Sunday, November 8, 2020

KAEDAH PENGHASILAN BIJI BENIH BETIK SEKAKI

Salah satu proses yang perlu dibuat untuk menghasilkan benih betik adalah membuang kulit aril yang menyaluti biji betik yang dimakan sarkotesta. Sarkotesta akan menyebabkan biji betik dalam keadaan dorman dan lambat bercambah. Ini menyebabkan percambahan yang rendah dalam betik. 

Peringkat dorman adalah dimana peringkat dimana percambahan dihalang atau dilambatkan sehingga keadaan persekitaran sesuai untuk biji bercambah.  

Bagi menghasilkan sekilo benih betik, anggaran dalam 300kg betik diperlukan. Sebiji betik hanya boleh menghasilkan sekitar 80g biji betik basah sahaja. 

Pada berat 1g biji betik, akan terdapat sekitar 60 biji biji betik. Anggaran sekilo biji betik, terdapat sejumlah 6000 biji betik yang nilainya dipasaran sekilo berharga RM1,300.00 ! 



KAEDAH PENGHASILAN BENIH 

1. Pilih buah betik hermafrodit gred A 
    yang telah mencapai index 4 yang 
    bebas dari serangan serangga dan 
    penyakit terutama penyakit Virus 
    Bintik Cincin dan Mati Rosot. (Bagi 
    mengeluarkan biji benih betik, perlu 
    pastikan betik dari varieti atau jenis lain 
    tidak ditanam sekitar radius 500 meter 
    dari pokok yang alan dijadikan benih. Ini 
    adalah untuk menjaga ketulenan biji 
    benih yang dihasilkan. 

2. Buah betik yang telah dipilih akan 
    dipotong bagi mengambil hanya biji 
    dari bahagian tengah (3/5 bahagian) 
    sahaja diambil sebagai langkah         
    kawalan kualiti biji benih yang terhasil.
3. Biji benih dikeluarkan dari buah dan 
    direndam. Biji benih yang terapung 
    akan dibuang dan tidak akan dijadikan 
    benih. Hanya biji yang tenggelam 
    sahaja akan di proses untuk dijadikan 
    benih. 

4. Biji benih yang terpilih perlu menjalani 
    proses membuang aril luar (sarkotesta) 
    yang menyaluti biji benih berkenaan. 

Proses membuang sarkotesta

Biji betik yang telah dibuang sarkotesta (kiri). 
Biji betik yang belum dibuang sarkotesta (kanan)

5. Biji benih yang telah dibuang 
    sarkotesta, akan dibasuh bersih bagi 
    membuang lebihan sarkotesta pada 
    kulit. Selepas dibersihkan, biji benih 
    akan dirawat dengan racun kulat. 

6. Betik dikeringkan pada suhu ambien 
     selama 4 ke 7 hari sebelum disimpan 
     pada suhu 10 - 15 darjah celsius.

7. Ujian percambahan biji benih perlu 
    dijalankan di makmal ujian biji benih.     
    Biji benih perlu melepasi sebanyak 70% 
    sebelum ia diedar kepada pelanggan. 

Ingin akak maklumkan, biji betik mempunyai enzim Papain yang alan memberi kesan kepada tangan semasa proses pembuangan sarkotesta pada biji betik. Maka pekerja perlu memakai sarung tangan bagi mengurangkan kesan enzim Papain pada tangan. Boleh baca disini bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai enzim Papain.

Di sini akak ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT) Titi Gantong, Jabatan Pertanian Negeri Perak diatas perkongsian maklumat, penghargaan yang tidak terhingga akak rakamkan buat puan Norhayati Haron, Ketua Penolong Pengarah, BPIT Titi Gantong, kerana berkongsi maklumat yang berkaitan. 


     Poster proses pengeluaran benih betik        oleh Bahagian Pembangunan Industri                        Tanaman Negeri Perak


#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

8/11/2020




APAKAH KEGUNAAN GETAH BETIK ?

