Sunday, January 26, 2020

KENAPA CENDAWAN PERLUKAN KELEMBAPAN UNTUK TUMBUH?

Air merupakan salah satu faktor yang penting dalam penanaman cendawan. Cendawan memerlukan kelembapan untuk pembentukan dan pertumbuhan janabuah. Cendawan tidak mempunyai kulit yang menghalang kehilangan air ke udara, maka ia amat memerlukan kelembapan persekitaran yang tinggi untuk mengurangkan kadar kehilangan air dari badan cendawan. Badan cendawan yang seumpama "span" akan mula menyerap titisan air untuk pengembangan janabuah.



Cendawan yang sudah sesuai untuk.dipetik


Pada peringkat pertumbuhan vegetatif, maiselium turut memerlukan kelembapan bagi mempercepatkan pertumbuhan. Kelembapan yang sesuai bagi media pertumbuhan cendawan atau substrat adalah dalam lingkungan 55 hingga 60% kelembapan. 

Sekiranya kelembapan kurang, pertumbuhan maiselium adalah perlahan dan tiada pembentukan primodia atau pinhead akan berlaku! Namun sekiranya peratus kelembapan didalam media terlampau tinggi, ia akan menyebabkan kandungan oksigen didalam media akan berkurang dan menyukarkan maiselium untuk bernafas. Ini akan menyebabkan pertumbuhan maisilium akan lambat dan berkemungkinan akan rosak. Keadaan ini juga menggalakkan serangan kulat dan bakteria pada bongkah. 

Sebelum memasuki fasa reproduktif, cendawan memerlukan kelembapan relatif pada udara yang tinggi (95%). Keadaan ini adalah untuk memberi "kejutan" kepada maisilium dan mengeluarkan primodia (pinhead) cendawan. 



Peringkat pertumbuhan primodia


Primodia cendawan tiram pink


Primodia cendawan Ganoderma




Primodia terus berkembang apabila dibekalkan dengan kelembapan yang cukup




Selepas pengeluaran primodia, kelembapan perlu diselaraskan diantara 80 - 90% sepanjang pembesaran janabuah cendawan. 




Diantara meter yang boleh digunakan untuk menyukat kelembapan, kepekatan karbon dioksida dan suhu. 


Cendawan akan cepat membesar pada kelembapan yang tinggi. Kelembapan yang rendah, akan menyebabkan cendawan kecil dan lambat membesar. Kesan yang paling ketara ialah janabuah akan kelihatan kering dan mengerekot. 



Keadaan cendawan yang kekurangan kelembapan dan pengudaraan



Fall in love with mushrooms....and those mushrooms will in love with you too.... 🍄🍄🍄



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

27/1/2020


Saturday, January 18, 2020

KURANGKAN RISIKO DARAH TINGGI DENGAN CENDAWAN JELI HITAM / TELINGA KERA (Auricularia sp.)

Cendawan jeli hitam (Auricularia sp.) atau lebih dikenali sebagai cendawan telinga kera (kerana bentuknya seakan-akan bentuk telinga) adalah diantara cendawan yang mula mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia.


Akak bersama cendawan jeli hitam yang ditanam kaedah gantung di Nas Agro milik en Nabil Sanusi


Cendawan jeli hitam yang ditanam atas susunan rak di ladang milik madam Cheng Poh Guat di Vita Agrotech Sdn. Bhd.

Cendawan ini kelihatan seperti jeli, teksturnya kenyal tapi agak rangup. Ketika ia kering, ia akan menjadi keras seperti kulit kayu. Ia tidak mempunyai batang dan tutup (cap) seperti cendawan yang lain. 


Kuntuman cendawan jeli hitam yang sudah sesuai untuk dipetik. 


Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa cendawan mempunyai khasiat yang baik bukan sekadar dari segi kandungan nutriennya malah dari dari sudut kesihatan juga.

Hmmm.... akak nak bagi tahu ni, cendawan jeli hitam ini membekal kolagen dari tumbuh-tumbuhan. Menarikkan? Kandungan antioksida didalam cendawan semestinya dapat mengurangkan kesan penuaan pada kulit kita. Masya Allah.

Kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaya telah membuktikan bahawa cendawan jeli hitam mempunyai kandungan polisakarida yang dapat membantu mengurangkan risiko gangguan kardiovaskular. Cendawan ini mempunyai kandungan kalori yang rendah tetapi mempunyai kandungan protin yang tinggi.

Kandungan polisakarida yang terdapat pada cendawan ini juga mampu untuk merencat aktiviti enzim bagi mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Ekstrak polisakarida yang didapati dari cendawan jeli hitam ini mampu untuk memecahkan darah beku dan merendahkan kandungan kolestrol serta lipid. Ia membantu mencairkan darah serta melancarkan perjalanan darah.

Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan berat badan, risiko tekanan darah tinggi dan serangan sakit jantung! Subhanallah...

Selain cendawan segar, cendawan ini juga boleh didapati dalam keadaan kering. Ia perlu direndam didalam air terlebih dahulu sebelum ia dimasak.

Pelbagai resepi yang boleh dimasak menggunakan cendawan jeli hitam ini sama ada masak lemak, dibuat kerabu atau boleh juga dijadikan minuman pemanis mulut!

Nak tahu bagaimana nak buat minuman yang lazat serta berkhasiat dari cendawan jeli hitam ini?

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:
Cendawan jeli hitam yang dipotong halus-halus.
Gula merah

Kaedah:
Masukkan cendawan jeli hitam dan gula merah secukup rasa ke dalam air.
Masak hingga mendidih.
Tutup api.
Boleh dinikmati ketika panas atau ketika sup ini telah sejuk.
Boleh campur dengan bahan lain mengikut kesesuaian.

Selamat mencuba....


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

18/1/2020






Sunday, January 12, 2020

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERTUMBUHAN CENDAWAN

Cendawan adalah micfrofungus yang menjana buah (fruiting body) samada di atas permukaan tanah (epigeous) atau dibawah tanah (hypogeous). Cendawan adalah jenis heterotrophic dimana ia memerlukan nutrien dari sumber lain untuk hidup. Cendawan tidak mempunyai klorofil dan tidak menjalankan fotosintesis bagi menghasilkan makanan.


Diantara jenis-jenis cendawan tiram yang ada ditanam di Malaysia. 
Gambar sumber internet. 

Cendawan memerlukan nutrien, cahaya, suhu, kelembapan, pengudaraan dan pH yang sesuai untuk pertumbuhan.

Terdapat dua fasa yang terlibat dalam pertumbuhan dan pembentukan cendawan iaitu fasa vegetatif dan fasa reproduktif.


Kitaran hidup cendawan tiram.
Gambar sumber internet.


Fasa vegetatif merujuk kepada fasa pertumbuhan maisilium, dan fasa reproduktif adalah fasa pembuahan cendawan.


Kitaran hidup cendawan kukur/sisir.
Gambar sumber internet.



Kitaran hidup cendawan jerami.
Gambar sumber internet.


Di habitat asal, cendawan membiak melalui spora. Apabila kelembapan, suhu dan nutrien sesuai, spora cendawan akan bercambah dan mengeluarkan bebenang sel yang dikenali sebagai hifa (hyphae).

Hifa akan tumbuh dan mula bercabang (primary mycelia) serta mula membuat jalinan dengan hifa-hifa yang keluah dari spora-spora yang lain  membentuk gumpalan maisilium (secondary mycelia). Proses ini dipanggil plasmogamy (hyphal fusion).

Maisilium yang matang akan merembeskan enzim. Enzim ini akan meleraikan ikatan komponen lignocellulos yang kompleks dari media kepada bahan organik yang lebih ringkas. Hifa akan menyerap nutrien yang dicernakan oleh enzim dan disalurkan untuk pertumbuhan maisilium.

Dari maisilium ini, sel-sel akan berkumpul membentuk pin atau primodium (badan buah muda) atau lebih dikenali sebagai pinhead.
Pinhead ini akan mula membesar dan membentuk badan/buah cendawan. Ketika inilah fasa reproduktif bermula.

Terdapat beberapa faktor persekitaran yang menjadi pencetus (trigger) pertukaran dari fasa pertumbuhan vegetatif (fasa pertumbuhan maisilium) ke fasa reproduktif (fasa pembentukan janabuah).

Faktor-faktor yang terlibat ialah suhu, cahaya dan perubahan kepekatan gas di udara iaitu karbon dioksida dan oksigen pada atmosfera amat mempengaruhi perubahan dari pertumbuhan vegetatif maisilium kepada pembentukan buah cendawan.


Faktor-faktor yang mencetus pertumbuhan cendawan. 


Bagi kebanyakan spesis cendawan, suhu optima pada pembentukan buah cendawan adalah lebih rendah berbanding suhu optima semasa pertumbuhan maisilium. Sebagai contoh; cendawan tiram kelabu (Pleurotus pulmonarius) memerlukan diantara 25 hingga 27 darjah celcius semasa pemeraman, dan memerlukan suhu yang lebih rendah pada peringkat pembentukan janabuah iaitu diantara 19 hingga 21 darjah celcius sahaja.

Karbon dioksida akan dikeluarkan hasil metabolisma pertumbuhan cendawan. Ia juga merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kualiti dan hasil pengeluaran cendawan.


