Sunday, January 7, 2024

RINDU SEORANG ANAK

Arwah abah adalah seorang abah yang tegas, peramah, bijak, kelakar, walaupun agak garang namun jiwanya sangat penyayang. Beliau juga merupakan seorang yang berjiwa seni dan kreatif. Bagi saya, beliau merupakan seorang yang kacak bak kata pepatah "dark, handsome and tall". 

Saya mula tinggalkan rumah untuk mulakan kehidupan di asrama apabila telah memasuki tingkatan empat. Sebelum arwah abah membenarkan saya tinggal berjauhan dari rumah, abah berkali-kali bertanya kepada saya adakah saya pasti yang saya ingin berdikari dan tinggal di asrama. Kerana teruja dengan buku-buku siasatan yang banyak saya baca mengenai penyiasat kanak-kanak yang tinggal di asrama, saya ingin mencuba untuk turut berdikari seperti watak-watak tersebut.

Setiap kali habis cuti persekolahan, arwah abah akan menghantar saya ke stesen bas untuk saya pulang sendiri ke asrama. Perasaan sebak, pilu bercampur gaul dalam sanubari saya. Airmata terasa sudah mula  bertakung dan bila-bila masa sahaja akan bercucuran, namun saya tidak mahu tunjuk kepada abah yang saya sedang sedih! Saya akan cuba bergurau-gurau dengan adik-adik untuk menghilangkan rasa sebak yang menyesak dada saya. 

Dalam diam, saya perhatikan wajah abah. Abah lebih banyak berdiam diri dan tidak banyak bercakap seperti selalu.  Wajahnya kelihatan agak tegang dan kadang-kadang saya melihat ada manik-manik kecil dihujung mata abah. Abah akan cepat-cepat mengesat matanya kerana tidak mahu saya dan adik-adik nampak yang dia sedang bersedih. Keadaan itu sebenarnya menambah rasa sebak dihati saya. 

Setelah tamat persekolahan, saya dapat menyambung pelajaran saya ke universiti tempatan di bumi kenyalang. Ini bermakna,  semakin jauhlah saya akan meninggalkan keluarga saya, dan semakin sukarlah untuk abah datang melawat saya. Itulah sejarah dalam hidup saya pertama kali dapat menaiki kapal terbang. Arwah Pok Leh adalah insan yang banyak membantu mengurangkan beban arwah abah dalam perbelanjaan saya untuk ke sana. 

Ketika di universiti, kaedah perhubungan yang mudah dan murah hanyalah melalui surat menyurat. Abah sering menulis surat kepada saya demi mengurangkan rasa rindu saya terhadap keluarga. Saat yang paling sukar adalah saat dimana saya terpaksa beraya bersama rakan-rakan jauh dari keluarga masing-masing. 

Setelah tamat peperiksaan, para siswa dan siswi terutama dari Semenanjung mula tidak sabar untuk pulang menemui keluarga masing-masing. Saya pun begitu. Tak sabar rasanya untuk bertemu mak dan abah serta adik-adik. 

Di rumah, selepas siap makan tengahari, saya mendengar arwah abah menyanyikan lagu M Daud Kilau yang bertajuk Anak Pertama. Suara abah yang sememangnya lemak merdu menyebabkan apa sahaja lagu yang dinyanyikan sedap didengar. 

Ketika abah sedang menyanyi, arwah adik saya yang bongsu membongkarkan rahsia..."Yong, nok tahu dok? Abah kan setiap kali dia nyanyi lagu ni...mesti air mato dio meleleh. Dia rindu kat Yong la tu!". Arwah abah terdengar perbualan adik lantas berkata..." Adik tipu! Mano ado abah teriok. Habuk masuk mato la masa tu...!"

Al Fatihah untuk abah, Pok Leh dan adik.....
Semoga Allah meletakkan kalian di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan solehah. Aamiin...

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...