Friday, November 20, 2020

LALAT BUAH; MUSUH UTAMA BUAH-BUAHAN

Terdapat kira-kira 4,000 spesis lalat buah yang meliputi kawasan tropika, subtropika dan ilkim sederhana. Di Malaysia, terdapat lebih daripada 100 spesies lalat buah telah direkodkan. 

Lalat buah adalah serangga jenis polifagus (polyphagous) yang memakan pelbagai jenis makanan dan menyebabkan kerosakan kepada berbagai jenis buah-buahan. Lalat buah termasuk dalam order Diptera dan famili Tephritidae. 

Antara spesis lalat buah yang terdapat di Malaysia ialah:
Bactrocera papayae;
Bactrocera carambolae;
Bactrocera cucurbitae;
Bactrocera umbrosa;
Bactrocera latifrons (Oriental Fruit Fly) dan lain-lain.



MENGENAL LALAT BUAH JANTAN DAN LALAT BUAH BETINA

Amat mudah untuk mengenali perbezaan diantara lalat buah jantan dan lalat buah betina. Abdomen pada lalat buah jantan berbentuk bulat, manakala abdomen pada lalat buah betina terdapat ovipositor. 

                        Lalat buah jantan

                         Lalat buah jantan

                        Lalat buah betina. 

                         Lalat buah betina


Ovipositor pada lalat betina digunakan menyucuk bahagian kulit buah dan seterusnya meletakkan telur-telur yang telah disenyawakan. Perbezaan ciri keduanya boleh dilihat jelas didalam video di http://bit.ly/NHSchannel.


Lalat buah tidak berupaya untuk makan makanan yang  pepejal. Mereka memerlukan makanan dalam bentuk cecair agar mudah dicernakan. Sumber makanan untuk lalat buat ialah manisan yang dihasilkan oleh daun, nektar, jus dari buah-buahan yang rosak dan honeydew.

Kedua-dua lalat buah turut memerlukan protin sebagai makanan untuk meningkatkan kematangan bagi tujuan pembiakan. Protin amat penting bagi lalat betina untuk penghasilan telur yang subur. Semakin banyak sumber protin diperolehi oleh lalat buah betina, semakin banyak telur dapat dihasilkan.

Sumber utama protin bagi lalat buah adalah termasuk najis burung dan bakteria yang terdapat diatas permukaan daun.



KITARAN HIDUP LALAT BUAH

Lalat buah mempunyai empat peringkat hidup iaitu peringkat telur, peringkat larva, peringkat pupa dan peringkat dewasa. Lalat buah jantan dan betina akan matang dalam tempoh 10 ke 14 hari setelah dewasa. 

Lalat buah dewasa mampu terbang jauh mencari pandangan untuk mengawan atau kawasan bertelur yang sesuai. Lalat buah aktif diwaktu pagi dan cepat membiak pada suhu yang agak panas dengan kelembapan yang tinggi. 


                    Kitaran hidup lalat buah

Lalat betina dewasa bertelur dibawah lapisan epidermis buah yang matang atau telah masak dengan menggunakan ovipositor yang berbentuk jarum.

Lalat buah betina sedang memasukkan telur dalam buah melalui ovipositornya


Lalat buah betina meletakkan telurnya sama ada secara sebiji k- sebiji atau dalam kumpulan 4 -10 biji. Telur ini berwarna putih dan berbentuk tirus dan licin, akan menetas selepas 2 ke 3 hari.

Gambar ini menunjukkan kedudukan telur lalat buah dilapisan epidermis buah epal. Cuba perhatikan lubang bekas tusukan ovipositor lalat betina ketika memasukkan telur, telah tertutup! Maka kita tidak dapat mengenalpasti buah yang telah diserang lalat buah. 

Larva yang menetas berwarna putih akan mengorek masuk ke dalam buah dan memakan isi buah. Buah akan menjadi berair, lembik, buruk dan gugur.

Ketika didalam buah yang diserang, larva lalat buah akan melepasi tiga peringkat tumbesaran larva (peringkat instar). Ketika peringkat pertumbuhan larva, larva-larva ini akan makan tanpa henti.

Larva yang telah cukup matang berwarna kekuning-kuningan akan keluar dari buah dan masuk ke dalam tanah untuk menjadi pupa. Peringkat pupa biasanya berada sedalam 50 ke 80 mm didalam tanam disekitar pangkal pokok yang diserang. Pada peringkat pupa, ia tidak lagi memerlukan sumber makan. Tenaga digunakan untuk pertukaran dari larva ke bentuk pupa dan akhirnya peringkat dewasa. 

Selepas 8 ke 12 hari, pupa akan bertukar menjadi lalat dewasa. Kitaran hidup lalat buah adalah dalam sekitar 22 hari sahaja.

Boleh klik disini untuk membaca topik perangkap lalat buah jantan menggunakan kaedah botol terbuang dan tanpa menggunakan racun. 

Klik disini untuk topik Kawalan LALAT BUAH JANTAN menggunakan methyl eugenol dan cure lure; kaedah perangkap steiner

#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

20/11/2020

No comments:

Post a Comment

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...