Friday, September 6, 2019

APA KAITAN CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp.) DAN ANAI-ANAI?

Percaya tak kalau akak katakan bahawa cendawan busut adalah cendawan yang paling sedap yang pernah akak rasa?

Tidak banyak maklumat yang dapat akak kumpul mengenai cendawan busut. Kenapa ia di panggil cendawan busut? Adakah kerana ia banyak tumbuh diatas busut anai-anai? Ada juga yang memanggilnya sebagai cendawan tahun. Adakah kerana ia hanya dijumpai setahun sekali? Dalam erti kata yang lain, cendawan ini adalah cendawan jenis bermusim!

Semasa zaman kanak-kanak akak, akak teringat bahawa cendawan ini akan tumbuh setahun sekali dibawah rumah akak masa akak tinggal di kuarters dahulu. Tanah bawah rumah akak ketika itu agak liat dan berwarna kemerahan. Ketika musim cendawan, mak akak akan meminta akak dan adik-adik mengutip cendawan-cendawan ini.

Cendawan segar yang dikutip akan dijadikan lauk istimewa pada hari itu. Rasanya yang manis, menyebabkan akak dan adik-adik bertambah-tambah makan nasi. He he he....


Cendawan busut yang telah dituai.


Cendawan busut atau turut dikenali sebagai cendawan tahun ini biasanya akan tumbuh dengan banyaknya selepas hujan lebat diikuti dengan petir. Ia tidak memberi apa-apa tanda sebelum kemunculannya dari permukaan tanah.

Lazimnya, cendawan busut akan muncul pada awal pagi dan akan kembang dan mati dalam tempoh satu ke dua hari. Salah satu keunikan cendawan busut ini ialah ia mempunyai akar yang panjang yang di kenali sebagai pseudorhiza. Jika dibuat keratan rentas pada tanah dimana cendawan ini keluar, kita akan dapat lihat akar ini berpunca dari bawah tanah berdekatan dengan sarang anai-anai.

Cendawan busut/tahun ini adalah diantara cendawan liar yang paling sukar untuk dibiakkan. Cendawan ini berinteraksi sangat baik dengan anai-anai.


Keratan rentas tanah yang ditumbuhi cendawan busut. Perhatikan sarang anai-anai disitu.


Anai-anai adalah serangga yang membina sarangnya dibawah tanah dan sering menyebabkan kemusnahan harta benda manusia. Sarangnya dibina dengan menggunakan bahan organik.


Cendawan busut yang tumbuh melata di atas permukaan tanah. 


Anai-anai makan bahan dari tumbuhan yang mereput yang selalunya diperbuat dari kayu, tanah, najis ternakan dan pelbagai lagi.

Anai-anai memakan selulos dari pelbagai fiber dari tumbuh-tumbuhan. Selulos ini kaya dengan sumber tenaga tetapi sukar dihadam. Cendawan busut akan membantu menguraikan selulos ini dan menukarkannya ke dalam bentuk yang mudah diserap oleh anai-anai.


Cendawan busut banyak tumbuh selepas hujan.

Anai-anai ini akan mula menanam cendawan ini dalam sarangnya yang dipanggil teras kulat (fungus comb atau fungus garden). Teras kulat ini dibina dari bahan buangan anai-anai yang terdiri dari bahan-bahan dari tumbuhan yang tidak dihadam. Cendawan yang ditanam akan tumbuh dan mengurai selulos untuk diambil oleh anai-anai.

Apabila musim hujan yang diikuti dengan petir, pada kelembapan udara yang tinggi, cendawan busut ini akan keluar dari bawah tanah. Dikatakan cendawan busut muncul dari tanah serentak dengan saat kerumunan (swarming) anai-anai. Anai-anai ini akan berpindah dan mencari lokasi yang baru. Cuaca yang panas dan lembap adalah cuaca yang kondusif untuk mereka berpindah.

Apabila cukup matang, cendawan ini akan menyebarkan spora-sporanya ke udara untuk meneruskan generasinya yang akan datang. Subhanallah!

Apabila musim cendawan busut muncul, cendawan ini dijual dengan harga mencecah RM20 sekilo. Buat pemburu cendawan liar, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak mengutip cendawan busut baru disembur racun terutama racun rumpai.

Jika ingin membaca maklumat tentang cendawan beracun yang disangka cendawan busut , sila klik disini

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

6/9/2019


2 comments:

  1. Bagaimana kita boleh menanam cendawan ini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi Vijay...
      Setakat hari ini cendawan ini tidak boleh ditanam. Kajian dimakmal telah dibuat oleh para saintis bagi menjinakkan cendawan ini. Namun masih gagal.

      Delete

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...