Friday, September 6, 2019

KENAPA BENTUK BUAH DURIAN BELANDA (Annona muricata) BENGKOK?

Bentuk buah durian belanda yang sempurna adalah berbentuk seperti jantung. Namun banyak terdapat buah durian belanda yang kita jumpa dipasar-pasar (terutamanya) berbentuk bengkok. Keadaan buah yang bengkok ini juga dapat kita lihat pada buah durian.

Kenapa ia berbentuk begitu?

Keadaan ini terjadi disebabkan oleh proses pendebungaan pada stigma tidak sempurna. Maka ovul tidak membesar membentuk biji dan menyebabkan ruang tersebut kosong dan tidak terisi. Dan ini menyebabkan bentuk buah bengkok.

Kita perlu tahu bahawa bunga durian belanda adalah bersifat hermafrodit iaitu bahagian pembiakan jantan (stamen) dan betina (stigma) berada pada kuntum bunga yang sama.




Bunga durian belanda juga bersifat dichogamous protogynous dimana bunga jantan dan bunga betina mempunyai fasa kematangan yang berbeza! Bunga betina akan matang terlebih dahulu dan diikuti oleh kematangan bunga jantan.





Fasa kematangan bunga betina bermula pada pukul 4 hingga 5 petang. Ketika ini kelopak bunga akan mula terbuka sedikit dan stigma mula lembab dan melekit dan telah bersedia untuk menerima debunga (waktu reseptif).  Keadaan reseptif ini berlaku 3 ke 4 jam selepas antesis. Namun, stamen masih lagi belum matang untuk membebaskan debunganya.

Pada ketika ini bunga durian belanda akan mengeluarkan bau yang wangi bagi menarik agen pendebungaan terutamanya kumbang kecil bagi membantu proses pendebungaan.

Stamen (bunga jantan) terdapat beberapa lapisan mengelilingi ovari. Ia mulai matang diwaktu malam antara jam 8 hingga 10 malam. Filamen stamen pendek dan ia mempunya debunga yang banyak.

Debunga akan mula gugur apabila kelopak bahagian luar bunga terbuka dan mula gugur. Debunga ini terletak pada hujung anther dan berwarna kekuningan.

Didalam keadaan biasa, semut dan kumbang kecil adalah merupakan agen pendebungaan yang akan membawa debunga dari bunga yang lain untuk didebungakan kepada bunga yang lain. Pendebungaan yang kurang lengkap, akan menyebabkan persenyawaan tidak lengkap berlaku ke seluruh stigma dan menyebabkan buah mempunyai bentuk yang tidak sempurna atau bengkok seperti bentuk ginjal.

Jika kita dapat lihat pada buah durian belanda yang telah membentuk dan matang, setiap satu spike yang terdapat pada kulit buah berkenaan adalah mewakili setiap satu stigma yang telah matang.


Fenomena buah bengkok juga banyak berlaku pada buah durian....kan?

Terima kasih pn Fiza Fish diatas perkongsian maklumat dan sudi membantu dalam proses pengambilan gambar di lokasi.

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

6/9/2019

BUNGA BETINA POKOK KELAPA

Bunga betina mempunyai bilangan yang sedikit berbanding dengan bunga jantan dalam satu seludang namun saiz bunga betina lebih besar berbanding bunga jantan.


Secara umumnya, pokok kelapa rendah mempunyai bilangan bunga betina yang lebih banyak berbanding pokok kelapa tinggi.


Bunga betina mempunyai tiga stigma yang tidak bertangkai namun kebiasaannya hanya satu sahaja yang subur.


Fasa kesuburan (reseptif) bunga betina dapat dilihat apabila stigma mulai melekit dan mengeluarkan nektar. Stigma yang telah matang itu akan terbuka dan terbahagi kepada tiga bahagian. Ketika inilah nektar dikeluarkan oleh bahagian septal nektar yang dialirkan pada bahagian bawah stigma yang telah matang iaitu diatas liang pada ovari.



Berbeza dengan bunga jantan, nektar dikeluarkan oleh septal nektar yang ada pada bahagian pistil bunga berkenaan.

Pengeluaran nektar ini menandakan bunga betina ini telah bersedia untuk menerima debunga dari bunga jantan untuk bersenyawa. Jangkamasa reseptif bagi bunga betina adalah diantara satu ke empat hari dan boleh mencapai tujuh hari bergantung kepada bilangan bunga dan keadaan cuaca ketika itu.


