Wednesday, November 6, 2019

PISAU TANDUK KERBAU UNTUK HASILKAN KELAPA BOTAK DAN KELAPA TELUR

Sudah lama tidak minum air kelapa botak atau air kelapa telur. Ada yang belum tahu apa itu kelapa botak dan apa yang dinamakan kelapa telur?

Kelapa botak ialah kelapa muda yang dibuang kulit dan tempurung hampir separuh dari buah kelapa. Isi kelapa masih terlekat pada tempurung kelapa berkenaan. Manakala kelapa telur pula ialah kelapa muda yang dikeluarkan isinya dari tempurungnya. Isi yang dikeluarkan itu putih dan bulat berbentuk telur.


Kelapa telur; isi kelapa dikeluarkan dari tempurung


Kelapa botak; isi kelapa masih melekat di tempurung

Untuk menghasilkan kelapa botak dan terutamanya kelapa telur, kelapa yang dipetik tidak boleh terlalu muda kerana isinya yang masih lembut menyukarkan pembentukan kelapa botak atau kelapa telur. Kelapa juga tidak boleh terlampau tua kerana isinya telah keras. 

Selain pemilihan buah kelapa, pisau tanduk kerbau akan digunakan untuk menghasilkan kelapa botak dan kelapa telur. Pisau yang istimewa ini adalah diperbuat dari tanduk kerbau jantan. Tanduk kerbau jantan dipilih kerana strukturnya lebih lembut berbanding tanduk kerbau betina yang kecil dan lebih padat. Pisau tanduk kerbau ini boleh melentur tanpa patah dan membuatkan ianya sesuai digunakan untuk mengeluarkan isi kelapa dari tempurung kelapa.


Penghasilan kelapa botak menggunakan pisau tanduk kerbau


Kaedah menghasilkan kelapa telur menggunakan pisau tanduk kerbau


Tanduk kerbau jantan yang panjang dan berongga


Pisau tanduk kerbau


Pisau tanduk kerbau yang boleh melentur tanpa patah.


Kelapa telur yang telah siap


Penghasilan kelapa telur memerlukan kemahiran yang tinggi. Pisau tanduk kerbau digunakan apabila sebahagian sabut dan tempurung telah dibuang dari buah kelapa. Pisau ini akan dimasukkan perlahan-lahan mengikut bentuk tempurung kelapa yang masih melekat pada isi kelapa. Sekiranya kurang mahir berkemungkinan isi yang dikorek akan bocor disusuk dengan pisau tanduk berkenaan. 😅😅😅

Setelah itu, kelapa botak atau kelapa telur boleh dihias cantik menggunakan payung kecil dan bunga orkid untuk dihidangkan.... Hmmmm.....enak dan segarnya jika dapat minum waktu cuaca yang panas....


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

6/11/2019


Tuesday, October 29, 2019

BUNGA PEACE LILY (Spathiphyllum spp.) MENARIK SERANGGA KECIL TERMASUK KELULUT DAN LALAT BUAH

Pokok peace lily (Spathiphyllum spp.) menyerupai pokok jenis Anthurium. Pokok ini sesuai ditanam didalam bangunan dan digunakan untuk membaiki kualiti udara dalam bangunan. Ia dikatakan mampu mengurangkan kadar toksik dari bahan seperti formaldehida, ammonia dan karbon monooksida.


Bunga peace lily ini mengeluarkan bauan yang wangi kuat yang terdiri dari methyl eugenol dan komponen-komponen kimia yang lain. Bau ini akan menarik serangga-serangga untuk membantu melakukan pendebungaan seperti kelulut, lalat dan kumbang; malah ia turut menyebabkan beberapa spesis lalat buah jantan akan tertarik untuk mengerumuni bunga ini.

Semasa dalam kesibukan membuat persiapan di miracle garden laman Florikultur MAHA 2018, akak terpandang beberapa ekor kelulut  Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica mengerumuni bunga peace lily bagi mendapatkan debunga pada bahagian tengah bunga berkenaan.

