Showing posts with label madu. Show all posts
Showing posts with label madu. Show all posts

Wednesday, January 1, 2020

EXTRAFLORAL NECTARIES PADA POKOK AKASIA (Acacia mangium)

Akak berpeluang untuk melawat ladang kelulut K-Miss yang terletak di Selangor Fruit Valley bersama rakan-rakan akak yang lain. Ladang kelulut ini terletak ditengah-tengah hutan pokok-pokok akasia jenis Acacia mangium. Akak kagum dengan usaha team anak-anak muda seperti encik Abdul Rahman dan encik Sazali yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan projek kelulut ini disini. Akak doakan agar mereka terus maju sehingga menembus pasaran antarabangsa. Aamiin.


Rombongan yang turut menyertai lawatan ke ladang K-MISS di Selangor Fruit Valley


En Abdul Rahman yang bertanggungjawab memberi taklimat pada hari lawatan.


Pokok akasia merupakan pokok yang mampu tumbuh dengan cepat dan subur dikawasan tanah lapang walaupun tanah berkenaan mempunyai kandungan nutrien yang rendah dan kurang bekalan air. Ia merupakan spesis pokok yang mampu membantu memulihkan kesuburan tanah dengan keupayaan untuk mengikat nitrogen dalam tanah. Pokok ini turut mengembalikan kandungan karbon dalam tanah melalui daun-daun dan ranting yang gugur diatas tanah.


Bunga akasia, sumber debunga buat agen pendebungaan 


Buah akasia yang mengandungi biji benih


Pokok akasia bertindak dalam mengurangkan pencemaran kerana ia mampu untuk menyerap logam berat dalam tanah.  Kayu akasia juga berpotensi untuk ditebang bagi menghasilkan produk berkaitan kayu-kayuan seperti perabut dan sebagainya.

Pada hari ini, potensi akasia dikembangkan dalam ternakan kelulut yang mana pokok akasia dapat menghasilkan extra floral nectar yang berterusan. Buat pengetahuan semua, sebanyak lebih dari 2,000 spesis tumbuhan dari lebih 64 famili telah dikenali ada mempunyai extra floral nectaries. Subhanallah!


Koloni-koloni kelulut milik ladang K-Miss yang diletak di dalam hutan pokok akasia


Pada dasarnya, kebanyakan kebanyakan pokok mempunyai hubungan yang baik dengan serangga (mutualistik). Pokok akan membekalkan nektar bagi menarik serangga tertentu kepadanya. Nektar pada tumbuhan dikeluarkan dari dua bahagian, iaitu pada bunga (floral nectar) dan nektar dari bukan bahagian bunga (extrafloral nectar).


Kelihatan kelulut sedang asyik mengambil nektar 


Kelulut mengutip nektar pada bahagian petiol daun muda


Nektar dari bunga adalah untuk menarik serangga-serangga bagi membantu pendebungaan, manakala nektar dari bahagian lain pada pokok adalah untuk menarik serangga lain bagi mengurangkan ancaman musuh. Secara sainsnya, nektar adalah cairan dari floem hasil dari fotosintensis dalam tumbuhan.

Di bahagian setiap petiol (batang) daun pokok akasia, terdapat kelenjar yang menghasilkan nektar yang dinamakan extrafloral nectaries. Kelenjar ini banyak kelihatan hanya pada daun yang muda.


Lakaran kedudukan extrafloral nectary pada bahagian petiol daun muda akasia. 


Kelenjar extrafloral nectaries terdiri dari sel-sel parenchyma halus dan rongga nektar dimana nektar dikumpulkan. Nektar ini mengandungi kandungan sukrosa, glukosa dan fruktosa.


Kelihatan nektar yang keluar dari bahagian petiol daun muda pada pokok akasia


Lelehan nektar yang pada pucuk muda akasia adalah tinggi diwaktu pagi.


Sesungguhnya Allah yang Maha hebat yang mencipta semua yang ada di atas dunia ini. Kita diberi akal untuk menghayati keagongan Allah. Semoga artikel ini memberi manfaat buat semua. In sya Allah...


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

2/1/2020



Tuesday, December 24, 2019

MENDAKAN KRISTAL PADA MADU

Akak sering ditanya; "Mengapa madu ada mendakan kristal?". Dan ada juga yang bertanya; "Madu yang berkristal ni, madu tiruan ke?"


Benarkah madu berkristal bukan madu asli? 


Akak bukanlah saintis atau penyelidik yang membuat analisa dimakmal. Akak bersyukur dan berterima kasih kerana mereka berlapang dada sentiasa berkongsi ilmu terutama tentang madu berkristal ini.

Seperti yang kita tahu, komponen utama madu ialah gula ringkas iaitu glukosa dan fruktosa. Nektar yang diambil oleh lebah atau kelulut mengandungi kandungan air dan sukrosa yang tinggi.

