Sunday, December 15, 2019

KENAPA BIJI BUAH GAJUS (Anacardium occidentale) BERADA DI LUAR?

Buah gajus, buah janggus atau buah ketereh (Anacardium occidentale) ini sudah jarang dijumpai di Malaysia. Pokoknya sudah banyak di tebang kerana buah dan ulamnya sudah mula kurang diminati.

Buah gajus yang telah matang dan berwarna merah.


Buah gajus berwarna kuning yang telah matang


Lakaran bunga dan buah gajus


Semasa zaman kanak-kanak akak, akak akan memanjat pokok ini untuk mengambil buah gajus dan memetik pucuknya untuk dibuat ulam. Akak amat mengemari pucuk muda pokok ini dimakan kerana rasanya yang enak dan rangup.


Pucuk muda yang sudah mula terbit


Pucuk gajus yang enak dibuat ulam


Buah gajus yang manis - manis masam, berbau wangi dan isinya yang bersabut serta agak berair turut menjadi minat akak semasa zaman kanak-kanak akak. Seringkali buah ini menjadi rebutan apabila bilangan buah yang masak dipokok tidak banyak.


Kudup bunga gajus


Kudup bunga gajus


Bunga gajus


Biji gajus juga merupakan bijian yang sedap dimakan. Rasanya yang lemak-lemak menyebabkan amat sukar untuk berhenti mengunyah. Biji gajus ini perlu melalui beberapa proses sebelum ia dimakan.  Biji gajus perlu dibakar atau digoreng terlebih dahulu sebelum isinya dimakan bagi mengelak keracunan pada bahagian kulit pada biji tersebut.


Biji gajus di pasar Haatyai, Thailand


Buah gajus adalah diantara buah yang unik kerana bijinya berada diluar! Di sini akak cuba berkongsi sedikit maklumat tentang buah gajus ini.

Sebenarnya..... biji yang berada diluar itulah buah gajus yang sebenar (true fruit) mengandungi biji didalamnya! Dan bahagian isi yang manis yang kita makan itu bukan buah. Ia hanyalah buah yang terhasil bukan dari dinding ovari (pseudofruit) tetapi dari bahagian tangkai bunga (receptacle) yang membesar dan menjadi lembut dan manis! Dalam istilah sains ia dipanggil buah palsu (false fruit) atau buah hiasan (accessory fruit).  Subhanallah!


Contoh lakaran bunga, bahagian tangkai bunga (receptacle dan peduncle) yang berkembang membentuk buah gajus. 


Lakaran keratan rentas buah dan biji gajus


Peringkat pembentukan tangkai bunga yang membentuk buah gajus.

Biji gajus akan terbentuk terlebih dahulu selepas persenyawaan. Selepas pembentukan biji, bahagian batang pada bunga akan mula mengembang membentuk isi gajus yang kita panggil sebagai buah gajus.


Biji gajus yang telah sempurna terbentuk diikuti pembentukan buah. 


Ilmu Allah itu luas dan penuh keajaiban...
Semoga artikel ini memberi sedikit ilmu buat semua. Aamiin

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

15/12/19




Thursday, December 12, 2019

TERUNG PIPIT/TERUNG BELANDA (Solanum torvum) ENAK DIMAKAN

Akak memanggil terung pipit ini sebagai terung ceweng , ada yang panggil terung belanda, terung rembang atau terung manggul. Terung ini turut dijumpai di negara tropika dan sub tropika. 

Pokok terung ini boleh tumbuh liar di pelbagai jenis habitat yang menerima cahaya matahari yang banyak terutama dikawasan tanah kosong yang agak lapang, tepi-tepi jalan, di kawasan padang ragut dan di tebing sungai. 



  Buah terung pipit yang sesuai dibuat ulam


                Bunga dan putik buah terung pipi


Pokok terung pipit ini juga boleh tumbuh di pelbagai jenis tanah dan ia juga boleh hidup dikawasan yang kurang bekalan air. Selalunya pokok ini disebarkan oleh burung yang memakan buah terung ini. Ia turut boleh disebarkan melalui keratan batang.

Di kampong akak, buah terung pipit ini dijadikan ulam atau sayur dalam pelbagai jenis masakan. Selalunya mak akak akan merebus buah terung ini untuk dicicah dengan sambal picit. 


