Sunday, January 7, 2024

RINDU SEORANG ANAK

Arwah abah adalah seorang abah yang tegas, peramah, bijak, kelakar, walaupun agak garang namun jiwanya sangat penyayang. Beliau juga merupakan seorang yang berjiwa seni dan kreatif. Bagi saya, beliau merupakan seorang yang kacak bak kata pepatah "dark, handsome and tall". 

Saya mula tinggalkan rumah untuk mulakan kehidupan di asrama apabila telah memasuki tingkatan empat. Sebelum arwah abah membenarkan saya tinggal berjauhan dari rumah, abah berkali-kali bertanya kepada saya adakah saya pasti yang saya ingin berdikari dan tinggal di asrama. Kerana teruja dengan buku-buku siasatan yang banyak saya baca mengenai penyiasat kanak-kanak yang tinggal di asrama, saya ingin mencuba untuk turut berdikari seperti watak-watak tersebut.

Setiap kali habis cuti persekolahan, arwah abah akan menghantar saya ke stesen bas untuk saya pulang sendiri ke asrama. Perasaan sebak, pilu bercampur gaul dalam sanubari saya. Airmata terasa sudah mula  bertakung dan bila-bila masa sahaja akan bercucuran, namun saya tidak mahu tunjuk kepada abah yang saya sedang sedih! Saya akan cuba bergurau-gurau dengan adik-adik untuk menghilangkan rasa sebak yang menyesak dada saya. 

Dalam diam, saya perhatikan wajah abah. Abah lebih banyak berdiam diri dan tidak banyak bercakap seperti selalu.  Wajahnya kelihatan agak tegang dan kadang-kadang saya melihat ada manik-manik kecil dihujung mata abah. Abah akan cepat-cepat mengesat matanya kerana tidak mahu saya dan adik-adik nampak yang dia sedang bersedih. Keadaan itu sebenarnya menambah rasa sebak dihati saya. 

Setelah tamat persekolahan, saya dapat menyambung pelajaran saya ke universiti tempatan di bumi kenyalang. Ini bermakna,  semakin jauhlah saya akan meninggalkan keluarga saya, dan semakin sukarlah untuk abah datang melawat saya. Itulah sejarah dalam hidup saya pertama kali dapat menaiki kapal terbang. Arwah Pok Leh adalah insan yang banyak membantu mengurangkan beban arwah abah dalam perbelanjaan saya untuk ke sana. 

Ketika di universiti, kaedah perhubungan yang mudah dan murah hanyalah melalui surat menyurat. Abah sering menulis surat kepada saya demi mengurangkan rasa rindu saya terhadap keluarga. Saat yang paling sukar adalah saat dimana saya terpaksa beraya bersama rakan-rakan jauh dari keluarga masing-masing. 

Setelah tamat peperiksaan, para siswa dan siswi terutama dari Semenanjung mula tidak sabar untuk pulang menemui keluarga masing-masing. Saya pun begitu. Tak sabar rasanya untuk bertemu mak dan abah serta adik-adik. 

Di rumah, selepas siap makan tengahari, saya mendengar arwah abah menyanyikan lagu M Daud Kilau yang bertajuk Anak Pertama. Suara abah yang sememangnya lemak merdu menyebabkan apa sahaja lagu yang dinyanyikan sedap didengar. 

Ketika abah sedang menyanyi, arwah adik saya yang bongsu membongkarkan rahsia..."Yong, nok tahu dok? Abah kan setiap kali dia nyanyi lagu ni...mesti air mato dio meleleh. Dia rindu kat Yong la tu!". Arwah abah terdengar perbualan adik lantas berkata..." Adik tipu! Mano ado abah teriok. Habuk masuk mato la masa tu...!"

Al Fatihah untuk abah, Pok Leh dan adik.....
Semoga Allah meletakkan kalian di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan solehah. Aamiin...

Saturday, January 6, 2024

MAIN PONDOK-PONDOK

Mengimbas kembali zaman kanak-kanak anak kampong seperti aku....perlu fantasi, penuh inovasi dan kreativiti.. 