Kelulut dan lalat buah merupakan serangga agen pendebungaan kepada pokok peace lily ini. Dan pada masa yang sama, memandangkan pokok ini mampu menarik perhatian lalat buah, ia boleh dijadikan sebagai tanaman perangkap (trap plant) bagi mengurangkan populasi lalat buah dikawasan yang mengamalkan kaedah organik. Namun, penggunaan racun masih perlu digunakan untuk membunuh lalat buah jantan yang mengunjungi pokok peace lily!

Maklumat dalam Table 1 dibawah, akak ambil dari jurnal yang bertajuk Attraction of flowering plants to fruit fly males. Hasil penulisan Namee J dan Tigwattananonts yang diterbitkan oleh International Jurnal of Agricultural Technology 2017 Vol.13 (7.3): 2585-2589.

Dalam jurnal berkenaan dinyatakan bahawa hanya beberapa spesis lalat buah jantan tertarik kepada bau yag dihasilkan oleh bunga peace lily ini. Dan sekiranya pokok peace lily ini digunakan sebagai pokok perangkap dalam kawalan lalat buah, pemerhatian masih perlu dilakukan untuk mengintegrasikan penggunaan kaedah yang lain dalam kawalan lalat buah dari spesis yang berbeza.

Bco= Bactrocera correcta; 
Bdo= Bactrocera dorsalis;
Bcu= Bactrocera cucurbitae;
Bta= Bactrocera tau




#BahagianPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


 

Tuesday, October 15, 2019

POTENSI TERNAKAN KELULUT DALAM KEBUN GETAH

Kejatuhan harga getah dunia membimbangkan pekebun-pekebun kecil yang rata-ratanya mengharapkan hasil jualan susu getah sebagai rezeki utama. Harga susu getah yang terkini direkodkan ialah sebanyak RM1.90 sekilo membolehkan pekebun mendapat pendapatan sebulan sekitar RM600-RM700 sehektar.

Integrasi ternakan lebah di kebun getah

Pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak RISDA bagi membantu pekebun-pekebun kecil dalam meningkatkan pendapatan selain dari menoreh getah. Di antara usaha yang dilakukan oleh pegawai dari RISDA Kuala Kangsar, Perak iaitu Tn Hj Mohd Najib Moh Nordin atau lebih dikenali sebagai  Haji Najib Haji Din ialah dengan mengintegrasikan ternakan kelulut dibawah pokok-pokok getah.


Bagaimanakah pokok getah ini dapat menampung keperluan sumber bagi kelulut dan pada masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan pekebun?


Pokok getah ( Hevea brasiliensis) adalah diantara jenis  pokok di Malaysia yang akan mengalami musim luruh apabila berada dalam musim panas. Ketika daun sedang gugur, pokok getah masih mampu mengeluarkan susu getah dengan banyak.

Daun getah akan mula bertukar warna dari hijau kepada keperangan dan akhirnya kering dan gugur ke tanah. Daun getah akan gugur keseluruhan dan hanya meninggalkan ranting.

Selepas dalam tempoh dua minggu selepas daun gugur, pucuk dan tunas bunga akan mula terbit. Ketika ini, penghasilan susu getah amat kurang kerana nutrien disalurkan untuk penghasilan pucuk dan bunga yang baru.

Apabila daun-daun muda telah muncul, akan terdapat liang kelenjar pada petiol pada daun muda  yang akan merembeskan cairan jernih yang manis. Cairan jernih yang manis ini dikenali sebagai nektar (extrafloral nectaries). Nektar ini akan diambil oleh kelulut dan lebah untuk dijadikan madu.



Nektar ini akan terus dirembeskan semasa daun masih muda dan akan terhenti apabila daun tersebut telah mula matang.

Purata keseluruhan hasil madu bagi setiap koloni di kawasan tanaman getah adalah sekitar 1 ke 1.5kg sebulan bergantung pada saiz kotak topping. Hasil madu akan berkurangan apabila musim hujan dimana nektar tersebut akan dicairkan oleh air hujan dan kelulut juga tidak akan keluar dari sarangnya.

