumbuh memanjang dan kurus. Manakala bahagian tudung (pileus/cap) adalah kecil serta tidak akan berkembang dengan baik dan berbentuk seperti trompet (bagi cendawan tiram). Penghasilan spora (basidiospora) juga terhalang!



Ketika ini pengaliran udara yang baik amat penting untuk meningkatkan bekalan oksigen serta mengurangkan karbon dioksida bagi pertumbuhan cendawan yang baik.




Penurunan paras karbon dioksida dan meningkatkan paras oksigen amat perlu semasa pembentukan serta perkembangan primodia diikuti dengan pengurangan suhu serta peningkatan kelembapan udara. Cendawan memerlukan oksigen bagi menghasilkan tenaga, sama seperti manusia serta benda hidup yang lain! 😊

Kandungan kepekatan karbon dioksida diudara boleh disukat dan dilaraskan bagi menepati keperluan dalam penanam cendawan.



Meter yang boleh digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida di udara.


Pemerhatian yang dibuat pada cendawan butang (Agaricus bisporus ) menunjukkan kepekatan karbon dioksida pada 10,000 - 20,000 ppm adalah diperlukan semasa peringkat pertumbuhan maisilium. Manakala, semasa pembentukan primodia, kepekatan karbon dioksida diantara 800 ke 1500 ppm sahaja diperlukan untuk pertumbuhan dan pembentukan janabuah. 


Jika ingin membaca kenapa cendawan memerlukan kelembapan, sila klik disini.

Jika ingin membaca faktor yang mempengaruhi pertumbuhan cendawan, sila klik disini.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

17/2/2020

Sunday, January 26, 2020

KENAPA CENDAWAN PERLUKAN KELEMBAPAN UNTUK TUMBUH?

Air merupakan salah satu faktor yang penting dalam penanaman cendawan. Cendawan memerlukan kelembapan untuk pembentukan dan pertumbuhan janabuah. Cendawan tidak mempunyai kulit yang menghalang kehilangan air ke udara, maka ia amat memerlukan kelembapan persekitaran yang tinggi untuk mengurangkan kadar kehilangan air dari badan cendawan. Badan cendawan yang seumpama "span" akan mula menyerap titisan air untuk pengembangan janabuah.



Cendawan yang sudah sesuai untuk.dipetik


Pada peringkat pertumbuhan vegetatif, maiselium turut memerlukan kelembapan bagi mempercepatkan pertumbuhan. Kelembapan yang sesuai bagi media pertumbuhan cendawan atau substrat adalah dalam lingkungan 55 hingga 60% kelembapan. 

Sekiranya kelembapan kurang, pertumbuhan maiselium adalah perlahan dan tiada pembentukan primodia atau pinhead akan berlaku! Namun sekiranya peratus kelembapan didalam media terlampau tinggi, ia akan menyebabkan kandungan oksigen didalam media akan berkurang dan menyukarkan maiselium untuk bernafas. Ini akan menyebabkan pertumbuhan maisilium akan lambat dan berkemungkinan akan rosak. Keadaan ini juga menggalakkan serangan kulat dan bakteria pada bongkah. 

Sebelum memasuki fasa reproduktif, cendawan memerlukan kelembapan relatif pada udara yang tinggi (95%). Keadaan ini adalah untuk memberi "kejutan" kepada maisilium dan mengeluarkan primodia (pinhead) cendawan. 



Peringkat pertumbuhan primodia


Primodia cendawan tiram pink


Primodia cendawan Ganoderma




Primodia terus berkembang apabila dibekalkan dengan kelembapan yang cukup




Selepas pengeluaran primodia, kelembapan perlu diselaraskan diantara 80 - 90% sepanjang pembesaran janabuah cendawan. 




Diantara meter yang boleh digunakan untuk menyukat kelembapan, kepekatan karbon dioksida dan suhu. 


