Saturday, August 31, 2019

BELALANG DEWA

Akak kongsi kembali di sini sedikit kenangan akak pasal belalang dewa.

Arwah Tok Wan merupakan seorang insan yang sangat istimewa buat kami sekeluarga. Beliau dianugerahkan oleh Allah kelebihan dalam usaha membantu pesakit menggunakan kaedah rawatan tradisional.

Gambar sumber dari Nizam photographic


Adakalanya diwaktu lapang, Tok Wan akan meminta saya untuk membantu mengurut kaki atau tangan beliau. Sambil jejari saya mengurut, Tok Wan akan mula bercerita tentang urat-urat serta kaedah yang betul untuk mengurut bagi mengurang kesakitan atau mengelak kemudaratan ketika mengurut. Ketika itu saya yang masih kecil sememang kurang memahami ilmu-ilmu yang beliau ingin cuba sampaikan.

Suatu hari selepas menghadiri jemputan kenduri di sebuah kampong, dalam perjalanan balik kami melalui sebuah kebun getah yang dipenuhi dengan semak-semak disepanjang jalan.

Saya yang sedang memaut tangan Tok Wan tetiba terlihat sekumpulan serangga hitam sedang mengkerumuni beberapa batang pokok yang rendang didalam semak. Serangga-serangga ini kelihatan sedang rakus memakan daun pokok-pokok tersebut.

Saya terus tunjuk pada Tok Wan sambil berkata " Tok Wan, tengok tu. Banyoknyo "binatang" kat pokok tu!". Tok Wan menghampiri pokok-pokok tersebut lantas berkata "Hooo.....ni la belalang dewa! Cepat kito takat (tangkap) dia. Tapi jangan guno tangan! Sat gi melepoh tangan tu!".

Saya tidak faham apa yang ingin Tok Wan sampaikan ketika itu. Lantas Tok Wan menerangkan bahawa belalang dewa akan mengeluarkan air liur yang panas yang mampu untuk menyebabkan kulit melepoh umpama terkena air yang mendidih, maka untuk menangkap belalang-belalang tersebut, kami perlu menggunakan plastik atau sebarang peralatan lain untuk mengelak cairan itu terkena kulit.

Kami mula menangkap belalang-belalang yang sedang melahap menggunakan plastik dan memasukkannya ke dalam botol minuman untuk dibawah pulang. Berpuluh-puluh ekor belalang yang sempat kami tangkap untuk Tok Wan pada hari tersebut.

Di rumah, Tok Wan mula mengisi botol-botol kaca yang bersih dengan minyak masak. Belalang-belalang tadi Tok Wan masukkan ke dalam botol-botol yang telah diisi dengan minyak masak. Menurut Tok Wan, belalang tersebut akan mengeluarkan cairan ketika dalam minyak masak dan secara semulajadinya minyak masak tersebut akan menjadi panas dan boleh digunakan untuk dijadikan minyak urut dan sebagainya. Wallahualam.....

Gambar sumber dari puan Molly

Alfatihah untuk Tok Wan, Pah, Chay, Tok, Abah, Ayah dan adik...semoga Allah tempatkan mereka bersama hambanya yang soleh dan solehah. Aamiin...

1 comment:

  1. Kat Gerik kecil2 dulu banyak sekarang payah dah nak jumpa

    ReplyDelete

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...