Terung ceweng rebus dengan sambal picit. 
Alamak..! Terliur akak...

Buah terung pipit ini juga sedap dibuat ulam mentah, atau direbus atau dicelur. Ada juga yang mencampurkan buah terung ini sebagai resepi tambahan pada sambal tumis ikan bilis. 



Resepi istimewa mak akak😍😍😍

Sambal tindih dan terung ceweng (terung belanda)

Untuk membuat sambal tindih, tumbuk cabai burung dengan sedikit garam. Campur tempoyak dan kemudian gaulkan dengan isi ikan..
Sambal ini juga boleh dicicah dengan segala macam ulam-ulaman.


Terung ceweng yang telah siap direbus


Taaraaaa!!!.. Inilah resepi istimewa mak akak, sambal tindih 😍😍😍

Selamat mencuba...

#BahPembangunanIndustri TanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia


13/12/19


Wednesday, December 11, 2019

APA YANG KITA PERLU TAHU TENTANG KELAPA MAKAPUNO

Akak terpanggil untuk membuat sedikit penulisan mengenai kelapa makapuno yang sekarang ini sedang hangat diviralkan kerana keunikan isi kelapa berkenaan. Semoga penulisan artikel yang agak ringkas dari akak ini dapat memberi sedikit idea "Adakah pokok kelapa makapuno ini berbalul untuk kita tanam". 

Buah kelapa makapuno adalah merupakan buah kelapa mutan yang nampak seperti kelapa biasa dari luar tetapi mempunyai endosperma atau isi kelapa yang lembut seakan jeli yang lutsinar;  dan ia sama ada mempunyai sedikit atau tiada langsung air kelapa di dalam.  




Buah kelapa makapuno (Gambar kredit kepada Thapsakaecoco of Thailand)




Keunikan buah kelapa makapuno ini ialah kerana sifatnya homozigus pada pokok ini
dikawal oleh alel atau gen-gen yang resesif yang terdapat pada endosperma yang triploid. Kejadian mutasi pada buah kelapa ini menjadikan isi kelapanya lembut hampir memenuhi ruangan kaviti pada tempurung kelapa yang matang. 





Akak difahamkan bahawa terdapat 3 jenis kelapa makapuno berdasarkan kejadian isi jeli (endosperma) yang terbentuk memenuhi tempurung:
Jenis I: Mempunyai isi yang tebal dan lembut. Kaviti dipenuhi sedikit air kelapa (liquid endosperm).
Jenis II: Mempunyai isi yang lembut dalam bentuk pepejal yang memenuhi 50% dari kaviti dan selebihnya adalah air kelapa yang pekat. 
Jenis III: Isi pepejal memenuhi hampir keseluruhan kaviti , hanya terdapat sedikit atau hampir tiada air kelapa.





Benih kelapa makapuno agak susah untuk diperolehi kerana kerana kadar percambahan kelapa jenis ini amat rendah iaitu dibawah 5% sahaja. Di dalam keadaan biasa, embrio kelapa makapuno yang normal tidak dapat membentuk dengan baik kerana pembentukan endosperma yang membantu dalam percambahan adalah tidak normal. Endosperma ini akan mereput apabila buah kelapa matang (lebih kurang 11 bulan dari persenyawaan). 

Disebabkan buah kelapa makapuno yang matang tidak boleh bercambah, negara Filipina menggunakan teknologi mengkulturkan embrio (embryo culture technology) bagi memastikan embrio tersebut boleh menjadi anak benih kelapa makapuno yang tulen!

Untuk menghasilkan buah kelapa makapuno yang mempunyai isi seakan jeli, pokok makapuno perlu ditanam berasingan dari pokok kelapa normal yang lain bagi mengelak berlakunya pendebungaan bersilang. Apabila pendebungaan bersilang berlaku, debunga dari pokok kelapa normal yang lain akan membawa ciri-ciri kelapa normal pada pembentukan endosperma dan menyebabkan kejadian isi jeli tidak berlaku !

Kajian menunjukkan, sekiranya hanya pokok kelapa makapuno ditanam berdekatan dan jauh dari pokok kelapa normal yang lain, kejayaan penghasilan kelapa makapuno adalah antara 75 -100%. Dan sekiranya pokok kelapa makapuno ditanam bersama pokok kelapa normal yang lain, penghasilan kelapa jeli adalah hanya diantara 2 -20% sahaja kerana sifatnya yang heterozigot maka sifat kelapa jeli tidak terserlah.