Cendawan akan cepat membesar pada kelembapan yang tinggi. Kelembapan yang rendah, akan menyebabkan cendawan kecil dan lambat membesar. Kesan yang paling ketara ialah janabuah akan kelihatan kering dan mengerekot. 



Keadaan cendawan yang kekurangan kelembapan dan pengudaraan



Fall in love with mushrooms....and those mushrooms will in love with you too.... 🍄🍄🍄



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

27/1/2020


Saturday, January 18, 2020

KURANGKAN RISIKO DARAH TINGGI DENGAN CENDAWAN JELI HITAM / TELINGA KERA (Auricularia sp.)

Cendawan jeli hitam (Auricularia sp.) atau lebih dikenali sebagai cendawan telinga kera (kerana bentuknya seakan-akan bentuk telinga) adalah diantara cendawan yang mula mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia.


Akak bersama cendawan jeli hitam yang ditanam kaedah gantung di Nas Agro milik en Nabil Sanusi


Cendawan jeli hitam yang ditanam atas susunan rak di ladang milik madam Cheng Poh Guat di Vita Agrotech Sdn. Bhd.

Cendawan ini kelihatan seperti jeli, teksturnya kenyal tapi agak rangup. Ketika ia kering, ia akan menjadi keras seperti kulit kayu. Ia tidak mempunyai batang dan tutup (cap) seperti cendawan yang lain. 


Kuntuman cendawan jeli hitam yang sudah sesuai untuk dipetik. 


Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa cendawan mempunyai khasiat yang baik bukan sekadar dari segi kandungan nutriennya malah dari dari sudut kesihatan juga.

Hmmm.... akak nak bagi tahu ni, cendawan jeli hitam ini membekal kolagen dari tumbuh-tumbuhan. Menarikkan? Kandungan antioksida didalam cendawan semestinya dapat mengurangkan kesan penuaan pada kulit kita. Masya Allah.

Kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaya telah membuktikan bahawa cendawan jeli hitam mempunyai kandungan polisakarida yang dapat membantu mengurangkan risiko gangguan kardiovaskular. Cendawan ini mempunyai kandungan kalori yang rendah tetapi mempunyai kandungan protin yang tinggi.

Kandungan polisakarida yang terdapat pada cendawan ini juga mampu untuk merencat aktiviti enzim bagi mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Ekstrak polisakarida yang didapati dari cendawan jeli hitam ini mampu untuk memecahkan darah beku dan merendahkan kandungan kolestrol serta lipid. Ia membantu mencairkan darah serta melancarkan perjalanan darah.

Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan berat badan, risiko tekanan darah tinggi dan serangan sakit jantung! Subhanallah...

Selain cendawan segar, cendawan ini juga boleh didapati dalam keadaan kering. Ia perlu direndam didalam air terlebih dahulu sebelum ia dimasak.

Pelbagai resepi yang boleh dimasak menggunakan cendawan jeli hitam ini sama ada masak lemak, dibuat kerabu atau boleh juga dijadikan minuman pemanis mulut!

Nak tahu bagaimana nak buat minuman yang lazat serta berkhasiat dari cendawan jeli hitam ini?

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:
Cendawan jeli hitam yang dipotong halus-halus.
Gula merah

Kaedah:
Masukkan cendawan jeli hitam dan gula merah secukup rasa ke dalam air.
Masak hingga mendidih.
Tutup api.
Boleh dinikmati ketika panas atau ketika sup ini telah sejuk.
Boleh campur dengan bahan lain mengikut kesesuaian.

Selamat mencuba....


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

18/1/2020






Sunday, January 12, 2020

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERTUMBUHAN CENDAWAN

Cendawan adalah micfrofungus yang menjana buah (fruiting body) samada di atas permukaan tanah (epigeous) atau dibawah tanah (hypogeous). Cendawan adalah jenis heterotrophic dimana ia memerlukan nutrien dari sumber lain untuk hidup. Cendawan tidak mempunyai klorofil dan tidak menjalankan fotosintesis bagi menghasilkan makanan.


