Thursday, April 16, 2020

BUNGA Tridax procumbens; bunga kekwa liar yang sedap dijadikan teh.

Bunga Tridax procumbens ini dikenali sebagai tridax daisy, bunga kekwa liar, kekwa kampong atau bunga kancing baju.


Comelkan bunga tridax ni? 

Kalau dulu, sewaktu akak berjalan tepi padang atau merentasi taman yang banyak ditumbuhi rumput, mata akak tidak akan lepas memandang bunga kecil yang comel berwarna kekuningan yang bagi akak amat cantik menghiasi permukaan tanah.

Adakalanya akak akan mengambil masa untuk memetik bunga-bunga comel ini untuk dijadikan jambangan bunga bagi menghiasi meja kecil akak. Namun batang bunga ini terlalu lembut dan tidak sesuai untuk disimpan lama.


Kombinasi warna yang sangat cantik


Apabila bunga ini memenuhi ruang, suasana seakan berada diluar negara 😂😂😂


Akak juga pernah melihat bunga ini turut dikunjungi oleh kelulut jenis Geniotrigona thoracica bagi mengutip nektar daripada bunga ini.

Akak turut dimaklumkan bahawa daun dari pokok ini digunakan untuk mengurangkan darah akibat luka. Daun ini dibasuh bersih dan diramas kemudian daun tadi ditekap pada luka.

Baru-baru ini dalam page Masak Apa Hari Ni, akak mendapati banyak perkongsian dari rakan-rakan bahawa bunga ini boleh direbus dan dan dijadikan teh untuk segarkan badan. Ianya boleh dinikmati ketika panas atau dibuat sejuk. Yang paling menarik, air rebusan bunga ini rasanya seperti bunga krisanthimum/bunga kekwa!


PENYEDIAAN TEH BUNGA TRIDAX

Bunga yang telah dibersihkan direbus dengan gula atau gula batu.
Boleh dihidang semasa panas atau sejuk.
Hmmm.... jom cuba!


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

17/4/2020


KEREMAK MERAH (Alternanthera sessilis) BAGUS UNTUK KURANGKAN KOLESTROL

Keremak Merah (Alternanthera sessilis)

Akak yakin ramai yang biasa melihat pokok herba yang dipanggil keremak merah atau ada yang turut memanggilnya kesum merah kerana seakan pokok kesum. Akak memang ingat masa zaman kanak-kanak akak dulu, pokok ini banyak ditanam oleh mak akak sebagai pokok hiasan menghiasi laman rumah mak akak.


Keremak merah, cantik sebagai hiasan dan banyak khasiatnya.

Sememangnya akak tidak pernah terfikir bahawa tanaman penutup bumi yang akak anggap sebagai pokok hiasan ini mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan.

Pokok ini juga amat mudah ditanam dan dibiakkan. Apa yang perlu ialah ranting dari pokok yang matang dipatahkan dan dicucuk didalam tanah. Akar dari ranting ini akan tumbuh dan pokok ini akan tumbuh dengan banyak. Selain keratan ranting, biji pokok ini juga boleh digunakan untuk disemai.

Semasa akak bertugas di Jabatan Pertanian di Negeri Perak, kami pernah dikunjungi oleh rombongan perawat alternatif dari negeri China yang ingin melihat koleksi herba di Taman Herba Negeri Perak yang terletak di Kg. Kepayang, Batu Gajah, Perak. Rombongan ini diketuai oleh Dr Khadijah yang juga berasal dari negeri Perak.

Menurut Dr Khadijah, pokok keremak ini mempunyai khasiat yang banyak dalam kesihatan manusia. Diantara kebaikan pokok keremak merah ini ialah ia dapat membantu dalam mengurangkan kandungan kolestrol dan seterusnya dapat membaiki pengaliran darah. Ia bagus untuk kesihatan jantung dan buah pinggang. Bagi tujuan itu, Dr Khadijah mengesyorkan pucuk keremak merah ini dimakan mentah dalam 25 helai sehari.


Sayur keremak merah goreng belacan

Pokok keremak merah ini bukan sahaja dapat dijadikan ulam mentah atau campuran salad, malah ia juga boleh dimasak seperti sayuran yang lain atau dijadikan jus kesihatan.


