Ya la... masa tu rumah akak dekat dengan sungai. Jadi, masa musim siput sedut, banyaklah siput sedut yang kami dapat kutip. Tambahan pula mak akak memang terkenal dengan masakannya yang sedap dan penuh kasih sayang, semakin rancaklah kami makan. (Semoga Allah sentiasa merahmati mak, Aamiin). Ada yang ada pengalaman mencari dan mengutip siput sedut?
Inilah siput sedut....
Siput sedut (Cerithidea obtusa) dari famili Potamididae adalah sejenis siput yang hidup di kawasan tanah lumpur yang mempunyai bahan organik yang tinggi ditepi tebing sungai, kawasan paya dan juga ditemui kawasan laut. Siput ini sering ditemui terutama dibawah batang dan akar-akar pokok bakau serta pokok-pokok yang melampai di dalam sungai bagi mendapatkan makanan dan tempat teduhan.
Siput sedut mempunyai warna merah pada badan dan "belalainya"
Siput ini akan memakan sisa-sisa organik dan alga halus yang melekat pada pokok bagi mendapatkan nutrien. Ia akan mengikis permukaan alga dari permukaan tumbuhan mengunakan radula (gigi-gigi halus). Siput dari famili Potamididae selalu dijadikan sebagai penanda aras (bio indicators) bagi melihat pencemaran ecologi dalam ekosistem.
Haaa.... inilah radula siput sedut.
Siput sedut turut mampu memanjat dan melekat pada permukaan yang tinggi terutama semasa air pasang. Ia turut akan melepaskan cengkaman pada pokok dan membenarkan badannya jatuh semula ke dalam lumpur.
Siput sedut yang sedang memanjat pokok
Nak makan siput sedut ni, kena ada caranya.. Seni cara makan yang unik ni sebenarnya menambah nikmat pengemar siput sedut.
Masa zaman kanak-kanak, akak, adik-adik dan kawan-kawan akan menyauk siput-siput ini dibawah pokok-pokok rumpai yang melampai menutup tepi tebing sungai yang berlumpur. Kami menggunakan tapis plastik yang besar bagi mengaut keluar siput-siput bersama lumpur atau istilah lainnya; selut.
Selepas mengaut, tapis plastik tadi diayak dalam air sungai bagi mengasingkan kotoran lumpur dari siput-siput. Adakalanya kami turut dapat menangkap anak-anak udang yang turut bersembunyi dibawah teduhan tersebut dan adakalanya ikan tilan!
Setelah kami mencuci lumpur yang melekat pada cengkerang siput dengan air sungai yang mengalir, kami akan usung siput bersama-sama balik ke rumah. Berat juga membawa siput-siput segar balik dari sungai dengan menaiki puluhan anak tangga! Tapi kami gembira dapat membawa pulang hasil tangkapan.
Siput sedut yang telah dikutip
Sampai di rumah, kami masukkan siput sedut tadi ke dalam besen yang besar. Kami cuci sekali lagi siput-siput tersebut dengan air yang bersih. Setelah air yang kotor dibuang, kami akan mengisi air bersih ke dalam besen yang telah diletak dengan siput sehingga sama paras dengan siput. Kami turut akan masukkan cili kering dan sedikit garam agar siput-siput tersebut memuntahkan lumpur-lumpur yang ada dalam badan mereka.
Selepas itu, kami akan tutup mulut besen tersebut dengan talam yang besar dan ditindih dengan batu yang berat untuk mengelakkan siput-siput tadi memanjat dan keluar dari besen. Siput-siput ini akan direndam semalaman bagi membuang bau lumpur dan memudahkan proses mencuci cengkerang siput.
Keesokan harinya, kami akan buka dan mencurahkan air yang telah dikotori dengan "muntah" siput-siput berkenaan. Kami bilas dengan air yang bersih.
Selepas itu, kami akan mula mengambil siput itu satu per satu dan mula menakik hujung muncung cengkerang yang tajam pada siput sedut. Hujung muncung ini perlu ditakik sehingga mendedahkan sedikit isi siput. Jika tidak, isi siput sukar disedut keluar setelah ia masak. Semasa dan selepas hujung siput ditakik pun, siput-siput ini masih mampu merayap keluar dari bekas! Ha ha ha... Maka bekas-bekas ini perlu sentiasa diawasi..
Menakik muncung siput sedut menggunakan pisau besar.
Muncung siput sedut yang ditakik dan dibuang
Hmmm....Masih teringat betapa sedapnya mak masak siput sedut masak lemak dengan labu. Santan perlu pekat dan menggunakan daun kunyit serta isi kunyit yang segar. Kelapa segar dikukur dan diperah santannya dengan penuh kasih sayang. Akak dan adik-adik akan usung siput sedut hasil masakan air tangan mak untuk meratah diatas pangkin belakang rumah yang dipayungi dengan pokok mempelam yang besar sambil menikmati angin segar yang bertiup dari Sungai Pelus......
Pppeeerrrggghhhh....nikmat sangat.....
Di sini akak kongsi resepi siput sedut dari Hazila Blogspot buat pembaca sekelian.
Hmmmmm..... nampak menyelerakan masakan puan Hazila ni..
Resepinya seperti dibawah ya....
SIPUT SEDUT MASAK LEMAK
Bahan bahan
1/2 kilo siput sedut - potong bahagian belakang dan rendam seketika ( saya beli siput yg siap dibersihkan dari lumpur)
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 helai daun kunyit - disiat
1 labu bawang besar *
2 biji cili merah besar *
5 biji cili padi *
2 cm kunyit *
2 batang serai - ketuk
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
Cara cara
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan ke dalam periuk bersama sama santan cair.
2. Kemudian masukkan siput sedut dan masak hingga mendidih.
3. Masukkan serai, daun kunyit dan asam gelugor. Biarkan ia mereneh seketika dengan api perlahan.
4. Masukkan garam dan santan pekat, masak sebentar dan kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah minyak.
5. Bila sudah mendidih, bolehlah matikan api.
#BahpembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
21/12/19
Seronoknya, teringin nak ada pengalaman cari siput sedut. Kalau sis nak pergi lagi, boleh ke kalau saya nak joint ðŸ˜
ReplyDelete