Contoh meter yang digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida, suhu dan kelembapan dalam rumah cendawan


Kandungan karbon dioksida yang tinggi membantu dalam meningkatkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman bongkah. Namun, semasa pembentukan primodia, kepekatan karbon dioksida yang tinggi menghalang pembentukan badan cendawan. Batang cendawan akan kurus dan memanjang serta menyebabkan bahagian tudung (cap) cendawan juga tidak berkembang dengan baik.


Batang cendawan memanjang dan cap cendawan tidak berkembang dengan baik dalam keadaan kepekatan karbon dioksida yang tinggi. 


Keperluan kepekatan karbon dioksida adalah berbeza mengikut jenis dan peringkat pertumbuhan cendawan.

Maka, bagi memastikan pembentukan buah cendawan yang sempurna, pengudaraan adalah perlu bagi meningkatkan bekalan oksigen dan mengurangkan karbon dioksida terutama semasa pembentukan primodia cendawan.

Cahaya dan kelembapan juga merupakan faktor yang penting dalam mencetus pembentukan badan cendawan. Spesis cendawan yang berbeza memerlukan kapasiti cahaya yang berbeza.

Cendawan akan menyerap molekul-molekul air yang ada dipersekitaran untuk pertumbuhan. Kandungan kelembapan yang rendah serta suhu yang tinggi akan menyebabkan pertumbuhan cendawan terbantut.

Air adalah faktor yang penting dalam penanaman cendawan. Nutrien dialirkan kepada jana buah melalui aliran air dalam maisilium. Kelembapan air yang rendah akan menyebabkan jana buah kering dan mati.

Prinsip pertumbuhan cendawan adalah hampir sama bagi semua cendawan, kaedah penanaman sahaja yang perlu disesuaikan dengan keadaan fisiologi dan keperluan bagi setiap spesis cendawan yang ditanam.

Setakat ini dulu perkongsian kali ini...😎


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

12/1/2020



Wednesday, January 8, 2020

KISAH SI JANTUNG PISANG...

Pokok pisang adalah terdiri dari susunan padat seludang daun yang akhirnya membentuk batang palsu (pseudostem).  Semua spesis pisang hanya berbunga2 dan berbuah sekali sepanjang hayat. Pokok pisang alan mati dan akan diganti dengan sulur yang tumbuh disekelilingnya. Maka peribahasa "Pisang tidak berbuah dua kali" memang bertepatan dengan sifat pokok pisang. 

Jom kita baca apa sebenarnya yang berlaku..

Pokok pisang yang matang akan mula menghentikan pengeluaran daun dan ketika ini batang bunga akan mula keluar dari bahagian tengah pokok pisang.

Kelihatan tandan buah pisang yang bersambung dengan batang dari bahagian tengah pokok pisang.

Pada batang bunga ini akan kelihatan kudup yang berbentuk bujur berwarna merah keunguan. Dalam kudup ini terdapat bunga yang putih dan agak berlilin yang dilitupi oleh lapisan kelopak. Kelopak ini akan gugur sebaik sahaja bunga matang.

Batang bunga ini akan tumbuh memanjang dan akan membengkok. Bunga betina adalah bunga yang akan mula kelihatan berbanding bunga jantan. Bunga betina ini akan berada dalam dua baris.

Bunga betina pokok pisang 




Pada bunga betina pisang terdapat ovari yang mempunyai 3 bahagian yang dipanggil locules yang terdapat ovul-ovul. Walaupun ovul-ovul ini tidak disenyawakan oleh debunga, dinding ovari pada ketiga-tiga locules ini akan berkembang dan bercantum antara satu sama lain membentuk buah pisang tanpa biji. Ovul-ovul yang tidak disenyawakan akan mati dan dilihat sebagai deretan bintik hitam dibahagian tengah isi pisang.

Bilangan sikat buah pisang yang terbentuk bergantung pada berapa jumlah jambak bunga betina yang ada.


Pembentukan buah pisang dari bunga betina tanpa pendebungaan dan persenyawaan.


Setelah bunga betina mula membentuk buah tanpa melalui proses pendebungaan dan persenyawaan, batang bunga akan memanjang dan membentuk jambak bunga jantan. Setiap jambak bunga jantan ini dilapisi oleh kelopak.


Bunga jantan pokok pisang



Buah pisang (tidak termasuk pisang liar) adalah antara jenis buah berri yang terbentuk tanpa melalui proses pendebungaan dan persenyawaan. Buah ini dipanggil sebagai buah partenokarpa (parthenocarpy) iaitu buah yang terbentuk tanpa melalui persenyawaan dan membentuk buah yang tidak mempunyai biji. Namun, dalam keadaan tertentu ada buah pisang yang akan mempunyai biji. Keadaan ini berlaku berkemungkinan debunga dari pisang liar dibawa oleh agen pendebungaan.