Fasa kesuburan berakhir apabila terdapat perubahan pada warna stigma iaitu warna keperangan. Ketika ini tiada lagi pengeluaran nektar berlaku. 

Bunga yang telah berjaya menjalani proses pendebungaan dan persenyawaan akan terus membesar menjadi buah kelapa.



#PTIFPerak
#JabatanPertanianPerak
#JabatanPertanianMalaysia

Thursday, September 5, 2019

KEJADIAN ISI LUTSINAR DALAM MANGGIS

Kejadian isi manggis yang lutsinar adalah salah satu faktor yang mengurangkan kualiti buah manggis. Simptom ini banyak berlaku pada bahagian karpel atau segmen yang besar yang mengandungi biji yang segar.


Isi manggis tersebut bertukar dari warna putih kepada warna lutsinar dan dari tekstur isi yang lembut kepada tekstur yang pejal, agak rangup dan kurang manis. Ianya amat sukar untuk mengenalpasti simptom kejadian isi lutsinar dari luar kulit.


Kejadian lutsinar pada isi manggis berlaku pada peringkat pembentukan dan pembesaran buah serta pada peringkat kemasakan buah. Kejadian lutsinar dirangsang oleh kehadiran air hujan yang melebihi 20mm/sehari selama 2 ke 3 hari. Tekanan air (terutamanya selepas kemarau) akan meningkatkan pembentukan lutsinar pada isi manggis. Penyerapan air hujan berlaku melalui perikap (kulit manggis).


Specific gravity buah manggis yang mempunyai isi lutsinar adalah melebihi 1.0, manakala buah manggis yang normal mempunyai specific gravity kurang dari 1.0. Ini bermakna buah yang mempunyai isi lutsinar mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi berbanding buah yang normal. Maka, buah yang mempunyai isi yang lutsinar akan tenggelam dan buah normal akan timbul! Kaedah ini membolehkan pengasingan buah yang mempunyai isi yang lutsinar berbanding buah yang normal.

"Specific gravity" ialah jisim atau berat sesuatu bahan yang dibandingkan dengan jisim air pada suhu 4 darjah celcius. Specific gravity air ialah 1.0.

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Wednesday, September 4, 2019

MANGGIS, RATU BUAH YANG JUJUR

Manggis (Garcinia mangostana Lin.) merupakan sejenis tumbuhan yang bermusim, berbunga dan berbuah satu atau dua kali setahun.

Manggis adalah sejenis tanaman apomiktis (apomictic) yang mana pokok betina menghasilkan buah tanpa melalui proses pendebungaan! Ini juga bermakna, biji benih buah manggis terbentuk tanpa melalui proses persenyawaan(sporophytic apomixis). Embrio yang terbentuk adalah dari bahagian nucellus pada dinding sel ovari ! Subhanallah!



Apomiktis adalah pembentukan biji tanpa persenyawaan atau asexual. Proses apomiktis berlaku dalam ovul dan akan membentuk generasi yang akan mewarisi sifat yang sama dari induk pokok betina. Ini bermakna tiada perbezaan dari segi morfologi dan genetik bagi anak benih pokok yang baru.



Kebiasaannya tanaman daripada biji benih menghasilkan pokok betina. Pokok manggis yang di tanam daripada biji biasanya mula berbuah ketika berumur 5-6 tahun di tanah yang mempunyai pengurusan tanaman yang baik. Pokok manggis jantan sukar didapati.






Bunga manggis adalah jenis biseks dan bersifat diesius (bunga jantan dan betina berada pada pokok yang berlainan).  Kebiasaannya bunga manggis keluar dihujung ranting secara tunggal atau berpasangan.

Bunga betina mempunyai 4 petal tebal dan keras yang berwarna putih atau krim, 4 sepal berwarna hijau muda berbentuk bulat dan cekung. Bunga betina mempunyai  satu ovari yang berbentuk bulat globos dan mempunyai satu stigma yang tebal dan mempunyai 4 hingga lapan cuping (lobes of the stigma).

Disekeliling pangkal ovari terdapat satu lingkaran stamen yang yang mengandungi filamen yang mengandungi filamen dan anter terbelah kepada tiga belahan secara memanjang dan membebaskan debunga yang lutsinar. Debunga yang dihasilkan adalah debunga yang tidak subur (infertile pollen).

Bunga betina akan mekar pada waktu tengahari. Petal bunga akan gugur tetapi sepal akan kekal.