Resepi Jus kesihatan keremak merah
(Oleh Ummu Amani)



Seikat daun keremak merah dibasuh bersih (Elle rendam dengan air garam, kemudian basuh bersih sebelum direbus)
5 biji kurma merah (tak letak pun takpe)
2 liter air

Cara-caranya :-
Rebus kedua dua bahan diatas sehingga mendidih.
Kemudian, tapis air rebusan tersebut sebelum minum.
Boleh disimpan dalam peti sejuk.

Akak rakamkan ucapan terima kasih buat Ummu Amani kerana berkongsi resepi ini.

Selamat mencuba.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

17 April 2020









KENAPA TERDAPAT GAS DALAM AIR KELAPA MUDA?

Air kelapa merupakan endosperma dalam bentuk cecair. Air kelapa ini akan memenuhi bahagian kaviti atau sac embrio dan kandungannya akan semakin bertambah apabila buah kelapa semakin membesar.

Air kelapa muda sebaiknya diminum tanpa tambahan gula atau ais.

Pembesaran buah paling maksima adalah pada bulan ke enam selepas persenyawaan. Pada peringkat ini, endosperma dalam bentuk pepejal (isi kelapa) mula terbentuk di bahagian tempurung. Pembentukan awal endosperma pepejal ini adalah dalam bentuk jeli dan nipis. Dan ia akan mula menebal dan menjadi keras.

Buah kelapa yang sesuai dijadikan minuman segar adalah pada usia 7 ke 8 bulan selepas bunga betina disenyawakan. Pada peringkat ini, kemanisan air kelapa adalah pada tahap yang paling tinggi.

Pada kebiasaan, buah kelapa muda yang ditakik akan mengeluarkan tekanan gas yang kuat dari dalam. Air kelapa segar dari buah kelapa ini juga terasa bergas seakan minum minuman bergas dari dalam tin!
Hmm .... Pasti nyaman dapat menikmati air kelapa segar di musim panas, kan?

Bayangkan keenakan air kelapa muda ini..😍

Keadaan ini adalah disebabkan oleh air kelapa dari buah kelapa muda mempunyai kepekatan gas karbon dioksida yang tinggi hasil dari tindakbalas enzim penukaran karbohidrat kepada lemak. Allah Maha Besar!

Pada buah kelapa yang telah matang, kandungan air kelapa adalah semakin berkurang dan boleh dikenali apabila buah dikocak.

PETUA KESIHATAN MENGGUNAKAN AIR KELAPA MUDA
(Perkongsian dari kawan saya yang hebat; Pn Emma Nurimah Deen , Pengasas Saujana Herba)


Resepi minuman kesihatan; air kelapa muda dicampur garam:

Air kelapa asli tiada ais batu tiada gula hanya di campur secubit garam kristal, bukit atau sebiji garam jantan kacau arah lawan jam baca selawat. Niat , mohon doa pada Allah untuk menyembuhkan penyakit.

In shaa Allah, ia mampu membantu mengubati alahan habuk jerebu dan membuang racun dalam badan. Selamat mencuba.


Untuk mendapat tips dalam memilih kelapa muda untuk diminum, sila klik di sini.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

16 April 2020

Saturday, March 14, 2020

APIS FLOREA; LEBAH MADU YANG KECIL

Apis florea (A.florea) atau turut dikenali juga sebagai lebah lalat adalah lebah madu yang paling kecil dengan saiz 7 - 10mm panjang. Sama seperti lebah madu yang lain, lebah A.florea ini juga merupakan spesis yang penting dalam membantu pendebungaan. Akak sedih mendapat tahu banyak koloni-koloni lebah liar ini  dibakar kerana dikhuatiri akan menyengat penghuni yang berhampiran.



Apis florea yang comel.
Sumber gambar: https://www.flickr.com



Lebah Apis florea kelihatan mengambil air.


Disini akak ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan dan merayu rakan-rakan akak diluar sana...tolonglah jangan bakar lebah-lebah ini...😭😭😭.

Tanpa lebah-lebah ini membantu pendebungaan, pokok-pokok dan ekosistem kita akan lebih cepat musnah dan pupus! 

Jika kita mengenali lebah-lebah ini, sebenarnya mereka tidak merbahaya. Mereka hanya akan menyerang apabila rasa terancam. Cukuplah halau mereka dengan memberi asap agar mereka dapat berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat. 🐝🐝🐝.