Getah betik ini sedikit berasid dan mengandungi hampir 80% kandungan air. Ia turut mengandungi gula, kanji, minerals dan lain-lain, termasuk enzim lipases, cellulases dan cysteine proteases (Papain, chymopapain) yang mana ianya penting sebagai pertahanan dari serangan serangga yang makan daun. 

Kita mungkin tidak pernah tahu kenapa orang dulu masak daging gunakan buah betik muda atau daun betik untuk melembutkan daging. 




Keadaan ini berlaku kerana, getah betik mengandungi sejenis enzim yang dinamakan Papain. Enzim Papain ini akan bertindak mencernakan dan mengurai struktur protin yang terdapat pada daging. 

Penghasilan Papain bergantung kepada kematangan buah betik. Getah betik dari buah betik yang kurang matang (buah muda) mengandungi kandungan Papain yang lebih tinggi berbanding getah betik dari buah betik yang matang. Buah muda yang lebih besar menghasilkan lebih berbanding buah muda yang mempunyai saiz yang kecil.

Papain kini boleh didapati dalam bentuk serbuk dan cecair dipasaran. Antara kegunaan papain ialah boleh dijadikan bahan untuk memutihkan gigi, untuk rawatan gigitan serangga, produk kecantikan kulit dan lain-lain.

Dibawah ini, akak kongsi kaedah melembutkan daging untuk dibuat sate.

Kaedah penggunaan daun betik dalam pembuatan sate daging
1. Daging dihiris dan dilumur dengan 
    bahan-bahan perencahnya.
2. Daging yang telah digaul perencah, 
    dibungkus dengan daun betik. Daging 
    yang telah siap dibungkus, dibiarkan 
    selama 1 jam.
3. Setelah itu, sate daging telah sedia 
    untuk dibakar. 


Selamat mencuba.

#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

8/11/2020







Tuesday, November 3, 2020

KAEDAH TUT BAGI MENGHASILKAN ANAK POKOK MELALUI DAHAN POKOK

Terdapat pelbagai kaedah secara aseksual (vegetatif/ tampang) dalam pembiakan tanaman bagi penghasilan anak pokok. Kaedah ini dilakukan terutama pada pokok yang tidak berupaya mengeluarkan biji benih yang banyak atau bagi menghasilkan anak pokok yang sama dengan induknya. 

Salah satu yang sering digunakan ialah kaedah tut (marcott) atau kaedah lenturan udara. Kaedah ini sesuai digunakan untuk membiakkan tanaman buah-buahan jenis berkayu yang keras seperti pokok limau purut, pokok jambu batu, pokok ciku dan lain-lain. Pembiakan kaedah tut ini dilakukan pada dahan atau ranting yang masih terlekat pada pokok induk. 

Kelebihan kaedah ini ialah pembiakan kaedah tampang ini tidak akan mengubah genetik dan ciri-ciri fizikal yang terdapat pada pokok induk tanaman berkenaan. Anak pokok yang terhasil cepat matang dan akan mewarisi rupa bentuk (morfologi) dan ciri yang sama dengan induk asal. 

Namun, ia turut mempunyai kelemahan dimana pokok yang melalui kaedah pembiakan tut akan mudah tumbang kerana ia tidak mempunyai akar tunjang yang akan menahan berat pokok. 


BAGAIMANA IA BERLAKU?
------------------------------------------
Dibawah lapisan kulit pokok jenis dikotiledon mempunyai lapisan sel yang dipanggil floem. Floem berfungsi untuk mengangkut karbohidrat serta fotostat (termasuk hormon auksin) dari daun ke bahagian bawah pokok yang lain. 

Lapisan kambium berada diantara lapisan sel floem dan lapisan sel xilem. Kambium merupakan sel yang aktif dalam pembahagian dan pembesaran sel. Kambium pada tumbuhan berfungsi untuk pertumbuhan akar, daun, bunga dan batang pokok. Kambium turut menyalurkan hasilan dari proses fotosintesis ke bahagian akar. 

