Thursday, November 28, 2019

CENDAWAN MELATI (Calocybe indica) BERPOTENSI UNTUK DITANAM DI MALAYSIA

Mungkin masih ramai yang belum kenal dengan cendawan melati ini. Cendawan ini lebih terkenal dengan nama " milky mushroom" atau nama saintifiknya Calocybe indica

Bagi akak, cendawan ini sangat comel sesuai dengan namanya yang diambil dari Greek kuno "kalos" bermaksud cantik , dan "cubos" bermakna kepala. 


Puan Cheng Poh Guat dari Ganofarm, 
Tanjong Sepat, Selangor yang memulakan penanaman cendawan melati di atas tanah


Pn Sanisahuri dari Sg Besar, Selangor diantara usahawan cendawan melati yang aktif memberi kursus kepada cendawan menggunakan media jerami padi


En Jamian dari Tanjung Karang diantara pegawai yang mengembangkan teknologi penanaman cendawan menggunakan jerami padi di Tanjung Karang, Selangor


Cendawan melati ini merupakan cendawan yang mampu hidup pada pelbagai substrat. Suhu yang optima bagi pertumbuhan miselium dan pengeluaran cendawan adalah pada suhu yang tinggi 30 hingga 38 darjah celcius dan kelembapan relatif pada 80 hingga 90 %.  Cendawan ini mempunyai hayat simpanan sehingga 7 hari pada suhu bilik.

Selain mempunyai hayat simpanan yang panjang, cendawan melati juga dapat mengekalkan warna putih dan rupabentuk yang segar tanpa bertukar menjadi keperangan atau kehitaman. 

Cendawan ini turut kurang mendapat serangan perosak dan penyakit dan ini menyebabkan diantara sebab cendawan ini digunakan untuk menaikkan sosio ekonomi di negara India. 

Selain cendawan melati, cendawan jerami atau lebih dikenali sebagai Volvariella volvacea juga merupakan spesis cendawan yang boleh hidup pada suhu yang tinggi.


Pn Suat Lin Chong membuat pemerhatian ke atas saiz cendawan melati menggunakan saiz media yang berbeza


Namun, keduanya kurang mendapat tempat pada pengusaha cendawan kerana cendawan melati mempunyai sedikit rasa pahit apabila dimakan dan cendawan jerami mempunyai jangkahayat yang singkat dan tidak tahan lama untuk disimpan.


Pn Suat Lin Chong dari Taiping, Perak bersama cendawan melati "gergasi" milik beliau


Penanaman cendawan melati menggunakan jerami padi.

Akak mula berkenalan dengan cendawan melati ini adalah pada tahun 2015. Team akak ketika itu ialah en Jamian, Pn Sanisahuri, Pn Khamsiah, pn Wardah dan En Farizan Ton. 

Akak kongsi di sini pengalaman hari pertama membuat pemerhatian pada teknologi penanaman cendawan melati menggunakan jerami padi bersama en Jamian dan pn Sanisahuri 


Pn khamsiah dan pn Wardah bersama hasil tuaian pertama cendawan melati yang telah berjaya dikeluarkan. 


Cara penanaman cendawan melati ini tidak sama macam menanam cendawan tiram. Sehingga hari ini, penanaman cendawan melati di Malaysia dilakukan menggunakan media jerami padi, dan media habuk kayu. Perbezaannya ialah selepas miselium telah memenuhi bongkah media, casing atau lapisan organik akan digunakan untuk melitupi permukaan bongkah berkenaan. 


Penanaman cendawan melati menggunakan bongkah dari jerami padi. Gambar diambil di lokasi projek pn Sanisahuri.


Penggunaan bahan organik sebagai casing untuk menutupi media yang telah dipenuhi oleh miselium ini adalah adalah amalan agronomi yang penting dalam penanaman cendawan jenis yang tumbuh di atas tanah (humicolous). Cendawan yang tumbuh pada permukaan kayu dikategorikan sebagai xilophagous.

Casing akan membantu menukarkan pertumbuhan fasa vegetatif kepada fasa penghasilan cendawan. Casing ini membantu mengekalkan kelembapan pada media cendawan. Serta membantu pertukaran gas dalam media cendawan. 


Bongkah cendawan dari media jerami yang telah dipenuhi dengan miselium. Bongkah milik pn Sanisahuri. 



Permukaan bongkah cendawan melati yang telah ditutupi dengan campuran organik sebagai casing. Bongkah cendawan milik pn Sanisahuri.


