Saturday, December 28, 2019

KEJADIAN BUAH BETIK TANPA BIJI (PARTHENOCARPY)

Akak ada menulis tentang pokok betik yang ada tiga jenis bunga; bunga betina, bunga jantan dan bunga hermafrodit. Jika ada yang belum pernah membaca, sila klik disini untuk mendapatkan maklumat tentang bunga betik.

Dalam penghasilan buah betik, kehadiran debunga dari bunga jantan atau bunga hermafrodit adalah penting untuk pembentukan buah. Buah yang disenyawakan oleh debunga akan membentuk dan menghasilkan buah betik yang mempunyai biji. Sekiranya bunga betina tidak disenyawakan, bunga betina ini akan layu dan gugur ke tanah.

Namun, dalam situasi tertentu, walaupun tanpa kehadiran debunga untuk menjalani proses pendebungaan dan persenyawaan, pokok betik tetap menghasilkan buah betik! Subhanallah!


Buah betik tanpa biji


Buah betik yang tidak menjalani proses persenyawaan ini, membentuk buah seperti biasa namun tiada biji dihasilkan! Fenomena di mana buat terbentuk tanpa melalui persenyawaan dipanggil sebagai parthenocarpy. Buah yang melalui fenomena parthenocarpy  dipanggil buah parthenocarpic atau buah dara (virgin fruit)

Didalam kejadian parthenocarpy, ovari berkembang tanpa persenyawaan. Kejadian seperti ini lebih tinggi berlaku pada pokok betik betina berbanding pokok betik hermafrodit. Buah parthenocarpic mempunyai saiz buah yang lebih kecil berbanding buah betik yang dihasilkan melalui proses persenyawaan. Buah ini juga tidak mempunyai biji atau mungkin hanya mempunyai biji yang tidak subur.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia  

28/12/19




Thursday, December 26, 2019

ADAKAH ANDA TAHU YANG POKOK BETIK (Carica papaya) ADA BUNGA BETINA, BUNGA JANTAN DAN BUNGA HERMAFRODIT?

Jika kita rajin mencari maklumat tentang tanaman ciptaan Allah s.w.t, kita akan semakin kagum dengan ciptaan Allah yang penuh keindahan dan misteri. Subhanallah, sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas.

Di sini akak nak berkongsi sedikit tentang kejadian pokok betik. Akak yakin masih ramai lagi yang belum tahu ciri-ciri yang ada pada bunga betik. Semestinya akan ada juga yang akan terperanjat apabila pokok betik bukan sahaja mengeluarkan bunga betina dan bunga jantan. Malah turut mengeluarkan bunga hermafrodit! Subhanallah!

Pokok betik ini adalah pokok yang jenis diesius dimana ada pokok betik yang hanya mengeluarkan bunga betina dan pokok betik yang hanya mengeluarkan bunga jantan. Dalam keadaan tertentu ada juga pokok betik yang hermafrodit.


Perbezaan antara bunga betina, bunga hermafrodit dan bunga jantan

Bunga jantan:
Bunga jantan pada pokok betik amat mudah untuk dikenali. Bunga jantan akan keluar berjambak dan kecil pada tangkai yang sepanjang 30 hingga 90 cm. . Saiz sekuntum bunga jantan adalah lebih kurang 2 ke 3 cm panjang dan 1.8 cm lebar.


Jambak bunga jantan


Kelihatan stamen pada bunga jantan

Bunga jantan tidak mempunyai ovari dan tidak akan menghasilkan buah betik. Bunga ini mempunyai stamen yang menghasilkan debunga yang akan mendebunga dan mensenyawakan ovari.

Bunga betina:
Bunga betina mempunyai saiz yang lebih besar berbanding bunga jantan. Saiz bunga betina adalah lebih kurang 3 cm lebar dan 6 cm panjang serta mempunyai 5 kelopak bunga. Kebiasaannya hanya terdapat sekuntum bunga betina sahaja. Tetapi adakalanya terdapat 2 ke 3 kuntum bunga betina dalam satu jambak yang terbentuk diketiak daun dengan tangkai yang pendek.