Apabila nektar diambil, ia akan disimpan di dalam perut madu (honey stomach). Di sini, enzim invertase akan dirembeskan ke dalam nektar bagi menguraikan sukrosa kepada fruktosa dan glukosa. Peratus kandungan fruktosa dan glukosa dalam  setiap madu yang dihasilkan adalah berbeza bergantung kepada jenis bunga yang dikunjungi lebah atau kelulut.


Nektar yang dikumpul dimasukkan dalam perut madu untuk dibawa balik ke sarang.


Akak dimaklumkan bahawa, sekiranya analisis dimakmal mendapati sampel madu mempunyai kehadiran sukrosa yang tinggi, madu tersebut dituai sebelum ianya cukup matang! Ini menyebabkan enzim invertase tidak sempat menguraikan kandungan sukrosa yang berkenaan. 

Kandungan sukrosa yang tinggi dalam madu juga akan menghasilkan mendakan kristal yang tinggi dalam madu. Ini juga bermakna, pengkristalan yang berlaku pada madu bukanlah penentu bahawa madu itu adalah madu tiruan! Madu berkenaan adalah madu asli yang mempunyai  kandungan sukrosa yang masih belum sempurna terurai.


Mendakan kristal gula dalam madu


Pengkristalan dalam madu turut berlaku hasil pembentukan kristal oleh glukosa yang mempunyai bilangan, bentuk, dimensi dan saiz yang berbeza. Air dan suhu merupakan faktor yang terlibat dalam pengkristalan madu. Kandungan air yang rendah dan kandungan glukosa yang tinggi akan mempercepatkan kadar pembentukan kristal. Glukosa lebih mudah membentuk kristal berbanding fruktosa kerana kadar kelarutannya yang rendah berbanding fruktosa.

Kita juga boleh melihat bahawa warna madu menjadi agak cerah selepas pengkristalan berbanding dalam keadaan cecair kerana kristal glukosa adalah berwarna putih. Saiz kristal glukosa turut mempengaruhi darjah kecerahan dimana saiz kristal yang halus memberikan warna yang lebih cerah dalam madu.

Setakat ini dulu perkongsian ilmu pada artikel kali ini. Akak berharap akak akan dapat maklumat yang lebih banyak untuk akak kongsi disini pada masa hadapan. In sya Allah.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

24/12/19





Sunday, November 17, 2019

BUNGA CUCUR ATAS; TURUT DIGEMARI SANG KELULUT

Akak berpeluang untuk melawat tapak penanaman pokok cucur atap di Pusat Pertanian Rhu Tapai di Setiu, Terengganu. Sedap betul bau daun pokok cucur atap ni terutama apabila daunnya diramas



Pokok cucur atap (hujung atap) atau nama spesisnya Baeckea frutescens L (Myrtaceae); adalah pokok sejenis malar hijau kecil yang banyak tumbuh di kawasan berpasir disepanjang pinggir laut Asia Tenggara.


Daunnya seperti jarum, bunganya sangat kecil, berwarna putih dan tumbuh diketiak daun. Daun dan bunganya berbau harum ialah bahagian yang digunakan untuk menghasilkan teh. Minyak pati yang diekstrak dari daun cucur atap juga dikatakan dapat digunakan untuk mengurut bagi mengurangkan sakit urat dan badan.

Kajian oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menunjukkan pati yang diekstrak dari pokok cucur atap mampu untuk mengurang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menyebabkan penyakit gout!

Akak turut terbaca kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaysian Terengganu (UMT); Profesor Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini, Ketua Penyelidik Institut Bioteknologi Marin telah berjaya menemui agen antipenuaan bagi penjagaa kecantikan dari pokok cucur atap! Beliau telah dapat menghasilkan serum kecantikan yang setaraf dengan produk antarabangsa. Allahuakbar! Sungguh banyak keajaiban khazanah ciptaan Allah disekeliling kita yang masih kita belum terokai!

Semasa akak membuat lawatan pemantauan di Projek Farmer Field School di kawasan berdekatan, akak dapati kawasan tepi pantai ini turut ditumbuhi banyak pokok cucur atap yang liar. Dan yang lebih menarik, terdapat beberapa ekor kelulut Heterotrigona itama yang datang mengerumini serta mendapatkan nektar dari bunga-bunga cucur atap ini.

Kelihatan kelulut Heterotrigona itama mencari nektar pada bunga cucur atap.


Sekiranya segala kebaikan yang ada pada tumbuhan cucur atap ini dapat diurai dan diekstrak dalam bentuk madu, akak tidak dapat bayangkan betapa tingginya khasiat dan kebaikan madu cucur atap kepada pengamal madu kelulut! Wallahualam.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia




Wednesday, November 13, 2019

ELAK GUNA PENAPIS PLASTIK UNTUK MENAPIS MADU

Pada hari ini kita banyak didedahkan dengan kebaikan madu. Tidak kiralah madu kelulut atau madu lebah sekalipun. Kedua-duanya mempunyai khasiat dan kebaikannya tersendiri.