Teknik tut ini mengelar bahagian kulit pokok dan mengikis kambium bagi menyekat bahagian pucuk yang terlibat dari mendapat makanan dan air dari pokok induk. 
Apabila aliran dalam kambium diputuskan (dengan mengikis kambium), bekalan makanan akan terkumpul dibahagian floem yang telah dipotong kerana makanan tidak dihantar ke bahagian lain pada pokok, maka akar akan terbentuk. 


KAEDAH PEMILIHAN POKOK UNTUK KAEDAH TUT
---------------------------------------------------------------
1. Pilih dahan atau ranting dari pokok 
    induk yang sihat yang mempunyai 
    diameter sekurang-kurangnya 1cm  
    (Anggaran sebesar batang pensel). 

2. Ranting yang muda yang telah 
    mempunyai beberapa helai daun aktif   
    yang segar dipilih untuk ditut. 
    Pembentukan daun yang aktif ini akan 
    mempercepatkan proses pengakaran 
    pokok. Pemilihan ranting yang tua, 
    melambatkan proses pengakaran serta 
    sukar untuk diuruskan.  


KAEDAH TUT
---------------------
1. Sediakan peralatan seperti berikut:
    a. Pisau yang tajam dan bersih
    b. Hormon pengakaran yang 
        mengandungi kandungan IBA (indole-
        3-butyric acid) ( Seradix).
    c. Media tut (Cocopeat (Jiffy 7) atau 
        campuran tanah, Pasir dan hampas 
        kelapa)
    d. Plastik lutsinar
    e. Tali rafia atau cable tie
    f. Gunting pemangkas (scatteurs)

2. Buat dua kelaran pada kulit dahan 
    sehingga ke bahagian kambium. 
    Kelaran pertama dibuat dibawah mata 
    tunas dan kelaran kedua, dibuat pada 
    jarak lebih kurang 3 ke 5 cm dari 
    kelaran pertama.

   
3. Kupas kulit tersebut dan keluarkan dari 
    dahan. Kikis kambium (lapisan hijau) 
    pada bahagian yang telah dikeluarkan 
    kulit sehingga nampak lapisan putih 
    (kayu). 


4. Hormon penggalak akar disapu 
    pada bahagian bahagian dahan yang 
    telah dikikis bagi meransang 
    pembentukan akar. 


5. Media tut yang telah dilembapkan 
    ditekap kemas pada bahagian dahan 
    yang telah diletakkan hormon 
    penggalak akar tadi.

                   Jiffy 7 atau Cocopeat.

               Jiffy 7 yang direndam untuk 
                        melembapkan media

       Jiffy 7 yang sudah sedia digunakan

      Belah jiffy 7 bagi persediaan untuk 
       ditekap kepada dahan yang telah 
       ditut. 

       Tekap Jiffy 7 pada dahan yang telah 
       disapukan dengan hormon. 

6. Balut bahagian yang telah ditekap 
    dengan media menggunakan plastik 
    lutsinar. Ikat kedua hujung plastik 
    berkaitan bagi mengelak air diserap.

       Jiffy 7 dibalut menggunakan plastik 
                               lutsinar.

7. Dahan yang telah ditut dibiarkan 
    sehingga nampak pertumbuhan akar 
    melalui plastik (selepas 2 ke 3 bulan).

8. Ranting akan dikerat dan ditanam 
    dalam polibeg. Polibeg yang telah 
    diletak keratan pokok, perlu diletakkan 
    ditempat yang teduh untuk 
    pertumbuhan akar sebelum ditanam 
    diladang. 


APA ITU HORMON PENGGALAK AKAR?
--------------------------------------------------------
Hormon penggalak akar mengandungi IBA iaitu Indole-3-Butyric Acid merupakan hormon tumbuhan auksin sintetik yang menggalakkan pertumbuhan pokok. Auksin memainkan peranan yang penting dalam pembahagian dan pertumbuhan sel.  Penggunaan hormon ini akan mempercepatkan proses pertumbuhan akar pada dahan yang ditut. 