Ya lah. Tak banyak barang mainan yang kami ada.. namun, kami masih boleh menggunakan apa sahaja yang ada untuk kami bersuka ria bermain sesama sendiri.

Dulu, masih kami ingat...tiada teddy bear yang comel dan mahal untuk kami peluk dan bermain. Kain batik mak atau kain pelekat abah akan menjadi mangsa untuk kami lipat dan gubah menjadi "teddy bear". 

Kami juga tiada "clay" yang berwarna warni untuk kami bermain....namun, tanah liat dari sungai akan kami uli untuk dibentukkan sebagai cawan, pingan mangkuk atau pun akan dicanai sebagai biskut-biskut raya.

Kami juga akan turut mengutip daun-daun, bunga-bunga atau rumpai-rumpai untuk dijadikan "sayur-sayuran". 

Yang paling menarik ketika zaman itu ialah, kami akan membina pondok kami sendiri dengan menggunakan batang ubi kayu dan daun pisang. 

Kami akan mencabut batang-batang ubi yang mempunyai saiz yang besar dan sesuai untuk dijadikan tiang utama bagi mendirikan pondok. Ubi kayu beserta pucuk ubi akan dipisahkan dari batangnya. 

Kami akan mula memotong batang-batang ubi ini mengikut ketinggian pondok yang akan kami bina. Batang-batang ubi ini akan diikat kukuh menggunakan tali rafia. Setelah batang-batang ubi ini dipacak, kami akan mula memotong daun-daun pisang hutan untuk kami jadikan atap.

Batang-batang ubi yang bersaiz kecil, kami akan potong pendek-pendek dan diikat rapat-rapat bagi menjadikannya sebagai rak untuk kami letak barang-barang. 

Daun-daun pisang juga akan berfungsi sebagai pengalas lantai selain surat khabar atau plastik.

Kami turut mengutip ranting-ranting kayu kering lantas menyalakan api. Ubi-ubi yang ada, akan kami bakar untuk dijadikan hidangan. 

Selain dari ubi, daun-daun ubi yang sudah matang...kami akan jadikan seakan-akan rantai manik dan dipakai sebagai hiasan leher.

Jika nasib kami baik, biji-biji buah tasbih akan kami susun untuk dijadikan rantai atau gelang.

Ada kalanya di pondok inilah, aku dan adik-adik akan bersama bersila sambil menikmati nasi panas yang mak masak......He he he he....

Sunday, December 3, 2023

JANTINA AYAM BOLEH DIKENALI DARI BENTUK TELUR?



Dalam ternakan ayam, terdapat 3 kaedah untuk mengenalpasti jantina seekor anak ayam:
1. Melalui bentuk telurnya
2. Semasa anak ayam apabila ia diangkat.
3. Dengan melihat bentuk kepak pada 
    peringkat anak ayam.

Kali ini kita akan fokuskan kepada kaedah mengenalpasti jantina anak ayam yang bakal menetas dengan memerhati bentuk telur ayam tersebut. Cuba perhatikan gambar dibawah:


Gambar diatas menunjukkan telur yang berbentuk bujur dan telur yang berbentuk sedikit bulat.

Kajian penetasan telah dilakukan oleh pelbagai pihak menunjukkan, telur berbentuk bujur mempunyai potensi yang tinggi untuk menghasilkan ayam jantan. Manakala, telur yang berbentuk sedikit bulat berpotensi untuk menghasilkan ayam betina ‼️ 

Namun, ketepatan kaedah penentuan jantina anak ayam ini adalah diantara 80 ke 90%. 


Kredit to: Kitchen Garden Batu 10, Lekir


9:51 am (3/12/2023)

#JabatanPertanianMalaysia.    

#InstitutPertanianTitiGantong




Sunday, October 8, 2023

SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS

Sebelum ini, akak pun kurang cakna tentang SDG atau Matlamat Pembangunan Mampan. Namun setelah memahami keperluan yang berkaitan, akak rasa akak perlu mula sedikit demi sedikit memberi kesedaran kepentingan SDG ini.