Diantara jenis-jenis cendawan tiram yang ada ditanam di Malaysia. 
Gambar sumber internet. 

Cendawan memerlukan nutrien, cahaya, suhu, kelembapan, pengudaraan dan pH yang sesuai untuk pertumbuhan.

Terdapat dua fasa yang terlibat dalam pertumbuhan dan pembentukan cendawan iaitu fasa vegetatif dan fasa reproduktif.


Kitaran hidup cendawan tiram.
Gambar sumber internet.


Fasa vegetatif merujuk kepada fasa pertumbuhan maisilium, dan fasa reproduktif adalah fasa pembuahan cendawan.


Kitaran hidup cendawan kukur/sisir.
Gambar sumber internet.



Kitaran hidup cendawan jerami.
Gambar sumber internet.


Di habitat asal, cendawan membiak melalui spora. Apabila kelembapan, suhu dan nutrien sesuai, spora cendawan akan bercambah dan mengeluarkan bebenang sel yang dikenali sebagai hifa (hyphae).

Hifa akan tumbuh dan mula bercabang (primary mycelia) serta mula membuat jalinan dengan hifa-hifa yang keluah dari spora-spora yang lain  membentuk gumpalan maisilium (secondary mycelia). Proses ini dipanggil plasmogamy (hyphal fusion).

Maisilium yang matang akan merembeskan enzim. Enzim ini akan meleraikan ikatan komponen lignocellulos yang kompleks dari media kepada bahan organik yang lebih ringkas. Hifa akan menyerap nutrien yang dicernakan oleh enzim dan disalurkan untuk pertumbuhan maisilium.

Dari maisilium ini, sel-sel akan berkumpul membentuk pin atau primodium (badan buah muda) atau lebih dikenali sebagai pinhead.
Pinhead ini akan mula membesar dan membentuk badan/buah cendawan. Ketika inilah fasa reproduktif bermula.

Terdapat beberapa faktor persekitaran yang menjadi pencetus (trigger) pertukaran dari fasa pertumbuhan vegetatif (fasa pertumbuhan maisilium) ke fasa reproduktif (fasa pembentukan janabuah).

Faktor-faktor yang terlibat ialah suhu, cahaya dan perubahan kepekatan gas di udara iaitu karbon dioksida dan oksigen pada atmosfera amat mempengaruhi perubahan dari pertumbuhan vegetatif maisilium kepada pembentukan buah cendawan.


Faktor-faktor yang mencetus pertumbuhan cendawan. 


Bagi kebanyakan spesis cendawan, suhu optima pada pembentukan buah cendawan adalah lebih rendah berbanding suhu optima semasa pertumbuhan maisilium. Sebagai contoh; cendawan tiram kelabu (Pleurotus pulmonarius) memerlukan diantara 25 hingga 27 darjah celcius semasa pemeraman, dan memerlukan suhu yang lebih rendah pada peringkat pembentukan janabuah iaitu diantara 19 hingga 21 darjah celcius sahaja.

Karbon dioksida akan dikeluarkan hasil metabolisma pertumbuhan cendawan. Ia juga merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kualiti dan hasil pengeluaran cendawan.


Contoh meter yang digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida, suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan


Kandungan karbon dioksida yang tinggi membantu dalam meningkatkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman bongkah. Namun, semasa pembentukan primodia, kepekatan karbon dioksida yang tinggi menghalang pembentukan badan cendawan. Batang cendawan akan kurus dan memanjang serta menyebabkan bahagian tudung (cap) cendawan juga tidak berkembang dengan baik.


Batang cendawan memanjang dan cap cendawan tidak berkembang dengan baik dalam keadaan kepekatan karbon dioksida yang tinggi. 


Keperluan kepekatan karbon dioksida adalah berbeza mengikut jenis dan peringkat pertumbuhan cendawan.

