Friday, October 4, 2019

BANTAL KEKABU DARI KEKABU (Ceiba pentandra)

Mungkin generasi Y masa kini sudah tidak mengetahui bagaimana kaedah untuk menghasilkan bantal kekabu malah tidak mengenal atau mungkin tidak pernah mendengar tentang buah kekabu.

Semasa zaman akak dan adik-adik masih kanak-kanak, kami akan menolong mak dan arwah abah untuk menjolok buah kekabu yang telah mulai matang dari pokok.

Pokok kekabu adalah pokok yang tinggi dan batang pokoknya ada terdapat sedikit duri-duri. Bunga kekabu berwarna putih krim dan akan terbuka diwaktu malam. Ia akan mengeluarkan bau yang kuat dan akan merembeskan nektar pada bahagian pangkal bunga, debunga bunga ini adalah melekit. Bunga ini akan layu waktu tengahari.


Batang kekabu yang berduri


Buah kekabu muda.
Gambar kredit kepada www.fazlisyam.com


Bunga pokok kekabu


Kulit buah kekabu yang muda adalah berwarna hijau manakala kulit buah yang matang akan bertukar warna keperangan atau kehitaman. Buah yang sudah matang juga selalunya akan merekah dengan sendiri semasa masih di pokok dan jika dibiarkan, kekabu yang sudah ringan ini akan terbang ditiup angin bersama biji yang melekat pada kekabu tersebut.


Buah kekabu yang telah matang.
Gambar kredit kepada www.fazlisyam.com.


Mak akan cuba mengait buah-buah yang matang sebelum ianya terlebih matang dan terbang ditiup angin. Adakalanya akak turut membantu mak menjolok buah-buah kekabu menggunakan galah yang telah arwah abah sediakan, manakala adik-adik akan membantu mengutip buah-buah tersebut.


Kekabu yang telah diasinfkan dari biji, empulur dan kulit buah kekabu. 


Pernah suatu hari akak disengat oleh seekor tebuan ketika berada berhampiran pokok kekabu. Akak menangis dan mak menyapu minyak serta melekatkan biji asam jawa yang telah dibelah dua pada tempat yang disengat.

Biji asam jawa akan melekat pada bahagian sengatan dan terasa seolah-olah kulit akak disedut oleh biji berkenaan. Mak memesan agar akak tidak menguis biji tersebut dan membiarkan ianya gugur sendiri. Alhamdulillah, kaedah tersebut berjaya mengurangkan rasa bisa pada bahagian sengatan.

Buah-buah kekabu yang telah dikutip, akan dibuang kulitnya dan isinya akan disimpan didalam guni. Mak akan mengikat guni-guni tersebut dan menyimpannya ditempat yang kering dan selamat.

Apabila ada masa terluang, mak akan menyuruh akak dan adik-adik untuk membantu mak mengisi sarung-sarung bantal yang telah mak sediakan dengan kekabu. Mak akan memberi kami kain untuk menutup hidung bagi mengelak kekabu-kekabu berkenaan masuk ke dalam lubang hidung.

Sebelum mengisi kekabu-kekabu berkenaan ke dalam sarung bantal, kami terpaksa mengasingkan biji-biji kekabu dan empulurnya yang keras dari kekabu. Kekabu yang telah dibersihkan, terus disumbat masuk ke dalam sarung yang telah disediakan. Kami kena memenuhkan sarung-sarung bantal tersebut sehingga bantal tersebut kembong dan mampat.

Setelah siap, sarung yang telah penuh diisi, kami serahkan kepada mak. Mak akan menjahit lubang yang terdapat pada bantal tersebut seterusnya membersihkan sisa-sisa kekabu yang masih melekat pada bantal tersebut. Selalunya bantal yang baru siap akan dijemur ditengah panas matahari sebelum ia digunakan.

Ada kalanya semasa musim cuti sekolah, sepupu-sepupu kami turut membantu mengisi kekabu-kekabu ini. Sudah sedia maklum, apabila mula berkumpul beramai-ramai, kekabu-kekabu ini akan menjadi bahan untuk bermain.

Sepupu lelaki yang sememangnya tidak suka memakai baju, akan mula kelihatan seperti gorila apabila kekabu-kekabu putih ini melekat ke tubuhnya yang sudah basah dengan peluh. Beliau akan mula menyakat kami sambil mengayakan gaya seekor gorila. Kami akan ketawa riang diselangi dengan jeritan sehinggalah terdengar suara mak memarahi kami kerana kekabunya sudah bersepah merata-rata.....Hik hik hik....

Indahkan zaman kanak-kanak....

Sumber gambar: www.fazlisham.com

#Akakanakkampong

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...