Integrasi ternakan lebah di kebun getah
Bagaimanakah pokok getah ini dapat menampung keperluan sumber bagi kelulut dan pada masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan pekebun?
Pokok getah ( Hevea brasiliensis) adalah diantara jenis pokok di Malaysia yang akan mengalami musim luruh apabila berada dalam musim panas. Ketika daun sedang gugur, pokok getah masih mampu mengeluarkan susu getah dengan banyak.
Daun getah akan mula bertukar warna dari hijau kepada keperangan dan akhirnya kering dan gugur ke tanah. Daun getah akan gugur keseluruhan dan hanya meninggalkan ranting.
Selepas dalam tempoh dua minggu selepas daun gugur, pucuk dan tunas bunga akan mula terbit. Ketika ini, penghasilan susu getah amat kurang kerana nutrien disalurkan untuk penghasilan pucuk dan bunga yang baru.
Apabila daun-daun muda telah muncul, akan terdapat liang kelenjar pada petiol pada daun muda yang akan merembeskan cairan jernih yang manis. Cairan jernih yang manis ini dikenali sebagai nektar (extrafloral nectaries). Nektar ini akan diambil oleh kelulut dan lebah untuk dijadikan madu.
Nektar ini akan terus dirembeskan semasa daun masih muda dan akan terhenti apabila daun tersebut telah mula matang.
Purata keseluruhan hasil madu bagi setiap koloni di kawasan tanaman getah adalah sekitar 1 ke 1.5kg sebulan bergantung pada saiz kotak topping. Hasil madu akan berkurangan apabila musim hujan dimana nektar tersebut akan dicairkan oleh air hujan dan kelulut juga tidak akan keluar dari sarangnya.
Susu getah yang dikeluarkan merupakan sumber resin yang penting dalam membantu kelulut untuk membina sarang, membaiki sarang, membina kantung, untuk pertahanan dan sebagainya lagi.
Terima kasih Tn Hj Mohd Najib Mohd Nordin dari RISDA Kuala Kangsar diatas perkongsian maklumat.
#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
No comments:
Post a Comment