.
Sebagai pengenalan, apa yang akak boleh bagi tahu disini ialah, SDG adalah satu blueprint yang dikeluarkan oleh United Nations perlu dicapai pada tahun 2030‼️
.
Ia adalah checklist untuk kita capai masa depan yang lebih baik dan mampan. 17 matlamat digariskan adalah berkait antara satu dengan yang lain. Ia meliputi masalah semasa yang sedang dihadapi oleh satu dunia seperti kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan cuaca dunia, pencemaran alam sekitar, keamanan dan keadilan.

                   17 matlamat dalam SDG.                   (Sumber gambar dari United Nations)

.
Apa yang perlu dibanggakan ialah, Projek bioteknologi yang dipamerkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN merupakan projek PERTAMA DI MALAYSIA dan juga projek PERTAMA di dunia yang menguruskan bahan buangan hasil pertanian seperti jerami padi, tandan kelapa sawit serta bongkah cendawan‼️
.
Untuk makluman juga, projek ini telah mencapai 12 (sebenarnya sudah 13) dari 17 matlamat yang digariskan dalam SDG ‼️
Alhamdulillah....



    12 dari 17 matlamat telah dicapai melalui projek ini. Alhamdulillah 


#InstitutPertanianMalaysia #JabatanPertanianPerak #JabatanPertanianMalaysia

8/10/2023 (19:32 pm)

Friday, October 6, 2023

ASAM GELUGOR; YANG MANA JANTAN, YANG MANA BETINANYA?

Ramai yang menyukai asam keping yang merupakan bahan penting dalam menyedapkan makanan. Malah ada yang cuba menanam pokok ini, namun setelah beberapa tahun, masih tiada keluar buah. 

Asam keping dihasilkan dari hirisan buah asam gelugor yang telah dikeringkan. Buah asam gelugor atau nama saintifiknya Garcinia atroviridis ini adalah tumbuhan saka besar yang mampu tumbuh mencapai ketinggia lebih dari 20 meter.

Persoalannya ...
Mengapa ada pokok asam gelugor yang tidak mengeluarkan buah?
.
Ini adalah kerana, pokok asam gelugor ini mempunyai pokok yang dipanggil pokok jantan dan pokok betina ‼️

POKOK ASAM GELUGOR JANTAN
-----------------------------------------------------
Pokok asam gelugor jantan hanya akan mengeluarkan bunga yang banyak. Bunga-bunga pokok jantan ini agak kecil dan keluar dalam keadaan sejambak yang mempunyai 10 hingga 22 kuntum bunga jantan. Bunga jantan tidak mempunyai ovari dan tidak akan menghasilkan buah asam gelugor. Bentuk pokok jantan ini juga agak tirus dan tidak rendang. 

POKOK ASAM GELUGOR BETINA
----------------------------------------------------
Pokok asam gelugor betina mempunyai bilangan bunga yang sedikit dan selalunya akan kembang sekuntum-sekuntum. Bunga asam gelugor biasanya akan kembang diwaktu malam dan akan tahan selama 3 hari.  Bunga ini akan membentuk buah 22 hari selepas disenyawakan.
Bunga hermaprodit juga mampu menghasilkan buah asam gelugor, namun jumlah yang dihasilkan tidak sebanyak bunga betina. 

Pokok asam gelugor betina agak rendang dan lebar. 

     Bunga betina yang mempunyai ovari (ditengah bunga) bagi pembentukan buah.

               Putik buah asam gelugor

                 Putik buah asam gelugor 

          Putik buah asam gelugor yang         
                sudah mula membesar. 


PERBANDINGAN FIZIKAL BUNGA DAN POKOK ASAM GELUGOR(JANTAN DAN BETINA)
--------------------------------------------------------------

Terima kasih buat Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Titi Gantong, Perak diatas gambar perbandingan antara dua jantina pokok asam gelugor ini. 

    Perbandingan bunga betina dan bunga 
                   jantan asam gelugor

     Perbandingan antara pokok jantan dan 
                pokok betina asam gelugor.


Setakat ini dulu penulisan kali ini. Insya Allah, kita akan bersambung dilain kali. 