Setelah casing diletak pada permukaan bongkah, ia akan diperam dan disiram dengan sedikit air untuk pastikan casing tersebut sentiasa lembap untuk membantu pertumbuhan cendawan. 

Setelah cendawan ini muncul, siraman hanya dilakukan pada permukaan casing sahaja. Cendawan melati akan bertukar warna kuning sekiranya air disiram terus kepada jana buah. 

Jana buah cendawan melati yang sudah matang akan dipetik dengan memulas bahagian pangkal cendawan. Saiz cendawan bergantung kepada bekalan nutrien dari media yang dibekalkan pada cendawan. 


Janabuah cendawan melati milik pn Sanisahuri


Bongkah yang telah dipenuhi miselium boleh disusun didalam tray dan ditutup dengan casing. Gambar menunjukkan pertumbuhan janabuah cendawan melati milik pn Sanisahuri


Bagi pengalaman akak, cendawan melati ini sedap jika digoreng. Rasanya lembut dan kenyal serta manis seperti ayam goreng. Apa yang akak buat ialah akak akan potong kecil cendawan tersebut, gaul sedikit dengan serbuk kayu manis sebelum akak gaul dengan telur dan tepung serba guna untuk digoreng. Cubalah.... Sedaaaapppp!


Cendawan melati goreng yang sedap.....nyum...nyum....


Selamat membaca dan mencuba.....

Jika berminat untuk terus membaca faktor yang mempengaruhi pertumbuhan cendawan sila klik disini


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia



17/12/19

Wednesday, November 27, 2019

POKOK MAMAN , RUMPAI YANG ENAK DIBUAT JERUK

Akak sudah hampir lupa tentang ulam maman ini. Teringat masa zaman akak kecil dulu apabila maman ini tumbuh liar dikawasan semak belakang rumah akak. Maman ini akan dijeruk dan akan dimakan dengan nasi. Semasa kecil akak kurang gemar rasanya yang masam-masam dan ada sedikit pahit. Hmmmm..... jeruk maman ni seakan kim chi ala orang kampung la kot... Kan? Hi hi hi....


Jeruk maman yang sudah sedia dimakan

Pokok maman pasir atau mak akak panggil maman pantai ( Cleome gynandra L) ini sering ditemui tumbuh liar dikawasan berpasir dan bertanah liat dikawasan tropika.


Pokok maman 

Pokok maman beserta buahnya. Buah yang telah matang akan menghasilkan biji benih untuk pembiakan pokok maman.


Akak terjumpa resepi jeruk maman semasa membaca pamplet yang dikongsikan oleh kawan akak, pn Siow Irene. Ada yang berminat nak buat jeruk maman?


RESEPI JERUK MAMAN

Bahan-bahannya:
2 kilo maman
Air secukupnya
50 gram garam
1/2 cawan nasi sejuk

Cara membuatnya:
🍃 Potong akar pokok maman. Celupkan ke dalam air untuk mengeluarkan pasir dan tanah

🍃Ambil batang yang lembut, potong sepanjang 2 hingga 3 cm.

🍃Basuh sekali lagi, kemudian toskan hingga betul-betul kering

🍃Gaulkan dengan garam, kemudian masukkan ke dalam balang yang betul-betul bersih

🍃Masukkan air secukupnya, tabur nasi sejuk di atas dan tutup bekas. Bekas jeruk disimpan ditempat yang redup.

🍃Selepas 4 hari jeruk ini bolehlah dimakan


Haaa.... Sesiapa yang berminat. Sila lah mencuba. Macam-macam kaedah orang makan jeruk maman ni Ada yang buat macam kerabu, tambah sedikit bawang dan cili untuk naikkan rasa..

Hmmm.... Akak sudah lama tak makan maman ni. Susah dah nak cari sekarang. Kan?


BUNGA MAMAN TURUT DIKUNJUNGI KELULUT

Akak ucapkan terima kasih kepada Kelab peminat lebah kelulut dan lebah madu di FB diatas maklumat tanaman yang dikunjungi kelulut. Akak ambil gambar dibawah dan kongsikan disini.


Kelihatan kelulut mengunjungi pokok maman


Kelulut yang hinggap pada bunga maman.