Maka, bagi memastikan pembentukan buah cendawan yang sempurna, pengudaraan adalah perlu bagi meningkatkan bekalan oksigen dan mengurangkan karbon dioksida terutama semasa pembentukan primodia cendawan.

Cahaya dan kelembapan juga merupakan faktor yang penting dalam mencetus pembentukan badan cendawan. Spesis cendawan yang berbeza memerlukan kapasiti cahaya yang berbeza.

Cendawan akan menyerap molekul-molekul air yang ada dipersekitaran untuk pertumbuhan. Kandungan kelembapan yang rendah serta suhu yang tinggi akan menyebabkan pertumbuhan cendawan terbantut.

Air adalah faktor yang penting dalam penanaman cendawan. Nutrien dialirkan kepada jana buah melalui aliran air dalam maisilium. Kelembapan air yang rendah akan menyebabkan jana buah kering dan mati.

Prinsip pertumbuhan cendawan adalah hampir sama bagi semua cendawan, kaedah penanaman sahaja yang perlu disesuaikan dengan keadaan fisiologi dan keperluan bagi setiap spesis cendawan yang ditanam.

Setakat ini dulu perkongsian kali ini...😎


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

12/1/2020



Saturday, December 21, 2019

BLACK SOLDIER FLY (BSF); ANTARA POTENSI DAN ANCAMAN

Lalat askar hitam (Hermetia illucens) atau lebih dikenali sebagai black soldier fly (BSF) merupakan serangga yang semulajadinya membantu mempercepatkan proses penguraian dan pereputan dalam ekosistem. Kalau bahasa orang kampung, larva BSF ini dipanggil sebagai "ulat tahi". Boleh tanya pengalaman orang dulu-dulu (En Sufian Suri pun boleh beri maklumat berkaitan 😂😂😂) yang menggunakan tandas cangkung di kampung-kampung.


Larva lalat askar hitam (black soldier fly)


BSF tidak akan menyerang manusia atau menyebarkan penyakit. Serangga ini dikatakan dapat menyekat (inhibit) dan mengawal pembiakan lalat rumah (Musca domestica) pada kawasan yang mereput. Larva BSF turut membantu memakan kulat yang menyebabkan bau busuk yang tumbuh pada bahan organik.


KITARAN HIDUP LALAT ASKAR HITAM

BSF melalui 4 peringkat pembesaran iaitu peringkat telur, peringkat larva, pupa dan peringkat dewasa.


Kitar hidup lalat askar hitam (BSF)


BSF dewasa mempunyai riwayat hidup hanya selama 5 ke 8 hari sahaja. BSF dewasa hanya menghabiskan masanya untuk mencari pasangan dan mengawan. BSF betina mampu bertelur antara 600 ke 800 biji telur pada satu-satu masa.

Telur ini biasanya akan diletakkan pada rekahan kayu, batu atau pada permukaan yang berdekatan dengan kawasan yang lembab dan mempunyai bahan organik yang sedang mereput. Telur ini akan mula menetas dalam tempoh 4 hari.

Larva memerlukan keadaan yang basah bagi memastikan kulitnya tidak mudah kering dan terhidrat. Bahan-bahan organik yang sedang mereput pula akan menjadi bahan makanan bagi larva-larva ini untuk membesar.

Peringkat larva adalah peringkat yang paling agresif dimana larva-larva ini akan memakan bahan-bahan organik terutama yang sedang mereput dengan lahapnya. BSF akan melalui 6 peringkat tumbesaran di peringkat larva dalam tempoh 10 ke 14 hari. Pada peringkat ini, kulit larva berwarna putih kekuningan.

Apabila melepasi instar yang ke 6, larva akan memasuki peringkat pre pupa. Kulit pre pupa mula nampak lebih gelap dan keperangan. Pre pupa akan mula mencari tempat yang kering untuk berteduh dan mula membentuk pupa. Tiada makanan atau minuman diperlukan dalam tempoh penghasilan pupa.

