Showing posts with label Durian. Show all posts
Showing posts with label Durian. Show all posts

Friday, July 10, 2020

POTENSI KULIT DURIAN; APA YANG KITA PERLU TAHU TENTANGNYA?

Kita sudah serasi dengan nama durian dan kulitnya yang berduri. Bergantung kepada jenis durian, peratus yang boleh dimakan pada buah durian adalah hanya diantara 28 ke 30% sahaja. Malah ada durian kampung yang mempunyai biji yang besar dan peratus yang boleh dimakan tidak melebihi 25%. Ini bermakna dari sebiji durian, berat kulit adalah diantara 75 hingga 80%! Dan kulit durian menjadi bahan buangan pertanian yang tiada nilai.



Kulit durian mempunyai duri yang banyak yang mempunyai kapasiti yang tinggi dalam menyerap hentakan bagi melindungi isi durian serta semasamengurangkan kesan hentakan semasa buah durian gugur ke tanah.

Kini, kajian membuktikan bahawa selain nanas, hemp, jut, kenaf, pisang, fiber dari kulit durian juga berpotensi untuk dijadikan produk komoditi bernilai tinggi. Fiber dari kulit durian mempunyai kandungan selulos dan hemiselulos yang tinggi dan ianya stabil pada suhu yang tinggi sehingga 367 darjah celcius dan ini membolehkan kulit durian diproses melalui polymerization dalam suhu yang tinggi.

Akak rasa ini adalah diantara peluang Dan ruang yang kita boleh terokai bagi menjana ekonomi penanam durian dimasa hadapan. Wallahulam.

# BahPembIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

10/7/2020

Saturday, June 27, 2020

DURIAN KURA-KURA (Durio testudinarium) TUMBUH DI PANGKAL POKOK

Durio testudinarium atau lebih dikenali sebagai durian kura-kura atau durian kakura ini banyak didapati di Negeri Sabah dan Sarawak.  Testudinarium merupakan bahasa Itali yang bermaksud kura-kura.


Buah durian kura-kura pada pangkal pokok. 

.
Ia mempunyai keunikannya tersendiri berbanding durian dari jenis yang lain. Buah durian kura-kura ini keluar dari pangkal pokok dan menyerupai kura-kura! Terdapat diantara 80 ke 100 biji buah durian dibahagian pangkal pokok durian tersebut. Subhanallah.

Putik bunga durian kura-kura


Jambak bunga durian kura-kura yang sudah mekar


Buah ini turut keluar dibatang pokok. Buahnya berbentuk bujur. Warna kulit buah sama dengan buah durian iaitu hijau kekuningan atau perang. Durian ini tidak mempunyai bau yang kuat.


Buah durian dipangkal dan batang pokok


Isi durian ini berwarna putih atau kuning dan mempunyai tekstur yang lembut. Isi durian ini sedikit lemak, sedikit manis dan sangat berair.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

27 /6/2020




Friday, April 24, 2020

DURIAN D172; BUAH DURIAN YANG TIDAK BERDURI

Akak merupakan antara peminat tegar buah durian. Namun atas faktor usia, akak cuba mengurangkan aktiviti "menjadi hantu durian" apabila musim durian tiba. I is terpaksa. Ha ha ha ha...

Apa yang akak ingin kongsi di sini ialah pada hari ini terdapat 137 varieti durian yang telah didaftar di bawah Pelindungan Varieti Tumbuhan di bawah Jabatan Pertanian Malaysia. Dan antara yang menarik ialah Durian Botak! Setahu akak, buah durian mendapat namanya dari duri-duri yang Pernah merasa makan buah durian botak?


Mr Alvin Ho Ten Fook, Pegawai Pertanian KU, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Serdang, Selangor memantau pertumbuhan buah durian botak di ladang komoditi Serdang. 


Buah durian D172 ini selain dipanggil durian botak, ia turut dikenali sebagai durian gondol dan durian tanpa duri. Durian ini sederhana besar, berbentuk bulat, kulitnya tidak berduri seakan kulit buah sukun.

Buah durian botak di pokok


Rupa bentuk kulit seakan kulit buah sukun


Buah durian botak yang tidak berduri


Kelihatan pecahan pangsa buah durian botak

Disebabkan buah durian ini tidak berduri, pengendalian dan pengangkutan buah lebih mudah berbanding buah durian yang berduri.