Banyak kelebihan dan khasiat maman yang kita belum terokai. Namun ia turut dikatakan akan memberi kesan toksik kepada pemakannya jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia









Friday, November 22, 2019

AIR NIRA KELAPA BUKAN SAHAJA ENAK DIMINUM; MALAH BANYAK KHASIATNYA

Akak yakin ramai diantara rakan pembaca yang turut mengemari air nira kelapa atau turut dikenali sebagai air tuak. Akak turut mengemari air ini terutama jika air ini baru sahaja dituai dari mayang kelapa dan dibiar sejuk dalam peti ais.

Air nira kelapa, segar dari ladang....

Air nira yang manis dan sejuk sememangnya menyegarkan badan. Akak pernah beli air nira ini dari adik manis Siti Maznah semasa lawatan akak ke kampung Kayan, Daerah Manjung di Perak.

Akak dapat tahu rakan seekspidisi kelulut di Pos Yum , Sg Siput, en Saiful Adenan turut mengusahakan perusahaan air nira di kawasan Sitiawan, Perak. Untungla orang-orang Manjung boleh dapat bekalan air nira segar dari kebun PNL Farm ni....

Air nira bukan saja sedap, malah ianya juga berkhasiat. Air nira ini sesuai diminum oleh mereka yang ingin sejukkan badan. Ia boleh membantu menurunkan suhu badan terutamanya mereka yang mengalami demam panas.

Air nira ini juga memberi tenaga dan membuatkan kita kekal aktif. Akak juga diberitahu, air nira ini bagus untuk mereka yang mengalami masalah sembelit. Hmmm... tak sangka kan?


BAGAIMANA PROSES YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGUTIP AIR NIRA KELAPA?

Pemilihan mayang kelapa

Akak diberitahu bahawa beberapa langkah perlu dilakukan sebelum mengambil air nira kelapa ini. Yang paling penting ialah pemilihan mayang kelapa!

Seperti yang telah kita ketahui, pokok kelapa akan mengeluarkan mayang sebanyak 12 hingga 14 mayang setahun. Pemilihan mayang yang sesuai bagi penghasilan air nira adalah penting untuk mendapatkan hasil gula yang tinggi. Mayang yang telah matang, panjang dan sederhana besar biasanya sesuai disadap dan mampu mengeluarkan nira yang banyak.

Mayang kelapa yang sesuai untuk pengambilan nira biasanya masih berwarna putih. Mayang berwarna hijau adalah mayang yang sudah tua dan sudah tidak sesuai untuk penghasilan nira.

Bagi mengenalpasti mayang yang sesuai untuk pengeluaran madu, mayang tersebut masih belum keluar penuh (masih kosong dihujung mayang) dan masih belum tidak terbuka.

Hujung seludang / mayang belum penuh hingga ke hujung. 

Seludang yang baru keluar menunjukkan seludang yang sudah keluar sebelum ini telah matang dan sesuai untuk mengeluarkan nira.


Melentur mayang

Mayang atau seludang yang telah dipilih perlu dilentur perlahan-lahan supaya kedudukannya sesuai untuk pengutipan nira. Mayang ini juga akan dibalut menggunakan tali dengan jarak dua inci setiap satu ikatan. Namun, ada juga pengusaha yang menggunakan kaedah ikatan yang lain.

Mayang yang dibalut dengan tali

Untuk memudahkan kerja-kerja melentur dan mengelak supaya mayang tidak patah ketika dilentur, seludang di bahagian pangkal mayang perlu dipecahkan atau dipotong.


Pangkal mayang yang dilentur

Akak pernah angkat mayang ni. Keras dan berat kot! Macam susah je nak dilenturkan, kan? Tapi sebenarnya boleh dilentur rupanya. Cuma kena lentur sikit-sikit la. Mayang perlu ditarik perlahan-lahan untuk dilenturkan serta untuk mengelak mayang ini patah. Mayang yang patah akan menyebabkan tiada penghasilan air nira.

Pangkal mayang yang telah patah, yang tidak akan mengeluarkan air nira

Untuk memudahkan kerja melentur mayang ni, pengusaha perlu menarik mayang dengan menahan lutut dipangkal mayang tersebut! Gluurrrpp! Tinggi tu kena panjat.. ! Dan sekiranya mayang tersebut tersorok disebelah pelepah daun kelapa, pelepah itu perlu ditarah untuk mengeluarkan mayang.

Usaha melentur mayang akan mengambil masa beberapa hari sehingga mayang itu sesuai diambil niranya. Mayang tersebut perlu dilenturkan bagi memastikan kedudukan hujung mayang sentiasa menghadap ke bawah lebih kurang 45 darjah. Ini adalah untuk memastikan air nira yang terhasil akan mengalir atau menitis dengan lebih mudah dan mudah ditakungkan didalam botol.

