Wednesday, December 11, 2019

APA YANG KITA PERLU TAHU TENTANG KELAPA MAKAPUNO

Akak terpanggil untuk membuat sedikit penulisan mengenai kelapa makapuno yang sekarang ini sedang hangat diviralkan kerana keunikan isi kelapa berkenaan. Semoga penulisan artikel yang agak ringkas dari akak ini dapat memberi sedikit idea "Adakah pokok kelapa makapuno ini berbalul untuk kita tanam". 

Buah kelapa makapuno adalah merupakan buah kelapa mutan yang nampak seperti kelapa biasa dari luar tetapi mempunyai endosperma atau isi kelapa yang lembut seakan jeli yang lutsinar;  dan ia sama ada mempunyai sedikit atau tiada langsung air kelapa di dalam.  




Buah kelapa makapuno (Gambar kredit kepada Thapsakaecoco of Thailand)




Keunikan buah kelapa makapuno ini ialah kerana sifatnya homozigus pada pokok ini
dikawal oleh alel atau gen-gen yang resesif yang terdapat pada endosperma yang triploid. Kejadian mutasi pada buah kelapa ini menjadikan isi kelapanya lembut hampir memenuhi ruangan kaviti pada tempurung kelapa yang matang. 





Akak difahamkan bahawa terdapat 3 jenis kelapa makapuno berdasarkan kejadian isi jeli (endosperma) yang terbentuk memenuhi tempurung:
Jenis I: Mempunyai isi yang tebal dan lembut. Kaviti dipenuhi sedikit air kelapa (liquid endosperm).
Jenis II: Mempunyai isi yang lembut dalam bentuk pepejal yang memenuhi 50% dari kaviti dan selebihnya adalah air kelapa yang pekat. 
Jenis III: Isi pepejal memenuhi hampir keseluruhan kaviti , hanya terdapat sedikit atau hampir tiada air kelapa.





Benih kelapa makapuno agak susah untuk diperolehi kerana kerana kadar percambahan kelapa jenis ini amat rendah iaitu dibawah 5% sahaja. Di dalam keadaan biasa, embrio kelapa makapuno yang normal tidak dapat membentuk dengan baik kerana pembentukan endosperma yang membantu dalam percambahan adalah tidak normal. Endosperma ini akan mereput apabila buah kelapa matang (lebih kurang 11 bulan dari persenyawaan). 

Disebabkan buah kelapa makapuno yang matang tidak boleh bercambah, negara Filipina menggunakan teknologi mengkulturkan embrio (embryo culture technology) bagi memastikan embrio tersebut boleh menjadi anak benih kelapa makapuno yang tulen!

Untuk menghasilkan buah kelapa makapuno yang mempunyai isi seakan jeli, pokok makapuno perlu ditanam berasingan dari pokok kelapa normal yang lain bagi mengelak berlakunya pendebungaan bersilang. Apabila pendebungaan bersilang berlaku, debunga dari pokok kelapa normal yang lain akan membawa ciri-ciri kelapa normal pada pembentukan endosperma dan menyebabkan kejadian isi jeli tidak berlaku !

Kajian menunjukkan, sekiranya hanya pokok kelapa makapuno ditanam berdekatan dan jauh dari pokok kelapa normal yang lain, kejayaan penghasilan kelapa makapuno adalah antara 75 -100%. Dan sekiranya pokok kelapa makapuno ditanam bersama pokok kelapa normal yang lain, penghasilan kelapa jeli adalah hanya diantara 2 -20% sahaja kerana sifatnya yang heterozigot maka sifat kelapa jeli tidak terserlah.



Kelapa makapuno dari Stesyen kelapa di Teluk Bharu, Perak



Di sini akak ingin memberi sedikit pandangan akak tentang penanaman kelapa makapuno ini. Akak sedar ramai yang diluar sana teruja dengan keunikan kelapa jeli ini. Namun, kita perlu sedar pokok ciptaan Allah ini turut ada sifatnya yang tersendiri yang unik. Sekiranya pengurusan dan "kehendak" pokok tersebut tidak kita penuhi, apa yang kita hajati tidak akan tercapai. Ini bermakna sekiranya pokok kelapa makapuno yang ditanam bersebelahan dengan pokok kelapa yang lain, buah makapuno yang dihasilkan kelak tidak akan mewarisi isi yang berbentuk jeli! Sekiranya berjaya terhasil, peratus kejayaannya sangat rendah.

Di negara Filipina, isi buah kelapa makapuno ini diinovasikan, diproses untuk menjadi gula-gula yang kenyal (akak tidak suka rasa candy ini 😅), aiskrim, makanan pencuci mulut,  masakan pastri dan lain-lain lagi.

Gula-gula makapuno


Dibawah ini akak kongsi sedikit gambar-gambar teknologi pengkulturan embrio bagi menghasilkan anak kelapa. Program ini adalah program 3rd International Coconut Festival yang diadakan di Manila, Filipina pada tahun 2016 yang lalu.

Setakat yang akak tahu, kelapa tidak boleh melalui pembiakan menggunakan kaedah tisu kultur kerana kepelbagaian gen dalam tisu kelapa (akak harap akak guna terma yang betul). Maka atas sebab itulah, embrio digunakan dalam penghasilan anak benih dimakmal di Filipina ini. Satu embrio yang telah dikenalpasti mampu menghasilkan 1000 anak benih kelapa kelak!
Subhanallah. Luasnya ilmu Allah...




Akak berpeluang bertemu salah seorang penyelidik dari Philippine Coconut Authority , Christy. Beliau banyak terlibat dalam kajian teknologi embrio dalam tisu kultur


Antara poster teknologi yang dipamerkan


Tisu bahagian plumul atau pucuk


Pembentukan kaloid dari plumul embrio 


Embrio somatic telah mula terbentuk


Embrio somatic yang telah mula bercambah


Anak pokok kelapa yang telah berjaya dihasilkan di makmal


Pandangan dekat anak pokok kelapa 


Untuk bacaan berkaitan, boleh klik disini. 

Wallahualam

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

12/12/19





1 comment:

  1. MEmang banyak tawaran menjual anak pokok kelapa ini.. tak tahulah keasliannya.. Kalau melalui proses yang sukar macam ni, mesti harganya pun mahal juga...

    ReplyDelete

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...