Bunga betina betik. 
Gambar kredit kepada Richard Manshardt


Ciri yang paling ketara pada bunga betina ialah ia mempunyai ovari yang besar dan bulat dengan stigma yang bercuping terbentuk diatasnya. Ovari bunga betina perlu disenyawakan dari debunga bunga jantan atau debunga dari bunga hemafrodit.

Bunga hermafrodit
Bunga hermafrodit mempunyai saiz yang kecil sedikit berbanding bunga betina. Bentuk bunga hermafrodit seakan-akan bentuk bunga betina.


Bunga hermafrodit betik.
Gambar kredit kepada Richard Manshardt

Perbezaannya hanyalah, bunga hermafrodit ini juga mempunyai stigma dan stamen yang melekat pada kelopak bunga. Ovari yang terdapat pada bunga hermafrodit ini agak memanjang berbanding ovari bunga betina yang bulat.

Ini bermakna, bunga hermafrodit ini mampu untuk mendebungakan sesama sendiri tanpa kehadiran bunga jantan.

Namun, bunga hermafrodit ini dikategorikan sebagai bunga yang tidak stabil dimana didalam  keadaan persekitaran yang berubah sama ada keaadan dimana nitrogen tinggi dalam tanah atau bekalan air berlebihan, bunga ini akan bertukar jantina (sex reversal) menjadi bunga betina.

Dalam keadaan sex reversal ini, stamen akan bercantum dengan tisu ovari. Pembentukan buah yang dihasilkan kelak akan menjadi tidak sekata (cacat) dan menyukarkan untuk memasarkan buah ini.

Buah betik hermafrodit dan buah betik betina
Bunga hermafrodit akan menjadikan buah betik yang terbentuk adalah bujur dan memanjang. Buah ini turut mempunyai isi yang tebal.


Bunga betina dan bunga hermafrodit betik

Manakala buah betik dari bunga betina akan menghasilkan buah yang berbentuk bulat dengan ruang ovari yang besar. Isi buah ini nipis berbanding buah hermafrodit.


Buah betik berdasarkan jantina betik.
a). Buah betik dari bunga hermafrodit
b). Buah betik dari bunga betina
c). Buah betik dari bunga hermafrodit yang mengalami sex reversal.
(Adaptasi dari Jime'nez et al., 2008).


Setakat ini dulu perkongsian dari akak. Terima kasih kerana sudi membaca.


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

27/12/19






Tuesday, December 24, 2019

MENDAKAN KRISTAL PADA MADU

Akak sering ditanya; "Mengapa madu ada mendakan kristal?". Dan ada juga yang bertanya; "Madu yang berkristal ni, madu tiruan ke?"


Benarkah madu berkristal bukan madu asli? 


Akak bukanlah saintis atau penyelidik yang membuat analisa dimakmal. Akak bersyukur dan berterima kasih kerana mereka berlapang dada sentiasa berkongsi ilmu terutama tentang madu berkristal ini.

Seperti yang kita tahu, komponen utama madu ialah gula ringkas iaitu glukosa dan fruktosa. Nektar yang diambil oleh lebah atau kelulut mengandungi kandungan air dan sukrosa yang tinggi.

Apabila nektar diambil, ia akan disimpan di dalam perut madu (honey stomach). Di sini, enzim invertase akan dirembeskan ke dalam nektar bagi menguraikan sukrosa kepada fruktosa dan glukosa. Peratus kandungan fruktosa dan glukosa dalam  setiap madu yang dihasilkan adalah berbeza bergantung kepada jenis bunga yang dikunjungi lebah atau kelulut.


Nektar yang dikumpul dimasukkan dalam perut madu untuk dibawa balik ke sarang.


Akak dimaklumkan bahawa, sekiranya analisis dimakmal mendapati sampel madu mempunyai kehadiran sukrosa yang tinggi, madu tersebut dituai sebelum ianya cukup matang! Ini menyebabkan enzim invertase tidak sempat menguraikan kandungan sukrosa yang berkenaan. 