Buah manggis diklasifikasikan sebagai jenis buah beri yang mengandungi 7 hingga 8 segmen aril (ulas isi). Segmen perikap ini terbentuk dari dinding ovari, manakala aril berkenaan terbentuk dari integumen ovari. Aril ini melapisi bahagian luar biji manggis yang selalunya berada pada segmen yang besar.

Ulas-ulas pada segmen ini tidak mempunyai saiz yang sama besar  Satu atau dua ulas yang besar pada segmen, akan mengandungi biji apomiktik yang leper berwarna perang. Manakala, bagi yang  segmen yang lebih kecil, tidak terdapat pembentukkan biji dalam aril berkenaan.

Jika diperhatikan pada bahagian bawah buah manggis terdapat tampuk yang merupakan cuping stigma yang tebal yang mempunyai 4 hingga 8 cuping. Cuping stigma ini kekal dikulit buah manggis.

Bilangan cuping stigma yang berada dibahagian bawah buah manggis menunjukkan bilangan segmen ulas isi buah manggis didalam! Semakin banyak bilangan cuping, semakin kurang bilangan biji yang terdapat dalam isi buah manggis. Jujur betul sang ratu buah ni kan?

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Tuesday, September 3, 2019

BENARKAH MINUM AIR DARI KULIT DURIAN BOLEH KURANGKAN PANAS BADAN SELEPAS MAKAN DURIAN?

Jika manggis (Garcinia mangostana) terkenal sebagai ratu buah, durian (Durio zibethinus) pula dikenali sebagai raja buah!

Buah durian dikenali kerana mengeluarkan bau yang amat kuat dan boleh dihidu dari jauh. Ada yang menyukai bau ini, malah ada yang tidak tahan dengan bau yang kuat ini.

Kajian saintifik menunjukkan lebih dari 50 jenis campuran sebatian kimia yang mudah meruap yang terdapat pada durian. Sebatian-sebatian ini ada yang berbau manis seakan karamel, berbau manis buah, berbau busuk dan berbau seakan bau daging.

Sebatian yang paling banyak terdapat pada durian adalah terdiri dari ester dan sulfur. Analisa melalui mesin kromatograf gas mendapati, terdapat kandungan sulfur seperti ethanethiol, dan metanethiol yang memberikan bau yang kuat pada durian. Cairan Ethanethiol merupakan antara bahan yang dicampur dalam tong yang mengandungi gas butane atau propane bagi mengesan kebocoran gas!

Aroma yang kuat dari sebatian ini terhasil buah durian yang telah matang adalah untuk menarik haiwan seperti kelawar, burung-burung, tupai, monyet dan gajah untuk makan buah durian dan menyebarkan biji buah berkenaan.

Masyarakat di Malaysia mengamalkan minum air yang diletak dalam pangsa/kulit durian bagi mengurangkan kepanasan badan selepas makan buah durian. Bau yang melekat pada tangan juga dikatakan akan berkurangan jika membasuh tangan menggunakan air yang direndam atau disiram dari pangsa/kulit durian ini.


Air kosong diisi dalam pangsa dan diminum


Air dilalukan pada kulit durian untuk membasuh tangan.

Kajian oleh penyelidik dari Indonesia, O. Liang Hie dan M. Soemartini mendapati bahawa kulit durian mengandungi aldehid  iaitu 5-hydroxy-methyl-furfural (5-HMF) yang boleh meneutralkan thiols (sulfur) yang terdapat pada kulit durian. Dan ini menyebabkan bau durian berkurangan atau tiada.

Amalan memotong tangkai buah durian juga dilakukan bagi mengurangkan bau yang terdapat dalam kereta akibat membawa buah durian. Bau ini akan berkurangan dan akan mudah cepat hilang.


Tangkai durian diselitkan pada lubang penghawa dingin dalam kereta bagi membuang bau durian.

Semoga tip-tip yang disertakan dapat memberi manfaat buat semua. Jika tuan/puan ada maklumat tambahan,  alu-alukan perkongsian ilmu di sini. Terima kasih.
Wallahualam....

Untuk membaca artikel lain mengenai durian, sila klik di sini dan di sini.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

3/9/19

KAEDAH PENGHASILAN BUAH TEMBIKAI TANPA BIJI

Akak yakin ramai yang suka makan tembikai tanpa biji kan? Meh kita belajar sikit dari sudut sains, apa sebenarnya berlaku dan bagaimana ia berlaku! Subhanallah.....


