Monday, December 23, 2019

KENAPA DURIAN (Durio zibethinus) GUGUR APABILA TELAH MASAK?

Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa apabila durian (Durio zibethinus) telah matang dan sesuai untuk dimakan akan gugur ke tanah tanpa perlu dijolok atau dikait? 

Pada kebiasaan, durian akan masak dan gugur pada waktu malam. Suhu yang tinggi pada waktu siang dan perubahan suhu yang rendah pada waktu malam, meningkatkan bilangan buah durian yang gugur. Dikatakan sejumlah 80% buah durian akan gugur pada waktu malam berbanding pada waktu siang. 



Apa yang berlaku apabila buah durian matang?

Pada buah durian yang telah matang, zon abscission dalam tangkai buah durian membengkak. Ketika ini, lapisan abscission (abscission layer) akan mula kelihatan. Pembentukan lapisan abscission ini dikatakan amat ketara pada varieti durian D24 dan sifat ini boleh dijadikan panduan index kematangan bagi buah varieti tersebut. 



Lapisan abscission yang yang membengkak pada tangkai buah durian 


Buah durian yang telah matang akan mempunyai lapisan abscission yang telah sempurna terbentuk mengelilingi tangkai buah. Lapisan yang telah sempurna terbentuk ini menunjukkan buah durian telah matang dan akan masak dalam masa terdekat.

Zon abscission buah durian pada buah yang masak akan melemahkan dan menyebabkan bahagian tangkai buah (peduncle) akan mula terpisah pada lapisan abscission. Buah durian telah masak ini akan lekang dari tangkai utama dan gugur dari pokok dengan bau yang sangat kuat.

Antara ciri yang lain yang dapat dilihat ialah garisan pangsa pada buah durian terutama pada bahagian bawah buah sudah jelas kelihatan menunjukkan buah durian telah hampir masak. 



Buah yang masak akan terpisah dai tangkai dan gugur ke atas tanah 


Negara Thailand mengamalkan memetik buah durian sebelum durian gugur. Mereka akan mengenalpasti buah yang matang dengan melihat lapisan abscission pada tangkai buah berkenaan. 


Buah yang telah dikenalpasti akan dipotong 3 ke 4 cm atau lebih dari bahagian atas lapisan abscission ini. Tangkai ini dipoting menggunakan pisau yang tajam atau scateurs. Untuk pokok yang tinggi, galah akan digunakan atau dengan memanjat pokok berkenaan. 

Semasa proses penuaian dilakukan, buah durian akan dielak dari jatuh ke atas tanah bagi mengelak kerosakan pada buah. Bakul yang diikat pada tali akan digunakan untuk membawa buah turun dari pokok. 

Buah yang telah dipetik, akan diperam. Buah ini akan mengambil masa lebih kurang 5 ke 7 hari untuk masak. Tanda-tanda buah telah masak ialah apabila baki tangkai yang dipotong telah dapat dipisahkan dari lapisan abscission.

Kaedah yang lain yang mereka gunakan ialah dengan mengikat tali pada setiap tangkai buah dan buah yang sudah masak akan tersangkut kepada tali tanpa gugur ke atas tanah. 




Buah-buah durian diikat dengan tali bagi mengelak gugur ke tanah.

Kini ada petani komersil yang telah mengambil inisiatif dengan memasang jaring dibawah pokok durian bagi menahan buah yang jatuh dari pokok agar tidak terhempap diatas tanah.


Penggunaan jaring bagi mengekal kualiti buah dan mengurangkan risiko kerosakan pada buah.



Sampai di sini dulu.....

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

23/12/19








No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...