Isi durian ini berwarna kuning cair dan mempunyai rasa manis dan berlemak. Namun, aroma buah durian ini tidak berapa kuat berbanding durian yang lan.






Tidak banyak maklumat yang akak dapat cari tentang durian botak ini. Akak berharap akak akan dapat maklumat yang terperinci untuk akak kongsikan disini bersama pembaca.
In sya Allah. Semoga Allah permudahkan kelak.

Salam 1 Ramadhan 2020.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanian Malaysia

24 April 2020





Monday, December 23, 2019

KENAPA DURIAN (Durio zibethinus) GUGUR APABILA TELAH MASAK?

Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa apabila durian (Durio zibethinus) telah matang dan sesuai untuk dimakan akan gugur ke tanah tanpa perlu dijolok atau dikait? 

Pada kebiasaan, durian akan masak dan gugur pada waktu malam. Suhu yang tinggi pada waktu siang dan perubahan suhu yang rendah pada waktu malam, meningkatkan bilangan buah durian yang gugur. Dikatakan sejumlah 80% buah durian akan gugur pada waktu malam berbanding pada waktu siang. 



Apa yang berlaku apabila buah durian matang?

Pada buah durian yang telah matang, zon abscission dalam tangkai buah durian membengkak. Ketika ini, lapisan abscission (abscission layer) akan mula kelihatan. Pembentukan lapisan abscission ini dikatakan amat ketara pada varieti durian D24 dan sifat ini boleh dijadikan panduan index kematangan bagi buah varieti tersebut. 



Lapisan abscission yang yang membengkak pada tangkai buah durian 


Buah durian yang telah matang akan mempunyai lapisan abscission yang telah sempurna terbentuk mengelilingi tangkai buah. Lapisan yang telah sempurna terbentuk ini menunjukkan buah durian telah matang dan akan masak dalam masa terdekat.

Zon abscission buah durian pada buah yang masak akan melemahkan dan menyebabkan bahagian tangkai buah (peduncle) akan mula terpisah pada lapisan abscission. Buah durian telah masak ini akan lekang dari tangkai utama dan gugur dari pokok dengan bau yang sangat kuat.

Antara ciri yang lain yang dapat dilihat ialah garisan pangsa pada buah durian terutama pada bahagian bawah buah sudah jelas kelihatan menunjukkan buah durian telah hampir masak. 



Buah yang masak akan terpisah dai tangkai dan gugur ke atas tanah 


Negara Thailand mengamalkan memetik buah durian sebelum durian gugur. Mereka akan mengenalpasti buah yang matang dengan melihat lapisan abscission pada tangkai buah berkenaan. 


Buah yang telah dikenalpasti akan dipotong 3 ke 4 cm atau lebih dari bahagian atas lapisan abscission ini. Tangkai ini dipoting menggunakan pisau yang tajam atau scateurs. Untuk pokok yang tinggi, galah akan digunakan atau dengan memanjat pokok berkenaan. 

Semasa proses penuaian dilakukan, buah durian akan dielak dari jatuh ke atas tanah bagi mengelak kerosakan pada buah. Bakul yang diikat pada tali akan digunakan untuk membawa buah turun dari pokok. 

Buah yang telah dipetik, akan diperam. Buah ini akan mengambil masa lebih kurang 5 ke 7 hari untuk masak. Tanda-tanda buah telah masak ialah apabila baki tangkai yang dipotong telah dapat dipisahkan dari lapisan abscission.

Kaedah yang lain yang mereka gunakan ialah dengan mengikat tali pada setiap tangkai buah dan buah yang sudah masak akan tersangkut kepada tali tanpa gugur ke atas tanah. 




Buah-buah durian diikat dengan tali bagi mengelak gugur ke tanah.

Kini ada petani komersil yang telah mengambil inisiatif dengan memasang jaring dibawah pokok durian bagi menahan buah yang jatuh dari pokok agar tidak terhempap diatas tanah.


Penggunaan jaring bagi mengekal kualiti buah dan mengurangkan risiko kerosakan pada buah.



Sampai di sini dulu.....

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

23/12/19








Tuesday, November 12, 2019

ADAKAH KELULUT DAN LEBAH MERUPAKAN AGEN PENDEBUNGAAN YANG SESUAI BAGI TANAMAN DURIAN?