Kandungan sukrosa yang tinggi dalam madu juga akan menghasilkan mendakan kristal yang tinggi dalam madu. Ini juga bermakna, pengkristalan yang berlaku pada madu bukanlah penentu bahawa madu itu adalah madu tiruan! Madu berkenaan adalah madu asli yang mempunyai  kandungan sukrosa yang masih belum sempurna terurai.


Mendakan kristal gula dalam madu


Pengkristalan dalam madu turut berlaku hasil pembentukan kristal oleh glukosa yang mempunyai bilangan, bentuk, dimensi dan saiz yang berbeza. Air dan suhu merupakan faktor yang terlibat dalam pengkristalan madu. Kandungan air yang rendah dan kandungan glukosa yang tinggi akan mempercepatkan kadar pembentukan kristal. Glukosa lebih mudah membentuk kristal berbanding fruktosa kerana kadar kelarutannya yang rendah berbanding fruktosa.

Kita juga boleh melihat bahawa warna madu menjadi agak cerah selepas pengkristalan berbanding dalam keadaan cecair kerana kristal glukosa adalah berwarna putih. Saiz kristal glukosa turut mempengaruhi darjah kecerahan dimana saiz kristal yang halus memberikan warna yang lebih cerah dalam madu.

Setakat ini dulu perkongsian ilmu pada artikel kali ini. Akak berharap akak akan dapat maklumat yang lebih banyak untuk akak kongsi disini pada masa hadapan. In sya Allah.

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

24/12/19





Monday, December 23, 2019

KENAPA DURIAN (Durio zibethinus) GUGUR APABILA TELAH MASAK?

Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa apabila durian (Durio zibethinus) telah matang dan sesuai untuk dimakan akan gugur ke tanah tanpa perlu dijolok atau dikait? 

Pada kebiasaan, durian akan masak dan gugur pada waktu malam. Suhu yang tinggi pada waktu siang dan perubahan suhu yang rendah pada waktu malam, meningkatkan bilangan buah durian yang gugur. Dikatakan sejumlah 80% buah durian akan gugur pada waktu malam berbanding pada waktu siang. 



Apa yang berlaku apabila buah durian matang?

Pada buah durian yang telah matang, zon abscission dalam tangkai buah durian membengkak. Ketika ini, lapisan abscission (abscission layer) akan mula kelihatan. Pembentukan lapisan abscission ini dikatakan amat ketara pada varieti durian D24 dan sifat ini boleh dijadikan panduan index kematangan bagi buah varieti tersebut. 



Lapisan abscission yang yang membengkak pada tangkai buah durian 


Buah durian yang telah matang akan mempunyai lapisan abscission yang telah sempurna terbentuk mengelilingi tangkai buah. Lapisan yang telah sempurna terbentuk ini menunjukkan buah durian telah matang dan akan masak dalam masa terdekat.

Zon abscission buah durian pada buah yang masak akan melemahkan dan menyebabkan bahagian tangkai buah (peduncle) akan mula terpisah pada lapisan abscission. Buah durian telah masak ini akan lekang dari tangkai utama dan gugur dari pokok dengan bau yang sangat kuat.

Antara ciri yang lain yang dapat dilihat ialah garisan pangsa pada buah durian terutama pada bahagian bawah buah sudah jelas kelihatan menunjukkan buah durian telah hampir masak. 



Buah yang masak akan terpisah dai tangkai dan gugur ke atas tanah 


Negara Thailand mengamalkan memetik buah durian sebelum durian gugur. Mereka akan mengenalpasti buah yang matang dengan melihat lapisan abscission pada tangkai buah berkenaan. 


Buah yang telah dikenalpasti akan dipotong 3 ke 4 cm atau lebih dari bahagian atas lapisan abscission ini. Tangkai ini dipoting menggunakan pisau yang tajam atau scateurs. Untuk pokok yang tinggi, galah akan digunakan atau dengan memanjat pokok berkenaan. 

Semasa proses penuaian dilakukan, buah durian akan dielak dari jatuh ke atas tanah bagi mengelak kerosakan pada buah. Bakul yang diikat pada tali akan digunakan untuk membawa buah turun dari pokok. 

