Monday, October 7, 2019

PETAI BELALANG SEDAP DAN BERKHASIAT

Akak dok perhatikan kiri dan kanan jalan, banyak betul terdapat pokok-pokok petai belalang yang tumbuh dengan subur. Buah petai tersebut terbiar hingga kering di pokok. Petai belalang ini turut dikenali sebagai petai cina atau petai burung oleh penduduk tempatan.


Petai belalang muda dan biji petai belalang

Akak ada terbaca satu artikel yang menceritakan kajian yang telah dibuat mengenai keberkesanan ekstrak dari biji petai belalang yang matang dapat mengawal kenaikan paras gula dan glukosa dalam darah.

Buah petai belalang yang matang dipokok

Kajian tersebut telah dijalankan oleh Pegawai Penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) iaitu Abd Rashid Li. Menurut beliau, sebatian kimia daripada biji matang petai belalang ini sangat berpotensi untuk dijadikan ubat farmaseutikal bagi mengawal penyakit diabetes. Subhanallah. Kagum akak!

Akak terkenang zaman kanak-kandulu. Akak kan orang kampung. Zaman akak kecik-kecik dulu, pokok petai belalang ni memang tumbuh subur didalam semak belakang rumah.

Ada kalanya akak dan adik-adik akan mengait buah petai yang sudah matang lantas meleraikan biji-biji petai tersebut ke dalam bekas. Sambil mengumpul biji-biji ini, sempat juga kami kunyah biji-biji tersebut seperti makan kacang. Hik hik hik....

Kebiasaannya, kami akan menumis cili serta memasukkan biji-biji petai belalang tadi bersama ikan bilis. Perrrgghhhh..... sedapnya masak tumis petai belalang dimakan bersama nasi putih yang panas!

Petai belalang masak tumis. Sedapnya..

Pucuk dan buah petai belalang yang masih muda dan belum berisi turut kami jadikan ulam untuk dicicah bersama sambal tumbuk. Pucuk petai belalang juga boleh menjadi hidangan yang enak.

Ulam pucuk petai belalang

Ulam petai belalang muda.


Itu je akak nak citer....Hi hi...

Sunday, October 6, 2019

PUDING RAJA; WARISAN DIRAJA NEGERI PAHANG

Semasa akak ke Pekan, Pahang atas urusan kerja, akak dibawa oleh pihak urusetia dari Jabatan Pertanian Negeri Pahang untuk merasai kenikmatan pencuci mulut Puding Raja yang terkenal di Pekan, Pahang ini.


Menurut en Rahman, dahulu kala puding yang istimewa ini hanya menjadi santapan buat keluarga di Raja sahaja. Namun kini, resepi istimewa ini turut noleh dinikmati oleh rakyat jelata.


Menurut usahawan yang menghasilkan manisan ini, untuk membuat puding raja adalah tidak sukar. Bahan utama untuk menghasilkan puding ini ialah pisang lemas manis, telur ayam (kuning saja), ceri, badam, prun, susu cair dan gula pasir. 

Hanya pisang jenis lemak manis sahaja yang membangkitkan rasa enak pada puding ini berbanding pisang jenis lain. Dan pisang lemak manis ini dikatakan banyak ditanam sekitar kawasan Pekan.









Pisang lemak manis ini perlu digoreng terlebih dulu dalam minyak yang betul-betul panas dan banyak sehingga pisang tenggelam.

Setelah itu, kuning telur pula diputar sehingga kembang sebelum diurai menggunakan acuan dalam air gula pekat yang mendidih. Telur yang diurai inilah menjadi jala emas yang berwarna kuning diraja itu kelihatan lebih cantik jika diurai tanpa putus, dan akan kelihatan berkilat jika air gula dimasak mengikut kepekatan diperlukan.

Kuah puding pula diperbuat daripada susu cair lemak manis dengan sedikit campuran air dan dimasak atas api kecil sehingga pekat.

Pisang emas yang sudah disejukkan itu disusun rapi di lapisan paling bawah bekas. Kemudian jala emas diletakkan diatasnya; dan dihias dengan ceri hijau dan merah serta prun.

Sebelum makan, kuah puding yang diperbuat dari susu cair lemak manis di tuang ke dalam puding. Memang puding ini sangat enak dimakan. Bertambah sedap jika puding ini dibiarkan sejuk didalam peti ais sebelum dimakan. Nyum....nyum....