Kelapa makapuno dari Stesyen kelapa di Teluk Bharu, Perak



Di sini akak ingin memberi sedikit pandangan akak tentang penanaman kelapa makapuno ini. Akak sedar ramai yang diluar sana teruja dengan keunikan kelapa jeli ini. Namun, kita perlu sedar pokok ciptaan Allah ini turut ada sifatnya yang tersendiri yang unik. Sekiranya pengurusan dan "kehendak" pokok tersebut tidak kita penuhi, apa yang kita hajati tidak akan tercapai. Ini bermakna sekiranya pokok kelapa makapuno yang ditanam bersebelahan dengan pokok kelapa yang lain, buah makapuno yang dihasilkan kelak tidak akan mewarisi isi yang berbentuk jeli! Sekiranya berjaya terhasil, peratus kejayaannya sangat rendah.

Di negara Filipina, isi buah kelapa makapuno ini diinovasikan, diproses untuk menjadi gula-gula yang kenyal (akak tidak suka rasa candy ini 😅), aiskrim, makanan pencuci mulut,  masakan pastri dan lain-lain lagi.

Gula-gula makapuno


Dibawah ini akak kongsi sedikit gambar-gambar teknologi pengkulturan embrio bagi menghasilkan anak kelapa. Program ini adalah program 3rd International Coconut Festival yang diadakan di Manila, Filipina pada tahun 2016 yang lalu.

Setakat yang akak tahu, kelapa tidak boleh melalui pembiakan menggunakan kaedah tisu kultur kerana kepelbagaian gen dalam tisu kelapa (akak harap akak guna terma yang betul). Maka atas sebab itulah, embrio digunakan dalam penghasilan anak benih dimakmal di Filipina ini. Satu embrio yang telah dikenalpasti mampu menghasilkan 1000 anak benih kelapa kelak!
Subhanallah. Luasnya ilmu Allah...




Akak berpeluang bertemu salah seorang penyelidik dari Philippine Coconut Authority , Christy. Beliau banyak terlibat dalam kajian teknologi embrio dalam tisu kultur


Antara poster teknologi yang dipamerkan


Tisu bahagian plumul atau pucuk


Pembentukan kaloid dari plumul embrio 


Embrio somatic telah mula terbentuk


Embrio somatic yang telah mula bercambah


Anak pokok kelapa yang telah berjaya dihasilkan di makmal


Pandangan dekat anak pokok kelapa 


Untuk bacaan berkaitan, boleh klik disini. 

Wallahualam

#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

12/12/19





RESIN KUNING PADA BUAH MANGGIS MENURUNKAN KUALITI BUAH

Resin yang berwarna kuning yang terdapat pada buah manggis (gamboge disorder) adalah salah satu masalah selain kejadian lut sinar pada isi buah manggis yang menghadkan peluang untuk mengeksport buah-buahan ini ke luar negara.


Gamboge atau resin berwarna kuning pada kulit manggis yang hampir masak


Gamboge sudah mula kelihatan pada kulit manggis yang masih muda


Kejadian gamboge disorder dan isi lutsinar (transparent flesh) pada buah manggis masih belum dapat diatasi terutama apabila kejadian ini dikaitkan dengan cuaca (agroclimatology) dan faktor persekitaran. Kejadian pada buah manggis ini memberi kesan dalam pemasaran dan harga buah ini sama ada dalam pasaran tempatan atau luar negara.

Dalam kejadian gamboge, bahagian perikap (kulit) dan bahagian isi buah yang ada resin berwarna kuning akan berubah warna menjadi perang kemerahan dan seterusnya akan menjadi mengeras.

Buah yang mengeluarkan resin atau getah kuning ini bukan sahaja akan bertukar warna malah turut menukar rasa buah-buahan tersebut.

Resin kuning ini dikeluarkan oleh beberapa saluran yang diterdapat pada bahagian eksokap (kulit bahagian luar), mesokap (kulit bahagian tengah) dan endokap (kulit bahagian dalam).  Saluran pengeluaran resin ini turut ada di bahagian aril buah, bunga batang dan daun pokok ini. Saluran yang terbesar terdapat pada bahagian endokap yang mana ia bersambung terus dari tangkai ke buah.


