Friday, November 22, 2019

AIR NIRA KELAPA BUKAN SAHAJA ENAK DIMINUM; MALAH BANYAK KHASIATNYA

Akak yakin ramai diantara rakan pembaca yang turut mengemari air nira kelapa atau turut dikenali sebagai air tuak. Akak turut mengemari air ini terutama jika air ini baru sahaja dituai dari mayang kelapa dan dibiar sejuk dalam peti ais.

Air nira kelapa, segar dari ladang....

Air nira yang manis dan sejuk sememangnya menyegarkan badan. Akak pernah beli air nira ini dari adik manis Siti Maznah semasa lawatan akak ke kampung Kayan, Daerah Manjung di Perak.

Akak dapat tahu rakan seekspidisi kelulut di Pos Yum , Sg Siput, en Saiful Adenan turut mengusahakan perusahaan air nira di kawasan Sitiawan, Perak. Untungla orang-orang Manjung boleh dapat bekalan air nira segar dari kebun PNL Farm ni....

Air nira bukan saja sedap, malah ianya juga berkhasiat. Air nira ini sesuai diminum oleh mereka yang ingin sejukkan badan. Ia boleh membantu menurunkan suhu badan terutamanya mereka yang mengalami demam panas.

Air nira ini juga memberi tenaga dan membuatkan kita kekal aktif. Akak juga diberitahu, air nira ini bagus untuk mereka yang mengalami masalah sembelit. Hmmm... tak sangka kan?


BAGAIMANA PROSES YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGUTIP AIR NIRA KELAPA?

Pemilihan mayang kelapa

Akak diberitahu bahawa beberapa langkah perlu dilakukan sebelum mengambil air nira kelapa ini. Yang paling penting ialah pemilihan mayang kelapa!

Seperti yang telah kita ketahui, pokok kelapa akan mengeluarkan mayang sebanyak 12 hingga 14 mayang setahun. Pemilihan mayang yang sesuai bagi penghasilan air nira adalah penting untuk mendapatkan hasil gula yang tinggi. Mayang yang telah matang, panjang dan sederhana besar biasanya sesuai disadap dan mampu mengeluarkan nira yang banyak.

Mayang kelapa yang sesuai untuk pengambilan nira biasanya masih berwarna putih. Mayang berwarna hijau adalah mayang yang sudah tua dan sudah tidak sesuai untuk penghasilan nira.

Bagi mengenalpasti mayang yang sesuai untuk pengeluaran madu, mayang tersebut masih belum keluar penuh (masih kosong dihujung mayang) dan masih belum tidak terbuka.

Hujung seludang / mayang belum penuh hingga ke hujung. 

Seludang yang baru keluar menunjukkan seludang yang sudah keluar sebelum ini telah matang dan sesuai untuk mengeluarkan nira.


Melentur mayang

Mayang atau seludang yang telah dipilih perlu dilentur perlahan-lahan supaya kedudukannya sesuai untuk pengutipan nira. Mayang ini juga akan dibalut menggunakan tali dengan jarak dua inci setiap satu ikatan. Namun, ada juga pengusaha yang menggunakan kaedah ikatan yang lain.

Mayang yang dibalut dengan tali

Untuk memudahkan kerja-kerja melentur dan mengelak supaya mayang tidak patah ketika dilentur, seludang di bahagian pangkal mayang perlu dipecahkan atau dipotong.


Pangkal mayang yang dilentur

Akak pernah angkat mayang ni. Keras dan berat kot! Macam susah je nak dilenturkan, kan? Tapi sebenarnya boleh dilentur rupanya. Cuma kena lentur sikit-sikit la. Mayang perlu ditarik perlahan-lahan untuk dilenturkan serta untuk mengelak mayang ini patah. Mayang yang patah akan menyebabkan tiada penghasilan air nira.

Pangkal mayang yang telah patah, yang tidak akan mengeluarkan air nira

Untuk memudahkan kerja melentur mayang ni, pengusaha perlu menarik mayang dengan menahan lutut dipangkal mayang tersebut! Gluurrrpp! Tinggi tu kena panjat.. ! Dan sekiranya mayang tersebut tersorok disebelah pelepah daun kelapa, pelepah itu perlu ditarah untuk mengeluarkan mayang.