Pokok durian (Durio zibethinus Murr) mempunyai bunga jenis hemafrodit iaitu bunga yang lengkap mempunyai stigma dan stamen pada kuntum bunga yang sama. Bunga durian akan keluar dari tangkai pendek (corymbose) dan juga keluar dari dahan-dahan (cauliflorous).


Bunga durian adalah bunga jenis nokturnal yang mana bunga ini berkembang mekar pada waktu malam. Bunga durian akan mula terbuka pada lewat petang dan kembang sepenuhnya pada waktu senja. Serangga akan tertarik pada nektar yang dirembeskan dari bahagian bawah kelopak bunga.

Sebelum kelopak bunga berkembang, stigma telah matang (reseptif) dan mula bersedia untuk menerima kehadiran debunga bagi proses pendebungaan; namun kematangan debunga pada anter hanya berlaku lewat senja.

Ketika peringkat antesis, stigma akan bertukar kepada warna oren dan melekit bagi membolehkan debunga melekat pada stigma.  Sifat reseptif ini berlarutan sehingga pertengahan malam dan akan berkurangan keesokan harinya.



Memandangkan stigma dan stamen akan matang pada waktu yang berbeza, durian tidak melakukan pendebungaan sendiri! Pendebungaan durian memerlukan agen pendebungaan bagi membantu proses pendebungaan!

Debunga durian adalah berbentuk bulat, melekit dan bergumpal. Ini bermakna pendebungaan bagi tanaman durian kurang atau tidak akan dilakukan oleh angin.

Pendebungaan berbantu turut boleh dilakukan apabila hampir 25% dari jumlah bunga keseluruhan telah mekar. Pendebungaan menggunakan tangan dilakukan dengan menggunakan debunga dari varieti durian yang berbeza atau dari varieti yang sama dari pokok yang berbeza.

Masa yang optimum  dan merupakan waktu yang paling efektif bagi pendebungaan berbantu ialah bermula dari jam 6:30 petang ke jam 9:30 malam atau lebih lewat dari itu.

Agen pendebungaan yang paling sesuai untuk pendebungaan durian dan aktif pada waktu malam adalah sang kelawar! 😍.

Kelulut dan lebah aktif pada waktu siang. Serangga ini turut akan mendapatkan nektar dari bunga durian. Namun kehadiran mereka mungkin tidak dapat atau kurang membantu proses pendebungaan kerana debunga durian hanya akan matang pada lewat senja atau waktu malam!


Terima kasih pn Fiza Fish diatas perkongsian gambar dan maklumat tentang tanaman durian.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Friday, September 6, 2019

KENAPA BENTUK BUAH DURIAN BELANDA (Annona muricata) BENGKOK?

Bentuk buah durian belanda yang sempurna adalah berbentuk seperti jantung. Namun banyak terdapat buah durian belanda yang kita jumpa dipasar-pasar (terutamanya) berbentuk bengkok. Keadaan buah yang bengkok ini juga dapat kita lihat pada buah durian.

Kenapa ia berbentuk begitu?

Keadaan ini terjadi disebabkan oleh proses pendebungaan pada stigma tidak sempurna. Maka ovul tidak membesar membentuk biji dan menyebabkan ruang tersebut kosong dan tidak terisi. Dan ini menyebabkan bentuk buah bengkok.

Kita perlu tahu bahawa bunga durian belanda adalah bersifat hermafrodit iaitu bahagian pembiakan jantan (stamen) dan betina (stigma) berada pada kuntum bunga yang sama.




Bunga durian belanda juga bersifat dichogamous protogynous dimana bunga jantan dan bunga betina mempunyai fasa kematangan yang berbeza! Bunga betina akan matang terlebih dahulu dan diikuti oleh kematangan bunga jantan.





Fasa kematangan bunga betina bermula pada pukul 4 hingga 5 petang. Ketika ini kelopak bunga akan mula terbuka sedikit dan stigma mula lembab dan melekit dan telah bersedia untuk menerima debunga (waktu reseptif).  Keadaan reseptif ini berlaku 3 ke 4 jam selepas antesis. Namun, stamen masih lagi belum matang untuk membebaskan debunganya.

Pada ketika ini bunga durian belanda akan mengeluarkan bau yang wangi bagi menarik agen pendebungaan terutamanya kumbang kecil bagi membantu proses pendebungaan.

