Friday, September 6, 2019

KENAPA BENTUK BUAH DURIAN BELANDA (Annona muricata) BENGKOK?

Bentuk buah durian belanda yang sempurna adalah berbentuk seperti jantung. Namun banyak terdapat buah durian belanda yang kita jumpa dipasar-pasar (terutamanya) berbentuk bengkok. Keadaan buah yang bengkok ini juga dapat kita lihat pada buah durian.

Kenapa ia berbentuk begitu?

Keadaan ini terjadi disebabkan oleh proses pendebungaan pada stigma tidak sempurna. Maka ovul tidak membesar membentuk biji dan menyebabkan ruang tersebut kosong dan tidak terisi. Dan ini menyebabkan bentuk buah bengkok.

Kita perlu tahu bahawa bunga durian belanda adalah bersifat hermafrodit iaitu bahagian pembiakan jantan (stamen) dan betina (stigma) berada pada kuntum bunga yang sama.




Bunga durian belanda juga bersifat dichogamous protogynous dimana bunga jantan dan bunga betina mempunyai fasa kematangan yang berbeza! Bunga betina akan matang terlebih dahulu dan diikuti oleh kematangan bunga jantan.





Fasa kematangan bunga betina bermula pada pukul 4 hingga 5 petang. Ketika ini kelopak bunga akan mula terbuka sedikit dan stigma mula lembab dan melekit dan telah bersedia untuk menerima debunga (waktu reseptif).  Keadaan reseptif ini berlaku 3 ke 4 jam selepas antesis. Namun, stamen masih lagi belum matang untuk membebaskan debunganya.

Pada ketika ini bunga durian belanda akan mengeluarkan bau yang wangi bagi menarik agen pendebungaan terutamanya kumbang kecil bagi membantu proses pendebungaan.

Stamen (bunga jantan) terdapat beberapa lapisan mengelilingi ovari. Ia mulai matang diwaktu malam antara jam 8 hingga 10 malam. Filamen stamen pendek dan ia mempunya debunga yang banyak.

Debunga akan mula gugur apabila kelopak bahagian luar bunga terbuka dan mula gugur. Debunga ini terletak pada hujung anther dan berwarna kekuningan.

Didalam keadaan biasa, semut dan kumbang kecil adalah merupakan agen pendebungaan yang akan membawa debunga dari bunga yang lain untuk didebungakan kepada bunga yang lain. Pendebungaan yang kurang lengkap, akan menyebabkan persenyawaan tidak lengkap berlaku ke seluruh stigma dan menyebabkan buah mempunyai bentuk yang tidak sempurna atau bengkok seperti bentuk ginjal.

Jika kita dapat lihat pada buah durian belanda yang telah membentuk dan matang, setiap satu spike yang terdapat pada kulit buah berkenaan adalah mewakili setiap satu stigma yang telah matang.


Fenomena buah bengkok juga banyak berlaku pada buah durian....kan?

Terima kasih pn Fiza Fish diatas perkongsian maklumat dan sudi membantu dalam proses pengambilan gambar di lokasi.

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

6/9/2019

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...