Usaha melentur mayang akan mengambil masa beberapa hari sehingga mayang itu sesuai diambil niranya. Mayang tersebut perlu dilenturkan bagi memastikan kedudukan hujung mayang sentiasa menghadap ke bawah lebih kurang 45 darjah. Ini adalah untuk memastikan air nira yang terhasil akan mengalir atau menitis dengan lebih mudah dan mudah ditakungkan didalam botol.

Mayang yang telah dilentur itu ditarik dengan tali yang akan diikat pada pelepah yang berada disebelah bawah bagi memastikan mayang itu sentiasa terlentur tunduk dan sesuai untuk mengeluarkan nira dengan banyak.

Tali yang diikat pada mayang berkenaan perlu ditarik dari masa ke semasa sehingga mayang tersebut tidak lagi mengeluarkan nira.


Menyadap mayang dan pengutipan air nira

Bagi mendapatkan air nira, mayang akan disadap atau dipotong sedikit. Hujung mayang yang telah disadap akan dimasukkan dalam botol yang bersih. Botol yang akan digunakan untuk mengutip air nira terlebih dahulu akan diisi dengan racikan kayu cengal atau resak. Ada juga pengusaha yang menggunakan daun manggis. Namun penggunaan kayu cengal adalah yang terbaik.

Kayu cengal ini akan dibasuh dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum diisi ke dalam botol. Kayu ini akan diulang basuh dan dikeringkan setiap kali selepas digunakan.

Racikan kayu cengal ini digunakan untuk mengelak air nira dari mudah menjadi masam atau basi. Ia juga mampu menambah rasa sedap pada air nira yang dituai. Sekiranya racikan kayu ini tidak digunakan, air nira perlu dikutip setiap 4 jam.

Racikan kayu cengal yang telah diletak didalam botol tuaian.

Mayang perlu disadap (dipotong) lebih kurang 2 inci setiap kali selepas mengutip air nira. Parang yang tajam digunakan untuk menyadap mayang kelapa. Air nira akan keluar 4 hari selepas disadap dan air nira akan mula banyak keluar pada hari ke 7 selepas di sadap. Air nira banyak keluar terutama diwaktu pagi dan agak sedikit diwaktu petang.

Pisau penyadap yang digunakan

Bagi en Saiful Adenan, beliau akan mula menyadap seawal 7 pagi dan selewat-lewatnya jam 11.00 pagi. Jika beliau menyadap pada jam 7 pagi, beliau akan mengutip air nira yang dihasilkan pada mayang berkenaan pada jam 7 petang. Dan jika beliau menyadap pada jam 7 petang, hasil akan dikumpulkan pada jam 7 pagi keesokkan harinya.

En Saiful sedang memeriksa mayang


Aktiviti menyadap dan pengambilan air nira ini dilakukan sehingga batang mayang habis disadap dan mayang tersebut sudah tidak dapat mengeluarkan hasil lagi. Bergantung kepada saiz mayang dan kesuburan pokok kelapa, pengambilan air nira bagi setiap mayang akan berlangsung antara 15hari hingga sebulan.

Rekod oleh pengusaha menunjukkan bahawa mayang kelapa MATAG menghasilkan air nira yang lebih banyak berbanding air nira dari mayang kelapa pandan. Air nira kelapa pandan juga mempunyai bau haruman daun pandan.

Air nira yang telah memenuhi botol

Botol lutsinar digunakan bagi memudahkan pemantauan


Air nira yang telah dikutip akan ditapis dan disimpan didalam peti sejuk beku bagi mengekalkan kualiti dan keenakannya. Jika disimpan di tempat sejuk biasa, air nira akan menjadi masam selepas seminggu disimpan.

Air nira yang telah dikutip

Ingin rasai kenikmatan, kesegaran dan keenakan air nira?

Bagi yang berdekatan dengan Daerah Manjung, boleh hubungi en Saiful Adenan seperti dibawah:

Air nira ini bukan sahaja digemari oleh manusia. Serangga seperti lebah dan semut turut menghurungi mayang bagi mendapatkan manisan ini... Subhanallah





Aduhai..... sedapnya air nira. 😍😍😍


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia



Monday, November 18, 2019

KUMBANG Plesispa reichei PEROSAK YANG MENYERANG DAUN MUDA POKOK KELAPA

Semasa akak bertugas menguruskan pengeluaran benih kelapa di Lekir, Perak, akak telah mengambil kesempatan untuk turun memantau keadaan tapak semaian anak kelapa bersama salah seorang pegawai akak, puan Siti Haslina bagi melihat keadaan anak benih di tapak semaian berkenaan.

