Sunday, January 12, 2020

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERTUMBUHAN CENDAWAN

Cendawan adalah micfrofungus yang menjana buah (fruiting body) samada di atas permukaan tanah (epigeous) atau dibawah tanah (hypogeous). Cendawan adalah jenis heterotrophic dimana ia memerlukan nutrien dari sumber lain untuk hidup. Cendawan tidak mempunyai klorofil dan tidak menjalankan fotosintesis bagi menghasilkan makanan.


Diantara jenis-jenis cendawan tiram yang ada ditanam di Malaysia. 
Gambar sumber internet. 

Cendawan memerlukan nutrien, cahaya, suhu, kelembapan, pengudaraan dan pH yang sesuai untuk pertumbuhan.

Terdapat dua fasa yang terlibat dalam pertumbuhan dan pembentukan cendawan iaitu fasa vegetatif dan fasa reproduktif.


Kitaran hidup cendawan tiram.
Gambar sumber internet.


Fasa vegetatif merujuk kepada fasa pertumbuhan maisilium, dan fasa reproduktif adalah fasa pembuahan cendawan.


Kitaran hidup cendawan kukur/sisir.
Gambar sumber internet.



Kitaran hidup cendawan jerami.
Gambar sumber internet.


Di habitat asal, cendawan membiak melalui spora. Apabila kelembapan, suhu dan nutrien sesuai, spora cendawan akan bercambah dan mengeluarkan bebenang sel yang dikenali sebagai hifa (hyphae).

Hifa akan tumbuh dan mula bercabang (primary mycelia) serta mula membuat jalinan dengan hifa-hifa yang keluah dari spora-spora yang lain  membentuk gumpalan maisilium (secondary mycelia). Proses ini dipanggil plasmogamy (hyphal fusion).

Maisilium yang matang akan merembeskan enzim. Enzim ini akan meleraikan ikatan komponen lignocellulos yang kompleks dari media kepada bahan organik yang lebih ringkas. Hifa akan menyerap nutrien yang dicernakan oleh enzim dan disalurkan untuk pertumbuhan maisilium.

Dari maisilium ini, sel-sel akan berkumpul membentuk pin atau primodium (badan buah muda) atau lebih dikenali sebagai pinhead.
Pinhead ini akan mula membesar dan membentuk badan/buah cendawan. Ketika inilah fasa reproduktif bermula.

Terdapat beberapa faktor persekitaran yang menjadi pencetus (trigger) pertukaran dari fasa pertumbuhan vegetatif (fasa pertumbuhan maisilium) ke fasa reproduktif (fasa pembentukan janabuah).

Faktor-faktor yang terlibat ialah suhu, cahaya dan perubahan kepekatan gas di udara iaitu karbon dioksida dan oksigen pada atmosfera amat mempengaruhi perubahan dari pertumbuhan vegetatif maisilium kepada pembentukan buah cendawan.


Faktor-faktor yang mencetus pertumbuhan cendawan. 


Bagi kebanyakan spesis cendawan, suhu optima pada pembentukan buah cendawan adalah lebih rendah berbanding suhu optima semasa pertumbuhan maisilium. Sebagai contoh; cendawan tiram kelabu (Pleurotus pulmonarius) memerlukan diantara 25 hingga 27 darjah celcius semasa pemeraman, dan memerlukan suhu yang lebih rendah pada peringkat pembentukan janabuah iaitu diantara 19 hingga 21 darjah celcius sahaja.

Karbon dioksida akan dikeluarkan hasil metabolisma pertumbuhan cendawan. Ia juga merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kualiti dan hasil pengeluaran cendawan.


Contoh meter yang digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida, suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan


Kandungan karbon dioksida yang tinggi membantu dalam meningkatkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman bongkah. Namun, semasa pembentukan primodia, kepekatan karbon dioksida yang tinggi menghalang pembentukan badan cendawan. Batang cendawan akan kurus dan memanjang serta menyebabkan bahagian tudung (cap) cendawan juga tidak berkembang dengan baik.


Batang cendawan memanjang dan cap cendawan tidak berkembang dengan baik dalam keadaan kepekatan karbon dioksida yang tinggi. 


Keperluan kepekatan karbon dioksida adalah berbeza mengikut jenis dan peringkat pertumbuhan cendawan.

Maka, bagi memastikan pembentukan buah cendawan yang sempurna, pengudaraan adalah perlu bagi meningkatkan bekalan oksigen dan mengurangkan karbon dioksida terutama semasa pembentukan primodia cendawan.

Cahaya dan kelembapan juga merupakan faktor yang penting dalam mencetus pembentukan badan cendawan. Spesis cendawan yang berbeza memerlukan kapasiti cahaya yang berbeza.

Cendawan akan menyerap molekul-molekul air yang ada dipersekitaran untuk pertumbuhan. Kandungan kelembapan yang rendah serta suhu yang tinggi akan menyebabkan pertumbuhan cendawan terbantut.

Air adalah faktor yang penting dalam penanaman cendawan. Nutrien dialirkan kepada jana buah melalui aliran air dalam maisilium. Kelembapan air yang rendah akan menyebabkan jana buah kering dan mati.

Prinsip pertumbuhan cendawan adalah hampir sama bagi semua cendawan, kaedah penanaman sahaja yang perlu disesuaikan dengan keadaan fisiologi dan keperluan bagi setiap spesis cendawan yang ditanam.

Setakat ini dulu perkongsian kali ini...😎


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

12/1/2020



No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...