Susu getah yang dikeluarkan merupakan sumber resin yang penting dalam membantu kelulut untuk membina sarang, membaiki sarang, membina kantung, untuk pertahanan dan sebagainya lagi.

Terima kasih Tn Hj Mohd Najib Mohd Nordin dari RISDA Kuala Kangsar diatas perkongsian maklumat.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Sunday, October 13, 2019

TEBUAN ( Vespa tropica); MUSUH KELULUT DAN LEBAH YANG TURUT MENGEMARI NEKTAR

Tebuan ( Vespa tropica) adalah diantara serangga yang menjadi musuh kepada kelulut dan lebah. Mereka akan mendekati sarang lebah dan kelulut bagi mencuri madu yang disimpan dan yang lebih mengerunkan mereka turut membunuh kelulut dan lebah.

Tebuan yang ditangkap semasa menyerang lebah Apis mellifera

Kebiasaannya tebuan pekerja akan keluar dari sarang bagi mendapatkan bekalan air, sumber karbohidrat (nektar), bahan binaan sarang dan sumber protin untuk dibawa pulang ke sarang.

Tebuan dewasa akan mengambil nektar sebagai sumber tenaganya. Tebuan turut memakan buah-buah yang telah masak ranum serta pelbagai makanan yang mempunyai kandungan manisan.

Tebuan yang berkeliaran di kawasan ternakan lebah Apis mellifera

Tebuan membunuh mangsanya seperti kelulut, lebah, belalang dan sebagainya dengan menggunakan sengatnya yang berbisa serta menggigit menggunakan rahangnya yang kuat.

Mangsa yang dibunuh akan dikunyah halus dan dijadikan sumber protin bagi tumbesaran larva.  Dikatakan tebuan ini akan kembali ke lokasi yang mana ia telah berjaya dalam pemburuannya.

Keunikan yang terdapat pada koloni tebuan ini ialah larva akan menghasilkan rembesan manisan yang mengandungi gula dan asid amino sebagai sumber makanan kepada ratu tebuan dan tebuan pekerja.
Subhanallah!

Dengan menggunakan rahangnya yang kuat, tebuan turut mengikis kulit-kulit kayu untuk dijadikan sebagai bahan binaan sarangnya. Kulit-kulit kayu tersebut akan diracik halus dan dikunyah bersama campuran air liur tebuan pekerja sehingga menjadi seperti kertas dan digunakan untuk membina sarang.


#BahPembangunanIndustriPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

Saturday, October 12, 2019

POTENSI TANAMAN BULUH DI MALAYSIA

Akak sempat mengunjungi pameran Industri Buluh yang dibuat dibawah Kementerian Industri Utama semasa akak bertugas di Parlimen baru-baru ini. Banyak maklumat baru yang akak perolehi dari pameran ini. 


Antara spesies-spesies buluh yang dipamerkan.

Pokok buluh adalah spesies daripada Famili Graminae dan terdapat lebih daripada 1250 spesies buluh daripada 75 genus diseluruh dunia! Wooooww! Pokok buluh sesuai tumbuh dikawasan beriklim sederhana, separa tropika. Ia tumbuh subur dikawasan yang terbuka dan bersaliran baik. 


Akak dapat maklumat bahawa di Malaysia sendiri terdapat lebih kurang 70 spesies buluh  ditanam dan terdapat 10 genera yang telah dikenal pasti yang tumbuh secara semulajadi dikawasan hutan asli atau hutan selepas pembalakan dan terdapat 13 spesies yang telah dikomersialkan. 