Buah tembikai tiada biji


Tembikai tanpa biji ini secara genetiknya mempunyai 3 set kromosom (3n) atau lebih dikenali sebagai triploid.


Pendebungaan dan persenyawaan bagi penghasilan triploid 


Untuk menghasilkan buah tembikai yang tidak berbiji ini, bunga jantan diploid yang mempunyai 2 set kromosom (2n) akan dikacukkan dengan bunga betina tetraploid (4n).


Bunga betina tembikai


Bunga jantan tembikai 


Apabila tetraploid didebungakan oleh diploid, maka terhasillah benih buah yang yang tidak berbiji (triploid).

Jika benih triploid (3n) ini ditanam, ia akan membesar sama seperti pokok tembikai yang biasa. Namun, apabila pokok triploid ini berbunga, bunga betinanya perlu didebungakan oleh bunga jantan diploid (2n) untuk meransang pembentukan buah! Ini adalah kerana bunga jantan dan bunga betina yang terbentuk dari triploid adalah mandul (steril).

Proses pendebungaan masih berlaku apabila bunga jantan diploid dikawinkan dengan bunga betina triploid. Sel pembiakan sama ada gamet jantan dalam debunga atau gamet betina dalam ovul tidak dapat dihasilkan kerana proses pepasang dalam proses meiosis tidak dapat berlaku kerana sel asal dalam keadaan triploid (3n). Kromosom tidak berpasang maka proses meiosis gagal!


Pendebungaan berbantu



Akak sedang menjadi "tok kadi" dalam "pernikahan ini" . Hik hik hik 

Buah hasil kacukan bunga jantan diploid dan bunga betina triploid akan menghasilkan buah yang triploid, iaitu buah yang  tanpa biji. Buah ini akan membesar seperti biasa walaupun biji benih tiada pembentukan biji benih berlaku!

Akak teringat pengalaman akak menjadi tok kadi pada tanaman tembikai di ladang tembikai milik Melon Master di TKPM Lekir, Sitiawan, Perak. Ketika itu akak bertugas di Pejabat Pertanian Daerah Manjung. Kerja-kerja pendebungaan perlu dilakukan diawal pagi seawal jam 7:30 ke 11:00 pagi.

Untuk membuat persenyawaan berbantu, bunga jantan akan dikutip terlebih dahulu. Selalunya bunga jantan dari tembikai kuning digunakan kerana debunganya lebih banyak berbanding bunga jantan dari tembikai merah.

Pada pokok tembikai, bilangan bunga jantan adalah lebih banyak berbanding bilangan bunga betina. Bunga betina akan layu dalam tempoh 2 hari jika tidak disenyawakan.

Jika pendebungaan dilakukan antara bunga jantan dari tembikai kuning dengan bunga betina dari tembikai merah, hasilnya kelak akan berlaku buah tembikai yang tanpa biji!

Terima kasih akak ucapkan kepada Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman Putrajaya yang berkongsi maklumat kepada akak untuk akak tulis artikel ringkas ini...

#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

3/9/19

Sunday, September 1, 2019

BUAH TASBIH; MANIK HIASAN ZAMAN KANAK-KANAK

Buah tasbih atau buah jelai (Coix lachryma jobi ) adalah buah keras yang berbentuk bulat dan berlubang seperti manik merupakan buah yang terhasil dari pokok rumpai yang dikatakan mempunyai khasiatnya tersendiri. 

Semasa lawatan akak ke Min House Camp di Kubang Kerian, Kelantan tempoh hari, akak terjumpa pokok jelai ini ditanam dilaluan untuk ke taman sara diri yang ditanam dengan pelbagai herba yang lain. 

Pokok ini mengimbau kembali kenangan masa lalu yang mana biji buah tasbih yang sudah matang akan akak dan adik-adik akak kutip untuk dijadikan hiasan seperti rantai, gelang dan juga tasbih. Ada kalanya kami turut menjadikan biji buah tasbih ini sebagai batu cincin. 

Biji-biji yang dikutip akan akak satukan dengan menyusun biji-biji ini pada benang. Untuk lebih tahan lama, tali tansi untuk mengail ikan digunakan.

Perghh... kembang je hidung bila dapat menghasilkan satu set barang hiasan untuk ditayang pada rakan-rakan. He he he...akak kan anak orang kampong. 








APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...