Dalam tempoh 2 minggu pupa yang telah matang akan bertukar menjadi BSF dewasa. BSF dewasa juga tidak makan dan hanya akan bergantung kepada lemak yang disimpan semasa diperingkat larva.



POTENSI TERNAKAN BSF

Memandangkan BSF merupakan agen semulajadi dalam alam sekitar yang mempercepatkan penguraian dan pereputan bahan organik, potensi serangga ini telah dikenalpasti bagi membantu mengurangkan masalah pembuangan sisa makanan dan bahan buangan organik dari pelbagai industri.

Larva BSF dikatakan mampu untuk makan sebanyak 5 kali ganda berat badannya sehari!
Selain mempunyai "mesin penguraian semulajadi" yang pantas dan cekap. Larva BSF telah digunakan dalam industri cendawan untuk melupuskan bongkah-bongkah yang terpakai.

Konsep zero waste ini memberi satu value added dalam rantaian industri cendawan dimana bongkah yang terpakai dijadikan makanan kepada larva BSF.

Larva yang telah mencapai tahap matang untuk bertukar kepada pupa akan mula boleh dituai untuk dijual sebagai sumber protin dan lemak kepada ternakan seperti ayam, itik, ikan dan sebagainya.

Larva BSF mempunyai 40 hingga 44% protin yang sesuai untuk pertumbuhan haiwan ternakan dan ianya lebih murah berbanding makanan ternakan yang diimport dan diproses.


Larva BSF bukan sekadar sumber protin yang baik untuk ternakan , malah ianya murah dan mesra alam.


Secara tidak langsung penggunaan larva BSF dapat menyelesaikan masalah buangan sisa seperti bongkah cendawan agar dapat diuruskan dengan baik; malah dapat menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha.



ANCAMAN BSF 


Larva lalat askar hitam (BSF) adalah perosak kepada kelulut dan turut merupakan ancaman kepada tanaman cendawan jika tindakan membasmi serangan tidak diambil sewajarnya.

Serangan BSF yang dasyat yang berlaku pada industri kelulut adalah pada tahun 2016 yang melibatkan beratus-ratus log kelulut. Serangan berlaku pada bulan ramadhan dan suhu persekitaran pada waktu itu mencecah 40 darjah celcius.

Kejadian serangan yang melibatkan kerugian kepada penternak ini telah melibatkan kajian pelbagai pihak bagi membuat tidakan kawalan dan langkah berjaga-jaga agar serangan sebegini tidak berulang lagi.

Kita perlu tahu bahawa lalat BSF betina mempunyai ovipositor yang tersangat halus yang boleh memanjang dan memendik bagi meletakkan telur-telur dibahagian ruang terbuka atau rekahan yang berdekatan dengan sumber makanan untuk pembesaran larvanya kelak.

BSF ini telah wujud secara semulajadi di dalam persekitaran dan merupakan serangga yang membantu mengembalikan nutrien hasil dari penguraian dan pereputan bahan organik kembali kepada tanah.

Sehubungan dengan itu, kita perlu beradaptasi dengan membuat kawalan yang perlu bagi mengelak serangga ini menjadi ancaman kepada insdustri yang sedang kita ceburi.

Di bawah ini akak kongsi maklumat bergambar untuk tatapan semua.


Ovipositor yang terdapat pada BSF betina


Ovipositor yang halus digunakan untuk meletakkan telur


BSF jantan


Larva BSF menyerang koloni kelulut


Larva BSF yang dijumpai dalam kantung madu kelulut 


Salah seekor dari BSF dewasa yang ditemui dalam bilik suntikan benih cendawan


Larva BSF dalam bongkah cendawan tiram


Larva BSF membuat lorong laluan dalam bongkah cendawan


Larva BSF akan mengorek dan memakan media dan memusnahkan miselium cendawan


Beberapa ekor larva BSF dalam bongkah cendawan


Akak berharap semoga artikel ringkas ini memberi sedikit panduan buat semua. Aamiin


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

22/12/19











APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...