Sunday, January 7, 2024

KENANGAN SI PENYAPU LIDI KELAPA

Pokok kelapa merupakan pokok yang amat rapat dihati saya dan adik-adik. 

Terdapat beberapa pokok pokok kelapa disekitar rumah saya ketika itu. Pokok-pokok kelapa ini masih rendah dan setiap kali mak hendak menggunakan kelapa tua sebagai bahan masakan, saya masih boleh menggunakan galah untuk menjolok buah kelapa tersebut. Sememangnya pelbagai kegunaan pokok kelapa didalam kehidupan kami di kampong. 

Jika ada masa terluang diwaktu petang, arwah abah akan memotong pelepah kelapa dan menyusun pelepah-pelepah tersebut dekat dengan kami yang sudah sedia bersila menunggu diatas tikar mengkuang. 

Kami akan mula memotong daun-daun kelapa dari pelepahnya menggunakan pisau kecil yang dibekalkan kepada kami. Selepas itu, kami mula meraut daun memisahkannya dengan lidi. Lidi-lidi tersebut kami kumpulkan setempat dan akan mula mengikatnya dengan getah untuk dijadikan penyapu.

Pelepah yang telah dipotong daunnya, akan dilonggokkan dan dibakar. Ada kalanya arwah abah akan menganyam daun-daun kelapa  membentuk burung yang sedang terbang dan diserahkan kepada kami untuk bermain. Kami turut dihidangkan dengan air kelapa yang enak dan segar sebagai minuman petang. 

Suatu hari, kami adik beradik bersama kawan-kawan ingin menikmati air kelapa muda. Kami mengambil parang dan mula memotong hujung tampuk kelapa muda tersebut. Seorang demi seorang mula mengupas buah kelapa masing-masing sehinggalah giliran adik saya yang nombor tiga. 

Dia mula menakik buah kelapa miliknya dan tiba-tiba terdengar suara menjerit " Jari kamu putus...tu dia jari kamu melompat kat atas tanah". Kami panik seketika. Kami melaung memanggil mak dan abah. Mak dan abah berlari mendapatkan kami....lantas mak memegang tangan adik saya tersebut. Mak mendapatkan bahagian jari yang telah terpisah lantas membawa adik saya ke sinki. Cebisan jari tadi dibasuh dan dilekatkan kembali ke jari adik saya. 

Ketika saat itu, darah mula membuak keluar dari jari adik saya. Mak mencantumkan semula jari tersebut dan mengikat ketat- ketat dengan kain yang bersih. Mujurlah jari yang terpotong itu tidak mengena tulang, maka isi jari tersebut masih boleh untuk dicantumkan. Mak merupakan penyelamat adik saya hari itu. 

Sejak hari itu, kami lebih berhati-hati apabila menggunakan parang untuk mengupas kelapa muda atau kelapa tua. 

#Kamiorangkampong

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...