Selamat membaca....🍃🌱

#InstitutPertanianTitiGantong,Perak
#JabatanPertanianMalaysia

3/11/2020

Thursday, October 29, 2020

RESEPI SAMBAL DARI TERUNG SATOK

Jika dilihat pada pokok terung satok atau turut dikenali sebagai terung bulu, terung adam atau terung hutan, pokok ini mempunyai buah yang berbulu. Buah muda berwarna hijau dan akan bertukar berwarna kuning apabila masak. Daunnya turut berbulu dan berduri. 

Buah terung satok yang sudah masak dipokok

Kelihatan deretan buah terung satok yang mempunyai permukaan yang berbulu.

Terdapat duri pada bahagian batang dan daun pokok. 

Buah terung satok muncul pada batang pokok.

Putik bunga terung satok. Perhatikan duri pada permukaan daun, ranting dan batang pokok.

Pokok ini mempunyai daun yang lebar dan berduri. 

Pokok terung satok tumbuh liar dikawasan semak. Buah terung yang tua dan juga yang sudah masak sering dijadikan masakan lemak atau masak kari. 

Buahnya yang telah masak mempunyai rasa yang masam turut dijadikan bahan campuran dalam membuat sambal.

Buah terung satok yang tua dan yang telah masak.

Buah terung satok yang telah dibelah. Kelihatan bijinya yang banyak.

Akak mencuba mencicah buah mentah. Rasanya agak masam dan seakan-akan rasa buah tomato.

Dalam rawatan traditional, buah satok yang sudah masak turut dijadikan bahan untuk merawat sakit pasang terutama dikalangan orang lelaki. 

Akak kongsikan sedikit kegunaan buah terung satok sebagai rujukan pembaca 😊.


SAMBAL TERUNG SATOK
----------------------------------------
1. Pilih terung satok yang berwarna 
    kuning. Layur pada api. (Tidak layur pun 
    tidak apa).
2.Tumbuk terung satok yang telah dilayur 
    bersama ikan bilis dan cabai burung.
3. Perah limau nipis dan campur garam 
    secukup rasa.






TERUNG SATOK UNTUK RAWATAN PENYAKIT PASANG
------------------------------------------------------

1. Layurkan pada api buah terung satok 
     yang telah masak dipokok.
2. Demah buah yang telah dilayur pada 
     bahagian sakit. 
3. Layur semula buah terung apa bila  
     buah telah sejuk dan demah semula. 
     Proses diulang 3 kali. 

In Sya Allah, dengan izinNya, penyakit akan beransur sembuh. 

#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

30/10/2020

Saturday, October 24, 2020

DUA KAEDAH PEMBIAKAN POKOK LIDAH JIN; APA YANG PERLU KITA TAHU?

Pokok Sansevieria trifisciata atau lebih dikenali sebagai pokok lidah jin atau lidah mertua telah menjadi viral kerana kepentingannya dalam mengurangkan risiko pencemaran didalam bangunan. 

          Pokok Sansevieria Moonshine 



   Pokok Sansevieria trifasciata Laurentii

       Pokok Sansevieria trifasciata

Pokok ini juga digemari kerana mudah dijaga, cantik dan mempunyai pelbagai kultivar. Pokok ini boleh hidup dalam keadaan yang berbeza. Ia mampu hidup dalam keadaan pencahayaan dan bekalan air yang rendah. 


KAEDAH PEMBIAKAN POKOK SANSEVIERIA
------------------------------------------------------
Pokok Sansevieria boleh dibiakkan dengan dua cara:
I. Melalui belahan rumpun atau rizom
II. Melalui keratan daun


PEMBIAKAN POKOK SANSEVIERIA  KAEDAH BELAHAN RUMPUN ATAU RIZOM
------------------------------------------------------------------
Untuk memudahkan pembiakan pokok menggunakan kaedah belahan rumpun atau rizom, media tanaman perlu disiram terlebih dahulu bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan rumpun pokok dari pasu. 


