Saturday, January 6, 2024

MAIN PONDOK-PONDOK

Mengimbas kembali zaman kanak-kanak anak kampong seperti aku....perlu fantasi, penuh inovasi dan kreativiti.. 

Ya lah. Tak banyak barang mainan yang kami ada.. namun, kami masih boleh menggunakan apa sahaja yang ada untuk kami bersuka ria bermain sesama sendiri.

Dulu, masih kami ingat...tiada teddy bear yang comel dan mahal untuk kami peluk dan bermain. Kain batik mak atau kain pelekat abah akan menjadi mangsa untuk kami lipat dan gubah menjadi "teddy bear". 

Kami juga tiada "clay" yang berwarna warni untuk kami bermain....namun, tanah liat dari sungai akan kami uli untuk dibentukkan sebagai cawan, pingan mangkuk atau pun akan dicanai sebagai biskut-biskut raya.

Kami juga akan turut mengutip daun-daun, bunga-bunga atau rumpai-rumpai untuk dijadikan "sayur-sayuran". 

Yang paling menarik ketika zaman itu ialah, kami akan membina pondok kami sendiri dengan menggunakan batang ubi kayu dan daun pisang. 

Kami akan mencabut batang-batang ubi yang mempunyai saiz yang besar dan sesuai untuk dijadikan tiang utama bagi mendirikan pondok. Ubi kayu beserta pucuk ubi akan dipisahkan dari batangnya. 

Kami akan mula memotong batang-batang ubi ini mengikut ketinggian pondok yang akan kami bina. Batang-batang ubi ini akan diikat kukuh menggunakan tali rafia. Setelah batang-batang ubi ini dipacak, kami akan mula memotong daun-daun pisang hutan untuk kami jadikan atap.

Batang-batang ubi yang bersaiz kecil, kami akan potong pendek-pendek dan diikat rapat-rapat bagi menjadikannya sebagai rak untuk kami letak barang-barang. 

Daun-daun pisang juga akan berfungsi sebagai pengalas lantai selain surat khabar atau plastik.

Kami turut mengutip ranting-ranting kayu kering lantas menyalakan api. Ubi-ubi yang ada, akan kami bakar untuk dijadikan hidangan. 

Selain dari ubi, daun-daun ubi yang sudah matang...kami akan jadikan seakan-akan rantai manik dan dipakai sebagai hiasan leher.

Jika nasib kami baik, biji-biji buah tasbih akan kami susun untuk dijadikan rantai atau gelang.

Ada kalanya di pondok inilah, aku dan adik-adik akan bersama bersila sambil menikmati nasi panas yang mak masak......He he he he....

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...