Showing posts with label Nanas. Show all posts
Showing posts with label Nanas. Show all posts

Tuesday, December 1, 2020

NANAS PUN KENA SUNBURN!!!

Buah nanas yang terdedah kepada suhu dan pancaran matahari yang tinggi yang lama dan kerap terutama diperingkat kemasakan buah, akan mudah menghadapi risiko melecur  "sunburn" atau "fruit scorching". Ini secara langsung akan menyebabkan kerosakan pada buah dan menyebabkan ia tidak sesuai dipasaran.

Kerosakan akibat panahan cahaya matahari yang melampau (solar stress) akan menyebabkan tisu pada buah kulit buah nanas akan menjadi lemah dan menyebabkan kerosakan pada buah. Kerosakan yang berlaku pada isi buah berlaku apabila panahan haba yang tinggi, mengakibatkan isi nanas menjadi "masak" dan merosakkan buah. Keadaan ini akan menyebabkan serangan sekunder dari kulat dan perosak pada isi buah. 

    Kesan cahaya dan kepanasan matahari  
                   pada buah nanas MD2


Bagi mengurangkan kesan "sunburn" ini, beberapa cara dipraktikkan oleh petani. Ada yang menyarungkan sarung kertas atau kain pada buah yang sudah hampir matang, ada yang menggunakan piring polisterin yang dipasang pada jambul buah nanas, malah ada yang mengikut daun-daun nanas pada buah nanas. Kesan melecur pada kulit buah nanas ini juga dapat dikurangkan sekiranya dibaluti atau dilindungi oleh rumpai pada keliling pokok nanas berkenaan. 


Namun, kaedah-kaedah berkenaan menyebabkan penggunaan tenaga buruh yang tinggi serta memakan masa.

Kaedah yang paling berkesan dan mudah ialah, pokok nanas ditutup dengan jaring (sekurang-kurangnya 30%) atau kain bagi melindungi kepanasan dari sinaran matahari dan seterusnya dapat mengurangkan kerosakan pada buah nanas. 

     Penggunaan jaring diatas pokok nanas        bagi mengelak kesan sunburn. 

Selain menggunakan jaring bagi mengurangkan kesan panahan cahaya matahari, ada pengusaha tanaman nanas di Queensland menggunakan "sun block" berasaskan batu kapur (limestone) dengan menyemburkannya kepada buah nanas bagi mengelak lecuran pada kulit buah nanas. 


#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

1/12/2020 








Sunday, September 8, 2019

BUAH NANAS ADALAH KUMPULAN BUAH-BUAH BERI YANG BERTAUT RAPAT?

Ramai yang tidak mengetahui bahawa sebiji buah nanas adalah terhasil dari kumpulan buah-buah beri yang tersusun secara rapat dalam bentuk lingkaran. 🍍🍍🍍

Bunga nanas adalah terdiri dari kumpulan purata 150 kuntum bunga. Bunga-bunga ini terbentuk dibahagian tengah susunan daun dan pembentukannya bermula dari bahagia bawah ke atas dan akhirnya di akhiri dengan pembentukan jambak nanas.


Bunga-bunga ini juga akan mula mekar bermula dari bahagian bawah jambak bunga. Lima ke sepuluh kuntum bunga akan berkembang setiap hari bermula jam 6 ke 8 pagi.  Proses ini akan berakhir dalam 15 ke 25 hari bergantung kepada bilangan kuntum bunga dan keadaan cuaca.


Setiap kuntum bunga akan menghasilkan sebiji buah beri yang berbentuk kon yang terhasil dari satu ovari. Keseluruhan buah nanas terhasil dari himpunan 50 hingga 200 biji buah beri yang bergabung antara satu sama lain dan melekat pada batang empulur.


Bunga nanas mempunyai kedua organ pembiakan jantan dan betina dalam satu kuntum. Setiap biji buah beri berkembang dari sekuntum bunga yang mempunyai satu bract, tiga kelopak daun (sepals), tiga kelopak bunga (petals), enam stamen (tiga pasang), tiga stigma dan satu ovari. Di dalam satu ovari terdapat tiga karpel (carpels).


Kelopak bunga nanas berwarna putih dipangkalnya dan berwarna seakan warna ungu kebiruan dibahagian atas. Bentuk kelopak bunga nanas seakan bentuk lidah. Setiap kuntum bunga ini dilindungi dengan bract yang tebal.


Bahagian anther bunga nanas menghala ke bahagian dalam mengandungi bijian debunga yang melekit. Maka ia sukar untuk diterbangkan oleh angin. Nektar pula dihasilkan dari tiga kelenjar nektar yang terletak dalam ovari.


Pada kebiasaannya buah nanas terhasil dari percantuman buah-buah beri tanpa melalui proses persenyawaan (parthenocarpic). Pendebungaan dan pesenyawaan untuk penghasilan biji nanas hanya diperlukan dalam kerja-kerja pembiakbakaan. Pendebungaan dan persenyawaan bunga nanas tidak diperlukan untuk penanaman anak pokok nanas, malahan bagi syarikat yang memproses buah nanas, penghasilan biji nanas dalam buah nanas akan menurunkan kualiti buah nanas tersebut...🍍🍍🍍

Wallahualam.

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...