Akak ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada en Roslan Jaafar, dari Bah Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian di Teluk Bharu kerana sudi membantu akak mendapatkan dua seludang dari satu-satunya pokok kelapa rambai di stesen berkenaan.
Akak membandingkan kedua-dua seludang yang saya ambil dan membuat sedikit pemerhatian.
Dalam seludang yang dilihat, hanya terdapat satu jejari sahaja yang dipenuhi oleh bunga jantan, manakala pada teras utama terdapat susunan bunga-bunga betina yang padat. Bunga jantan hanya berada dicelah-celah bunga betina berkenaan.
Pengiraan bunga betina pada salah satu seludang dibuat dan akak mendapati ada 240 kuntum bunga betina pada satu seludang pada seludang berkenaan.
Pokok kelapa rambai adalah tergolong dalam kumpulan pokok kelapa jenis SPICATA. Pokok kelapa ini mengeluarkan bilangan bunga betina yang banyak tetapi bilangan bunga jantan yang sedikit berbanding bunga pada pokok kelapa yang biasa.
Penghasilan bunga betina spicata adalah diantara 50 ke 500 kuntum, berbanding kelapa biasa diantara hanya 15 ke 50 kuntum bunga betina.
Penghasilan bunga jantan pada kelapa spicata jauh lebih rendah berbanding penghasilan bunga jantan pada kelapa biasa. Pokok kelapa spicata mempunyai 100 ke 1000 kuntum manakala pada kelapa biasa terdapat dalam 5000 ke 8000 kuntum bunga jantan!
Pada pokok kelapa spicata, kedua-dua jenis bunga jantan dan betina terdapat pada sepanjang teras seludang, tetapi pada seludang pokok kelapa biasa, bunga betina terdapat dibahagia bawah jejari manakala bunga-bunga jantan terdapat pada bahagian atas jejari.
Kulit yang membaluti seludang kelapa spicata juga lebih liat dan sukar untuk terbuka berbanding seludang pada kelapa biasa. Ini adalah salah satu faktor pendebungaan sukar dilakukan secara proses semulajadi.
Pokok kelapa rambai adalah jenis kelapa spicata mempunyai jumlah bunga betina yang tinggi, namun penghasilan buah adalah amat rendah hanya diantara 15 ke 20 biji sahaja. Buah yang dihasilkan juga kecil.
Keadaan ini berlaku kerana bilangan bunga yang banyak tetapi bilangan bunga jantan yang sedikit menyukarkan proses pendebungaan.
Keadaan bunga betina yang padat dan juga terdapat bunga-bunga yang abnormal juga menyebabkan bunga gugur.
Dari seludang yang dibuka, saya turut mendapati bahawa bunga jantan lebih cepat matang berbanding bunga betina. Keadaan bunga betina yang lambat matang dan menyebabkan keadaan reseptif yang lewat.
Pendebungaan pada pokok kelapa rambai banyak berlaku hasil dari penerimaan debunga dari kelapa yang lain. Maka anak benih yang terhasil dari pokok rambai tidak akan menyamai induk yang asal.
#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia
No comments:
Post a Comment