Tuesday, March 23, 2021

TIDUR LEWAT MEMBERI KESAN KEPADA JAM BIOLOGI TUBUH

TIDUR LEWAT MEMBERI KESAN KEPADA JAM BIOLOGI TUBUH
-------------------------------------------------------------------
Apa yang akak tulis ini agak panjang, namun akak harap ia dapat memberi kesedaran kepada sesiapa yang menjalani hidup yang tidak sihat seperti akak sebelum ini.
Bismillah...
.
Sebelum ini akak sering menghabiskan waktu tidur akak untuk menyiapkan kerja-kerja pejabat sewaktu dirumah. Penyediaan slaid dan laporan memerlukan tempoh masa tanpa gangguan untuk membolehkan akak memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja akak. 
.
Akak memberi tumpuan kepada kerja akak kadang-kadang sehingga jam 3:00 ke 4:00 pagi. Dan adakalanya, akak mengambil keputusan untuk tidak tidur pada hari tersebut demi untuk menghabiskan kerja akak! 
.
Sehingga suatu tahap, suhu tubuh akak sentiasa panas seolah-olah akak sedang demam dan tahi mata sentiasa keluar dari mata akak. Mata akak rasa kering dan badan serta otak akak terasa lesu. Emosi akak mudah tercalar dan tidak menentu.
.
Ketika itu, akak mengambil keputusan untuk bertemu Dr Munu Samy , Doktor Rawatan Alternatif Ayurveda untuk mendiagnos akak.
.
Menurut Dr Munu, elemen api (haba) didalam tubuh akak amat kuat. Suhu yang tinggi ini jika tidak dikawal akan menyebabkan kandungan air didalam organ dalaman akak akan mudah hilang. Sekiranya keadaan ini terus berlaku, organ dalaman akak akan mula mengecut dan menyebabkan banyak kegagalan fungsi organ! 
.
Dr Munu menasihatkan akak untuk mula menjaga kualiti tidur akak. Akak perlu tidur selewat-lewatnya jam 11:00 malam dan jika ada urusan kerja, bangun pada 3:00 pagi untuk teruskan kerja akak.
.
Dari sinilah akak mula mengetahui bahawa tubuh kita mempunyai peredaran jamnya tersendiri! Thanks to you Dr Munu! 🥰. 
.
Organ didalam tubuh mula membuang toksik bermula seawal jam 9 malam sehingga jam 3 pagi. Dan itulah waktu umat Islam bangun untuk sembahyang Tahajud! Rupanya jantung kita perlukan oksigen yang banyak pada ketika itu! Allahuakbar.....

Rahsia perkaitan antara pergerakan alam dan tubuh manusia terlalu luas untuk dirungkaikan. Kini akak sedang menjaga kualiti tidur akak dan kualiti kehidupan akak. 
.
Akak bersyukur kerana akak berjumpa Tuisyen Kurus Online (TKO) untuk akak merealisasikan impian akak dan seterusnya membaiki hubungan akak dengan Maha Pencipta! Terima kasih Allah kerana mendengar bisikan hati hambaMu ini...
.
Ingin bersama dalam circle yang positif? Jom akak bantu. 
.
#Myhealthylifejourney
#TuisyenKurusOnline
#TuisyenKurusOnlineAzmanAsma
#HEALTHisWEALTH
#ThetimeisNOW
24/3/2021

Thursday, January 14, 2021

BAGAIMANA MENGENAL PASTI KEMATANGAN BUAH TEMBIKAI UNTUK DITUAI?

Pokok tembikai Citrullus lanatus memerlukan masa 70 hingga 80 hari untuk mendapatkan hasil bergantung kepada varieti tembikai yang ditanam. Hasil buah tembikai adalah diantara 10 hingga 30 tan sehektar. 

Gambar: Sumber google


Buah tembikai perlu dituai pada indek kematangan buah yang tepat bagi memastikan buah yang dituai adalah berkualiti untuk dipasarkan. Buah tembikai tidak akan merubah warna dan tidak akan meningkatkan kemanisan buah sebaik sahaja ianya dituai. 


