Saturday, December 7, 2019

KERACUNAN CENDAWAN LIAR Chlorophyllum molybdites YANG DISANGKA CENDAWAN BUSUT

Ramai diantara kita mungkin teruja apabila melihat cendawan yang tumbuh dengan subur diatas tanah dihalaman rumah. Dan ramai juga yang tertanya-tanya adakah cendawan yang tumbuh ini boleh dimakan dan ada juga yang bertanya sama ada cendawan tersebut adalah cendawan busut atau cendawan tahun?

Untuk makluman semua, cendawan yang sering tumbuh di permukaan tanah sama ada tumbuh bersendirian atau berpasangan dikawasan berumput ini ialah sejenis cendawan beracun yang dikenali sebagai Chlorophyllum molybdites (G. Mey.) Massee.


Pandangan tepi cendawan Chlorophyllum molybdites yang beracun yang sering disamakan dengan cendawan busut


Pandangan atas cendawan Chlorophyllum molybdites yang tumbuh subur


Cendawan Chlorophyllum molybdites  ini seringkali disamakan dengan sejenis cendawan busut liar yang turut muncul dari permukaan tanah.

Akak pernah menulis artikel ringkas mengenai cendawan busut atau cendawan tahun ini yang mana cendawan ini akan muncul dipermukaan tanah sekali atau dua kali sahaja setahun terutama selepas hujan lebat yang diikuti dengan petir. Cendawan busut ini akan tumbuh berhampiran dengan sarang anai-anai.


Poster oleh Prof Madya Dr Tan Yee Shin dipamerkan semasa Simposium dan fiesta cendawan di Pusat Sains Negara


Akak terpanggil untuk menulis artikel ringkas mengenai cendawan beracun ini sebagai bacaan pembaca blog akak untuk mengelak kejadian kes keracunan akibat memakan cendawan liar agar tidak berulang lagi.

Akak ingin merakamkan ucapan terima kasih buat Dr Phan Chia Wei serta Prof Madya Dr Tan Yee Shin diatas perkongsian maklumat mengenai cendawan beracun semasa di Simposium dan Fiesta Cendawan di Pusat Sains Negara baru-baru ini.

Ingin akak tegaskan disini, keracunan ini bukan sahaja disebabkan memakan cendawan liar yang mempunyai racun; TETAPI ia juga mungkin disebabkan memakan cendawan yang telah diracun atau yang telah menyerap racun dari tiupan angin. Kita perlu tahu bahawa cendawan mempunyai sifat yang menyerap lembapan dari udara. Racun yang diterbangkan oleh angin mungkin telah diserap oleh cendawan yang tumbuh berhampiran.

Cendawan Chlorophyllum molybdites ini adalah cendawan liar yang sering tumbuh subur selepas hujan lebat pada permukaan tanah di kawasan semak, hutan dan padang. Cendawan ini turut dikenali sebagai cendawan klorofil kerana diantara ciri khusus cendawan ini adalah mempunyai spora yang berwarna hijau. Berdasarkan nama saintifik cendawan ini iaitu; chloro bermakna hijau dan phyllum bermakna daun.


Cendawan Chlorophyllum molybdites


Pada bahagian atas penutup atau payung (cap) cendawan yang putih kekuningan ini, terdapat seakan-akan sisik coklat lembut keperangan yang berselerak dibahagian tengah cap tersebut.

Sisik coklat pada bahagian cap


Cap cendawan ini berwarna putih semasa masih kudup (muda) dan bertukar ke warna kelabu kehijauan atau perang kehijauan apabila sudah matang.

Batang cendawan turut akan bertukar warna dari warna putih ke warna keperangan. Insang cendawan ini turut berwarna kehijauan kerana spora yang dihasilkan adalah berwarna hijau. Pada batang cendawan terdapat cecincin (ring) yang berwarna kekuningan yang melingkari.
Tidak terdapat volva (selaput) yang menyelubungi cendawan ini pada peringkat awal pertumbuhan.


Insang pada cendawan yang berwarna kehijauan


Terdapat cecincin pada batang cendawan



Akak difahamkan bahawa simptom kesan keracunan akibat makan cendawan ini akan mula dirasai selepas sejam atau dua jam selepas cendawan itu dimakan.

Antara simptom keracunan akibat makan cendawan beracun ini ialah iristasi gastrointestinal seperti loya, muntah-muntah dan cirit-birit. Pesakit turut mengalami gejala neurologikal seperti kecelaruan fikiran, halunasi, gangguan kordinasi otot, sawan dan gejala lain seperti demam serta sakit kepala.

Sebahagian toksin ini juga mempunyai kesan jangka panjang. Keadaan pesakit boleh menjadi sangat kritikal hingga membawa kepada kegagalan organ dalaman tubuh daripada berfungsi terutama hati dan kegagalan buah pinggang; dan ada juga yang menyebabkan kematian!

Kesan keracunan mungkin berbeza berdasarkan jumlah cendawan yang dimakan, kematangan cendawan tersebut serta kesan terhadap daya tahan individu yang memakan cendawan. Allahuakbar!

Di sini akak ingin berpesan, akak tahu cendawan adalah diantara makanan yang banyak khasiat dari segi nutrien dan perubatan. Namun beberapa perkara perlu diambil kira sebelum cendawan dimakan! Diantaranya;  pastikan hanya memakan jenis atau spesis cendawan yang biasa dimakan atau yang dijual secara komersil dan disahkan selamat untuk dimakan.

Jangan mengutip cendawan liar yang tidak diketahui keadaan persekitaran dimana cendawan itu tumbuh kerana dikuatiri kawasan berkenaan baru disembur racun rumpai dan sebagainya.

Jika tidak pasti cendawan tersebut boleh atau tidak untuk dimakan, JANGAN MAKAN CENDAWAN TERSEBUT!

Akak berharap artikel ini dapat membantu para pembaca dalam membuat keputusan sebelum memakan cendawan terutama cendawan liar.

Jika ingin membaca mengenai cendawan busut atau cendawan tahun, sila klik disini

Wallahualam


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

7/12/19






No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...