Saturday, March 14, 2020

APIS FLOREA; LEBAH MADU YANG KECIL

Apis florea (A.florea) atau turut dikenali juga sebagai lebah lalat adalah lebah madu yang paling kecil dengan saiz 7 - 10mm panjang. Sama seperti lebah madu yang lain, lebah A.florea ini juga merupakan spesis yang penting dalam membantu pendebungaan. Akak sedih mendapat tahu banyak koloni-koloni lebah liar ini  dibakar kerana dikhuatiri akan menyengat penghuni yang berhampiran.



Apis florea yang comel.
Sumber gambar: https://www.flickr.com



Lebah Apis florea kelihatan mengambil air.


Disini akak ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan dan merayu rakan-rakan akak diluar sana...tolonglah jangan bakar lebah-lebah ini...😭😭😭.

Tanpa lebah-lebah ini membantu pendebungaan, pokok-pokok dan ekosistem kita akan lebih cepat musnah dan pupus! 

Jika kita mengenali lebah-lebah ini, sebenarnya mereka tidak merbahaya. Mereka hanya akan menyerang apabila rasa terancam. Cukuplah halau mereka dengan memberi asap agar mereka dapat berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat. 🐝🐝🐝.


Berbalik kepada lebah A.florea ini, lebah comel ini dikategorikan sebagai lebah yang paling kecil sama seperti lebah Apis andreniformis (A.andreniformis). Kedua-dua spesis lebah ini membina hanya satu lapisan kom berdiameter lebih kurang 25cm yang dilekatkan tergantung pada ranting-ranting pokok disebalik daun-daun bagi tujuan untuk sembunyi dari pemangsa. 


Sarang lebah Apis florea dicelah-celah pokok
Gambar sumber: Penyelamat Lebah Malaysia



Kawanan lebah Apis florea
Gambar sumber: Penyelamat Lebah Malaysia


Seringkali juga kita akan keliru perbezaan diantara lebah  A.florea dan lebah A.andreniformis. Abdomen lebah A.florea terdapat warna merah keperangan yang jelas berbanding A.andreniformis yang lebih berwarna hitam dan gelap. Bulu-bulu halus yang terdapat pada abdomen serta bahagian kaki belakang A.florea berwarna putih, manakala bulu-bulu pada abdomen dan kaki belakang A.andreniformis berwarna hitam!




Perbandingan bahagian abdomen lebah Apis florea dan Apis andreniformis.
Gambar sumber:   https://wiki.nus.edu.sg



Perbandingan kaki belakang Apis florea dan Apis andreniformis.
Gambar sumber:   https://wiki.nus.edu.sg


Lebah A.florea senang dikenali kerana mempunyai abdomen yang berwarna merah serta jalur putih hitam yang jelas kelihatan. Lebah kecil ini tidak boleh menghasilkan pengeluaran madu yang banyak. Pengeluaran madu oleh A.florea direkodkan sekitar 350 gram hingga 1 kg madu sahaja setahun.


Lebah ini adalah lebah yang nomad, sama seperti lebah Apis dorsata yang mana lebah-lebah ini akan berpindah randah membina sarang ditempat yang berbeza. Diantara faktor yang menyebabkan lebah-lebah ini berpindah randah ialah; kekurangan bahan asas seperti nektar dan debunga, ancaman pemangsa dan gangguan persekitaran. 




Sarang Sarang lebah Apis florea dibalik pokok hiasan.
Gambar sumber: Penyelamat Lebah Malaysia


Jarak yang diambil oleh  A. florea bagi membina sarang yang baru adalah disekitar 100 -200 meter dari sarang yang asal. Diantara keunikan pada lebah A.florea ini berbanding koloni lebah madu yang lain ialah lebah-lebah A.florea akan menggunakan kembali lilin lebah dari sarang lama bagi membina sarang baru dilokasi yang baru.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

15hb Mac 2020

Monday, March 2, 2020

PEMBIAKAN ASEKSUAL DALAM KITARAN HIDUP CENDAWAN ABALONE

Cendawan abalone (Pleurotus cystidiosus) dan (Pleurotus abalonus) adalah diantara cendawan dalam keluarga Pleurotus spp. (cendawan tiram) yang akak sangat gemar. Cendawan abalone ini mempunyai isi yang lebih tebal dan kenyal berbanding cendawan tiram kelabu atau cendawan tiram yang lain.

Kekenyalan dan rasa manis yang ada pada cendawan abalone ini seakan rasa daging. Akak pernah mengambil kepingan-kepingan cendawan abalone ini, akak gril bersama lada hitam dan akak jadikan ia seakan daging. Akak letakkan cendawan abalone yang sudah masak bersama roti yang telah diletak salad, timun dan bawang. Kemudian akak tuang sos cili dan akak nikmati sandwich cendawan abalone! Sedaaaaappp😍. Kalau tidak percaya cakap akak, cubalah sendiri...

Cendawan abalone adalah diantara cendawan yang dapat membantu dalam merendahkan tekanan darah, kandungan glukosa dan lipid pada badan kita. Ianya juga mampu untuk merencat pertumbuhan tumor! Selain itu juga kandungan antioksida yang ada pada cendawan ini mampu untuk mengurangkan proses penuaan. Subhanallah...

Pernahkah kita tahu bahawa cendawan abalone ini mempunyai keunikannya tersendiri? Allahuakbar...

Cendawan abalone dikategorikan sebagai cendawan dalam group dimorphic iaitu mempunyai kaedah pembiakan secara seksual atau aseksual.

Semasa peringkat vegetatif, iaitu diperingkat pertumbuhan maisilium, kita akan dapat melihat terdapat titisan hitam yang akan muncul pada maisilium cendawan abalone yang putih. Titisan hitam ini dipanggil coremia.

Coremia pada maisilium cendawan abalone yang tumbuh dalam pinggan petri yang disediakan oleh Dr Chan Pick Kuen.


Lagi gambar dari pinggan petri oleh Dr Chan Pick Kuen

Pada peringkat awal pertumbuhan maisilium, maisilium cendawan abalone adalah sama seperti maisilium cendawan yang lain iaitu berwarna putih gebu.  Namun sebalik sahaja maisilium matang dan membesar, titisan hitam kumpulan spora yang kelihatan pada bahagian yang berbentuk seperti batang yang dipanggil coremia. 


Kesan titisan hitam turut dapat dilihat pada bongkah cendawan abalone milik en Paul Lai.


Maiselium cendawan abalone dalam botol.


Coremia ini adalah sel yang terbentuk seakan batang yang terdapat titisan cairan yang mempunyai kumpulan spora yang berwarna hitam. Coremia terbentuk secara aseksual dari pertumbuhan maisilium bagi melengkap kitaran hidup cendawan.

Spora yang dihasilkan melalui proses aseksual ini akan dibebaskan apabila matang tanpa melalui pembentukan janabuah. Spora ini dibebaskan apabila ia mulai kering dan mengeras.

Ilmu Allah sangat luas. Semakin kita mencari, semakin kita akan rasa tersangat kerdil. Siapalah kita untuk ada rasa sombong dengan ilmu yang lebih kecil dari saiz badan bakteria ini. Allahuakbar...

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

2/3/2020

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...