            Indeks Kematangan Tembikai 
                     (Sumber: FAMA)

MENGENAL PASTI  TEMBIKAI YANG SESUAI UNTUK DITUAI

Tembikai dipetik kebiasaannya pada kematangan 80%. Bagaimana cara mengenal pasti kematangan tembikai?

Terdapat beberapa kaedah untuk mengenal pasti kematangan buah tembikai yang sesuai untuk dituai.

1. Melalui kulit buah
     Kulit buah tembikai yang sudah 
     matang akan bertukar dari warna hijau 
     berkilat kepada kurang berkilat serta 
     pudar.

2. Melalui warna sulur paut
    Sulur paut pada pokok tembikai akan 
    bertukar warna dari hijau ke kuning dan 
    kemudiannya kering. Sulur paut yang 
    kering menandakan buah tembikai 
    sudah terlalu matang. 

       Sulur paut masih hijau menandakan                    buah tembikai masih muda

      Sulur paut sudah kuning atau kering, 
       menandakan buah tembikai sudah 
                 sesuai untuk dipetik


3. Warna bahagian buah yang menyentuh 
    tanah
    Kulit buah tembikai yang menyentuh 
    tanah akan bertukar menjadi warna 
    kuning apabila buah ini sudah matang. 


4. Melalui bunyi apabila buah di tepuk
    Buah tembikai yang sudah masak akan 
    menghasilkan bunyi yang seakan-akan 
    kosong atau berongga (hollow sound)  
    apabila ia ditepuk-tepuk dengan tangan 
    atau dijentik-jentik dengan jari. Buah 
    yang masih muda akan menghasilkan 
    bunyi yang padat. 

4. Umur pokok
    Pokok tembikai akan matang dalam 
    tempoh 55 hingga 88 hari selepas 
    ditanam. 


KAEDAH MEMETIK BUAH TEMBIKAI

Tembikai yang sudah masak perlu dituai dengan memotong tangkainya. Buah ini tidak boleh dipulas atau disentap tarik dari tangkai bagi mengelakkan kecederaan pada tampuk buah. Kecederaan ini akan memberikan risiko jangkitan penyakit dan menyebabkan buah menjadi mudah busuk.


#InstitutPertanianTitiGantong,Perak
#JabatanPertanianMalaysia

15Januari2021
 

Tuesday, December 1, 2020

NANAS PUN KENA SUNBURN!!!

Buah nanas yang terdedah kepada suhu dan pancaran matahari yang tinggi yang lama dan kerap terutama diperingkat kemasakan buah, akan mudah menghadapi risiko melecur  "sunburn" atau "fruit scorching". Ini secara langsung akan menyebabkan kerosakan pada buah dan menyebabkan ia tidak sesuai dipasaran.

Kerosakan akibat panahan cahaya matahari yang melampau (solar stress) akan menyebabkan tisu pada buah kulit buah nanas akan menjadi lemah dan menyebabkan kerosakan pada buah. Kerosakan yang berlaku pada isi buah berlaku apabila panahan haba yang tinggi, mengakibatkan isi nanas menjadi "masak" dan merosakkan buah. Keadaan ini akan menyebabkan serangan sekunder dari kulat dan perosak pada isi buah. 

    Kesan cahaya dan kepanasan matahari  
                   pada buah nanas MD2


Bagi mengurangkan kesan "sunburn" ini, beberapa cara dipraktikkan oleh petani. Ada yang menyarungkan sarung kertas atau kain pada buah yang sudah hampir matang, ada yang menggunakan piring polisterin yang dipasang pada jambul buah nanas, malah ada yang mengikut daun-daun nanas pada buah nanas. Kesan melecur pada kulit buah nanas ini juga dapat dikurangkan sekiranya dibaluti atau dilindungi oleh rumpai pada keliling pokok nanas berkenaan. 


Namun, kaedah-kaedah berkenaan menyebabkan penggunaan tenaga buruh yang tinggi serta memakan masa.

Kaedah yang paling berkesan dan mudah ialah, pokok nanas ditutup dengan jaring (sekurang-kurangnya 30%) atau kain bagi melindungi kepanasan dari sinaran matahari dan seterusnya dapat mengurangkan kerosakan pada buah nanas. 

     Penggunaan jaring diatas pokok nanas        bagi mengelak kesan sunburn. 