Saturday, October 5, 2019

HERBA POKOK BELIMBING TANAH (Oxalis barrelieri)

Pokok belimbing tanah (Oxalis barrelieri) merupakan sejenis renek yang tumbuh liar yang dikategorikan sebagai rumpai. Pokok ini mempunyai buah kecil yang mempunyai bentuk dan rasa yang sama macam buah belimbing (Averrhoa carambola).



Rasa buahnya masam dikatakan dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan kecing manis kepada yang mengamal memakannya. Selain buah, daun belimbing tanah ini turut mempunyai rasa masam disebabkan oleh kandungan asid oxalic. 

Akak dapat tahu daun belimbing tanah boleh dimakan mentah atau dimasak. Namun, kita tidak digalakkan untuk makan dalam jumlah yang banyak kerana asid oxalic ini akan mengikat pengambilan kalsium oleh tubuh. 




Bunga belimbing tanah berwarna keungguan turut digemari oleh kelulut.

Wallahualam..

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Friday, October 4, 2019

BANTAL KEKABU DARI KEKABU (Ceiba pentandra)

Mungkin generasi Y masa kini sudah tidak mengetahui bagaimana kaedah untuk menghasilkan bantal kekabu malah tidak mengenal atau mungkin tidak pernah mendengar tentang buah kekabu.

Semasa zaman akak dan adik-adik masih kanak-kanak, kami akan menolong mak dan arwah abah untuk menjolok buah kekabu yang telah mulai matang dari pokok.

Pokok kekabu adalah pokok yang tinggi dan batang pokoknya ada terdapat sedikit duri-duri. Bunga kekabu berwarna putih krim dan akan terbuka diwaktu malam. Ia akan mengeluarkan bau yang kuat dan akan merembeskan nektar pada bahagian pangkal bunga, debunga bunga ini adalah melekit. Bunga ini akan layu waktu tengahari.


Batang kekabu yang berduri


Buah kekabu muda.
Gambar kredit kepada www.fazlisyam.com


Bunga pokok kekabu


Kulit buah kekabu yang muda adalah berwarna hijau manakala kulit buah yang matang akan bertukar warna keperangan atau kehitaman. Buah yang sudah matang juga selalunya akan merekah dengan sendiri semasa masih di pokok dan jika dibiarkan, kekabu yang sudah ringan ini akan terbang ditiup angin bersama biji yang melekat pada kekabu tersebut.


Buah kekabu yang telah matang.
Gambar kredit kepada www.fazlisyam.com.


Mak akan cuba mengait buah-buah yang matang sebelum ianya terlebih matang dan terbang ditiup angin. Adakalanya akak turut membantu mak menjolok buah-buah kekabu menggunakan galah yang telah arwah abah sediakan, manakala adik-adik akan membantu mengutip buah-buah tersebut.


Kekabu yang telah diasinfkan dari biji, empulur dan kulit buah kekabu. 


Pernah suatu hari akak disengat oleh seekor tebuan ketika berada berhampiran pokok kekabu. Akak menangis dan mak menyapu minyak serta melekatkan biji asam jawa yang telah dibelah dua pada tempat yang disengat.

Biji asam jawa akan melekat pada bahagian sengatan dan terasa seolah-olah kulit akak disedut oleh biji berkenaan. Mak memesan agar akak tidak menguis biji tersebut dan membiarkan ianya gugur sendiri. Alhamdulillah, kaedah tersebut berjaya mengurangkan rasa bisa pada bahagian sengatan.

Buah-buah kekabu yang telah dikutip, akan dibuang kulitnya dan isinya akan disimpan didalam guni. Mak akan mengikat guni-guni tersebut dan menyimpannya ditempat yang kering dan selamat.

Apabila ada masa terluang, mak akan menyuruh akak dan adik-adik untuk membantu mak mengisi sarung-sarung bantal yang telah mak sediakan dengan kekabu. Mak akan memberi kami kain untuk menutup hidung bagi mengelak kekabu-kekabu berkenaan masuk ke dalam lubang hidung.

Sebelum mengisi kekabu-kekabu berkenaan ke dalam sarung bantal, kami terpaksa mengasingkan biji-biji kekabu dan empulurnya yang keras dari kekabu. Kekabu yang telah dibersihkan, terus disumbat masuk ke dalam sarung yang telah disediakan. Kami kena memenuhkan sarung-sarung bantal tersebut sehingga bantal tersebut kembong dan mampat.

Setelah siap, sarung yang telah penuh diisi, kami serahkan kepada mak. Mak akan menjahit lubang yang terdapat pada bantal tersebut seterusnya membersihkan sisa-sisa kekabu yang masih melekat pada bantal tersebut. Selalunya bantal yang baru siap akan dijemur ditengah panas matahari sebelum ia digunakan.