Berikut adalah 10 genera pokok buluh yang berada di Malaysia:
1. Bambusa
2. Dinochloa
3. Thyrsostachys
4. Phyllostachys
5. Yushania
6. Chusqua
7. Schizostachyum
8. Dendrocalamus
9. Gigantochloa
10. Racemobambos

Spesies buluh komersial di Malaysia ialah:
1. Buluh Semantan (Gigantocholoa scortechinii)
2. Buluh Beting (Gigantocholoa levis)
3. Buluh Beti (Gigantocholoa wrayi)
4. Buluh Tumpat (Gigantocholoa liqulata)
5. Buluh Madu (Gigantocholoa albocillianta)
6. Buluh Betong (Dendrocalamus asper)
7. Buluh Duri (Bambusa blumeana)
8. Buluh Galah / Tilan / Paring / Pengat (Bambusa           heterospachya)
9. Buluh Minyak (Bambusa vulgaris)
10. Buluh Gading (Bambusa vulgaris val. striata)
11. Buluh Lemang / Nipis (Schizostachyum               
       brachycladum)
12. Buluh Semeliang (Schizostachyum grande)
13. Buluh dinding / Kasap (Schizostachyum 
       zollingeri)

Pokok buluh merupakan salah satu tanaman dimuka bumi ini yang mempunyai kadar pertumbuhan yang amat cepat.  Pokok ini juga mempunyai kemampuan untuk menyerap karbon dioksida di atmosfera yang paling banyak  melalui proses fotosintesis dan membebaskan oksigen yang tinggi berbanding pokok kayu yang lain. Kelebihan yang ada pada pokok buluh ini menjadikan ia antara tanaman yang sesuai ditanam bagi mengurangkan kesan gas rumah hijau dan perubahan cuaca dunia.



Pokok buluh juga mampu menjadi natural humidifier dimana melalui proses respirasi, tumbuhan ini membebaskan karbon dioksida dan air ke udara. Penghasilan oksigen dan kelembapan udara yang tinggi ini menyebabkan pokok buluh adalah diantara pokok yang sesuai diintegrasikan disekitar projek cendawan!

Pokok buluh juga mempunyai kelebihan dimana pokok ini tidak akan patah malah hanya membengkok ketika ditiup angin yang kencang. Akak pernah menjadikan pokok buluh madu sebagai penampan angin dikawasan projek rumah fertigasi di TKPM Lekir bagi mengelak tiupan angin yang kuat mengoyakkan plastik rumah SPH. Memandangkan projek ini juga berhampiran dengan projek kebun sayur, deretan pokok buluh ini bukan sahaja mampu menampan angin malah turut menampan kehadiran serangga kecil yang berkemungkinan akan diterbangkan oleh angin ke petak projek fertigasi. Rebung yang tumbuh disekitar tapak projek juga merupakan tambah nilai pada pendapatan peserta. 

Akak pokok buluh juga mampu untuk mengawal hakisan tanah dan amat sesuai ditanam ditepi-tepi tebing terutama tebing sungai. Akarnya mampu mencekam struktur-struktur tanah dan menahan hakisan dari cepat berlaku.

Dipangkal rumpun pokok buluh juga terdapat banyak mikroorganisma yang membantu menguraikan daun-daun kering yang mereput dan seterusnya membaiki kesuburan tanah. Pokok buluh juga mengeluarkan rebung yang enak dimakan.

Selain dijadikan atap atau dinding rumah, kini potensi buluh telah diterokai untuk dijadikan pelbagai produk yang lain.

Semasa akak menyaksikan pameran semasa bertugas di Parlimen, akak dapat saksikan buluh turut dijadikan material untuk menghasilkan basikal, stokin, beg wanita, perabut, helmet, pakaian dan macam-macam lagi. Akak juga ada melihat inovasi dari luar negara yang menggunakan buluh untuk dijadikan badan kereta mewah! Subhanallah!

 
Basikal yang diperbuat dari buluh.

Pakaian yang dihasilkan dari buluh.

Bag wanita.


Stokin buluh.


Topi keselamatan yang diperbuat dari buluh.


Bangku buluh.

Alatan muzik.

Kerusi buluh.

Arang buluh

Mangkuk dari buluh

Mangkuk pelbagai saiz



Kereta mewah yang diperbuat dari buluh! 