Ketika akak berjalan mengelilingi anak-anak semaian kelapa matag dan anak semaian kelapa kuning rendah (MYD), mata akak dapat melihat daun muda pada daun anak pokok matag seolah dikikis sesuatu.

Akak membuat pemeriksaan pada daun muda yang masih belum kembang.

Akak periksa keadaan celah-celah daun muda berkenaan dan akak menjumpai kumbang yang leper yang mempunyai kepak berwarna hitam manakala kepalanya agak keperangan sedang melekat di celah-celah daun muda tersebut.

Puan Siti Salina turut membantu akak memeriksa dan mengutip perosak

Akak mula mengutip kumbang-kumbang dewasa ini dan diletakkan dalam bekas untuk dihantar ke Bahagian Biosekuriti, Jabatan Pertanian bagi mengenalpasti jenis perosak berkaitan.

Keadaan kerosakan pada permukaan daun kelapa yang telah diserang

Kumbang ini ternyata lebih mengemari anak kelapa jenis hibrid berbanding anak kelapa jenis inbred, kerana tiada terdapat kesan serangan pada anak semaian MYD walaupun anak kelapa ini diatur bersebelahan dengan anak kelapa MATAG.

Kumbang yang dijumpai dicelah pelepah muda

Pupa turut ditemui

Keputusan dari Bahagian Biosekuriti mengesahkan bahawa anak semaian ini telah diserang oleh kumbang Plesispa reichei .


Laporan dari Bahagian Biosekuriti, 
Jabatan Pertanian


Apakah kumbang Plesispa reichei ini?

Kumbang ini merupakan salah satu perosak yang akan menyerang pokok kelapa terutama permukaan daun pucuk muda pada anak pokok kelapa yang muda yang masih berada di tapak semaian. Kumbang ini turut menyerang pokok pinang, pokok sagu dan beberapa jenis pokok palma yang lain.

Peringkat larva dan peringkat dewasa kumbang ini adalah peringkat serangan yang paling agresif. Kerosakan berlaku apabila larva dan kumbang dewasa makan permukaan daun yang masih muda dan masih belum terbuka.

Serangan yang berterusan akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut dan serangan yang teruk akan menyebabkan pokok mati.

Kitaran hidup kumbang Plesispa reichei 

Kumbang betina dewasa akan hidup sehingga 6 ke 8 bulan dan mampu bertelur 50 ke 95 biji telur. Kitaran hidup kumbang ini adalah diantara 40 hingga 64 hari. Seluruh peringkat pertumbuhan kumbang ini akan berlaku pada bahagian pucuk muda anak kelapa berkenaan.

Peringkat pertumbuhan kumbang ini adalah:
    Peringkat telur: 10 hari
    Peringkat larva: 27 hingga 43 hari
    Peringkat pupa: 6 hingga 11 hari
                          (Corbett 1923a, b; Kalshoven 1951).


Kitaran hidup Plesispa reichei

Peringkat telur 


Peringkat larva

Kumbang Plesispa reichei  dan kumbang Brontispa longissima

Kumbang Brontispa longissima turut merupakan perosak pada tanaman kelapa. Jika sekali imbas tidak terdapat perbezaan antara kedua jenis perosak ini. 

Kedua jenis kumbang ini dapat dibezakan melalui beberapa ciri berikut: 

- Bahagian pronatum pada Brontispa  
  longissima adalah lebih lebar berbanding 
  pronatum yang lebih tirus pada Plesispa reichei
- Segmen antena pada Plesispa reichei adalah 
  lebih memanjang berbanding segmen antena 
  pada Brontispa longissima
- Badan Brontispa longissima adalah lebih tirus 
  dan warna kepak berhampiran pronatum 
  adalah tidak sekata (keperangan)
- Kepak adalah lebih tirus dengan corak (lubang 
  kecil yang halus). Manakala kepak adalah lebih 
  lebar dan corak (lubang lebih dalam)


Walaupun bentuk agak berbeza, corak serangan dan kaedah kawalan keduanya hampir sama.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


Sunday, November 17, 2019

BUNGA CUCUR ATAS; TURUT DIGEMARI SANG KELULUT

Akak berpeluang untuk melawat tapak penanaman pokok cucur atap di Pusat Pertanian Rhu Tapai di Setiu, Terengganu. Sedap betul bau daun pokok cucur atap ni terutama apabila daunnya diramas



Pokok cucur atap (hujung atap) atau nama spesisnya Baeckea frutescens L (Myrtaceae); adalah pokok sejenis malar hijau kecil yang banyak tumbuh di kawasan berpasir disepanjang pinggir laut Asia Tenggara.