Ada kalanya semasa musim cuti sekolah, sepupu-sepupu kami turut membantu mengisi kekabu-kekabu ini. Sudah sedia maklum, apabila mula berkumpul beramai-ramai, kekabu-kekabu ini akan menjadi bahan untuk bermain.

Sepupu lelaki yang sememangnya tidak suka memakai baju, akan mula kelihatan seperti gorila apabila kekabu-kekabu putih ini melekat ke tubuhnya yang sudah basah dengan peluh. Beliau akan mula menyakat kami sambil mengayakan gaya seekor gorila. Kami akan ketawa riang diselangi dengan jeritan sehinggalah terdengar suara mak memarahi kami kerana kekabunya sudah bersepah merata-rata.....Hik hik hik....

Indahkan zaman kanak-kanak....

Sumber gambar: www.fazlisham.com

#Akakanakkampong

SNEK DARI KERAK NASI

Masa zaman kanak-kanak akak dulu, mak akak masih menggunakan kaedah tradisional untuk masak nasi. Kami tidak ada periuk nasi elektrik seperti orang-orang moden zaman sekarang. Ketika itu, akak diajar menggunakan periuk yang diletak diatas api untuk masak nasi. Periuk tersebut perlu dipantau untuk mengelak nasi menjadi hangit!

Kebiasaannya memasak nasi menggunakan kaedah ini, akan terdapat nasi yang menjadi kerak. Adakalanya kerak ini mak akak akan keringkan dengan meletakkan kerak ini dalam talam enamel dan menjemurkannya dibawah panas matahari.

Talam enamel yang digunakan zaman kanak-kanak akak. Gambar kredit Siakap Keli


Setelah kerak tersebut benar-benar kering, mak akan menggoreng kerak-kerak tersebut dengan minyak. Kerak-kerak tadi akan mengembang seperti keropok.

Kerak yang sudah kembang, akan diangkat. Selepas ini mak akan mula menyediakan air gula yang dicairkan didalam kuali. Setelah air gula pekat, kerak yang telah digoreng tadi di masukkan ke dalam air gula dan digaul rata.

Apabila sudah sekata, mak akan angkat dan sejukkan kerak bersira. Adakalanya mak buat macam kepingan , dan adakalanya mak biarkan kerak itu dalam bentuk sebutir-sebutir.


Inilah snek zaman kanak-kanak akak.... Kerak yang bersira ini rangup dan sedap dimakan terutama ketika bermain buaian ditepi rumah diwaktu petang....

#Akakanakkampong

KELAPA RAMBAI @ KELAPA RIBU (Cocos nucifera var. Spicata)

Mungkin tidak ramai yang pernah melihat keunikan yang terdapat pada pokok kelapa rambai atau ada yang mengenalinya sebagai pokok kelapa ribu.




Pokok kelapa rambai adalah sejenis pokok kelapa yang mengeluarkan banyak bunga betina berbanding bunga jantan!



Akak ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada en Roslan Jaafar, dari Bah Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian di Teluk Bharu kerana sudi membantu akak mendapatkan dua seludang dari satu-satunya pokok kelapa rambai di stesen berkenaan.

Akak membandingkan kedua-dua seludang yang saya ambil dan membuat sedikit pemerhatian.

Dalam seludang yang dilihat, hanya terdapat satu jejari sahaja yang dipenuhi oleh bunga jantan, manakala pada teras utama terdapat susunan bunga-bunga betina yang padat. Bunga jantan hanya berada dicelah-celah bunga betina berkenaan.



Pengiraan bunga betina pada salah satu seludang dibuat dan akak mendapati ada 240 kuntum bunga betina pada satu seludang pada seludang berkenaan.



Pokok kelapa rambai adalah tergolong dalam kumpulan pokok kelapa jenis SPICATA. Pokok kelapa ini mengeluarkan bilangan bunga betina yang banyak tetapi bilangan bunga jantan yang sedikit berbanding bunga pada pokok kelapa yang biasa.



Penghasilan bunga betina spicata adalah diantara 50 ke 500 kuntum, berbanding kelapa biasa diantara hanya 15 ke 50 kuntum bunga betina.

Penghasilan bunga jantan pada kelapa spicata jauh lebih rendah berbanding penghasilan bunga jantan pada kelapa biasa. Pokok kelapa spicata mempunyai 100 ke 1000 kuntum manakala pada kelapa biasa terdapat dalam 5000 ke 8000 kuntum bunga jantan!



