Tuesday, October 29, 2019

BUNGA PEACE LILY (Spathiphyllum spp.) MENARIK SERANGGA KECIL TERMASUK KELULUT DAN LALAT BUAH

Pokok peace lily (Spathiphyllum spp.) menyerupai pokok jenis Anthurium. Pokok ini sesuai ditanam didalam bangunan dan digunakan untuk membaiki kualiti udara dalam bangunan. Ia dikatakan mampu mengurangkan kadar toksik dari bahan seperti formaldehida, ammonia dan karbon monooksida.


Bunga peace lily ini mengeluarkan bauan yang wangi kuat yang terdiri dari methyl eugenol dan komponen-komponen kimia yang lain. Bau ini akan menarik serangga-serangga untuk membantu melakukan pendebungaan seperti kelulut, lalat dan kumbang; malah ia turut menyebabkan beberapa spesis lalat buah jantan akan tertarik untuk mengerumuni bunga ini.

Semasa dalam kesibukan membuat persiapan di miracle garden laman Florikultur MAHA 2018, akak terpandang beberapa ekor kelulut  Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica mengerumuni bunga peace lily bagi mendapatkan debunga pada bahagian tengah bunga berkenaan.

Kelulut dan lalat buah merupakan serangga agen pendebungaan kepada pokok peace lily ini. Dan pada masa yang sama, memandangkan pokok ini mampu menarik perhatian lalat buah, ia boleh dijadikan sebagai tanaman perangkap (trap plant) bagi mengurangkan populasi lalat buah dikawasan yang mengamalkan kaedah organik. Namun, penggunaan racun masih perlu digunakan untuk membunuh lalat buah jantan yang mengunjungi pokok peace lily!

Maklumat dalam Table 1 dibawah, akak ambil dari jurnal yang bertajuk Attraction of flowering plants to fruit fly males. Hasil penulisan Namee J dan Tigwattananonts yang diterbitkan oleh International Jurnal of Agricultural Technology 2017 Vol.13 (7.3): 2585-2589.

Dalam jurnal berkenaan dinyatakan bahawa hanya beberapa spesis lalat buah jantan tertarik kepada bau yag dihasilkan oleh bunga peace lily ini. Dan sekiranya pokok peace lily ini digunakan sebagai pokok perangkap dalam kawalan lalat buah, pemerhatian masih perlu dilakukan untuk mengintegrasikan penggunaan kaedah yang lain dalam kawalan lalat buah dari spesis yang berbeza.

Bco= Bactrocera correcta; 
Bdo= Bactrocera dorsalis;
Bcu= Bactrocera cucurbitae;
Bta= Bactrocera tau




#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


 

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...