Berbalik kepada lebah A.florea ini, lebah comel ini dikategorikan sebagai lebah yang paling kecil sama seperti lebah Apis andreniformis (A.andreniformis). Kedua-dua spesis lebah ini membina hanya satu lapisan kom berdiameter lebih kurang 25cm yang dilekatkan tergantung pada ranting-ranting pokok disebalik daun-daun bagi tujuan untuk sembunyi dari pemangsa. 


Sarang lebah Apis florea dicelah-celah pokok
Gambar sumber: Penyelamat Lebah Malaysia



Kawanan lebah Apis florea
Gambar sumber: Penyelamat Lebah Malaysia


Seringkali juga kita akan keliru perbezaan diantara lebah  A.florea dan lebah A.andreniformis. Abdomen lebah A.florea terdapat warna merah keperangan yang jelas berbanding A.andreniformis yang lebih berwarna hitam dan gelap. Bulu-bulu halus yang terdapat pada abdomen serta bahagian kaki belakang A.florea berwarna putih, manakala bulu-bulu pada abdomen dan kaki belakang A.andreniformis berwarna hitam!




Perbandingan bahagian abdomen lebah Apis florea dan Apis andreniformis.
Gambar sumber:   https://wiki.nus.edu.sg



Perbandingan kaki belakang Apis florea dan Apis andreniformis.
Gambar sumber:   https://wiki.nus.edu.sg


Lebah A.florea senang dikenali kerana mempunyai abdomen yang berwarna merah serta jalur putih hitam yang jelas kelihatan. Lebah kecil ini tidak boleh menghasilkan pengeluaran madu yang banyak. Pengeluaran madu oleh A.florea direkodkan sekitar 350 gram hingga 1 kg madu sahaja setahun.


Lebah ini adalah lebah yang nomad, sama seperti lebah Apis dorsata yang mana lebah-lebah ini akan berpindah randah membina sarang ditempat yang berbeza. Diantara faktor yang menyebabkan lebah-lebah ini berpindah randah ialah; kekurangan bahan asas seperti nektar dan debunga, ancaman pemangsa dan gangguan persekitaran. 




Sarang Sarang lebah Apis florea dibalik pokok hiasan.
Gambar sumber: Penyelamat Lebah Malaysia


Jarak yang diambil oleh  A. florea bagi membina sarang yang baru adalah disekitar 100 -200 meter dari sarang yang asal. Diantara keunikan pada lebah A.florea ini berbanding koloni lebah madu yang lain ialah lebah-lebah A.florea akan menggunakan kembali lilin lebah dari sarang lama bagi membina sarang baru dilokasi yang baru.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

15hb Mac 2020

Monday, March 2, 2020

PEMBIAKAN ASEKSUAL DALAM KITARAN HIDUP CENDAWAN ABALONE

Cendawan abalone (Pleurotus cystidiosus) dan (Pleurotus abalonus) adalah diantara cendawan dalam keluarga Pleurotus spp. (cendawan tiram) yang akak sangat gemar. Cendawan abalone ini mempunyai isi yang lebih tebal dan kenyal berbanding cendawan tiram kelabu atau cendawan tiram yang lain.

Kekenyalan dan rasa manis yang ada pada cendawan abalone ini seakan rasa daging. Akak pernah mengambil kepingan-kepingan cendawan abalone ini, akak gril bersama lada hitam dan akak jadikan ia seakan daging. Akak letakkan cendawan abalone yang sudah masak bersama roti yang telah diletak salad, timun dan bawang. Kemudian akak tuang sos cili dan akak nikmati sandwich cendawan abalone! Sedaaaaappp😍. Kalau tidak percaya cakap akak, cubalah sendiri...

Cendawan abalone adalah diantara cendawan yang dapat membantu dalam merendahkan tekanan darah, kandungan glukosa dan lipid pada badan kita. Ianya juga mampu untuk merencat pertumbuhan tumor! Selain itu juga kandungan antioksida yang ada pada cendawan ini mampu untuk mengurangkan proses penuaan. Subhanallah...

Pernahkah kita tahu bahawa cendawan abalone ini mempunyai keunikannya tersendiri? Allahuakbar...

Cendawan abalone dikategorikan sebagai cendawan dalam group dimorphic iaitu mempunyai kaedah pembiakan secara seksual atau aseksual.

Semasa peringkat vegetatif, iaitu diperingkat pertumbuhan maisilium, kita akan dapat melihat terdapat titisan hitam yang akan muncul pada maisilium cendawan abalone yang putih. Titisan hitam ini dipanggil coremia.