Buah yang telah dipetik, akan diperam. Buah ini akan mengambil masa lebih kurang 5 ke 7 hari untuk masak. Tanda-tanda buah telah masak ialah apabila baki tangkai yang dipotong telah dapat dipisahkan dari lapisan abscission.

Kaedah yang lain yang mereka gunakan ialah dengan mengikat tali pada setiap tangkai buah dan buah yang sudah masak akan tersangkut kepada tali tanpa gugur ke atas tanah. 




Buah-buah durian diikat dengan tali bagi mengelak gugur ke tanah.

Kini ada petani komersil yang telah mengambil inisiatif dengan memasang jaring dibawah pokok durian bagi menahan buah yang jatuh dari pokok agar tidak terhempap diatas tanah.


Penggunaan jaring bagi mengekal kualiti buah dan mengurangkan risiko kerosakan pada buah.



Sampai di sini dulu.....

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

23/12/19








Saturday, December 21, 2019

BLACK SOLDIER FLY (BSF); ANTARA POTENSI DAN ANCAMAN

Lalat askar hitam (Hermetia illucens) atau lebih dikenali sebagai black soldier fly (BSF) merupakan serangga yang semulajadinya membantu mempercepatkan proses penguraian dan pereputan dalam ekosistem. Kalau bahasa orang kampung, larva BSF ini dipanggil sebagai "ulat tahi". Boleh tanya pengalaman orang dulu-dulu (En Sufian Suri pun boleh beri maklumat berkaitan 😂😂😂) yang menggunakan tandas cangkung di kampung-kampung.


Larva lalat askar hitam (black soldier fly)


BSF tidak akan menyerang manusia atau menyebarkan penyakit. Serangga ini dikatakan dapat menyekat (inhibit) dan mengawal pembiakan lalat rumah (Musca domestica) pada kawasan yang mereput. Larva BSF turut membantu memakan kulat yang menyebabkan bau busuk yang tumbuh pada bahan organik.


KITARAN HIDUP LALAT ASKAR HITAM

BSF melalui 4 peringkat pembesaran iaitu peringkat telur, peringkat larva, pupa dan peringkat dewasa.


Kitar hidup lalat askar hitam (BSF)


BSF dewasa mempunyai riwayat hidup hanya selama 5 ke 8 hari sahaja. BSF dewasa hanya menghabiskan masanya untuk mencari pasangan dan mengawan. BSF betina mampu bertelur antara 600 ke 800 biji telur pada satu-satu masa.

Telur ini biasanya akan diletakkan pada rekahan kayu, batu atau pada permukaan yang berdekatan dengan kawasan yang lembab dan mempunyai bahan organik yang sedang mereput. Telur ini akan mula menetas dalam tempoh 4 hari.

Larva memerlukan keadaan yang basah bagi memastikan kulitnya tidak mudah kering dan terhidrat. Bahan-bahan organik yang sedang mereput pula akan menjadi bahan makanan bagi larva-larva ini untuk membesar.

Peringkat larva adalah peringkat yang paling agresif dimana larva-larva ini akan memakan bahan-bahan organik terutama yang sedang mereput dengan lahapnya. BSF akan melalui 6 peringkat tumbesaran di peringkat larva dalam tempoh 10 ke 14 hari. Pada peringkat ini, kulit larva berwarna putih kekuningan.

Apabila melepasi instar yang ke 6, larva akan memasuki peringkat pre pupa. Kulit pre pupa mula nampak lebih gelap dan keperangan. Pre pupa akan mula mencari tempat yang kering untuk berteduh dan mula membentuk pupa. Tiada makanan atau minuman diperlukan dalam tempoh penghasilan pupa.

Dalam tempoh 2 minggu pupa yang telah matang akan bertukar menjadi BSF dewasa. BSF dewasa juga tidak makan dan hanya akan bergantung kepada lemak yang disimpan semasa diperingkat larva.



POTENSI TERNAKAN BSF

Memandangkan BSF merupakan agen semulajadi dalam alam sekitar yang mempercepatkan penguraian dan pereputan bahan organik, potensi serangga ini telah dikenalpasti bagi membantu mengurangkan masalah pembuangan sisa makanan dan bahan buangan organik dari pelbagai industri.