#InstitutPertanianTitiGantong
#JabatanPertanianMalaysia
#JabatanPertanianPerak
7/10/2023 (Jam 11:37 am)

Sunday, September 24, 2023

CENDAWAN BUNGA KOBIS MAMPU TINGKATKAN KESIHATAN OTAK


Cendawan kobis bunga (lion mane) atau nama saintifiknya Hericium erinaceus ini belum begitu popular di Malaysia. Ini adalah kerana ia belum dipromosikan secara besar-besaran dan penanaman cendawan jenis ini belum mendapat tempat dihati penanam cendawan. Cendawan yang comel ini mempunyai morfologi yang sangat comel dengan untaian seakan gebu menyerupai rerambut atau janggut. Cendawan ini pernah diberi nama Cendawan kepala kera termasuk janggut singa, janggut lelaki tua,  dan landak.

      "Janggut-janggut" putih menghiasi  
       permukaan cendawan bunga kobis.

.
Cendawan adalah salah satu tanaman yang perlu ditanam secara organik dan setiap spesis cendawan mempunyai nilai nutrisi tersendiri dalam meningkatkan kesihatan tubuh manusia. Bahan aktif yang terdapat daripada cendawan bunga kobis ini mampu meningkatkan pertumbuhan saraf dan merangsang daya ingatan.
.
Menurut Dr. Hjh Maiminah; Universiti Putra Malaysia, cendawan bunga kobis dikatakan dapat membantu merangsang pertumbuhan saraf serta berpotensi untuk merawat penyakit saraf seperti trauma saraf akibat strok dan juga penyakit Alzheimer, membantu menguatkan otot, gerak balas motor dan fungsi kognitif, membantu merawat ulser perut serta membantu meningkatkan sistem imuniti.
.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Neurochemistry, bahan isoindolin yang digelar "N-de phenylethyl isohericerin" dan derivatif hidrofobiknya "hericene A" sangat mujarab dalam menggalakkan pertumbuhan akson yang meluas dan neurit dalam neuron hippocampus yang dikultur. (Sebagai tambahan, hippocampus adalah bahagian otak yang menyimpan memori).
.

Selain kebaikan untuk kesihatan otak, cendawan ini turut mengandungi bahan yang turut memberi kebaikan kepada kesihatan jantung dan usus.  Diantaranya, ia mampu untuk mengurangkan kandungan kolestrol dalam salur darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, membantu mengurangkan kencing manis, mengurangkan keradangan dan meningkatkan sistem imun tubuh.

RESEPI BERASASKAN CENDAWAN KOBIS BUNGA
.
Ramai yang tanya bagaimana untuk menikmati cendawan ini. Cendawan ini boleh dicuba dalam pelbagai cara, rebus, goreng dan sebagainya. Apa rasa cendawan ini? Ada yang mengkategorikan rasanya seperti ayam, ada yang kata rasa udang.... Dan kadang-kadang akan ada sedikit pahit dihujung. 
.
Disini saya kongsikan resepi istimewa cendawan bunga kobis dari Chef Dave 
------------------------------------------------------------

Masa penyediaan : 10 minit
Masa memasak :  15 minit
Hidangan :  4 pax

Resipi
Bahan-bahan:
400gram cendawan kobis bunga
3 ulas bawang putih(tumbuk)
½ inchi halia (tumbuk)
½ sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil garam
2 sudu besar minyak
1 bawang merah (potong kecil)
5 cili kering
1 daun kari
1 bunga lawang
1.5 inchi kulit kayu manis
¼ sudu kecil jintan manis
1 sudu besar serbuk kari
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil gula merah
50ml air
Sedikit perahan jus limau 
Garam 