Coremia pada maisilium cendawan abalone yang tumbuh dalam pinggan petri yang disediakan oleh Dr Chan Pick Kuen.


Lagi gambar dari pinggan petri oleh Dr Chan Pick Kuen

Pada peringkat awal pertumbuhan maisilium, maisilium cendawan abalone adalah sama seperti maisilium cendawan yang lain iaitu berwarna putih gebu.  Namun sebalik sahaja maisilium matang dan membesar, titisan hitam kumpulan spora yang kelihatan pada bahagian yang berbentuk seperti batang yang dipanggil coremia. 


Kesan titisan hitam turut dapat dilihat pada bongkah cendawan abalone milik en Paul Lai.


Maiselium cendawan abalone dalam botol.


Coremia ini adalah sel yang terbentuk seakan batang yang terdapat titisan cairan yang mempunyai kumpulan spora yang berwarna hitam. Coremia terbentuk secara aseksual dari pertumbuhan maisilium bagi melengkap kitaran hidup cendawan.

Spora yang dihasilkan melalui proses aseksual ini akan dibebaskan apabila matang tanpa melalui pembentukan janabuah. Spora ini dibebaskan apabila ia mulai kering dan mengeras.

Ilmu Allah sangat luas. Semakin kita mencari, semakin kita akan rasa tersangat kerdil. Siapalah kita untuk ada rasa sombong dengan ilmu yang lebih kecil dari saiz badan bakteria ini. Allahuakbar...

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

2/3/2020

Wednesday, February 26, 2020

POKOK SALAD KRISTAL (Mesembryanthemum crystallinum)

Alhamdulillah. Pada 24hb Feb 2020 yang lalu, akak berpeluang untuk melawat Agroto Business (M) Sdn Bhd yang terletak berhampiran Tanah Rata, Cameron Highland. Syarikat ini adalah diantara syarikat di Malaysia yang menggunakan kaedah penanaman dan pengeluaran sayur-sayuran secara moden seperti penggunaan rumah kalis hujan (control environment farming), sistem NFT dan drip irrigation, automated watering system, automated seedling machine dan fertilizer mixer machine. 

Untuk pengetahuan semua, Syarikat Agroto ini merupakan pengeluar sayur-sayuran yang berkualiti tinggi dari kawasan tanah tinggi seperti timun jepun, tomato, salad dan sebagainya. Sayur-sayur segar ini telah dipasarkan ke pasaraya seperti AEON, TESCO, KFC, McDonald's, Subway, GIANT dan lain-lain ke seluruh Malaysia. 



Logo dipintu masuk ke pejabat pentadbiran Syarikat Agroto

Selain memasarkan sayur-sayuran segar ke pasaraya yang berkatan, syarikat juga menyediakan produk sayur-sayuran terutama salad dalam bentuk "ready to eat" dan "ready to cook".

Salad yang akak pegang tu adalah antara salad yang paling laris. Salad ini dikenali sebagai iceberg lettuce yang mempunyai rasa yang rangup dan enak dimakan.

Salad ini pula dikenali sebagai Romaine lettuce.

Salad red coral 

Dalam banyak jenis sayur-sayuran yang ditanam, akak tertarik dengan sejenis sayuran yang sering dijadikan salah satu hidangan salad iaitu salad ais (ice lettuce atau ice veggie).  

Salad ais atau lebih dikenali sebagai salad kristal.

Jika diperhatikan pada pokok ini, terdapat bintilan-bintilan yang mengandungi air pada bahagian permukaan daun dan batang. Bintilan ini berwarna jernih dan berkilat seperti ais atau kristal! Dari sifat inilah salad kristal ini mendapat namanya (Mesembryanthemum crystallinum).

Bintilan yang terdapat pada daun dan batang pokok yang berkilat seperti kristal ini merupakan pundi penyimpanan garam yang diserap oleh akar. Dengan adanya bintilan ini, ia akan memberi rasa sedikit masin apabila salad ini dimakan.

Bintilan seakan kristal yang terdapat pada permukaan daun dan batang. 
Gambar kredit : http//Mama-farm.jp/english

Pokok salad kristal ini merupakan sejenis pokok renek jenis sekulen (mengandungi air) dan ia turut mengeluarkan bunga kecil yang cantik berwarna putih kekuningan (off white).


Apabila pucuk sudah mula keluar hujung yang berwarna merah, menandakan bahawa pokok salad ini sudah terlalu matang dan produktivitinya akan berkurang


Bunga yang terdapat pokok salad kristal.