Pada pokok kelapa spicata, kedua-dua jenis bunga jantan dan betina terdapat pada sepanjang teras seludang, tetapi pada seludang pokok kelapa biasa, bunga betina terdapat dibahagia bawah jejari manakala bunga-bunga jantan terdapat pada bahagian atas jejari.

Kulit yang membaluti seludang kelapa spicata juga lebih liat dan sukar untuk terbuka berbanding seludang pada kelapa biasa. Ini adalah salah satu faktor pendebungaan sukar dilakukan secara proses semulajadi.

Pokok kelapa rambai adalah jenis kelapa spicata mempunyai jumlah bunga betina yang tinggi, namun penghasilan buah adalah amat rendah hanya diantara 15 ke 20 biji sahaja. Buah yang dihasilkan juga kecil.



Keadaan ini berlaku kerana bilangan bunga yang banyak tetapi bilangan bunga jantan yang sedikit menyukarkan proses pendebungaan.

Keadaan bunga betina yang padat dan juga terdapat bunga-bunga yang abnormal juga menyebabkan bunga gugur.

Dari seludang yang dibuka, saya turut mendapati bahawa bunga jantan lebih cepat matang berbanding bunga betina. Keadaan bunga betina yang lambat matang dan menyebabkan keadaan reseptif yang lewat.

Pendebungaan pada pokok kelapa rambai banyak berlaku hasil dari penerimaan debunga dari kelapa yang lain. Maka anak benih yang terhasil dari pokok rambai tidak akan menyamai induk yang asal.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Tuesday, October 1, 2019

KITARAN HIDUP DAN KAEDAH KAWALAN MENGGUNAKAN PERANGKAP ORGANIK UNTUK KAWALAN KUMBANG TANDUK (Oryctes rhinoceros)

Kumbang tanduk (Oryctes rhinoceros) merupakan salah satu perosak yang merosakkan tanaman kelapa. Serangan diperingkat awal pertumbuhan pokok kelapa akan menyebabkan pokok kelapa mati.


KITARAN HIDUP KUMBANG TANDUK

Kitar hidup kumbang tanduk bermula apabila kumbang tanduk betina mengorek dan bertelur didalam longgokan bahan organik yang lembab dan mereput seperti batang dan daun kelapa yang mereput.


Kumbang tanduk betina akan mencari longgokan bahan organik untuk bertelur bagi memastikan larva yang ditetaskan akan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk membesar.

Telur kumbang tanduk adalah berbentuk bujur dan bersaiz 3 - 4 mm dan akan mula menetas selepas 8 - 12 hari.


Setelah menetas, larva kumbang tanduk akan mula makan dan terus membesar dalam tempoh 82 hingga 207 hari. Larva akan mula memasuki peringkat prepupa selama 8 ke 13 hari lagi.

Apabila memasuki peringkat pupa, larva akan berhenti makan. Ia akan diselaputi bahan organik yang mereput dan kekal dalam keadaan pupa selama 17 - 28 hari.



Selepas pupa bertukar menjadi kumbang tanduk dewasa, ia akan masih berada didalam kantung pupa 17 -22 hari lagi. Setelah itu, ia akan keluar dari kepompong dan terbang menuju ke bahagian pucuk palma yang muda.


KAEDAH KAWALAN KUMBANG TANDUK MENGGUNAKAN PERANGKAP ORGANIK

Kumbang tanduk akan hidup lebih kurang5 ke 10 bulan.  Salah satu kaedah kawalan yang boleh dilakukan untuk mengawal populasi kumbang tanduk ialah dengan menyediakan perangkap organik yang bertindak sebagai tempat bertelur. (Atau boleh dipanggil Klinik bersalin... he he he he).

Perangkap ini disediakan untuk menarik kumbang tanduk betina untuk datang dan bertelur ditempat yang telah disediakan. Telur-telur ini akan menetas dan pemantauan perlu dibuat dengan kerap bagi memusnahkan kumbang dewasa, larva dan telur- telur kumbang tanduk ini.

Kaedah membuat perangkap organik amat mudah.



Kaedah 1:

Susun batang kelapa yang telah dipotong bersaiz 1m x 1 m seperti dalam gambar dan dilonggokkan sabut atau habuk kelapa ditengah.

Kaedah 2:

Buat longgokan campuran tinja ayam dan tinja lembu.

Kedua-dua kaedah perlu dipantau agar larva yang ditetaskan dihapuskan sebelum bertukar menjadi dewasa .

Selamat mencuba....

Jika ingin mengenal mana satu kumbang tanduk jantan dan yang mana satu kumbang tanduk betina  sila klik


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...