Saturday, December 21, 2019

BLACK SOLDIER FLY (BSF); ANTARA POTENSI DAN ANCAMAN

Lalat askar hitam (Hermetia illucens) atau lebih dikenali sebagai black soldier fly (BSF) merupakan serangga yang semulajadinya membantu mempercepatkan proses penguraian dan pereputan dalam ekosistem. Kalau bahasa orang kampung, larva BSF ini dipanggil sebagai "ulat tahi". Boleh tanya pengalaman orang dulu-dulu (En Sufian Suri pun boleh beri maklumat berkaitan 😂😂😂) yang menggunakan tandas cangkung di kampung-kampung.


Larva lalat askar hitam (black soldier fly)


BSF tidak akan menyerang manusia atau menyebarkan penyakit. Serangga ini dikatakan dapat menyekat (inhibit) dan mengawal pembiakan lalat rumah (Musca domestica) pada kawasan yang mereput. Larva BSF turut membantu memakan kulat yang menyebabkan bau busuk yang tumbuh pada bahan organik.


KITARAN HIDUP LALAT ASKAR HITAM

BSF melalui 4 peringkat pembesaran iaitu peringkat telur, peringkat larva, pupa dan peringkat dewasa.


Kitar hidup lalat askar hitam (BSF)


BSF dewasa mempunyai riwayat hidup hanya selama 5 ke 8 hari sahaja. BSF dewasa hanya menghabiskan masanya untuk mencari pasangan dan mengawan. BSF betina mampu bertelur antara 600 ke 800 biji telur pada satu-satu masa.

Telur ini biasanya akan diletakkan pada rekahan kayu, batu atau pada permukaan yang berdekatan dengan kawasan yang lembab dan mempunyai bahan organik yang sedang mereput. Telur ini akan mula menetas dalam tempoh 4 hari.

Larva memerlukan keadaan yang basah bagi memastikan kulitnya tidak mudah kering dan terhidrat. Bahan-bahan organik yang sedang mereput pula akan menjadi bahan makanan bagi larva-larva ini untuk membesar.

Peringkat larva adalah peringkat yang paling agresif dimana larva-larva ini akan memakan bahan-bahan organik terutama yang sedang mereput dengan lahapnya. BSF akan melalui 6 peringkat tumbesaran di peringkat larva dalam tempoh 10 ke 14 hari. Pada peringkat ini, kulit larva berwarna putih kekuningan.

Apabila melepasi instar yang ke 6, larva akan memasuki peringkat pre pupa. Kulit pre pupa mula nampak lebih gelap dan keperangan. Pre pupa akan mula mencari tempat yang kering untuk berteduh dan mula membentuk pupa. Tiada makanan atau minuman diperlukan dalam tempoh penghasilan pupa.

Dalam tempoh 2 minggu pupa yang telah matang akan bertukar menjadi BSF dewasa. BSF dewasa juga tidak makan dan hanya akan bergantung kepada lemak yang disimpan semasa diperingkat larva.



POTENSI TERNAKAN BSF

Memandangkan BSF merupakan agen semulajadi dalam alam sekitar yang mempercepatkan penguraian dan pereputan bahan organik, potensi serangga ini telah dikenalpasti bagi membantu mengurangkan masalah pembuangan sisa makanan dan bahan buangan organik dari pelbagai industri.

Larva BSF dikatakan mampu untuk makan sebanyak 5 kali ganda berat badannya sehari!
Selain mempunyai "mesin penguraian semulajadi" yang pantas dan cekap. Larva BSF telah digunakan dalam industri cendawan untuk melupuskan bongkah-bongkah yang terpakai.

Konsep zero waste ini memberi satu value added dalam rantaian industri cendawan dimana bongkah yang terpakai dijadikan makanan kepada larva BSF.

Larva yang telah mencapai tahap matang untuk bertukar kepada pupa akan mula boleh dituai untuk dijual sebagai sumber protin dan lemak kepada ternakan seperti ayam, itik, ikan dan sebagainya.

Larva BSF mempunyai 40 hingga 44% protin yang sesuai untuk pertumbuhan haiwan ternakan dan ianya lebih murah berbanding makanan ternakan yang diimport dan diproses.


Larva BSF bukan sekadar sumber protin yang baik untuk ternakan , malah ianya murah dan mesra alam.


Secara tidak langsung penggunaan larva BSF dapat menyelesaikan masalah buangan sisa seperti bongkah cendawan agar dapat diuruskan dengan baik; malah dapat menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha.



ANCAMAN BSF 


Larva lalat askar hitam (BSF) adalah perosak kepada kelulut dan turut merupakan ancaman kepada tanaman cendawan jika tindakan membasmi serangan tidak diambil sewajarnya.

Serangan BSF yang dasyat yang berlaku pada industri kelulut adalah pada tahun 2016 yang melibatkan beratus-ratus log kelulut. Serangan berlaku pada bulan ramadhan dan suhu persekitaran pada waktu itu mencecah 40 darjah celcius.

Kejadian serangan yang melibatkan kerugian kepada penternak ini telah melibatkan kajian pelbagai pihak bagi membuat tidakan kawalan dan langkah berjaga-jaga agar serangan sebegini tidak berulang lagi.

Kita perlu tahu bahawa lalat BSF betina mempunyai ovipositor yang tersangat halus yang boleh memanjang dan memendik bagi meletakkan telur-telur dibahagian ruang terbuka atau rekahan yang berdekatan dengan sumber makanan untuk pembesaran larvanya kelak.

BSF ini telah wujud secara semulajadi di dalam persekitaran dan merupakan serangga yang membantu mengembalikan nutrien hasil dari penguraian dan pereputan bahan organik kembali kepada tanah.

Sehubungan dengan itu, kita perlu beradaptasi dengan membuat kawalan yang perlu bagi mengelak serangga ini menjadi ancaman kepada insdustri yang sedang kita ceburi.

Di bawah ini akak kongsi maklumat bergambar untuk tatapan semua.


Ovipositor yang terdapat pada BSF betina


Ovipositor yang halus digunakan untuk meletakkan telur


BSF jantan


Larva BSF menyerang koloni kelulut


Larva BSF yang dijumpai dalam kantung madu kelulut 


Salah seekor dari BSF dewasa yang ditemui dalam bilik suntikan benih cendawan


Larva BSF dalam bongkah cendawan tiram


Larva BSF membuat lorong laluan dalam bongkah cendawan


Larva BSF akan mengorek dan memakan media dan memusnahkan miselium cendawan


Beberapa ekor larva BSF dalam bongkah cendawan


Akak berharap semoga artikel ringkas ini memberi sedikit panduan buat semua. Aamiin


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

22/12/19











1 comment:

  1. Kalau ingin belajar dan jadi pakar dalam ternak bsf boleh whatsapp saya. Http://bit.ly/ternakbsfl

    ReplyDelete

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...