Akak mendapat maklumat bahawa harga salad kristal ini dipasaran ialah sekitar RM10.00 bagi setiap 100 gram. Salad kristal ini mempunyai pelbagai khasiat dan diantara lain ianya mempunyai sifat anti penuaan. Maka ekstrak dari salad kristal ini digunakan dalam kosmetik untuk kecantikan. Subhanallah.

Akak ingin merakamkan jutaan terima kasih buat Farhana (Ana) dari Jab Pertanian Negeri Perak serta pn Normala Manaf dari Jabatan Pertanian Negeri Johor yang membantu akak untuk mengambil gambar ketika lawatan ini. Handphone akak tidak bersama akak ketika iti 😅.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

26/2/2020



.






Monday, February 17, 2020

KESAN KEPEKATAN KARBON DIOKSIDA PADA PERTUMBUHAN CENDAWAN

Kali ini akak nak kongsi sedikit lagi pasal tanaman cendawan. Kalau diperhatikan dalam penanaman cendawan, kita perlu memahami keperluan asas untuk pertumbuhan cendawan. Menanam cendawan tidak sama macam kita tanam sayur-sayuran. Tanaman cendawan ini memerlukan kelembapan persekitaran, pengaliran udara yang baik, cahaya yang tertentu serta suhu yang rendah.

Kali ini kita cuba fahami "Apakah pengaruh karbon dioksida dan oksigen terhadap tumbesaran cendawan.

Cendawan memerlukan kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang berbeza pada peringkat pertumbuhan yang berbeza. Kepekatan karbon dioksida selain suhu dan kelembapan adalah diantara diantara faktor kritikal dalam memaksimakan pengeluaran hasil cendawan.

Semasa pertumbuhan maisilium dalam bongkah media (fasa vegetatif), proses respirasi (pernafasan) oleh maisilium menyebabkan kepekatan karbon dioksida meningkat. Kepekatan karbon dioksida yang lebih tinggi berbanding kepekatan oksigen, menggalakkan pertumbuhan maisilium semasa diperingkat pemeraman.

Namun, pada peringkat reproduktif, kepekatan karbon dioksida yang tinggi akan memberikan impak yang negatif kepada pertumbuhan cendawan terutama semasa pengeluaran primodia (pinhead).

Peringkat pertumbuhan primodia adalah peringkat yang paling sensitif dalam carta aliran pertumbuhan cendawan. Bekalan oksigen dan kelembapan yang tinggi, suhu yang rendah serta sedikit kehadiran cahaya amat diperlukan bagi memastikan pembentukan janabuah (cendawan).

Kepekatan karbon dioksida yang tinggi pada peringkat primodia akan memberi kesan kepada pembentukan janabuah. Batang cendawan akan tumbuh memanjang dan kurus. Manakala bahagian tudung (pileus/cap) adalah kecil serta tidak akan berkembang dengan baik dan berbentuk seperti trompet (bagi cendawan tiram). Penghasilan spora (basidiospora) juga terhalang!



Ketika ini pengaliran udara yang baik amat penting untuk meningkatkan bekalan oksigen serta mengurangkan karbon dioksida bagi pertumbuhan cendawan yang baik.




Penurunan paras karbon dioksida dan meningkatkan paras oksigen amat perlu semasa pembentukan serta perkembangan primodia diikuti dengan pengurangan suhu serta peningkatan kelembapan udara. Cendawan memerlukan oksigen bagi menghasilkan tenaga, sama seperti manusia serta benda hidup yang lain! 😊

Kandungan kepekatan karbon dioksida diudara boleh disukat dan dilaraskan bagi menepati keperluan dalam penanam cendawan.



Meter yang boleh digunakan untuk menyukat kepekatan karbon dioksida di udara.


Pemerhatian yang dibuat pada cendawan butang (Agaricus bisporus ) menunjukkan kepekatan karbon dioksida pada 10,000 - 20,000 ppm adalah diperlukan semasa peringkat pertumbuhan maisilium. Manakala, semasa pembentukan primodia, kepekatan karbon dioksida diantara 800 ke 1500 ppm sahaja diperlukan untuk pertumbuhan dan pembentukan janabuah. 


Jika ingin membaca kenapa cendawan memerlukan kelembapan, sila klik disini.

Jika ingin membaca faktor yang mempengaruhi pertumbuhan cendawan, sila klik disini.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

17/2/2020

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...