Selain menggunakan jaring bagi mengurangkan kesan panahan cahaya matahari, ada pengusaha tanaman nanas di Queensland menggunakan "sun block" berasaskan batu kapur (limestone) dengan menyemburkannya kepada buah nanas bagi mengelak lecuran pada kulit buah nanas. 


#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

1/12/2020 








Monday, November 30, 2020

RUPANYA CINCAU DIHASILKAN DARI DAUN, BUKAN DARI AGAR-AGAR!

Selama ini akak menyangka cincau yang dijadikan minuman penyejuk badan adalah dihasilkan dari bancuhan agar-agar! 🤭. 

                            Cincau hitam

                             Cincau hijau

Namun setelah dikongsi oleh Dr Munusamy Rajamanikam, Pakar Rawatan Ayurveda dari LK Ayurveda Research Training Centre di Lumut, Perak, barulah akak mengenali pokok cincau ini 😅. Terima kasih Dr....💖

Di Malaysia, terdapat 3 spesis pokok cincau yang telah dikenal pasti. 

1. Pokok cincau hijau jenis memanjat. 
     (Cyclea barbata)
    Terdapat dua ciri berbeza pada pokok 
    cincau jenis memanjat ini. Perbezaan 
    dapat dilihat pada permukaan daunnya. 
    Ada permukaan daunnya licin berkilat 
    dan ada yang mempunyai permukaan 
    daun yang berbulu.

Pokok cincau yang tumbuh memanjat di pagar


2. Pokok cincau perdu (Premma  
    oblongifolia)
    Pokok cincau ini merupakan tumbuhan 
    renek yang berkayu atau perdu. 


3. Pokok cincau hitam (Mesona spp.)
    Pokok ini tumbuh rendah dan berbatang 
    lembut dari keluarga pudina. Spesis 
    yang sering digunakan ialah Mesona 
    chinensis, Mesona procumbens 
    dan Mesona palustris. 
    Cincau yang terhasil dari daun ini akan 
    berwarna hitam.


RESEPI MENGHASILKAN CINCAU
-----------------------------------------------------

Bahan-bahan:
---------------------
1 liter air mineral
9 helai daun cincau (ada yang menggunakan segengam daun)


Cara memasak:
------------------------
1. Daun cincau dicuci bersih dan urat 
    kasar yang terdapat pada daun 
    dibuang.

2. Campuran air dan daun didalam 
    blender. Blend hingga halus. Daun ini 
    juga boleh diramas sehingga hancur. 
   (Boleh kurangkan penggunaan air jika 
    tidak mahu cincau yang lembik)

3. Tapis daun cincau yang telah hancur 
     dengan penapis bagi mengeluarkan air 
     lendiran daun cincau.

4. Masukkan air lendir cincau tadi ke 
    dalam bekas. Sejukkan didalam peti 
    sejuk.

5. Setelah beku, potong cincau dan 
     nikmati mengikut citarasa sendiri. 


Tidak banyak maklumat yang dapat akak kongsikan didalam artikel ini pada kali ini. Akak akan cuba update maklumat dari masa ke semasa jika berkaitan. In sya Allah. 


Alamak.... Terbayang keenakan cincau yang sejuk....


#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

1/12/2020

Wednesday, November 25, 2020

ISI TEMBIKAI BERWARNA PUTIH DAN KURANG MANIS?

Isi buah tembikai berwarna putih dan kurang manis? Apa sebenarnya yang berlaku? 

Buah tembikai memerlukan air yang mencukupi untuk membesar, malah ia tergolong dikalangan buah-buahan mengandungi kandungan air yang paling tinggi iaitu hampir 92% dari berat buah. Namun sekiranya hujan turun dengan lebat ketika pembentukan buah, memberi impak yang negatif kepada pertumbuhan buah tembikai.  

Bekalan air yang berlebihan akibat hujan ketika pembesaran dan pembentukan buah, akan menyebabkan buah tembikai cepat "mengembang". Keadaan ini berlaku kerana pembekalan air melalui xilem berterusan, namun proses transpirasi melalui daun, amat perlahan kerana cuaca yang mendung. 