Mayang yang telah dilentur itu ditarik dengan tali yang akan diikat pada pelepah yang berada disebelah bawah bagi memastikan mayang itu sentiasa terlentur tunduk dan sesuai untuk mengeluarkan nira dengan banyak.

Tali yang diikat pada mayang berkenaan perlu ditarik dari masa ke semasa sehingga mayang tersebut tidak lagi mengeluarkan nira.


Menyadap mayang dan pengutipan air nira

Bagi mendapatkan air nira, mayang akan disadap atau dipotong sedikit. Hujung mayang yang telah disadap akan dimasukkan dalam botol yang bersih. Botol yang akan digunakan untuk mengutip air nira terlebih dahulu akan diisi dengan racikan kayu cengal atau resak. Ada juga pengusaha yang menggunakan daun manggis. Namun penggunaan kayu cengal adalah yang terbaik.

Kayu cengal ini akan dibasuh dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum diisi ke dalam botol. Kayu ini akan diulang basuh dan dikeringkan setiap kali selepas digunakan.

Racikan kayu cengal ini digunakan untuk mengelak air nira dari mudah menjadi masam atau basi. Ia juga mampu menambah rasa sedap pada air nira yang dituai. Sekiranya racikan kayu ini tidak digunakan, air nira perlu dikutip setiap 4 jam.

Racikan kayu cengal yang telah diletak didalam botol tuaian.

Mayang perlu disadap (dipotong) lebih kurang 2 inci setiap kali selepas mengutip air nira. Parang yang tajam digunakan untuk menyadap mayang kelapa. Air nira akan keluar 4 hari selepas disadap dan air nira akan mula banyak keluar pada hari ke 7 selepas di sadap. Air nira banyak keluar terutama diwaktu pagi dan agak sedikit diwaktu petang.

Pisau penyadap yang digunakan

Bagi en Saiful Adenan, beliau akan mula menyadap seawal 7 pagi dan selewat-lewatnya jam 11.00 pagi. Jika beliau menyadap pada jam 7 pagi, beliau akan mengutip air nira yang dihasilkan pada mayang berkenaan pada jam 7 petang. Dan jika beliau menyadap pada jam 7 petang, hasil akan dikumpulkan pada jam 7 pagi keesokkan harinya.

En Saiful sedang memeriksa mayang


Aktiviti menyadap dan pengambilan air nira ini dilakukan sehingga batang mayang habis disadap dan mayang tersebut sudah tidak dapat mengeluarkan hasil lagi. Bergantung kepada saiz mayang dan kesuburan pokok kelapa, pengambilan air nira bagi setiap mayang akan berlangsung antara 15hari hingga sebulan.

Rekod oleh pengusaha menunjukkan bahawa mayang kelapa MATAG menghasilkan air nira yang lebih banyak berbanding air nira dari mayang kelapa pandan. Air nira kelapa pandan juga mempunyai bau haruman daun pandan.

Air nira yang telah memenuhi botol

Botol lutsinar digunakan bagi memudahkan pemantauan


Air nira yang telah dikutip akan ditapis dan disimpan didalam peti sejuk beku bagi mengekalkan kualiti dan keenakannya. Jika disimpan di tempat sejuk biasa, air nira akan menjadi masam selepas seminggu disimpan.

Air nira yang telah dikutip

Ingin rasai kenikmatan, kesegaran dan keenakan air nira?

Bagi yang berdekatan dengan Daerah Manjung, boleh hubungi en Saiful Adenan seperti dibawah:

Air nira ini bukan sahaja digemari oleh manusia. Serangga seperti lebah dan semut turut menghurungi mayang bagi mendapatkan manisan ini... Subhanallah





Aduhai..... sedapnya air nira. 😍😍😍


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia



Monday, November 18, 2019

KUMBANG Plesispa reichei PEROSAK YANG MENYERANG DAUN MUDA POKOK KELAPA

Semasa akak bertugas menguruskan pengeluaran benih kelapa di Lekir, Perak, akak telah mengambil kesempatan untuk turun memantau keadaan tapak semaian anak kelapa bersama salah seorang pegawai akak, puan Siti Haslina bagi melihat keadaan anak benih di tapak semaian berkenaan.