Larva BSF dikatakan mampu untuk makan sebanyak 5 kali ganda berat badannya sehari!
Selain mempunyai "mesin penguraian semulajadi" yang pantas dan cekap. Larva BSF telah digunakan dalam industri cendawan untuk melupuskan bongkah-bongkah yang terpakai.

Konsep zero waste ini memberi satu value added dalam rantaian industri cendawan dimana bongkah yang terpakai dijadikan makanan kepada larva BSF.

Larva yang telah mencapai tahap matang untuk bertukar kepada pupa akan mula boleh dituai untuk dijual sebagai sumber protin dan lemak kepada ternakan seperti ayam, itik, ikan dan sebagainya.

Larva BSF mempunyai 40 hingga 44% protin yang sesuai untuk pertumbuhan haiwan ternakan dan ianya lebih murah berbanding makanan ternakan yang diimport dan diproses.


Larva BSF bukan sekadar sumber protin yang baik untuk ternakan , malah ianya murah dan mesra alam.


Secara tidak langsung penggunaan larva BSF dapat menyelesaikan masalah buangan sisa seperti bongkah cendawan agar dapat diuruskan dengan baik; malah dapat menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha.



ANCAMAN BSF 


Larva lalat askar hitam (BSF) adalah perosak kepada kelulut dan turut merupakan ancaman kepada tanaman cendawan jika tindakan membasmi serangan tidak diambil sewajarnya.

Serangan BSF yang dasyat yang berlaku pada industri kelulut adalah pada tahun 2016 yang melibatkan beratus-ratus log kelulut. Serangan berlaku pada bulan ramadhan dan suhu persekitaran pada waktu itu mencecah 40 darjah celcius.

Kejadian serangan yang melibatkan kerugian kepada penternak ini telah melibatkan kajian pelbagai pihak bagi membuat tidakan kawalan dan langkah berjaga-jaga agar serangan sebegini tidak berulang lagi.

Kita perlu tahu bahawa lalat BSF betina mempunyai ovipositor yang tersangat halus yang boleh memanjang dan memendik bagi meletakkan telur-telur dibahagian ruang terbuka atau rekahan yang berdekatan dengan sumber makanan untuk pembesaran larvanya kelak.

BSF ini telah wujud secara semulajadi di dalam persekitaran dan merupakan serangga yang membantu mengembalikan nutrien hasil dari penguraian dan pereputan bahan organik kembali kepada tanah.

Sehubungan dengan itu, kita perlu beradaptasi dengan membuat kawalan yang perlu bagi mengelak serangga ini menjadi ancaman kepada insdustri yang sedang kita ceburi.

Di bawah ini akak kongsi maklumat bergambar untuk tatapan semua.


Ovipositor yang terdapat pada BSF betina


Ovipositor yang halus digunakan untuk meletakkan telur


BSF jantan


Larva BSF menyerang koloni kelulut


Larva BSF yang dijumpai dalam kantung madu kelulut 


Salah seekor dari BSF dewasa yang ditemui dalam bilik suntikan benih cendawan


Larva BSF dalam bongkah cendawan tiram


Larva BSF membuat lorong laluan dalam bongkah cendawan


Larva BSF akan mengorek dan memakan media dan memusnahkan miselium cendawan


Beberapa ekor larva BSF dalam bongkah cendawan


Akak berharap semoga artikel ringkas ini memberi sedikit panduan buat semua. Aamiin


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

22/12/19











Friday, December 20, 2019

SIPUT SEDUT (Cerithidea obtusa)

Akak memang gemar makan siput sedut masak lemak. Dulu, masa zaman kanak-kanak akak, akak dan adik-adik akan ambil siput sedut semangkuk seorang dan makan beramai-ramai macam makan kuaci! He he he....

Ya la... masa tu rumah akak dekat dengan sungai. Jadi, masa musim siput sedut, banyaklah siput sedut yang kami dapat kutip. Tambahan pula mak akak memang terkenal dengan masakannya yang sedap dan penuh kasih sayang, semakin rancaklah kami makan. (Semoga Allah sentiasa merahmati mak, Aamiin).  Ada yang ada pengalaman mencari dan mengutip siput sedut?


