Akak cuba mengasah kembali kemahiran menitis bedak sejuk. He he he
Butiran bedak sejuk yang akak sudah titiskan. Nampak gayanya tangan akak sudah "keras".
Di zaman moden ini, pengeluar bahan rawatan kecantikan terutama dari negara Korea dan Thailand masih mengeluarkan bahan-bahan penjagaan kulit berasaskan beras dan dijual dengan harga yang agak tinggi.
Disini akak nak kongsikan sedikit pengalaman zaman kanak-kanak akak bagaimana mak akak menghasilkan bedak sejuk kaedah tradisional.
Untuk menghasilkan bedak sejuk, perkara pertama yang perlu dibuat ialah, beras perlu dibasuh bersih dan diletakkan dalam bekas. Selepas itu, air yang bersih dimasukkan kedalam bekas bagi merendam beras itu tadi. Beras ini perlu direndam beberapa bulan sebaiknya setahun (menurut kata orang tua-tua) sehingga beras tersebut menjadi hancur.
Air rendaman perlu ditukar baru setiap minggu bagi mengelak beras tersebut menjadi busuk. Air perlu ditukar setiap kali sehingga beras yang direndam menjadi hancur dengan sempurna. Beras yang telah sempurna hancur akan menjadi seperti tepung (pes yang pekat).
Apabila beras telah menjadi hancur sepenuhnya, air akan dikeluarkan. Kain bersih terlebih dahulu perlu dihamparkan diatas permukaan yang rata. Pes yang telah diasingkan akan dimasukkan dalam daun pisang yang dibentuk seperti kon (plastik turut boleh digunakan).
Sebelum memasukan pes ke dalam kon yang telah disediakan, periksa bukaan lubang pada kon untuk memastikan pes tadi dapat keluar dan menghasilkan butiran bedak sejuk yang bulat dan comel.
Setelah bukaan pada kon menepati saiz yang dihendaki, pes tersebut dititiskan diatas kain yang direntang diatas permukaan yang rata. Part inilah yang paling mencabar buat akak. Peringkat awal menitiskan pes bedak sejuk, butiran yang dihasilkan adalah kecil dan comel. Tetapi apabila akak dah mula bosan dan lenguh, akak akan buka bukaan kon agar pes akan keluar lebih laju dan cepat. Cepat keluar, ceoatlah siap. Maka terhasillan butiran yang besar-besar dan pelbagai bentuk. Hik hik hik hik...
Setelah butiran bedak sejuk telah siap, ia dibiarkan kering diatas kain berkenaan atau di jemur dibawah cahaya matahari.
Apabila cukup kering, butiran bedak sejuk akan dikutip dan disimpan bersama hirisan daun pandan atau sebarang kuntuman bunga yang wangi seperti bunga ros, bunga cempaka, bunga melur dan sebagainya untuk memberikan bau yang wangi pada bedak sejuk.
Pastikan bahan-bahan ini juga dikeringkan terlebih dahulu bagi mengelak bau hapak pada bedak sejuk itu kelak.
Selamat mencuba ✌
#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
No comments:
Post a Comment