Ketika akak berjalan mengelilingi anak-anak semaian kelapa matag dan anak semaian kelapa kuning rendah (MYD), mata akak dapat melihat daun muda pada daun anak pokok matag seolah dikikis sesuatu.

Akak membuat pemeriksaan pada daun muda yang masih belum kembang.

Akak periksa keadaan celah-celah daun muda berkenaan dan akak menjumpai kumbang yang leper yang mempunyai kepak berwarna hitam manakala kepalanya agak keperangan sedang melekat di celah-celah daun muda tersebut.

Puan Siti Salina turut membantu akak memeriksa dan mengutip perosak

Akak mula mengutip kumbang-kumbang dewasa ini dan diletakkan dalam bekas untuk dihantar ke Bahagian Biosekuriti, Jabatan Pertanian bagi mengenalpasti jenis perosak berkaitan.

Keadaan kerosakan pada permukaan daun kelapa yang telah diserang

Kumbang ini ternyata lebih mengemari anak kelapa jenis hibrid berbanding anak kelapa jenis inbred, kerana tiada terdapat kesan serangan pada anak semaian MYD walaupun anak kelapa ini diatur bersebelahan dengan anak kelapa MATAG.

Kumbang yang dijumpai dicelah pelepah muda

Pupa turut ditemui

Keputusan dari Bahagian Biosekuriti mengesahkan bahawa anak semaian ini telah diserang oleh kumbang Plesispa reichei .


Laporan dari Bahagian Biosekuriti, 
Jabatan Pertanian


Apakah kumbang Plesispa reichei ini?

Kumbang ini merupakan salah satu perosak yang akan menyerang pokok kelapa terutama permukaan daun pucuk muda pada anak pokok kelapa yang muda yang masih berada di tapak semaian. Kumbang ini turut menyerang pokok pinang, pokok sagu dan beberapa jenis pokok palma yang lain.

Peringkat larva dan peringkat dewasa kumbang ini adalah peringkat serangan yang paling agresif. Kerosakan berlaku apabila larva dan kumbang dewasa makan permukaan daun yang masih muda dan masih belum terbuka.

Serangan yang berterusan akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut dan serangan yang teruk akan menyebabkan pokok mati.

Kitaran hidup kumbang Plesispa reichei 

Kumbang betina dewasa akan hidup sehingga 6 ke 8 bulan dan mampu bertelur 50 ke 95 biji telur. Kitaran hidup kumbang ini adalah diantara 40 hingga 64 hari. Seluruh peringkat pertumbuhan kumbang ini akan berlaku pada bahagian pucuk muda anak kelapa berkenaan.

Peringkat pertumbuhan kumbang ini adalah:
    Peringkat telur: 10 hari
    Peringkat larva: 27 hingga 43 hari
    Peringkat pupa: 6 hingga 11 hari
                          (Corbett 1923a, b; Kalshoven 1951).


Kitaran hidup Plesispa reichei

Peringkat telur 


Peringkat larva

Kumbang Plesispa reichei  dan kumbang Brontispa longissima

Kumbang Brontispa longissima turut merupakan perosak pada tanaman kelapa. Jika sekali imbas tidak terdapat perbezaan antara kedua jenis perosak ini. 

Kedua jenis kumbang ini dapat dibezakan melalui beberapa ciri berikut: 

- Bahagian pronatum pada Brontispa  
  longissima adalah lebih lebar berbanding 
  pronatum yang lebih tirus pada Plesispa reichei
- Segmen antena pada Plesispa reichei adalah 
  lebih memanjang berbanding segmen antena 
  pada Brontispa longissima
- Badan Brontispa longissima adalah lebih tirus 
  dan warna kepak berhampiran pronatum 
  adalah tidak sekata (keperangan)
- Kepak adalah lebih tirus dengan corak (lubang 
  kecil yang halus). Manakala kepak adalah lebih 
  lebar dan corak (lubang lebih dalam)


Walaupun bentuk agak berbeza, corak serangan dan kaedah kawalan keduanya hampir sama.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


Sunday, November 17, 2019

BUNGA CUCUR ATAS; TURUT DIGEMARI SANG KELULUT

Akak berpeluang untuk melawat tapak penanaman pokok cucur atap di Pusat Pertanian Rhu Tapai di Setiu, Terengganu. Sedap betul bau daun pokok cucur atap ni terutama apabila daunnya diramas



Pokok cucur atap (hujung atap) atau nama spesisnya Baeckea frutescens L (Myrtaceae); adalah pokok sejenis malar hijau kecil yang banyak tumbuh di kawasan berpasir disepanjang pinggir laut Asia Tenggara.


