Kali ini akak nak kongsi sedikit lagi pasal tanaman cendawan. Kalau diperhatikan dalam penanaman cendawan, kita perlu memahami keperluan asas untuk pertumbuhan cendawan. Menanam cendawan tidak sama macam kita tanam sayur-sayuran. Tanaman cendawan ini memerlukan kelembapan persekitaran, pengaliran udara yang baik, cahaya yang tertentu serta suhu yang rendah.
Kali ini kita cuba fahami "Apakah pengaruh karbon dioksida dan oksigen terhadap tumbesaran cendawan.
Cendawan memerlukan kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang berbeza pada peringkat pertumbuhan yang berbeza. Kepekatan karbon dioksida selain suhu dan kelembapan adalah diantara diantara faktor kritikal dalam memaksimakan pengeluaran hasil cendawan.
Semasa pertumbuhan maisilium dalam bongkah media (fasa vegetatif), proses respirasi (pernafasan) oleh maisilium menyebabkan kepekatan karbon dioksida meningkat. Kepekatan karbon dioksida yang lebih tinggi berbanding kepekatan oksigen, menggalakkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman.
Namun, pada peringkat reproduktif, kepekatan karbon dioksida yang tinggi akan memberikan impak yang negatif kepada pertumbuhan cendawan terutama semasa pengeluaran primodia (pinhead).
Peringkat pertumbuhan primodia adalah peringkat yang paling sensitif dalam carta aliran pertumbuhan cendawan. Bekalan oksigen dan kelembapan yang tinggi, suhu yang rendah serta sedikit kehadiran cahaya amat diperlukan bagi memastikan pembentukan janabuah (cendawan).
Kepekatan karbon dioksida yang tinggi pada peringkat primodia akan memberi kesan kepada pembentukan janabuah. Batang cendawan akan tumbuh memanjang dan kurus. Manakala bahagian tudung (pileus/cap) adalah kecil serta tidak akan berkembang dengan baik dan berbentuk seperti trompet (bagi cendawan tiram). Penghasilan spora (basidiospora) juga terhalang!
Ketika ini pengaliran udara yang baik amat penting untuk meningkatkan bekalan oksigen serta mengurangkan karbon dioksida bagi pertumbuhan cendawan yang baik.
Penurunan paras karbon dioksida dan meningkatkan paras oksigen amat perlu semasa pembentukan serta perkembangan primodia diikuti dengan pengurangan suhu serta peningkatan kelembapan udara. Cendawan memerlukan oksigen bagi menghasilkan tenaga, sama seperti manusia serta benda hidup yang lain! 😊
Kandungan kepekatan karbon dioksida diudara boleh disukat dan dilaraskan bagi menepati keperluan dalam penanam cendawan.
Meter yang boleh digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida di udara.
Jika ingin membaca kenapa cendawan memerlukan kelembapan, sila klik disini.
Jika ingin membaca faktor yang mempengaruhi pertumbuhan cendawan, sila klik disini.
#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
17/2/2020
No comments:
Post a Comment