Hiasan :
Cili hijau
Daun kari

Cara memasak :
1. Rendam dahulu cendawan Kobis bunga dan perah. Buat seperti ini beberapa kali sehingga air rendaman nampak sedikit jernih.
2. Kemudian, carik dan ketepikan.
3. Tumbuk bawang merah dan halia. Kemudian masuk ke dalam cendawan kobis bunga.
4. Masukkan serbuk kunyit dan garam. Gaul sebati dan goreng sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
5. Sediakan kuali lain, tumis jintan manis, bunga lawang, kulit jayu manis, daun kari dan cili kering. Tumis sehingga naik bau.
6. Kemudian, masukkan bawang merah, serbuk kari, serbuk cili dan kacau sebati.
7. Kemudian masukkan air dan kacau, biar seketika sehingga pecah minyak.
8. Masukkan cendawan kobis bunga. Kacau sebati.
9. Masukkan gula merah,  garam, cili hijau, daun kari dan sedikit perahan limau. 
10. Kacau sebati dan sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba ✌️🥰

24 September 2023
Jam 22:59

#InstitutPertanianTitiGantung
#JabatanPertanianPerak
#JabatanPertanianMalaysia


Sunday, August 20, 2023

KEPERLUAN ASAS BAGI PENGHASILAN KELAPA HIBRID.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Disini saya membuat penulisan ringkas tentang keperluan asas dalam penghasilan kelapa kelapa hibrid. Semoga penulisan ini dapat memberi sedikit gambaran dalam industri penghasilan kelapa hibrid. 
.
APA ITU HIBRID?
Terlebih dahulu jom kita fahamkan maksud hibrid. Hibrid ialah populasi generasi filium pertama (F1) yang digunakan sebagai varieti. 
.
Populasi F1 ini diperolehi daripada kacukan diantara klon, varieti terbunga bebas, inbred atau seumpamanya yang mempunyai latar genetik yang berlainan. Pembentukan varieti hibrid ini bertujuan untuk menggunakan sifat heterosis pada sesuatu tanaman. 
.

KEPERLUAN DALAM PENGHASILAN KELAPA HIBRID
Setelah kita memahami bahawa hibrid adalah kacukan antara dua pokok yang sejenis yang mempunyai genetik yang berbeza, maka kita perlu memahami ciri-ciri yang diperlukan bagi setiap induk yang kita pilih. 
.
Dalam penghasilan kelapa hibrid, saya senaraikan antara perkara penting yang kita perlu sediakan bagi penghasilan kelapa hibrid:

1. Tapak penanaman bagi induk betina 
     terpilih. Dan ia perlu ditanam terasing 
     sekurang-kurangnya 1KM dari tanaman 
     kelapa yang tidak berkaitan. 
2. Tapak penanaman bagi induk jantan 
     bagi mendapatkan debunga.
3. Kolam untuk pengairan pokok.
4. Tapak semaian biji benih dan 
     penyimpanan anak pokok.
5. Pekerja yang mahir untuk kerja-kerja 
    emaskulasi, pendebungaan, penakaian 
    dan sebagainya.
6. Makmal penghasilan dan penyimpanan 
    debunga.
7. Peralatan-peralatan lain untuk kerja-
    kerja emaskulasi dan pendebungaan 
    berbantu. 

Saya senaraikan 7 perkara utama yang perlu untuk kita keluarkan kelapa hibrid. Dan Insya Allah, saya akan cuba sambung penulisan yang lebih detail pada masa akan datang. 
.
Buat pengetahuan semua, pada hari ini terdapat beberapa varieti kelapa hibrid yang telah dihasilkan. Antaranya ialah:
.
a. Kelapa hibrid yang dikacuk diantara 
    kelapa rendah dan kelapa tinggi.
    i. MATAG

   ii. MARLECA
Sumber gambar: FB Jabatan Pertanian 
                              Negeri Perak

   iii. MYLAG
Sumber gambar: FB Jabatan Pertanian 
                              Negeri Perak

b. Kelapa hibrid hasil kacukan kelapa 
    rendah dengan kelapa rendah. 
.
    i. CARECA
Sumber gambar: FB Jabatan Pertanian 
                              Negeri Perak

    ii. CARENI
Sumber gambar: FB Jabatan Pertanian 
                              Negeri Perak

Setakat ini dulu penulisan ringkas dari saya. Terima kasih kerana sudi membaca. 



#20/8/2023 (Jam 22:28 malam)
#InstitutPertanianTitiGantong
#JabatanPertanianPerak
#JabatanPertanianMalaysia

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...