Rumpun-rumpun kecil yang telah dipecahkan dimasukkan dalam pasu yang baru dengan media tanaman yang baru dengan nisbah 1:1:1 (Nisbah bagi tanah:bahan organik:pasir). 


PEMBIAKAN POKOK SANSEVIERIA KAEDAH KERATAN DAUN
-----------------------------------------------------------
Pokok Sansevieria jugs boleh dibiakkan melalui keratan daunnya. Daun yang sudah matang dipilih bagi mendapatkan anak pokok yang subur. 

Pisau yang faham dan bersih perlu digunakan untuk memotong daun yang telah dipilih bagi mengurangkan kerosakan dan pencemaran pada keratan daun. 

Daun pokok dikerat kepada beberapa keratan bersaiz lebih kurang 3 inci. Sebolehnya bahagian bawah segmen daun yang telah dikerat, dirawat dengan hormon penggalak akar. 

Cucuk bahagian bawah segmen daun dalam media tanah. Siram media tanah. Pasu semaian perlu ditutup dengan plastik lutsinar.

Pasu semaian perlu diletak ditempat yang redup bagi mengekalkan kelembapan media tanaman dan keratan tanaman. 

Selepas beberapa minggu, keratan daun akak mula tumbuh akar dan mula mengeluarkan pucuk. 


Pucuk mulai keluar dari keratan daun yang disemai.

Pokok muda yang telah boleh dialih ke dalam pasu


Apabila anak pokok telah tumbuh, pokok baru ini sudah boleh dipindahkan ke dalam pasu. 


APA YANG KITA PERLU TAHU MENGENAI PEMBIAKAN POKOK SANSEVIERIA
------------------------------------------------------------
Pokok Sansevieria mempunyai pelbagai kultivar dan ada diantaranya mempunyai variasi (variegated) iaitu mempunyai warna jaluran putih dan kuning pada daunnya seperti pokok Sansevieria trifasciata Laurentii, Moonshine, Golden Hahnii dan Bantel's Sensation.

Pokok Sansevieria yang jenis variegated, mempunyai dua atau lebih genotip dalam lapisan yang menghasilkan hujung pucuk.  Dua jenis sel iaitu sel tanpa pigmen klorofil (warna hijau) dan sel tanpa pigmen (warna putih atau kuning). Keadaan ini dipanggil sebagai chimera iaitu sifat mutasi pada daun. 

Daun pokok yang mengalami variegation ini akak mempamerkan warna hijau dan putih atau kuning. Warna putih dan kuning adalah disebabkan bahagian yang terdapat pada daun tersebut kekurangan pigmen hijau dari klorofil. 

Sel yang mempunyai pigmen klorofil (hijau) merupakan sel yang berupaya membuat makanan sendiri melalui proses fotosintesis. Sel yang tiada pigmen klorofil alan bergantung sepenuhnya kepada induk bagi mendapatkan makanan. 

Apabila keratan daun dari pokok yang variegated disemai membentuk kalus, hanya sel yang mempunyai klorofil yang berjaya melalui proses pembahagian sel dan akhirnya membentuk anak pokok yang berwarna hijau,  dan jalur putih atau kuning tidak diwarisi oleh anak pokok akibat ketiadaan makanan dalam sel berkenaan

Sifat chimera pada pokok Sansevieria ini ada yang stabil dan ada yang tidak stabil. Maka ia akan mempamerkan sifat chimera dan akan kembali ke sifat induk yang asal. 

Keratan yang disemai di Unit Florikultur, Institut Pertanian Titi Gantong, Perak menunjukkan anak pokok yang keluar tidak mempunyai sifat daun berjalur kuning.