Bahagian mesokap 


Kejadian gamboge disorder pada isi buah


Resin kuning ini akan meresap masuk ke dalam aril akibat saluran resin yang bocor akibat hujan yang lebat. Angin, pengendalian pengendalian buah yang tidak baik yang menyebabkan kecederaan fizikal pada kulit buah, serta serangan perosak juga turut menyebabkan kebocoran berlaku. Resin kuning yang menyerap masuk dalam aril akan menyebabkan rasa pahit pada isi manggis.

Saluran resin akan bocor atau pecah semasa peringkat pertumbuhan yang pantas. Pertumbuhan biji dan aril yang pantas menghasilkan tekanan yang kuat dalam endokap dan menyebabkan saluran resin bocor atau pecah. Kejadian ini selalunya disebabkan sel-sel epithelial lemah.

Kejadian gamboge atau kebocoran resin kuning ini dapat dikurangkan dengan memberi bekalan kalsium pada pokok bagi menguatkan dinding sel. Pengairan dan saliran yang baik juga penting terutama diperingkat pembentukan buah bagi mengurangkan tekanan air yang tinggi dalam sel dan seterusnya menyumbang kepada kejadian gamboge.

Gamboge ini adalah resin yang digunakan dalam industri sebagai pigmen dalam cat dan turut digunakan sebagai pewarna dalam varnis.

Untuk bacaan lain mengenai kejadian lutsinar pada isi manggis boleh klik disini.

Wallahualam.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

11/12/1

Saturday, December 7, 2019

KERACUNAN CENDAWAN LIAR Chlorophyllum molybdites YANG DISANGKA CENDAWAN BUSUT

Ramai diantara kita mungkin teruja apabila melihat cendawan yang tumbuh dengan subur diatas tanah dihalaman rumah. Dan ramai juga yang tertanya-tanya adakah cendawan yang tumbuh ini boleh dimakan dan ada juga yang bertanya sama ada cendawan tersebut adalah cendawan busut atau cendawan tahun?

Untuk makluman semua, cendawan yang sering tumbuh di permukaan tanah sama ada tumbuh bersendirian atau berpasangan dikawasan berumput ini ialah sejenis cendawan beracun yang dikenali sebagai Chlorophyllum molybdites (G. Mey.) Massee.


Pandangan tepi cendawan Chlorophyllum molybdites yang beracun yang sering disamakan dengan cendawan busut


Pandangan atas cendawan Chlorophyllum molybdites yang tumbuh subur


Cendawan Chlorophyllum molybdites  ini seringkali disamakan dengan sejenis cendawan busut liar yang turut muncul dari permukaan tanah.

Akak pernah menulis artikel ringkas mengenai cendawan busut atau cendawan tahun ini yang mana cendawan ini akan muncul dipermukaan tanah sekali atau dua kali sahaja setahun terutama selepas hujan lebat yang diikuti dengan petir. Cendawan busut ini akan tumbuh berhampiran dengan sarang anai-anai.


Poster oleh Prof Madya Dr Tan Yee Shin dipamerkan semasa Simposium dan fiesta cendawan di Pusat Sains Negara


Akak terpanggil untuk menulis artikel ringkas mengenai cendawan beracun ini sebagai bacaan pembaca blog akak untuk mengelak kejadian kes keracunan akibat memakan cendawan liar agar tidak berulang lagi.

Akak ingin merakamkan ucapan terima kasih buat Dr Phan Chia Wei serta Prof Madya Dr Tan Yee Shin diatas perkongsian maklumat mengenai cendawan beracun semasa di Simposium dan Fiesta Cendawan di Pusat Sains Negara baru-baru ini.

Ingin akak tegaskan disini, keracunan ini bukan sahaja disebabkan memakan cendawan liar yang mempunyai racun; TETAPI ia juga mungkin disebabkan memakan cendawan yang telah diracun atau yang telah menyerap racun dari tiupan angin. Kita perlu tahu bahawa cendawan mempunyai sifat yang menyerap lembapan dari udara. Racun yang diterbangkan oleh angin mungkin telah diserap oleh cendawan yang tumbuh berhampiran.

