Thursday, December 26, 2019

ADAKAH ANDA TAHU YANG POKOK BETIK (Carica papaya) ADA BUNGA BETINA, BUNGA JANTAN DAN BUNGA HERMAFRODIT?

Jika kita rajin mencari maklumat tentang tanaman ciptaan Allah s.w.t, kita akan semakin kagum dengan ciptaan Allah yang penuh keindahan dan misteri. Subhanallah, sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas.

Di sini akak nak berkongsi sedikit tentang kejadian pokok betik. Akak yakin masih ramai lagi yang belum tahu ciri-ciri yang ada pada bunga betik. Semestinya akan ada juga yang akan terperanjat apabila pokok betik bukan sahaja mengeluarkan bunga betina dan bunga jantan. Malah turut mengeluarkan bunga hermafrodit! Subhanallah!

Pokok betik ini adalah pokok yang jenis diesius dimana ada pokok betik yang hanya mengeluarkan bunga betina dan pokok betik yang hanya mengeluarkan bunga jantan. Dalam keadaan tertentu ada juga pokok betik yang hermafrodit.


Perbezaan antara bunga betina, bunga hermafrodit dan bunga jantan

Bunga jantan:
Bunga jantan pada pokok betik amat mudah untuk dikenali. Bunga jantan akan keluar berjambak dan kecil pada tangkai yang sepanjang 30 hingga 90 cm. . Saiz sekuntum bunga jantan adalah lebih kurang 2 ke 3 cm panjang dan 1.8 cm lebar.


Jambak bunga jantan


Kelihatan stamen pada bunga jantan

Bunga jantan tidak mempunyai ovari dan tidak akan menghasilkan buah betik. Bunga ini mempunyai stamen yang menghasilkan debunga yang akan mendebunga dan mensenyawakan ovari.

Bunga betina:
Bunga betina mempunyai saiz yang lebih besar berbanding bunga jantan. Saiz bunga betina adalah lebih kurang 3 cm lebar dan 6 cm panjang serta mempunyai 5 kelopak bunga. Kebiasaannya hanya terdapat sekuntum bunga betina sahaja. Tetapi adakalanya terdapat 2 ke 3 kuntum bunga betina dalam satu jambak yang terbentuk diketiak daun dengan tangkai yang pendek.


Bunga betina betik. 
Gambar kredit kepada Richard Manshardt


Ciri yang paling ketara pada bunga betina ialah ia mempunyai ovari yang besar dan bulat dengan stigma yang bercuping terbentuk diatasnya. Ovari bunga betina perlu disenyawakan dari debunga bunga jantan atau debunga dari bunga hemafrodit.

Bunga hermafrodit
Bunga hermafrodit mempunyai saiz yang kecil sedikit berbanding bunga betina. Bentuk bunga hermafrodit seakan-akan bentuk bunga betina.


Bunga hermafrodit betik.
Gambar kredit kepada Richard Manshardt

Perbezaannya hanyalah, bunga hermafrodit ini juga mempunyai stigma dan stamen yang melekat pada kelopak bunga. Ovari yang terdapat pada bunga hermafrodit ini agak memanjang berbanding ovari bunga betina yang bulat.

Ini bermakna, bunga hermafrodit ini mampu untuk mendebungakan sesama sendiri tanpa kehadiran bunga jantan.

Namun, bunga hermafrodit ini dikategorikan sebagai bunga yang tidak stabil dimana didalam  keadaan persekitaran yang berubah sama ada keaadan dimana nitrogen tinggi dalam tanah atau bekalan air berlebihan, bunga ini akan bertukar jantina (sex reversal) menjadi bunga betina.

Dalam keadaan sex reversal ini, stamen akan bercantum dengan tisu ovari. Pembentukan buah yang dihasilkan kelak akan menjadi tidak sekata (cacat) dan menyukarkan untuk memasarkan buah ini.

Buah betik hermafrodit dan buah betik betina
Bunga hermafrodit akan menjadikan buah betik yang terbentuk adalah bujur dan memanjang. Buah ini turut mempunyai isi yang tebal.


Bunga betina dan bunga hermafrodit betik

Manakala buah betik dari bunga betina akan menghasilkan buah yang berbentuk bulat dengan ruang ovari yang besar. Isi buah ini nipis berbanding buah hermafrodit.


Buah betik berdasarkan jantina betik.
a). Buah betik dari bunga hermafrodit
b). Buah betik dari bunga betina
c). Buah betik dari bunga hermafrodit yang mengalami sex reversal.
(Adaptasi dari Jime'nez et al., 2008).


Setakat ini dulu perkongsian dari akak. Terima kasih kerana sudi membaca.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

27/12/19






No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...