Daunnya seperti jarum, bunganya sangat kecil, berwarna putih dan tumbuh diketiak daun. Daun dan bunganya berbau harum ialah bahagian yang digunakan untuk menghasilkan teh. Minyak pati yang diekstrak dari daun cucur atap juga dikatakan dapat digunakan untuk mengurut bagi mengurangkan sakit urat dan badan.

Kajian oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menunjukkan pati yang diekstrak dari pokok cucur atap mampu untuk mengurang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menyebabkan penyakit gout!

Akak turut terbaca kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaysian Terengganu (UMT); Profesor Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini, Ketua Penyelidik Institut Bioteknologi Marin telah berjaya menemui agen antipenuaan bagi penjagaa kecantikan dari pokok cucur atap! Beliau telah dapat menghasilkan serum kecantikan yang setaraf dengan produk antarabangsa. Allahuakbar! Sungguh banyak keajaiban khazanah ciptaan Allah disekeliling kita yang masih kita belum terokai!

Semasa akak membuat lawatan pemantauan di Projek Farmer Field School di kawasan berdekatan, akak dapati kawasan tepi pantai ini turut ditumbuhi banyak pokok cucur atap yang liar. Dan yang lebih menarik, terdapat beberapa ekor kelulut Heterotrigona itama yang datang mengerumini serta mendapatkan nektar dari bunga-bunga cucur atap ini.

Kelihatan kelulut Heterotrigona itama mencari nektar pada bunga cucur atap.


Sekiranya segala kebaikan yang ada pada tumbuhan cucur atap ini dapat diurai dan diekstrak dalam bentuk madu, akak tidak dapat bayangkan betapa tingginya khasiat dan kebaikan madu cucur atap kepada pengamal madu kelulut! Wallahualam.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia




Saturday, November 16, 2019

BAGAIMANA LEBAH MENGHASILKAN LILIN UNTUK MEMBINA SARANGNYA?

Lebah madu menyimpan madu dan roti lebah serta meletakkan telur, larva dan pupa didalam binaan berbentuk heksagon yang dibina dari lilin lebah!

Dari mana datangnya lilin ini?

Kom yang dipenuhi telur dan larva pelbagai peringkat.

Mungkin ada yang belum tahu bahawa lilin yang digunakan untuk membina sarang lebah adalah dihasilkan oleh lebah muda! Subhanallah!

Sebaik sahaja lebah pekerja dewasa, ia mula menghasilkan lilin untuk kegunaan koloni. Lebah pekerja yang muda ini mempunyai empat pasang kelenjar (lapan kelenjar lilin) khas untuk mengeluarkan lilin yang terletak pada bahagian sternite yang ke 4, 5, 6 dan ke 7 pada abdomen. Dari kelenjar ini, lilin dikeluarkan dalam bentuk cecair dan akan mengeras membentuk kepingan apabila terdedah pada udara. 

Kepingan lilin yang sudah keras, lebah akan menggunakan bulu-bulu yang keras pada kaki belakangnya untuk mengeluarkan kepingan lilin dari abdomennya. Kepingan lilin tersebut akan dipindahkan ke kaki tengah dan seterusnya ke mandibel untuk dikunyah.

Lilin tersebut akan dikunyah sehingga ia mudah dibentuk. Setelah itu, lebah pekerja mula membuat binaan kom berbentuk heksagon menggunakan mulutnya. Lebah ini akan menyukat ketebalan dinding kom serta menentukan samada perlu mengurang atau menambah lilin.


Dikatakan dalam 12 jam, seekor lebah mampu menghasilkan 8 keping lilin dan koloni lebah memerlukan 1,000 keping kepingan lilin untuk menghasilkan 1 gram lilin untuk binaan sarangnya.


Bentuk heksagon pada kom lebah merupakan bentuk geometri binaan yang membolehkan lebah memaksimakan ruang penyimpanan tanpa menggunakan jumlah lilin yang banyak.

