Mai sini akak nak story sikit.....
Jagung bijian (atas). Jagung manis (bawah)
Jagung manis ialah jagung yang sering kita gunakan untuk makan. Jagung ini mempunyai bahagian biji yang tinggi dengan gula dan rendah kandungan kanji. Isinya yang lembut sedap dibuat jagung rebus, jagung bakar, bubur jagung, cucur jagung, puding jagung....dan macam-macam lagi. Aduhhh... meleleh air liur akak weehhhh!
Jagung bijian ni pula mempunyai kandungan kanji yang tinggi dan kandungan gula yang rendah. Teksturnya keras dan tawar. Jagung bijian sesuai dijadikan makanan untuk ternakan.
Untuk pengetahuan semua, jagung manis yang ditanam bersebelahan dengan jagung bijian akan menyebabkan jagung manis yang dihasilkan TIDAK LAGI ADA RASA MANIS dan ISINYA TURUT MENJADI KERAS seakan jagung bijian! Pendebungaan dan persenyawaan antara jagung manis dan jagung bijian akan memberi efek pada tekstur, dan rasa jagung berkenaan.
APAKAH YANG MENYEBABKAN ISI JAGUNG MANIS MENJADI KERAS DAN TAWAR?
Untuk memahami fenomena ini, kita kena mengetahui bahawa jagung adalah salah satu tanaman yang melalui persenyawaan berganda (double fertilization).
Pendebungaan berlaku apabila debunga dipindahkan dari stamen (bahagian jantan) ke bahagian stigma (bahagian betina). Boleh rujuk maklumat di artikel yang saya tulis mengenai jagung di https://nurhafizahsharudin.blogspot.com/2019/09/kenapa-biji-pada-tongkol-jagung-tidak.html?m=1.
Gambar biji debunga dilepaskan dari bunga jantan
Biji debunga yang jatuh pada silk bunga betina
Biji debunga mengandungi dua gamet jantan (sel sperma). Apabila biji debunga dari bunga jantan jagung bijian jatuh pada bahagian stigma bunga betina jagung manis, ia akan mula bercambah dan mengeluarkan tiub debunga yang akan melalui bahagian rerambut bunga betina menuju ke bahagian ovari bunga betina jagung manis. Di dalam ovari inilah, double fertilization akan berlaku.
Tiub debunga yang masuk menuju ke ovari
Apabila tiub debunga dari jagung bijian memasuki bahagian bukaan pada pintu ovari (microfail), ia akan melepaskan dua sel sperma yang haploid ke dalam ovul.
Persenyawaan dalam ovari jagung
Satu sel sperma dari jagung bijian ini akan bergabung dengan telur dari ovul jagung manis untuk membentuk zigot yang diploid. Zigot ini akan membesar dan menjadi embrio.
Manakala, satu lagi sel sperma dari jagung bijian akan bergabung dengan dua sel nuclei polar dari jagung manis untuk membentuk struktur triploid yang akan membesar menjadi endosperma; iaitu bekalan untuk tumbesaran embrio.
Endosperma yang terhasil dari kacukan sel sperma dari jagung bijian dengan sel nuclei polar dari jagung manis, akan mempunyai campuran gen yang akan memberi kesan pada tekstur dan rasa pada biji jagung yang akan dihasilkan. Maka , jagung manis yang terhasil dari kacukan ini mempunyai tekstur yang agak keras serta kurang manis!
Proses pembentukan zigot dan endosperma inilah yang dipanggil sebagai persenyawaan berganda (double fertilization)
Subhanallah....
Allahuakbar...
Follow FB saya : http://bit.ly/NurHafizahSharudin
Youtube : http://bit.ly/NHSchannel
#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
16/9/19
No comments:
Post a Comment