Wednesday, February 26, 2020

POKOK SALAD KRISTAL (Mesembryanthemum crystallinum)

Alhamdulillah. Pada 24hb Feb 2020 yang lalu, akak berpeluang untuk melawat Agroto Business (M) Sdn Bhd yang terletak berhampiran Tanah Rata, Cameron Highland. Syarikat ini adalah diantara syarikat di Malaysia yang menggunakan kaedah penanaman dan pengeluaran sayur-sayuran secara moden seperti penggunaan rumah kalis hujan (control environment farming), sistem NFT dan drip irrigation, automated watering system, automated seedling machine dan fertilizer mixer machine. 

Untuk pengetahuan semua, Syarikat Agroto ini merupakan pengeluar sayur-sayuran yang berkualiti tinggi dari kawasan tanah tinggi seperti timun jepun, tomato, salad dan sebagainya. Sayur-sayur segar ini telah dipasarkan ke pasaraya seperti AEON, TESCO, KFC, McDonald's, Subway, GIANT dan lain-lain ke seluruh Malaysia. 



Logo dipintu masuk ke pejabat pentadbiran Syarikat Agroto

Selain memasarkan sayur-sayuran segar ke pasaraya yang berkatan, syarikat juga menyediakan produk sayur-sayuran terutama salad dalam bentuk "ready to eat" dan "ready to cook".

Salad yang akak pegang tu adalah antara salad yang paling laris. Salad ini dikenali sebagai iceberg lettuce yang mempunyai rasa yang rangup dan enak dimakan.

Salad ini pula dikenali sebagai Romaine lettuce.

Salad red coral 

Dalam banyak jenis sayur-sayuran yang ditanam, akak tertarik dengan sejenis sayuran yang sering dijadikan salah satu hidangan salad iaitu salad ais (ice lettuce atau ice veggie).  

Salad ais atau lebih dikenali sebagai salad kristal.

Jika diperhatikan pada pokok ini, terdapat bintilan-bintilan yang mengandungi air pada bahagian permukaan daun dan batang. Bintilan ini berwarna jernih dan berkilat seperti ais atau kristal! Dari sifat inilah salad kristal ini mendapat namanya (Mesembryanthemum crystallinum).

Bintilan yang terdapat pada daun dan batang pokok yang berkilat seperti kristal ini merupakan pundi penyimpanan garam yang diserap oleh akar. Dengan adanya bintilan ini, ia akan memberi rasa sedikit masin apabila salad ini dimakan.

Bintilan seakan kristal yang terdapat pada permukaan daun dan batang. 
Gambar kredit : http//Mama-farm.jp/english

Pokok salad kristal ini merupakan sejenis pokok renek jenis sekulen (mengandungi air) dan ia turut mengeluarkan bunga kecil yang cantik berwarna putih kekuningan (off white).


Apabila pucuk sudah mula keluar hujung yang berwarna merah, menandakan bahawa pokok salad ini sudah terlalu matang dan produktivitinya akan berkurang


Bunga yang terdapat pokok salad kristal.

Akak mendapat maklumat bahawa harga salad kristal ini dipasaran ialah sekitar RM10.00 bagi setiap 100 gram. Salad kristal ini mempunyai pelbagai khasiat dan diantara lain ianya mempunyai sifat anti penuaan. Maka ekstrak dari salad kristal ini digunakan dalam kosmetik untuk kecantikan. Subhanallah.

Akak ingin merakamkan jutaan terima kasih buat Farhana (Ana) dari Jab Pertanian Negeri Perak serta pn Normala Manaf dari Jabatan Pertanian Negeri Johor yang membantu akak untuk mengambil gambar ketika lawatan ini. Handphone akak tidak bersama akak ketika iti 😅.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

26/2/2020



.






Monday, February 17, 2020

KESAN KEPEKATAN KARBON DIOKSIDA PADA PERTUMBUHAN CENDAWAN

Kali ini akak nak kongsi sedikit lagi pasal tanaman cendawan. Kalau diperhatikan dalam penanaman cendawan, kita perlu memahami keperluan asas untuk pertumbuhan cendawan. Menanam cendawan tidak sama macam kita tanam sayur-sayuran. Tanaman cendawan ini memerlukan kelembapan persekitaran, pengaliran udara yang baik, cahaya yang tertentu serta suhu yang rendah.

Kali ini kita cuba fahami "Apakah pengaruh karbon dioksida dan oksigen terhadap tumbesaran cendawan.

Cendawan memerlukan kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang berbeza pada peringkat pertumbuhan yang berbeza. Kepekatan karbon dioksida selain suhu dan kelembapan adalah diantara diantara faktor kritikal dalam memaksimakan pengeluaran hasil cendawan.

Semasa pertumbuhan maisilium dalam bongkah media (fasa vegetatif), proses respirasi (pernafasan) oleh maisilium menyebabkan kepekatan karbon dioksida meningkat. Kepekatan karbon dioksida yang lebih tinggi berbanding kepekatan oksigen, menggalakkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman.

Namun, pada peringkat reproduktif, kepekatan karbon dioksida yang tinggi akan memberikan impak yang negatif kepada pertumbuhan cendawan terutama semasa pengeluaran primodia (pinhead).

Peringkat pertumbuhan primodia adalah peringkat yang paling sensitif dalam carta aliran pertumbuhan cendawan. Bekalan oksigen dan kelembapan yang tinggi, suhu yang rendah serta sedikit kehadiran cahaya amat diperlukan bagi memastikan pembentukan janabuah (cendawan).

Kepekatan karbon dioksida yang tinggi pada peringkat primodia akan memberi kesan kepada pembentukan janabuah. Batang cendawan akan tumbuh memanjang dan kurus. Manakala bahagian tudung (pileus/cap) adalah kecil serta tidak akan berkembang dengan baik dan berbentuk seperti trompet (bagi cendawan tiram). Penghasilan spora (basidiospora) juga terhalang!



Ketika ini pengaliran udara yang baik amat penting untuk meningkatkan bekalan oksigen serta mengurangkan karbon dioksida bagi pertumbuhan cendawan yang baik.




Penurunan paras karbon dioksida dan meningkatkan paras oksigen amat perlu semasa pembentukan serta perkembangan primodia diikuti dengan pengurangan suhu serta peningkatan kelembapan udara. Cendawan memerlukan oksigen bagi menghasilkan tenaga, sama seperti manusia serta benda hidup yang lain! 😊

Kandungan kepekatan karbon dioksida diudara boleh disukat dan dilaraskan bagi menepati keperluan dalam penanam cendawan.



Meter yang boleh digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida di udara.


Pemerhatian yang dibuat pada cendawan butang (Agaricus bisporus ) menunjukkan kepekatan karbon dioksida pada 10,000 - 20,000 ppm adalah diperlukan semasa peringkat pertumbuhan maisilium. Manakala, semasa pembentukan primodia, kepekatan karbon dioksida diantara 800 ke 1500 ppm sahaja diperlukan untuk pertumbuhan dan pembentukan janabuah. 


Jika ingin membaca kenapa cendawan memerlukan kelembapan, sila klik disini.

Jika ingin membaca faktor yang mempengaruhi pertumbuhan cendawan, sila klik disini.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

17/2/2020

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...