Inilah siput sedut....

Siput sedut (Cerithidea obtusa) dari famili Potamididae adalah sejenis siput yang hidup di kawasan tanah lumpur yang mempunyai bahan organik yang tinggi ditepi tebing sungai, kawasan paya dan juga ditemui kawasan laut. Siput ini sering ditemui terutama dibawah batang dan akar-akar pokok bakau serta pokok-pokok yang melampai di dalam sungai bagi mendapatkan makanan dan tempat teduhan.


Siput sedut mempunyai warna merah pada badan dan "belalainya"


Siput ini akan memakan sisa-sisa organik dan alga halus yang melekat pada pokok bagi mendapatkan nutrien. Ia akan mengikis permukaan alga dari permukaan tumbuhan mengunakan radula (gigi-gigi halus). Siput dari famili Potamididae selalu dijadikan sebagai penanda aras (bio indicators) bagi melihat pencemaran ecologi dalam ekosistem.

Haaa.... inilah radula siput sedut.


Siput sedut turut mampu memanjat dan melekat pada permukaan yang tinggi terutama semasa air pasang. Ia turut akan melepaskan cengkaman pada pokok dan membenarkan badannya jatuh semula ke dalam lumpur.


Siput sedut yang sedang memanjat pokok 


Nak makan siput sedut ni, kena ada caranya.. Seni cara makan yang unik ni sebenarnya menambah nikmat pengemar siput sedut.

Masa zaman kanak-kanak, akak, adik-adik dan kawan-kawan akan menyauk siput-siput ini dibawah pokok-pokok rumpai yang melampai menutup tepi tebing sungai yang berlumpur. Kami menggunakan tapis plastik yang besar bagi mengaut keluar siput-siput bersama lumpur atau istilah lainnya; selut.

Selepas mengaut, tapis plastik tadi diayak dalam air sungai bagi mengasingkan kotoran lumpur dari siput-siput. Adakalanya kami turut dapat menangkap anak-anak udang yang turut bersembunyi dibawah teduhan tersebut dan adakalanya ikan tilan!

Setelah kami mencuci lumpur yang melekat pada cengkerang siput dengan air sungai yang mengalir, kami akan usung siput bersama-sama balik ke rumah. Berat juga membawa siput-siput segar balik dari sungai dengan menaiki puluhan anak tangga! Tapi kami gembira dapat membawa pulang hasil tangkapan.


Siput sedut yang telah dikutip


Sampai di rumah, kami masukkan siput sedut tadi ke dalam besen yang besar. Kami cuci sekali lagi siput-siput tersebut dengan air yang bersih. Setelah air yang kotor dibuang, kami akan mengisi air bersih ke dalam besen yang telah diletak dengan siput sehingga sama paras dengan siput. Kami turut akan masukkan cili kering dan sedikit garam agar siput-siput tersebut memuntahkan lumpur-lumpur yang ada dalam badan mereka.

Selepas itu, kami akan tutup mulut besen tersebut dengan talam yang besar dan ditindih dengan batu yang berat untuk mengelakkan siput-siput tadi memanjat dan keluar dari besen. Siput-siput ini akan direndam semalaman bagi membuang bau lumpur dan memudahkan proses mencuci cengkerang siput.

Keesokan harinya, kami akan buka dan mencurahkan air yang telah dikotori dengan "muntah" siput-siput berkenaan. Kami bilas dengan air yang bersih.

Selepas itu, kami akan mula mengambil siput itu satu per satu dan mula menakik hujung muncung cengkerang yang tajam pada siput sedut.  Hujung muncung ini perlu ditakik sehingga mendedahkan sedikit isi siput. Jika tidak, isi siput sukar disedut keluar setelah ia masak. Semasa dan selepas hujung siput ditakik pun, siput-siput ini masih mampu merayap keluar dari bekas! Ha ha ha... Maka bekas-bekas ini perlu sentiasa diawasi..


Menakik muncung siput sedut menggunakan pisau besar.