Cendawan Chlorophyllum molybdites ini adalah cendawan liar yang sering tumbuh subur selepas hujan lebat pada permukaan tanah di kawasan semak, hutan dan padang. Cendawan ini turut dikenali sebagai cendawan klorofil kerana diantara ciri khusus cendawan ini adalah mempunyai spora yang berwarna hijau. Berdasarkan nama saintifik cendawan ini iaitu; chloro bermakna hijau dan phyllum bermakna daun.


Cendawan Chlorophyllum molybdites


Pada bahagian atas penutup atau payung (cap) cendawan yang putih kekuningan ini, terdapat seakan-akan sisik coklat lembut keperangan yang berselerak dibahagian tengah cap tersebut.

Sisik coklat pada bahagian cap


Cap cendawan ini berwarna putih semasa masih kudup (muda) dan bertukar ke warna kelabu kehijauan atau perang kehijauan apabila sudah matang.

Batang cendawan turut akan bertukar warna dari warna putih ke warna keperangan. Insang cendawan ini turut berwarna kehijauan kerana spora yang dihasilkan adalah berwarna hijau. Pada batang cendawan terdapat cecincin (ring) yang berwarna kekuningan yang melingkari.
Tidak terdapat volva (selaput) yang menyelubungi cendawan ini pada peringkat awal pertumbuhan.


Insang pada cendawan yang berwarna kehijauan


Terdapat cecincin pada batang cendawan



Akak difahamkan bahawa simptom kesan keracunan akibat makan cendawan ini akan mula dirasai selepas sejam atau dua jam selepas cendawan itu dimakan.

Antara simptom keracunan akibat makan cendawan beracun ini ialah iristasi gastrointestinal seperti loya, muntah-muntah dan cirit-birit. Pesakit turut mengalami gejala neurologikal seperti kecelaruan fikiran, halunasi, gangguan kordinasi otot, sawan dan gejala lain seperti demam serta sakit kepala.

Sebahagian toksin ini juga mempunyai kesan jangka panjang. Keadaan pesakit boleh menjadi sangat kritikal hingga membawa kepada kegagalan organ dalaman tubuh daripada berfungsi terutama hati dan kegagalan buah pinggang; dan ada juga yang menyebabkan kematian!

Kesan keracunan mungkin berbeza berdasarkan jumlah cendawan yang dimakan, kematangan cendawan tersebut serta kesan terhadap daya tahan individu yang memakan cendawan. Allahuakbar!

Di sini akak ingin berpesan, akak tahu cendawan adalah diantara makanan yang banyak khasiat dari segi nutrien dan perubatan. Namun beberapa perkara perlu diambil kira sebelum cendawan dimakan! Diantaranya;  pastikan hanya memakan jenis atau spesis cendawan yang biasa dimakan atau yang dijual secara komersil dan disahkan selamat untuk dimakan.

Jangan mengutip cendawan liar yang tidak diketahui keadaan persekitaran dimana cendawan itu tumbuh kerana dikuatiri kawasan berkenaan baru disembur racun rumpai dan sebagainya.

Jika tidak pasti cendawan tersebut boleh atau tidak untuk dimakan, JANGAN MAKAN CENDAWAN TERSEBUT!

Akak berharap artikel ini dapat membantu para pembaca dalam membuat keputusan sebelum memakan cendawan terutama cendawan liar.

Jika ingin membaca mengenai cendawan busut atau cendawan tahun, sila klik disini

Wallahualam


#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

7/12/19






Friday, December 6, 2019

CENDAWAN BUNGA KOBIS UNTUK PERTUMBUHAN SARAF

Cendawan bunga kobis (Hericium erinaceus) merupakan cendawan yang berasal dari kawasan iklim sederhana sejuk yang tumbuh di batang kayu keras. Cendawan ini kurang dikenali di Malaysia dan sukar didapati dipasaran, namun kini cendawan ini sudah mula ditanam di Malaysia dan boleh ditanam didalam rumah cendawan menggunakan kaedah bongkah.


Cendawan bunga kobis yang tumbuh pada habitat asal. 

Suhu yang optima untuk pertumbuhan cendawan ini ialah pada suhu 25 darjah celcius dan tumbuh dengan baik pada substrat yang agak berasid pada bacaan ph6.


