Wednesday, December 11, 2019

RESIN KUNING PADA BUAH MANGGIS MENURUNKAN KUALITI BUAH

Resin yang berwarna kuning yang terdapat pada buah manggis (gamboge disorder) adalah salah satu masalah selain kejadian lut sinar pada isi buah manggis yang menghadkan peluang untuk mengeksport buah-buahan ini ke luar negara.


Gamboge atau resin berwarna kuning pada kulit manggis yang hampir masak


Gamboge sudah mula kelihatan pada kulit manggis yang masih muda


Kejadian gamboge disorder dan isi lutsinar (transparent flesh) pada buah manggis masih belum dapat diatasi terutama apabila kejadian ini dikaitkan dengan cuaca (agroclimatology) dan faktor persekitaran. Kejadian pada buah manggis ini memberi kesan dalam pemasaran dan harga buah ini sama ada dalam pasaran tempatan atau luar negara.

Dalam kejadian gamboge, bahagian perikap (kulit) dan bahagian isi buah yang ada resin berwarna kuning akan berubah warna menjadi perang kemerahan dan seterusnya akan menjadi mengeras.

Buah yang mengeluarkan resin atau getah kuning ini bukan sahaja akan bertukar warna malah turut menukar rasa buah-buahan tersebut.

Resin kuning ini dikeluarkan oleh beberapa saluran yang diterdapat pada bahagian eksokap (kulit bahagian luar), mesokap (kulit bahagian tengah) dan endokap (kulit bahagian dalam).  Saluran pengeluaran resin ini turut ada di bahagian aril buah, bunga batang dan daun pokok ini. Saluran yang terbesar terdapat pada bahagian endokap yang mana ia bersambung terus dari tangkai ke buah.


Bahagian mesokap 


Kejadian gamboge disorder pada isi buah


Resin kuning ini akan meresap masuk ke dalam aril akibat saluran resin yang bocor akibat hujan yang lebat. Angin, pengendalian pengendalian buah yang tidak baik yang menyebabkan kecederaan fizikal pada kulit buah, serta serangan perosak juga turut menyebabkan kebocoran berlaku. Resin kuning yang menyerap masuk dalam aril akan menyebabkan rasa pahit pada isi manggis.

Saluran resin akan bocor atau pecah semasa peringkat pertumbuhan yang pantas. Pertumbuhan biji dan aril yang pantas menghasilkan tekanan yang kuat dalam endokap dan menyebabkan saluran resin bocor atau pecah. Kejadian ini selalunya disebabkan sel-sel epithelial lemah.

Kejadian gamboge atau kebocoran resin kuning ini dapat dikurangkan dengan memberi bekalan kalsium pada pokok bagi menguatkan dinding sel. Pengairan dan saliran yang baik juga penting terutama diperingkat pembentukan buah bagi mengurangkan tekanan air yang tinggi dalam sel dan seterusnya menyumbang kepada kejadian gamboge.

Gamboge ini adalah resin yang digunakan dalam industri sebagai pigmen dalam cat dan turut digunakan sebagai pewarna dalam varnis.

Untuk bacaan lain mengenai kejadian lutsinar pada isi manggis boleh klik disini.

Wallahualam.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

11/12/1

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...