Muncung siput sedut yang ditakik dan dibuang


Hmmm....Masih teringat betapa sedapnya mak masak siput sedut masak lemak dengan labu. Santan perlu pekat dan menggunakan daun kunyit serta isi kunyit yang segar. Kelapa segar dikukur dan diperah santannya dengan penuh kasih sayang. Akak dan adik-adik akan usung siput sedut hasil masakan air tangan mak untuk meratah diatas pangkin belakang rumah yang dipayungi dengan pokok mempelam yang besar sambil menikmati angin segar yang bertiup dari Sungai Pelus......

Pppeeerrrggghhhh....nikmat sangat.....

Di sini akak kongsi resepi siput sedut dari Hazila Blogspot buat pembaca sekelian.



Hmmmmm..... nampak menyelerakan masakan puan Hazila ni..


Resepinya seperti dibawah ya....


SIPUT SEDUT MASAK LEMAK

Bahan bahan
1/2 kilo siput sedut - potong bahagian belakang dan rendam seketika ( saya beli siput yg siap dibersihkan dari lumpur)
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 helai daun kunyit - disiat 
1 labu bawang besar *
2 biji cili merah besar *
5 biji cili padi *
2 cm kunyit *
2 batang serai - ketuk
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan ke dalam periuk bersama sama santan cair.
2. Kemudian masukkan siput sedut dan masak hingga mendidih.
3. Masukkan serai, daun kunyit dan asam gelugor. Biarkan ia mereneh seketika dengan api perlahan.
4. Masukkan garam dan santan pekat, masak sebentar dan kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah minyak.
5. Bila sudah mendidih, bolehlah matikan api.


#BahpembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

21/12/19

Tuesday, December 17, 2019

PENDEBUNGAAN DAN PEMBENTUKAN BUAH NANGKA (Artocarpus heterophyllus)

Pokok nangka Artocarpus heterophyllus adalah pokok jenis monoecious di mana kedua-dua bunga jantan dan bunga betina berada di pokok yang sama.




Bunga betina nangka adalah lebih besar saiznya berbanding bunga jantan. Permukaan jambak bunga betina kelihatan berbiji-biji. Jambak bunga betina ini adalah terdiri daripada kumpulan bunga-bunga betina yang berkumpul pada paksi.


Saiz bunga jantan lebih kecil berbanding saiz bunga betina. 
Gambar kredit kepada S. H. Brown


Jambak bunga betina


Jambak bunga jantan


Bunga jantan akan terbentuk dan matang dahulu dan baru diikut oleh bunga betina. Saiz bunga jantan adalah lebih kecil berbanding bunga betina dan mempunyai permukaan yang lebih licin. Pada peringkat awal, bunga jantan yang mempunyai stamen ini ditutup oleh perianth (seakan kelopak).

Semasa anthesis, stamen akan keluar dan muncul di permukaan jambak bunga jantan. Permukaan bunga jantan akan mula nampak kekuningan menandakan kemunculan debunga pada stamen. Debunga ini adalah melekit, berbentuk spherical dan berwarna kuning.


Lakaran bunga jantan. Jambak bunga terdiri dari kumpulan bunga jantan yang setiap satunya mempunyai stamen.


Stamen ini akan mengeluarkan bau yang wangi bagi menarik agen pendebungaan. Masa kemuncak anthesis adalah pada jam 1 dan jam 3 petang. Bunga jantan akan mereput dan gugur setelah membebaskan debunganya.


Bunga jantan yang telah reput. 
Gambar kredit kepada S.H. Brown

Jambak bunga jantan yang telah mula mereput


Jambak bunga jantan yang telah mereput


Bahagian ovari dan stil bunga betina turut ditutup oleh perianth. Permukaan jambak bunga betina akan dipenuhi oleh stigma yang berwarna krim keputihan apabila matang. Stigma ini berada dalam fasa reseptif selama 28 hingga 36 jam.


