Friday, September 6, 2019

KENAPA BIJI PADA TONGKOL JAGUNG TIDAK PENUH?

KENAPA BIJI PADA TONGKOL JAGUNG TIDAK PENUH?

Teringat kembali petua menanam jagung dizaman kanak-kanak dulu......:

"Jangan bercakap atau buka mulut ketika tanam jagung, nanti jagung tu isi tak penuh"

Ada juga yang turut mengusik....:

"Siapa tak ada gigi, jagung yang tanam juga akan rongak!"

Setongkol buah jagung adalah gabungan ovul-ovul yang telah disenyawakan yang akan menjadi biji benih jagung! Mengapa jagung boleh rongak?




STRUKTUR PERSENYAWAAN POKOK JAGUNG

Pokok jagung adalah jenis monoecious; iaitu ia mempunyai struktur reproduktif jantan betina pada pokok yang sama. Namun, kedudukan bunga jantan dan bunga betina adalah pada kedudukan yang berbeza.


Bunga jantan; atau lebih dikenali sebagai jumbai (tassel) terletak di hujung pokok dan ianya mempunyai spikelet yang banyak. Pada setiap spikelet akan terdapat dua kuntum bunga kecil yang dikenali sebagai floret. Setiap floret mengandungi stamen, yang terdapat biji-biji debunga.


Bunga betina atau dipanggil ear,  terletak dibahagian tengah pokok jagung. Ia adalah bahagian tongkol jagung. Pada tongkol jagung, terdapat deretan floret. Pada setiap floret mengandungi ovul yang akan disenyawakan membentuk biji jagung (kernel).


Setiap ovul pada ear akan disambungkan dengan rerambut yang dikenali sebagai silk. Silk ini berfungsi sebagai stigma dan style pada pembiakan bunga betina jagung. Ia akan menjadi laluan untuk ke ovul.

Pada silk akan terdapat rerambut halus yang melekit yang dikenali sebagai trichomes.  Trichomes ini akan menyebabkan biji debunga akan melekat dengan mudah pada silk.


Pertumbuhan silk bermula sebaik sahaja bijian debunga pada tassel dibebaskan. Silk ini akan terus memanjang keluar dari setiap ovari pada ear. Tumbesaran silk ini berlaku pada bahagian ovari bawah dahulu dan akan diikuti hingga ke hujung tongkol jagung. Pemanjangan silk akan terhenti sebaik sahaja biji debunga jatuh dan bercambah pada silk.

Ini bermakna, silk akan terus memanjang selagi belum berlaku pendebungaan! Namun, pemanjangan silk turut akan terhenti secara semula jadi apabila silk mengering. Keadaan silk yang panjang merupakan salah satu tanda yang mudah untuk dilihat yang menunjukkan ovul tersebut tidak berjaya disenyawakan!


PENDEBUNGAAN DAN PERSENYAWAAN BUNGA JAGUNG

Sebaik sahaja ke semua bahagian tassel telah terbit dan matang, bijian debunga akan dibebaskan. Proses pembebasan bijian debunga berlaku 5 ke 8 hari bergantung pada cuaca.

Bijian debunga hanya akan dibebaskan apabila tassel benar-benar kering. Pada keadaan cuaca yang terlalu basah atau kering, anther pada stamen tidak akan dibuka bagi pembebasan debunga.

Bijian debunga sangat ringan dan amat mudah diterbangkan angin. Debunga ini akan jatuh dan melekat atas silk yang diselaputi trichomes yang berbulu halus dan melekit.


Debunga akan mula bercambah beberapa minit selepas ia melekat pada trichomes pada silk. Tiub debunga yang baru bercambah akan terus menembusi dan melalui saluran dalam silk menuju ke ovul.Ovul akan disenyawakan dalam tempoh 12 ke 24 jam.


Ovul yang berjaya disenyawakan akan membentuk biji benih jagung. Ketika ini silk akan mula tertanggal dari permukaan ovari.







MENGAPA TONGKOL JAGUNG JADI RONGAK?

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pembentukan biji pada tongkol jagung:

1. Kegagalan pendebungaan
Cuaca yang terlampau panas akan menyebabkan bijian debunga mudah kering dan mati. Keadaan juga berkemungkinan berlaku akibat silk tidak terbentuk dengan sempurna.

Keadaan persekitaran terutama tanah yang kering memberi impak untuk melambatkan pengeluaran silk.

2. Kegagalan percambahan biji debunga
Keadaan dimana, pendebungaan berlaku iaitu biji debunga telah melekat pada silk. Namun, debunga tersebut tidak bercambah untuk mengeluarkan tiub debunga. Atau, tiub debunga tersebut tidak cukup panjang untuk mengsenyawakan ovul. Maka terdapat kegagalan dalam proses persenyawaan.

3.  Tiub debunga telah sampai kepada ovul. Namun ketidak serasian antara kedua benih jantan dan betina , maka persenyawaan gagal berlaku.

Kesimpulannya; pendebungaan dan pesenyawaan perlu berlaku bagi memastikan pembentukan biji jagung yang sempurna pada tanaman jagung. Keadaan ini perlu disokong dengan amalan agronomi yang baik untuk memastikan keadaan yang kondusif di sepanjang proses fenologi tanaman jagung!

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...