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

12/10/19





Friday, October 11, 2019

BURUNG HANTU (Tyto alba) KAWALAN BIOLOGI DALAM PERTANIAN

Zaman kanak-kanak akak dulu, akak cukup takut melihat burung hantu. He he... Mungkin kerana akak merasakan nama burung tersebut cukup menyeramkan, ditambah dengan mata burung tersebut yang besar dan mampu memusingkan kepalanya 180 darjah. Hi hi hi.... Namun kini akak amat kagum dengan ciptaan Allah ini yang sebenarnya dicipta untuk membantu petani dalam mengawal perosak tanaman diwaktu malam!



Akak pernah menghadiri satu ceramah mengenai burung hantu oleh Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor dari Universiti Putra Malaysia. Bermula dari ceramah beliau, akak mulai lebih mengenali burung ini.

Burung hantu (Tyto alba) atau turut dikenali sebagai burung pungguk merupakan burung yang aktif  mencari mangsanya pada waktu malam (nocturnal hunter). Burung hantu akan memakan binatang seperti tikus, tikus mondok, cencurut dan burung. 




Burung hantu mempunyai pendengaran yang tajam, deria bau yang kuat serta mempunya sepasang mata yang besar yang mempunyai pandangan yang tajam dan mampu untuk melihat dalam intensiti cahaya yang rendah diwaktu malam. Mata burung hantu ini 3 -4 kali ganda lebih tajam daripada mata manusia! Di samping itu  burung ini boleh memusingkan kepalanya 180 darjah. Burung ini turut terbang dan mengibaskan sayapnya dengan senyap mampu mencengkam mangsanya dengan cekap menggunakan paruh dan kukunya yang tajam!

Burung hantu jantan mampu menangkap 10 ekor tikus setiap malam untuk dibawa balik ke sarangnya. Burung dewasa mampu memakan sehingga 2,000 ekor tikus setahun. Penggunaan racun tikus, secara tidak langsung turut menyebabkan kematian kepada pasangan burung pungguk serta anak-anaknya



Menurut Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, burung hantu amat setia pada pasangannya. Burung hantu lazimnya hanya mempunyai satu pasangan sahaja. Jika pasangannya mati, pasangan yang tinggal akan termenung..maka dari sinilah wujudnya pepatah "BAGAI PUNGGUK RINDUKAN BULAN"....




#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia






Monday, October 7, 2019

PENGHASILAN MINYAK DARI SANTAN KELAPA- KAEDAH DI RUMAH

Teringat zaman kanak-kanak saya dahulu. Terdapat beberapa pokok kelapa dikeliling rumah. Bila mak saya nak masak gulai, dari pokok inilah santan diperah. Itu belum lagi kena buat penyapu lidi, petik buah muda untuk diminum, petik putik muda untuk dicicah dengan kicap dan macam-macam lagi.


Salah satu perkara yang sangat jarang dilakukan sekarang ialah menghasilkan minyak masak menggunakan santan kelapa. Saya dan adik-adik sering dipertanggungjawab untuk memasak santan sehingga menjadi minyak masak.

Di sini saya akan berkongsi kaedah yang mak pernah guna buat sesiapa yang berminat untuk mencuba membuat minyak masak sendiri di rumah.

#Kaedahnya:

1. Perah kelapa yang sudah diparut untuk mengeluarkan santannya. Kelapa yang dipilih perlulah cukup matang dan sesuai untuk dibuat santan. Jika kelapa  yang belum matang, santannya sedikit. Buah yang terlalu tua juga mempunyai santan yang sedikit.
2. Santan yang telah diperah, dibiarkan untuk mengasingkan kandungan air dan santan.
3. Asingkan santan dari air.
4. Santan yang telah diasingkan di letak dalam periuk.
5. Pasang api dan kacau santan perlahan-lahan.
6. Kacau sehingga santan tadi bertukar menjadi warna kuning jernih. Santan telah bertukar nenjadi minyak.
7. Sejukkan. Asingkan minyak dari tahi minyak dengan penapis.
8. Simpan minyak dalam botol. Minyak telah sedia untuk digunakan.

Selamat mencuba

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...