Daunnya seperti jarum, bunganya sangat kecil, berwarna putih dan tumbuh diketiak daun. Daun dan bunganya berbau harum ialah bahagian yang digunakan untuk menghasilkan teh. Minyak pati yang diekstrak dari daun cucur atap juga dikatakan dapat digunakan untuk mengurut bagi mengurangkan sakit urat dan badan.

Kajian oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menunjukkan pati yang diekstrak dari pokok cucur atap mampu untuk mengurang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menyebabkan penyakit gout!

Akak turut terbaca kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaysian Terengganu (UMT); Profesor Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini, Ketua Penyelidik Institut Bioteknologi Marin telah berjaya menemui agen antipenuaan bagi penjagaa kecantikan dari pokok cucur atap! Beliau telah dapat menghasilkan serum kecantikan yang setaraf dengan produk antarabangsa. Allahuakbar! Sungguh banyak keajaiban khazanah ciptaan Allah disekeliling kita yang masih kita belum terokai!

Semasa akak membuat lawatan pemantauan di Projek Farmer Field School di kawasan berdekatan, akak dapati kawasan tepi pantai ini turut ditumbuhi banyak pokok cucur atap yang liar. Dan yang lebih menarik, terdapat beberapa ekor kelulut Heterotrigona itama yang datang mengerumini serta mendapatkan nektar dari bunga-bunga cucur atap ini.

Kelihatan kelulut Heterotrigona itama mencari nektar pada bunga cucur atap.


Sekiranya segala kebaikan yang ada pada tumbuhan cucur atap ini dapat diurai dan diekstrak dalam bentuk madu, akak tidak dapat bayangkan betapa tingginya khasiat dan kebaikan madu cucur atap kepada pengamal madu kelulut! Wallahualam.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia




Saturday, November 16, 2019

BAGAIMANA LEBAH MENGHASILKAN LILIN UNTUK MEMBINA SARANGNYA?

Lebah madu menyimpan madu dan roti lebah serta meletakkan telur, larva dan pupa didalam binaan berbentuk heksagon yang dibina dari lilin lebah!

Dari mana datangnya lilin ini?

Kom yang dipenuhi telur dan larva pelbagai peringkat.

Mungkin ada yang belum tahu bahawa lilin yang digunakan untuk membina sarang lebah adalah dihasilkan oleh lebah muda! Subhanallah!

Sebaik sahaja lebah pekerja dewasa, ia mula menghasilkan lilin untuk kegunaan koloni. Lebah pekerja yang muda ini mempunyai empat pasang kelenjar (lapan kelenjar lilin) khas untuk mengeluarkan lilin yang terletak pada bahagian sternite yang ke 4, 5, 6 dan ke 7 pada abdomen. Dari kelenjar ini, lilin dikeluarkan dalam bentuk cecair dan akan mengeras membentuk kepingan apabila terdedah pada udara. 

Kepingan lilin yang sudah keras, lebah akan menggunakan bulu-bulu yang keras pada kaki belakangnya untuk mengeluarkan kepingan lilin dari abdomennya. Kepingan lilin tersebut akan dipindahkan ke kaki tengah dan seterusnya ke mandibel untuk dikunyah.

Lilin tersebut akan dikunyah sehingga ia mudah dibentuk. Setelah itu, lebah pekerja mula membuat binaan kom berbentuk heksagon menggunakan mulutnya. Lebah ini akan menyukat ketebalan dinding kom serta menentukan samada perlu mengurang atau menambah lilin.


Dikatakan dalam 12 jam, seekor lebah mampu menghasilkan 8 keping lilin dan koloni lebah memerlukan 1,000 keping kepingan lilin untuk menghasilkan 1 gram lilin untuk binaan sarangnya.


Bentuk heksagon pada kom lebah merupakan bentuk geometri binaan yang membolehkan lebah memaksimakan ruang penyimpanan tanpa menggunakan jumlah lilin yang banyak.

Apabila lebah meningkat usia, kelenjar penghasilan lilin ini tidak akan berfungsi lagi. Kerja-kerja menghasilkan lilin akan mula diserahkan kepada generasi lebah yang masih muda. Lebah yang lebih matang ini akan mulakan tugas mereka yang baru... 🐝🐝🐝


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...