Allah telah mengilhamkan lebah-lebah ini (kelulut adalah lebah yang tidak menyengat) untuk menghasilkan madu yang memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia. Namun adakah kita sedar bahawa kita secara tidak sengaja "mencemarkan" kebaikan madu tersebut?

Terlebih dahulu , akak merakamkan ucapan terima kasih kepada puan Norra bt Ismail, Pegawai Penyelidik dari MARDI yang banyak berkongsi ilmu dengan akak. 

Untuk makluman semua, baru-baru ini pihak MARDI ada membuat analisis kandungan sampel madu yang telah diambil dibeberapa lokasi diseluruh negara. Apa yang mengejutkan ialah terdapat beberapa sampel madu telah dicemari dengan phthalates!


Apa dia pulak "phthalates" ni??

Baru akak tahu yang phthalates ni rupa-rupanya ada terdapat dalam barang-barang plastik terutamanya barang plastik yang murah! Ia juga banyak terdapat dalam mainan plastik kanak-kanak yang berwarna warni tu! 




Phthalates ini dikatakan dapat merosakkan hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem pembiakan manusia! Malah ia turut menyumbang kepada sakit kanser payu dara. Aduhai...takutnya akak dengar! Akak tidak dapat bayangkan kesan jangkamasa panjang untuk anak-anak yang memasukkan mainan plastik ini dalam mulut mereka! 


Apakah fungsi phthalates? 

Phthalates ini merupakan bahan kimia yang digunakan untuk melembutkan vinyl iaitu sejenis plastik yang keras yang tahan lasak, tahan lama dan stabil. Phthalates ini akan melembutkan vinyl dan membuatkan ia mudah dibentuk. Dalam jangkamasa panjang, phthalates ini akan keluar dari bahan plastik berkenaan. Bahan ini mudah larut ke dalam lemak badan manusia dan akan berkumpul didalamnya.


Bagaimana phthalates boleh mencemar madu?

Hasil siasatan pihak MARDI ke atas sampel-sampel madu yang dicemari phthalates ini ialah pemilik madu telah menggunakan penapis plastik untuk menapis madu mereka. Madu yang bersifat agak berasid akan menghakis plastik berkenaan dan meninggalkan residu phthalates didalam madu!

Akak berharap dengan artikel ringkas akak ini dapat memberi kesedaran buat semua agar kita sama-sama dapat memastikan madu yang bernilai tinggi ini tidak dicemari oleh bahan-bahan yang akan menurunkan nilai madu tersebut.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


Saturday, October 5, 2019

HERBA POKOK BELIMBING TANAH (Oxalis barrelieri)

Pokok belimbing tanah (Oxalis barrelieri) merupakan sejenis renek yang tumbuh liar yang dikategorikan sebagai rumpai. Pokok ini mempunyai buah kecil yang mempunyai bentuk dan rasa yang sama macam buah belimbing (Averrhoa carambola).



Rasa buahnya masam dikatakan dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan kecing manis kepada yang mengamal memakannya. Selain buah, daun belimbing tanah ini turut mempunyai rasa masam disebabkan oleh kandungan asid oxalic. 

Akak dapat tahu daun belimbing tanah boleh dimakan mentah atau dimasak. Namun, kita tidak digalakkan untuk makan dalam jumlah yang banyak kerana asid oxalic ini akan mengikat pengambilan kalsium oleh tubuh. 




Bunga belimbing tanah berwarna keungguan turut digemari oleh kelulut.

Wallahualam..

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Friday, September 20, 2019

KENAPA MADU TIDAK BOLEH DIBERI KEPADA BAYI YANG BERUSIA KURANG DARI SATU TAHUN?

Madu lebah dan madu kelulut telah diketahui mempunyai banyak kebaikan dalam meningkatkan kesihatan dan kecantikan manusia. Namun, madu tidak sesuai diberi kepada bayi yang berusia kurang dari setahun! Mengapa?


Sistem penghadaman dan sistem immunisasi bayi terutama bayi yang berusia kurang dari 12 bulan berisiko terkena penyakit yang akan menyerang otot dan perut bayi. Ia juga dikatakan dapat mengganggu pertumbuhan gigi bayi!

Dikhuatiri sejenis bakteria yang dikenali sebagai Clostridium botulinum akan menyebabkan serangan botulism pada bayi. Bakteria ini dikatakan tidak aktif dalam madu dan perut manusia dewasa! Namun ia akan aktif dan merembeskan toksin dalam keadaan yang kondusif dalam perut bayi. Selain dari itu spora-spora dari tumbuhan juga mungkin tidak sesuai dengan keadaan perut bayi yang masih muda.

Maka...kita perlu elak memberikan madu kepada bayi bagi mengelak serangan botulism pada bayi.

#BahagianPembangunanIndustriTanaman
#JabatanPertanianMalaysia

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...