Apabila lebah meningkat usia, kelenjar penghasilan lilin ini tidak akan berfungsi lagi. Kerja-kerja menghasilkan lilin akan mula diserahkan kepada generasi lebah yang masih muda. Lebah yang lebih matang ini akan mulakan tugas mereka yang baru... 🐝🐝🐝


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Wednesday, November 13, 2019

ELAK GUNA PENAPIS PLASTIK UNTUK MENAPIS MADU

Pada hari ini kita banyak didedahkan dengan kebaikan madu. Tidak kiralah madu kelulut atau madu lebah sekalipun. Kedua-duanya mempunyai khasiat dan kebaikannya tersendiri.




Allah telah mengilhamkan lebah-lebah ini (kelulut adalah lebah yang tidak menyengat) untuk menghasilkan madu yang memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia. Namun adakah kita sedar bahawa kita secara tidak sengaja "mencemarkan" kebaikan madu tersebut?

Terlebih dahulu , akak merakamkan ucapan terima kasih kepada puan Norra bt Ismail, Pegawai Penyelidik dari MARDI yang banyak berkongsi ilmu dengan akak. 

Untuk makluman semua, baru-baru ini pihak MARDI ada membuat analisis kandungan sampel madu yang telah diambil dibeberapa lokasi diseluruh negara. Apa yang mengejutkan ialah terdapat beberapa sampel madu telah dicemari dengan phthalates!


Apa dia pulak "phthalates" ni??

Baru akak tahu yang phthalates ni rupa-rupanya ada terdapat dalam barang-barang plastik terutamanya barang plastik yang murah! Ia juga banyak terdapat dalam mainan plastik kanak-kanak yang berwarna warni tu! 




Phthalates ini dikatakan dapat merosakkan hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem pembiakan manusia! Malah ia turut menyumbang kepada sakit kanser payu dara. Aduhai...takutnya akak dengar! Akak tidak dapat bayangkan kesan jangkamasa panjang untuk anak-anak yang memasukkan mainan plastik ini dalam mulut mereka! 


Apakah fungsi phthalates? 

Phthalates ini merupakan bahan kimia yang digunakan untuk melembutkan vinyl iaitu sejenis plastik yang keras yang tahan lasak, tahan lama dan stabil. Phthalates ini akan melembutkan vinyl dan membuatkan ia mudah dibentuk. Dalam jangkamasa panjang, phthalates ini akan keluar dari bahan plastik berkenaan. Bahan ini mudah larut ke dalam lemak badan manusia dan akan berkumpul didalamnya.


Bagaimana phthalates boleh mencemar madu?

Hasil siasatan pihak MARDI ke atas sampel-sampel madu yang dicemari phthalates ini ialah pemilik madu telah menggunakan penapis plastik untuk menapis madu mereka. Madu yang bersifat agak berasid akan menghakis plastik berkenaan dan meninggalkan residu phthalates didalam madu!

Akak berharap dengan artikel ringkas akak ini dapat memberi kesedaran buat semua agar kita sama-sama dapat memastikan madu yang bernilai tinggi ini tidak dicemari oleh bahan-bahan yang akan menurunkan nilai madu tersebut.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


Tuesday, November 12, 2019

ADAKAH KELULUT DAN LEBAH MERUPAKAN AGEN PENDEBUNGAAN YANG SESUAI BAGI TANAMAN DURIAN?

Pokok durian (Durio zibethinus Murr) mempunyai bunga jenis hemafrodit iaitu bunga yang lengkap mempunyai stigma dan stamen pada kuntum bunga yang sama. Bunga durian akan keluar dari tangkai pendek (corymbose) dan juga keluar dari dahan-dahan (cauliflorous).


Bunga durian adalah bunga jenis nokturnal yang mana bunga ini berkembang mekar pada waktu malam. Bunga durian akan mula terbuka pada lewat petang dan kembang sepenuhnya pada waktu senja. Serangga akan tertarik pada nektar yang dirembeskan dari bahagian bawah kelopak bunga.

Sebelum kelopak bunga berkembang, stigma telah matang (reseptif) dan mula bersedia untuk menerima kehadiran debunga bagi proses pendebungaan; namun kematangan debunga pada anter hanya berlaku lewat senja.

Ketika peringkat antesis, stigma akan bertukar kepada warna oren dan melekit bagi membolehkan debunga melekat pada stigma.  Sifat reseptif ini berlarutan sehingga pertengahan malam dan akan berkurangan keesokan harinya.