Disebabkan sifat chimera yang ada pada pokok Sansevieria trifasciata Laurentii, pokok ini tidak sesuai untuk dibiakkan menggunakan kaedah keratan daun. 

Sekiranya daun dari pokok ini disemai, anak yang terbaik dari kaedah pembiakan ini tidak akan menghasilkan pokok Sansevieria yang mempunyai jalur kuning yang cantik, tetapi anak yang keluar adalah berwarna hijau seperti pokok Sansevieria trifasciata yang berwarna hijau sahaja. 

Bagi mengekalkan anak pokok Sansevieria trifasciata Laurentii yang mempunyai jalur kuning, pembiakan hanya boleh melalui kaedah keratan rumpun sahaja. 

Akak ucapkan terima kasih kepada Cik Devaky dan Puan Nur Farahana dari Unit Florikultur, Institut Pertanian Titi Gantong, Bota, Perak diatas maklumat dan perkongsian maklumat. 


#InstitutPertanianTitiGantong
#JabatanPertanianPerak

24/10/2020

Saturday, September 19, 2020

HALAU KERA DENGAN BELACAN?

Pernah dengar pepatah "bagai kera kena belacan?"

Sumber gambar dari Google.

Kera (Macaca fascicularis) dan beruk (Macaca nemestrina) adalah nama binatang yang tidak asing lagi yang kita dengar yang sering mengganggu atau memusnahkan tanaman atau kawasan penginapan. Bilangan mereka yang ramai dalam satu-satu kumpulan boleh menyebabkan kerosakan dan kerugian yang besar. 

Haiwan ini mempunyai kadar pembiakan yang tinggi dan bergerak aktif secara berkumpulan dari awal pagi sehingga waktu senja. Waktu yang paling aktif adalah sekitar 7.30 hingga 11.30 pagi Dan dari jam 4.00 hingga 6.00 petang. 

Haiwan ini tergolong didalam haiwan yang dilindungi dibawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No.76, tahun 1972. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) adalah Jabatan yang bertanggungjawab menangani masalah gangguan dari haiwan-haiwan ini termasuk gajah, harimau, helang dan sebagainya. 


Bagaimana belacan boleh membantu menjauhkan haiwan-haiwan ini?
------------------------------------------------

Disini akak akan kongsikan kaedah yang mudah untuk mengelak kera dari menghampiri ladangnya dan seterusnya memusnahkan hasil ladang. 

Terlebih dahulu akak ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada en Rosman Mamat dan en Syed Putra diatas perkongsian maklumat.


Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan:

Belacan, Ubat gegat, Kain buruk dan Tali.

Kaedahnya:

1. Campur sehingga sebati belacan dan ubat gegat.

2. Campuran yang telah sebati diletakkan ke atas kain yang telah dipotong kecil.

3. Ikat kain dengan tali.

4. Gantong bunjut yang mengandungi campuran belacan dan ubat gegat dilaluan kera.



Selain kaedah diatas, kaedah lain yang boleh digunakan ialah dengan membancuh belacan dengan air. Air belacan yang agak pekat, diikat didalam plastik (plastik aiskerim juga boleh digunakan). Letakkan sedikit pewarna merah bagi nampak menarik.

Bungkusan plastik yang mengandungi air belacan ini digantong di sekeliling kebun atau ladang. Kera yang datang mengganggu bungkusan tersebut , akan melarikan diri dan akan cuba menjauhi plastik yang telah dikenal pasti mengandungi air belacan.

Kejayaan inovasi oleh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu Muhammad Solihin Hamzah juga telah berjaya menggunakan campuran belacan Dan kacang yang diletakkan dalam botol plastik telah terbukti berjaya menyelesaikan masalah monyet yang berkeliaran di kolej-kolej kediaman pelajar didalam kampus. Subhanallah!

Akak sendiri masih cuba merungkai misteri perkaitan diantara kera dan belacan ini! 😅

Apa-apapun, akak ucapkan selamat mencuba 🥰🥰🥰.....

#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia
19/9/2020

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...