Bunga pisang betina yang dikunjungi kelulut

Buah pisang liar yang memerlukan pendebungaan dan persenyawaan maka buah yang terhasil akan mempunyai banyak biji dan tidak dapat dimakan.

Selepas buah pisang matang, batang bunga akan mati dan pokok baru akan muncul dari bahagian rizom pokok pisang.

Selalunya, bunga jantan yang tidak membentuk buah ini (atau lebih dikenali sebagai jantung pisang) akan dicantas sebelum ia gugur bagi dijadikan masakan istimewa.

Jantung pisang rebus untuk dinikmati bersama sambal


Mungkin nama jantung pisang ini diberi atas bentuknya seakan bentuk jantung atau kerana ia keluar dari bahagian tengah pokok pisang.
Wallahualam...

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

8/1/2020

Wednesday, January 1, 2020

EXTRAFLORAL NECTARIES PADA POKOK AKASIA (Acacia mangium)

Akak berpeluang untuk melawat ladang kelulut K-Miss yang terletak di Selangor Fruit Valley bersama rakan-rakan akak yang lain. Ladang kelulut ini terletak ditengah-tengah hutan pokok-pokok akasia jenis Acacia mangium. Akak kagum dengan usaha team anak-anak muda seperti encik Abdul Rahman dan encik Sazali yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan projek kelulut ini disini. Akak doakan agar mereka terus maju sehingga menembus pasaran antarabangsa. Aamiin.


Rombongan yang turut menyertai lawatan ke ladang K-MISS di Selangor Fruit Valley


En Abdul Rahman yang bertanggungjawab memberi taklimat pada hari lawatan.


Pokok akasia merupakan pokok yang mampu tumbuh dengan cepat dan subur dikawasan tanah lapang walaupun tanah berkenaan mempunyai kandungan nutrien yang rendah dan kurang bekalan air. Ia merupakan spesis pokok yang mampu membantu memulihkan kesuburan tanah dengan keupayaan untuk mengikat nitrogen dalam tanah. Pokok ini turut mengembalikan kandungan karbon dalam tanah melalui daun-daun dan ranting yang gugur diatas tanah.


Bunga akasia, sumber debunga buat agen pendebungaan 


Buah akasia yang mengandungi biji benih


Pokok akasia bertindak dalam mengurangkan pencemaran kerana ia mampu untuk menyerap logam berat dalam tanah.  Kayu akasia juga berpotensi untuk ditebang bagi menghasilkan produk berkaitan kayu-kayuan seperti perabut dan sebagainya.

Pada hari ini, potensi akasia dikembangkan dalam ternakan kelulut yang mana pokok akasia dapat menghasilkan extra floral nectar yang berterusan. Buat pengetahuan semua, sebanyak lebih dari 2,000 spesis tumbuhan dari lebih 64 famili telah dikenali ada mempunyai extra floral nectaries. Subhanallah!


Koloni-koloni kelulut milik ladang K-Miss yang diletak di dalam hutan pokok akasia


Pada dasarnya, kebanyakan kebanyakan pokok mempunyai hubungan yang baik dengan serangga (mutualistik). Pokok akan membekalkan nektar bagi menarik serangga tertentu kepadanya. Nektar pada tumbuhan dikeluarkan dari dua bahagian, iaitu pada bunga (floral nectar) dan nektar dari bukan bahagian bunga (extrafloral nectar).


Kelihatan kelulut sedang asyik mengambil nektar 


Kelulut mengutip nektar pada bahagian petiol daun muda


Nektar dari bunga adalah untuk menarik serangga-serangga bagi membantu pendebungaan, manakala nektar dari bahagian lain pada pokok adalah untuk menarik serangga lain bagi mengurangkan ancaman musuh. Secara sainsnya, nektar adalah cairan dari floem hasil dari fotosintensis dalam tumbuhan.

Di bahagian setiap petiol (batang) daun pokok akasia, terdapat kelenjar yang menghasilkan nektar yang dinamakan extrafloral nectaries. Kelenjar ini banyak kelihatan hanya pada daun yang muda.


Lakaran kedudukan extrafloral nectary pada bahagian petiol daun muda akasia. 


Kelenjar extrafloral nectaries terdiri dari sel-sel parenchyma halus dan rongga nektar dimana nektar dikumpulkan. Nektar ini mengandungi kandungan sukrosa, glukosa dan fruktosa.


Kelihatan nektar yang keluar dari bahagian petiol daun muda pada pokok akasia


Lelehan nektar yang pada pucuk muda akasia adalah tinggi diwaktu pagi.


Sesungguhnya Allah yang Maha hebat yang mencipta semua yang ada di atas dunia ini. Kita diberi akal untuk menghayati keagongan Allah. Semoga artikel ini memberi manfaat buat semua. In sya Allah...


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

2/1/2020



APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...