Memandangkan stigma dan stamen akan matang pada waktu yang berbeza, durian tidak melakukan pendebungaan sendiri! Pendebungaan durian memerlukan agen pendebungaan bagi membantu proses pendebungaan!

Debunga durian adalah berbentuk bulat, melekit dan bergumpal. Ini bermakna pendebungaan bagi tanaman durian kurang atau tidak akan dilakukan oleh angin.

Pendebungaan berbantu turut boleh dilakukan apabila hampir 25% dari jumlah bunga keseluruhan telah mekar. Pendebungaan menggunakan tangan dilakukan dengan menggunakan debunga dari varieti durian yang berbeza atau dari varieti yang sama dari pokok yang berbeza.

Masa yang optimum  dan merupakan waktu yang paling efektif bagi pendebungaan berbantu ialah bermula dari jam 6:30 petang ke jam 9:30 malam atau lebih lewat dari itu.

Agen pendebungaan yang paling sesuai untuk pendebungaan durian dan aktif pada waktu malam adalah sang kelawar! 😍.

Kelulut dan lebah aktif pada waktu siang. Serangga ini turut akan mendapatkan nektar dari bunga durian. Namun kehadiran mereka mungkin tidak dapat atau kurang membantu proses pendebungaan kerana debunga durian hanya akan matang pada lewat senja atau waktu malam!


Terima kasih pn Fiza Fish diatas perkongsian gambar dan maklumat tentang tanaman durian.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Wednesday, November 6, 2019

PISAU TANDUK KERBAU UNTUK HASILKAN KELAPA BOTAK DAN KELAPA TELUR

Sudah lama tidak minum air kelapa botak atau air kelapa telur. Ada yang belum tahu apa itu kelapa botak dan apa yang dinamakan kelapa telur?

Kelapa botak ialah kelapa muda yang dibuang kulit dan tempurung hampir separuh dari buah kelapa. Isi kelapa masih terlekat pada tempurung kelapa berkenaan. Manakala kelapa telur pula ialah kelapa muda yang dikeluarkan isinya dari tempurungnya. Isi yang dikeluarkan itu putih dan bulat berbentuk telur.


Kelapa telur; isi kelapa dikeluarkan dari tempurung


Kelapa botak; isi kelapa masih melekat di tempurung

Untuk menghasilkan kelapa botak dan terutamanya kelapa telur, kelapa yang dipetik tidak boleh terlalu muda kerana isinya yang masih lembut menyukarkan pembentukan kelapa botak atau kelapa telur. Kelapa juga tidak boleh terlampau tua kerana isinya telah keras. 

Selain pemilihan buah kelapa, pisau tanduk kerbau akan digunakan untuk menghasilkan kelapa botak dan kelapa telur. Pisau yang istimewa ini adalah diperbuat dari tanduk kerbau jantan. Tanduk kerbau jantan dipilih kerana strukturnya lebih lembut berbanding tanduk kerbau betina yang kecil dan lebih padat. Pisau tanduk kerbau ini boleh melentur tanpa patah dan membuatkan ianya sesuai digunakan untuk mengeluarkan isi kelapa dari tempurung kelapa.


Penghasilan kelapa botak menggunakan pisau tanduk kerbau


Kaedah menghasilkan kelapa telur menggunakan pisau tanduk kerbau


Tanduk kerbau jantan yang panjang dan berongga


Pisau tanduk kerbau


Pisau tanduk kerbau yang boleh melentur tanpa patah.


Kelapa telur yang telah siap


Penghasilan kelapa telur memerlukan kemahiran yang tinggi. Pisau tanduk kerbau digunakan apabila sebahagian sabut dan tempurung telah dibuang dari buah kelapa. Pisau ini akan dimasukkan perlahan-lahan mengikut bentuk tempurung kelapa yang masih melekat pada isi kelapa. Sekiranya kurang mahir berkemungkinan isi yang dikorek akan bocor disusuk dengan pisau tanduk berkenaan. 😅😅😅

Setelah itu, kelapa botak atau kelapa telur boleh dihias cantik menggunakan payung kecil dan bunga orkid untuk dihidangkan.... Hmmmm.....enak dan segarnya jika dapat minum waktu cuaca yang panas....


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

6/11/2019


APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...