Pada permukaan bunga betina kelihatan stigma yang berwarna krim keputihan


Stigma kelihatan pada setiap kuntum bunga betina


Bunga nangka akan melalui pendebungaan jenis bersilang melalui bantuan angin dan serangga. Pembentukan buah akan mengambil masa lebih kurang 5 ke 7 bulan selepas disenyawakan bergantung kepada alam sekitar. Pendebungaan berbantu dapat dilakukan dengan mengambil jambak bunga jantan dan digeselkan pada permukaan jambak bunga betina.

Bunga betina yang tidak melalui proses pendebungaan dan persenyawaan dengan sempurna akan gugur dari pokok sebelum buah ini matang.

Buah nangka adalah buah yang terbentuk hasil gabungan dari beberapa kuntum bunga serta empulurnya yang berisi dan kenyal. Bahagian isi buah yang sedap dimakan itu adalah hasil pengembangan bahagian perianth yang mengandungi komponen gula.

Bahagian kulit pada buah nangka adalah hasil penebalan stigma bunga


Setiap "duri" mewakili sekuntum bunga betina nangka


Isi kuning nangka adalah perianth bunga betina yang mengembang. 


Setakat itu dulu.
Selamat membaca

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

19/12/19

Sunday, December 15, 2019

KENAPA BIJI BUAH GAJUS (Anacardium occidentale) BERADA DI LUAR?

Buah gajus, buah janggus atau buah ketereh (Anacardium occidentale) ini sudah jarang dijumpai di Malaysia. Pokoknya sudah banyak di tebang kerana buah dan ulamnya sudah mula kurang diminati.

Buah gajus yang telah matang dan berwarna merah.


Buah gajus berwarna kuning yang telah matang


Lakaran bunga dan buah gajus


Semasa zaman kanak-kanak akak, akak akan memanjat pokok ini untuk mengambil buah gajus dan memetik pucuknya untuk dibuat ulam. Akak amat mengemari pucuk muda pokok ini dimakan kerana rasanya yang enak dan rangup.


Pucuk muda yang sudah mula terbit


Pucuk gajus yang enak dibuat ulam


Buah gajus yang manis - manis masam, berbau wangi dan isinya yang bersabut serta agak berair turut menjadi minat akak semasa zaman kanak-kanak akak. Seringkali buah ini menjadi rebutan apabila bilangan buah yang masak dipokok tidak banyak.


Kudup bunga gajus


Kudup bunga gajus


Bunga gajus


Biji gajus juga merupakan bijian yang sedap dimakan. Rasanya yang lemak-lemak menyebabkan amat sukar untuk berhenti mengunyah. Biji gajus ini perlu melalui beberapa proses sebelum ia dimakan.  Biji gajus perlu dibakar atau digoreng terlebih dahulu sebelum isinya dimakan bagi mengelak keracunan pada bahagian kulit pada biji tersebut.


Biji gajus di pasar Haatyai, Thailand


Buah gajus adalah diantara buah yang unik kerana bijinya berada diluar! Di sini akak cuba berkongsi sedikit maklumat tentang buah gajus ini.

Sebenarnya..... biji yang berada diluar itulah buah gajus yang sebenar (true fruit) mengandungi biji didalamnya! Dan bahagian isi yang manis yang kita makan itu bukan buah. Ia hanyalah buah yang terhasil bukan dari dinding ovari (pseudofruit) tetapi dari bahagian tangkai bunga (receptacle) yang membesar dan menjadi lembut dan manis! Dalam istilah sains ia dipanggil buah palsu (false fruit) atau buah hiasan (accessory fruit).  Subhanallah!


Contoh lakaran bunga, bahagian tangkai bunga (receptacle dan peduncle) yang berkembang membentuk buah gajus. 


Lakaran keratan rentas buah dan biji gajus


Peringkat pembentukan tangkai bunga yang membentuk buah gajus.

Biji gajus akan terbentuk terlebih dahulu selepas persenyawaan. Selepas pembentukan biji, bahagian batang pada bunga akan mula mengembang membentuk isi gajus yang kita panggil sebagai buah gajus.


Biji gajus yang telah sempurna terbentuk diikuti pembentukan buah. 


Ilmu Allah itu luas dan penuh keajaiban...
Semoga artikel ini memberi sedikit ilmu buat semua. Aamiin

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

15/12/19




APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...