Stamen (bunga jantan) terdapat beberapa lapisan mengelilingi ovari. Ia mulai matang diwaktu malam antara jam 8 hingga 10 malam. Filamen stamen pendek dan ia mempunya debunga yang banyak.

Debunga akan mula gugur apabila kelopak bahagian luar bunga terbuka dan mula gugur. Debunga ini terletak pada hujung anther dan berwarna kekuningan.

Didalam keadaan biasa, semut dan kumbang kecil adalah merupakan agen pendebungaan yang akan membawa debunga dari bunga yang lain untuk didebungakan kepada bunga yang lain. Pendebungaan yang kurang lengkap, akan menyebabkan persenyawaan tidak lengkap berlaku ke seluruh stigma dan menyebabkan buah mempunyai bentuk yang tidak sempurna atau bengkok seperti bentuk ginjal.

Jika kita dapat lihat pada buah durian belanda yang telah membentuk dan matang, setiap satu spike yang terdapat pada kulit buah berkenaan adalah mewakili setiap satu stigma yang telah matang.


Fenomena buah bengkok juga banyak berlaku pada buah durian....kan?

Terima kasih pn Fiza Fish diatas perkongsian maklumat dan sudi membantu dalam proses pengambilan gambar di lokasi.

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

6/9/2019

Tuesday, September 3, 2019

BENARKAH MINUM AIR DARI KULIT DURIAN BOLEH KURANGKAN PANAS BADAN SELEPAS MAKAN DURIAN?

Jika manggis (Garcinia mangostana) terkenal sebagai ratu buah, durian (Durio zibethinus) pula dikenali sebagai raja buah!

Buah durian dikenali kerana mengeluarkan bau yang amat kuat dan boleh dihidu dari jauh. Ada yang menyukai bau ini, malah ada yang tidak tahan dengan bau yang kuat ini.

Kajian saintifik menunjukkan lebih dari 50 jenis campuran sebatian kimia yang mudah meruap yang terdapat pada durian. Sebatian-sebatian ini ada yang berbau manis seakan karamel, berbau manis buah, berbau busuk dan berbau seakan bau daging.

Sebatian yang paling banyak terdapat pada durian adalah terdiri dari ester dan sulfur. Analisa melalui mesin kromatograf gas mendapati, terdapat kandungan sulfur seperti ethanethiol, dan metanethiol yang memberikan bau yang kuat pada durian. Cairan Ethanethiol merupakan antara bahan yang dicampur dalam tong yang mengandungi gas butane atau propane bagi mengesan kebocoran gas!

Aroma yang kuat dari sebatian ini terhasil buah durian yang telah matang adalah untuk menarik haiwan seperti kelawar, burung-burung, tupai, monyet dan gajah untuk makan buah durian dan menyebarkan biji buah berkenaan.

Masyarakat di Malaysia mengamalkan minum air yang diletak dalam pangsa/kulit durian bagi mengurangkan kepanasan badan selepas makan buah durian. Bau yang melekat pada tangan juga dikatakan akan berkurangan jika membasuh tangan menggunakan air yang direndam atau disiram dari pangsa/kulit durian ini.


Air kosong diisi dalam pangsa dan diminum


Air dilalukan pada kulit durian untuk membasuh tangan.

Kajian oleh penyelidik dari Indonesia, O. Liang Hie dan M. Soemartini mendapati bahawa kulit durian mengandungi aldehid  iaitu 5-hydroxy-methyl-furfural (5-HMF) yang boleh meneutralkan thiols (sulfur) yang terdapat pada kulit durian. Dan ini menyebabkan bau durian berkurangan atau tiada.

Amalan memotong tangkai buah durian juga dilakukan bagi mengurangkan bau yang terdapat dalam kereta akibat membawa buah durian. Bau ini akan berkurangan dan akan mudah cepat hilang.


Tangkai durian diselitkan pada lubang penghawa dingin dalam kereta bagi membuang bau durian.

Semoga tip-tip yang disertakan dapat memberi manfaat buat semua. Jika tuan/puan ada maklumat tambahan,  alu-alukan perkongsian ilmu di sini. Terima kasih.
Wallahualam....

Untuk membaca artikel lain mengenai durian, sila klik di sini dan di sini.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

3/9/19

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...