Bunga durian adalah bunga jenis nokturnal yang mana bunga ini berkembang mekar pada waktu malam. Bunga durian akan mula terbuka pada lewat petang dan kembang sepenuhnya pada waktu senja. Serangga akan tertarik pada nektar yang dirembeskan dari bahagian bawah kelopak bunga.
Sebelum kelopak bunga berkembang, stigma telah matang (reseptif) dan mula bersedia untuk menerima kehadiran debunga bagi proses pendebungaan; namun kematangan debunga pada anter hanya berlaku lewat senja.
Ketika peringkat antesis, stigma akan bertukar kepada warna oren dan melekit bagi membolehkan debunga melekat pada stigma. Sifat reseptif ini berlarutan sehingga pertengahan malam dan akan berkurangan keesokan harinya.
Memandangkan stigma dan stamen akan matang pada waktu yang berbeza, durian tidak melakukan pendebungaan sendiri! Pendebungaan durian memerlukan agen pendebungaan bagi membantu proses pendebungaan!
Debunga durian adalah berbentuk bulat, melekit dan bergumpal. Ini bermakna pendebungaan bagi tanaman durian kurang atau tidak akan dilakukan oleh angin.
Pendebungaan berbantu turut boleh dilakukan apabila hampir 25% dari jumlah bunga keseluruhan telah mekar. Pendebungaan menggunakan tangan dilakukan dengan menggunakan debunga dari varieti durian yang berbeza atau dari varieti yang sama dari pokok yang berbeza.
Masa yang optimum dan merupakan waktu yang paling efektif bagi pendebungaan berbantu ialah bermula dari jam 6:30 petang ke jam 9:30 malam atau lebih lewat dari itu.
Agen pendebungaan yang paling sesuai untuk pendebungaan durian dan aktif pada waktu malam adalah sang kelawar! 😍.
Kelulut dan lebah aktif pada waktu siang. Serangga ini turut akan mendapatkan nektar dari bunga durian. Namun kehadiran mereka mungkin tidak dapat atau kurang membantu proses pendebungaan kerana debunga durian hanya akan matang pada lewat senja atau waktu malam!
Terima kasih pn Fiza Fish diatas perkongsian gambar dan maklumat tentang tanaman durian.
#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
No comments:
Post a Comment