Permukaan cendawan kobis bunga yang seakan-akan rerambut seakan janggut


Suhu yang optima untuk pertumbuhan miselium cendawan kobis adalah pada suhu 21 hingga 24 darjah celsius pada kelembapan media antara 50 hingga 70% dan intensiti cahaya pada 200 hingga 400 lux.

Terdapat banyak khasiat yang terkandung dalam cendawan kobis bunga ini. Cendawan ini mampu merangsang pertumbuhan sistem saraf dan mampu mengurangkan serta merawat risiko serangan saraf seperti Alzeimer, strok dan dimensia disamping dapat membantu menguatkan otot, gerak balas motor dan fungsi kognitif.

Cendawan Hericium erinaceus mengandungi komponen hericenone dan erinacine yang terbukti membantu untuk merangsang rembesan nerve growth factor (NGF) iaitu protin yang berfungsi untuk membaiki dan membina neuron-neuron yang baru.

Akak juga terbaca yang cendawan bunga kobis ini mengandungi bahan lektin yang mampu merencat pengumpulan sel darah merah. Ia juga mampu merawat ulser perut; serta berfungsi sebagai anti keradangan, anti tumor dan anti kanser. Ia juga merendahkan kandungan lipid dan meningkatkan sistem imunisasi dalam badan. Seperti cendawan yang lain, cendawan ini turut membantu mengurangkan proses penuaan.

Alhamdulillah, akak berpeluang untuk merasai cendawan bunga kobis segar yang akak beli dari kawan-kawan akak iaitu Madam Cheng Poh Guat (pemilik Vita Agrotech Sdn Bhd, di Tanjung Sepat) dan encik Magnus Wong. Cendawan ini mempunyai rasa yang manis dan isinya lembut, dan ia turut ada sedikit pahit. Rasa pahit ini boleh dibuang denga cara masakan yang betul.

Cendawan bunga kobis yang di tanam di Vita Agrotech Sdn Bhd

Cendawan kobis bunga tersusun rapi di rak


Cendawan kobis bunga yang sudah sesuai untuk dipetik


Bagi akak, cendawan kobis bunga ini sesuai untuk pelbagai jenis masakan. Namun, akak suka menikmati sup cendawan berbanding kaedah masakan yang lain kerana ia mengekalkan rasa asli cendawan tanpa banyak campuran perisa yang lain.

Cendawan kobis bunga yang dipamer dan dijual oleh encik Magnus Wong semasa simposium dan fiesta cendawan di Pusat Sains Negara baru-baru ini.


Cendawan kobis bunga yang dijual dengan harga RM15.00 







Di sini akak kongsikan salah satu kaedah memasak sup cendawan yang akak ambil dari Dr Wong Kah Hui. Selamat mencuba.



SUP CENDAWAN BUNGA KOBIS (MASAKAN CINA)

Bahan-bahan:
200 g cendawan kobis bunga
500 g peha ayam
30 g buah goji ( direndam 20 minit)
30 g kurma merah (direndam 20 minit)
11 keping halia segar
4 liter air
Secubit garam

Cara memasak:
🐣 Cendawan direndam dalam air suam selama sejam bagi mengeluarkan rasa pahit. Dalam tempoh merendam, air perlu ditukar. Air perlu diperah keluar dari cendawan.

🐣Masukkan 3 keping halia ke dalam air yang sedang mengelak didalam periuk. Letakkan cendawan dan rebus selama 5 minit.

🐣Selepas direbus, cendawan diangkat dan dicuci dibawah air yang mengalir. Perah cendawan tersebut dan letak didalam bekas yang bersih.

🐣Dalam periuk yang lain, letak 2 liter air, peha ayam dan 8 keping halia. Rebus pada suhu yang tinggi selama 6 minit.

🐣Tambah cendawan dan bahan-bahan lain dan rebus pada suhu yang rendah selama satu jam. Letakkan garam secukup rasa.
Selamat mencuba

Jika berminat untuk terus membaca faktor pertumbuhan cendawan , sila klik disini.



#BahPembangunanIndustriTanamanPutrajaya
#JabatanPertanianMalaysia

7/12/2019






APA ITU SONIC BLOOM DAN KESAN KEPADA PERTUMBUHAN POKOK?

Sonic Bloom ialah teknologi yang melibatkan kombinasi gelombang bunyi pada frekuensi yang tinggi dan nutrien untuk meningkatkan produktiviti...