Buah tembikai juga mengalami proses transpirasi. Namun keadaan kulit buah yang tebal dan agak berlilin, proses transpirasi pada buah agak lambat berbanding transpirasi pada daun. 
Keadaan ini menyebabkan pengumpulan air didalam buah menjadi lebih cepat berbanding penghasilan gula dalam buah. 
Ini menyebabkan buah menjadi kurang manis serta menyebabkan isi buah tembikai berwarna putih disebabkan kandungan air yang tinggi. 

Sekiranya hujan berterusan, kejadian isi buah putih akan menjadi lebih besar. 

Maka, dalam amalan penanaman buah tembikai, pengairan atau bekalan air pada peringkat akhir penanaman tembikai perlu dikurangkan bagi memastikan buah tembikai dapat meningkatkan peningkatan gula dalam buah sebelum ianya dipetik. 

Nyum.....nyum....🍉🍉🍉 😋


#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

25/11/2020



Tuesday, November 24, 2020

KENAPA TEMBIKAI KUNING BERWARNA KUNING?

Di Malaysia, buah tembikai yang mempunyai isi berwarna kuning jarang ditemui dipasaran. Ini adalah kerana buah tembikai ini ditanam dalam jumlah yang sedikit oleh pengusaha dan digunakan hanya untuk mendapatkan sumber bunga jantan untuk melakukan kerja-kerja pendebungaan kepada pokok tembikai merah bagi menghasilkan tembikai merah yang tidak berbiji. Untuk bacaan seterusnya mengenai pendebungaan ini, sila klik disini. 

Tembikai kuning ini mempunyai kandungan kemanisan yang lebih tinggi berbanding tembikai merah. Namun, kulitnya yang agak rapuh dan nipis menjadikan kerja-kerja pemasaran menjadi agak sukar. 

Pada dasarnya, jika kita perhatikan dari kulit luar, tidak banyak perbezaan diantara tembikai merah dan tembikai kuning. Apa sebenarnya yang menyebabkan tembikai merah berwarna merah dan tembikai kuning berwarna kuning?

Tembikai kuning tidak atau mungkin hanya mengandungi sedikit sahaja fitonutrien yang dinamakan lycopene, iaitu antioksida yang menyebabkan buah tomato dan anggur berwarna merah! 

Lycopene adalah antioksida yang baik untuk kesihatan tubuh badan manusia. Ia membantu mengurangkan kesan dari panahan matahari, bagus untuk kesihatan jantung dan mengurangkan risiko serangan penyakit kanser. Lycopene banyak terdapat dalam buah-buahan yang berwarna merah seperti tomato dan jambu batu merah! 🥰

Walau bagaimanapun, tembikai kuning mempunyai kandungan beta-carotene seperti yang terdapat pada lobak! 


#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

24/11/2020




BABI HUTAN, HAIWAN PEROSAK TANAMAN

Babi hutan (Sus scrofa Linnaeus) sering menyerang tanaman secara bersendirian atau dalam kumpulan kecil.  Haiwan ini aktif di waktu malam dan siang terutama diawal pagi dan petang. 

Haiwan ini akan menyerang dan memusnahkan anak pokok dengan cara menyondol dan mengorek tanah yang gembur dan basah. Haiwan ini akan memakan cacing-cacing yang terdapat disekitar pokok berkenaan termasuk akar dan ubi. 

Selain itu, babi hutan turut makan buah-buahan yang rendah dan juga sampah-sampah yang dilonggokan. 


Babi dewasa mempunyai bulu badan yang berwarna hitam manakala anak-anak babi mempunyai bulu yang berjalur gelap dan cerah yang memanjang dibahagian badannya. Jangkahayat babi hutan adalah diantara 10 ke 15 tahun.!

Babi hutan betina akan bunting selama 110 hingga 115 hari dan mampu untuk melahirkan antara 1 ke 10 ekor anak pada satu-satu masa. 

        Anak - anak babi hutan yang sering              disangka kancil 🤭

Haiwan ini gemar berkurang diatas tanah yang dilapisi daun-daun, rumput-rumput dan ranting kecil. 

  Kesan yang ditinggalkan oleh Babi hutan  
  sekitar log kelulut

   

#InstitutPertanianTitiGantongPerak
#JabatanPertanianMalaysia

24/11/2020

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...